Sebagai orang Islam, kita
sepatutnya bersyukur kerana kita dipandu oleh al-Quran dan sunnah dalam
menentukan tingkahlaku kita dalam menjalani kehidupan ini. Andaikan kita ini
pengembara, pastinya kita bersyukur jika sepanjang perjalanan itu kita
dibekalkan dengan kompas sebagai penunjuk arah. Kita sepatutnya lebih bersyukur
lagi kerana tidak semua pengemabara dibekalkan dengan penunjuk arah ini. Berbeza
dengan masyarakat Islam, masyarakat lain tiada panduan khusus dan jelas tentang
bagaimana mereka seharusnya menjalani hidup ini. Jika ada sekalipun, panduan
itu hanyalah untuk aspek hidup yang tertentu dan tidak menyeluruh seperti
Islam. Bagi mereka, segala-galanya boleh dilakukan. Maka, ramai yang berpegang
kepada motto jenama Nike, “Just do it”. Mereka pun buatlah apa sahaja yang
terlintas di hati tanpa mengambilkira kesannya pada diri mahupun orang lain.
Orang Islam tidak sepatutnya berpegang pada motto ini. Namun, ramai juga yang
dengan bangganya memakai baju-T dengan slogan ini.
Dalam kehidupan seorang
Muslim, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dilakukan. Jika sikap dan
tingkahlaku umat Islam sama sahaja dengan orang bukan Islam, maka apalagi yang
membezakan kita dengan mereka?. Walaupun seorang muslim itu dibatasi oleh
perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, sebenarnya, masih banyak
perkara yang dibenarkan dan sedikit sahaja yang dilarang. Satu daripada perkara
yang dilarang itu ialah membuka aib diri dan aib orang lain. Membuka aib diri
itu mungkin tidak begitu menimbulkan masalah kerana orang yang waras biasanya
mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Namun, apa yang sedang membarah dalam
masyarakat kita kini ialah sikap yang suka mengaibkan orang lain. Dalam
kata-kata lain, suka mendedahkan keburukan orang lain.
Semua orang ada melakukan
kesilapan dalam hidup dan lazimnya kita akan merahsiakan kesilapan itu bagi
mengelakkan rasa malu jika ia diketahui umum. Sedangkan seorang kanak-kanak pun
tahu malu jika silapnya ditegur di khalayak ramai, inikan pula orang dewasa.
Maka, biasanya kita akan merahsiakan kesilapan itu agar ia tidak mengaibkan
diri kita sendiri. Namun, bila tiba kepada
keaiban orang lain, sikap kita begitu berbeza sekali. Ramai yang suka mendengar
atau membaca kisah-kisah keaiban orang, malah, sanggup pula memanjangkan
kisah-kisah itu kepada orang lain sedangkan Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud
:
“Barangsiapa
yang menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah akan menutup keaibannya
di akhirat kelak.”
Malangnya, ramai orang Islam
yang lebih suka mengingkari perintah hadis ini. Mereka sama ada menjadi orang
yang mengaibkan orang lain secara lisan mahupun tulisan; menjadi pendengar atau
pembaca atau penonton setia kisah-kisah keaiban itu; mahupun, menjadi penyampai
atau pemanjang cerita-cerita aib tersebut. Malah, ada yang mengaut keuntungan
dari keaiban orang lain. Kononnya, itulah formula untuk melariskan jualan.
Soalnya, formula siapa? Formula Barat atau formula Islam yang kita bangga
menjadi umatnya?
Ada juga yang mendakwa
bahawa cerita seperti itu yang majoriti pembaca mahukan. Dakwaan ini mungkin
benar dan biasanya majoriti akan menang. Namun, tidak semestinya majoriti itu
betul. Maka, jika ternyata majoriti cenderung memilih sesuatu yang dilarang
oleh agama, apakah kita patut terus menggalakkan mereka? Dalam Surah
al-Hujurat, ayat 11, Allah SWT dengan jelas melarang umat Islam dari menyatakan
keaiban orang lain. Dalam ayat yang sama disebut bahawa mereka yang mengingkari
larangan ini, ia menjadi fasik, maka hendaklah ia bertaubat. Larangan ini
begitu penting sekali dipatuhi sehingga ia diulangi dalam ayat yang berikutnya,
“…dan
janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang…”.
Tidak cukupkah ayat-ayat ini
memandu kita ke jalan yang benar? Amat malang sekali bila mana umat Islam yang
telah dipandu tentang cara bagaimana untuk hidup bermasyarakat, telah tidak
mengambil manfaat dari panduan itu, sebaliknya mengambil sikap yang sama sekali
bertentangan dengannya. Maka, salah siapa kalau masyarakat kita banyak
cacat-celanya? Salah siapa kalau masyarakat kita tidak jauh buruk akhlaknya
berbanding masyarakat Barat atau Timur yang tiada “kompas” penunjuk jalannya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan