Jumaat, 20 Julai 2018

AMANAH HARTA AWAM


Konsep wilayah memainkan peranan yang penting dalam hubungan antara pemimpin dengan harta awam. Dalam tradisi Islam, kebertanggungjawaban pemerintah ke atas harta awam diibaratkan seperti kebertanggungjawaban seorang penjaga anak yatim ke atas harta anak yatim itu. Penjaga ini boleh mendapat manfaat daripada harta tersebut pada kadar yang maaruf dalam keadaan tertentu. Mengibaratkan harta awam seumpama mengurus harta anak yatim pertama kalinya disebut oleh Khalifah Islam yang kedua yakni Umar al-Khattab dalam ucapannya sebaik sahaja dilantik menggantikan Abu Bakar al-Siddiq. Dalam konteks kenegaraan, perumpamaan begini telah meletakkan satu penanda aras tertentu ke atas harta awam untuk diurus oleh para pemimpin. 

Penanda aras ini juga berat sekaligus mendambakan agar pemimpin untuk senantiasa berhemah dan berhati-hai ketika menguruskannya. Perbuatan zalim seperti memakan harta anak yatim secara batil mengundang azab yang dahsyat di akhirat kelak. Allah berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 10 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).”



Mengapa sehingga sedemikian Allah meletakkan azab kepada penyelewengan pengurusan harta anak yatim? Hal demikian adalah kerana anak yatim diberi ujian dengan tiada lagi insan yang menyayangi mereka sepenuh hati untuk mengasuh dan memelihara mereka. Kelemahan yang dialami mereka dari segi akal dan fizikal sementelah belum sampai cukup umur mendedahkan anak yatim ini kepada risiko eksplotasi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab,

Justeru, seperti harta anak yatim yang tidak boleh mentadbir hartanya sendiri dan ruang eksploitasi terbuka akibat daripada itu, harta awam juga menjadi ujian kepada pengurus dan penerima manfaatnya. Benar, bukan sahaja pemimpin ditagih untuk beramanah, tetapi masyarakat awam juga dituntut untuk berlaku jujur kerana kita juga mengguna dan menguruskan harta awam sekalipun kita bukan pentadbir khas yang dilantik.

Kemudahan asas awam yang disediakan seperti masjid, padang permainan, fasiliti perkhidmatan kesihatan serta pendidikan adalah contoh-contoh harta awam yang boleh digunakan secara terbuka oleh ahli masyarakat. Disebabkan oleh definisi harta awam – bukan harta persendirian, ramai antara kita cenderung untuk alpa ketika menggunakannya. Ini termasuklah penggunaan tanpa hemah, salah guna kemudahan awam untuk kepentingan diri, merosakkan fasiliti tersebut dan lain-lain lagi. Keadaan ini amat merugikan negara kerana sekalipun kita mempunyai kemudahan awam kelas pertama, tetapi minda pengguna masih berada di kelas ketiga.

Dalam masa yang sama, masyarakat cenderung untuk melihat harta awam dalam konteks kemudahan asas awam yang kolektif sahaja. Sedangkan ada harta awam yang diterima secara individu juga terdedah kepada pengurusan yang tidak cekap seperti dana awam. Dana awam boleh mengambil ciri-ciri seperti bantuan tunai kerajaan kepada golongan yang tidak berkemampuan, anugerah biasiswa pendidikan, pinjaman perniagaan kecil dan lain-lain yang lazimnya diguna dan diurus pada peringkat individu.

Dana awam begini, khususnya dalam bentuk pinjaman pendidikan, sekalipun mungkin tidak sepenuhnya memenuhi syarat sebagai harta awam, perlu diberi perhatian sebagaimana menguruskan harta awam dengan betul. Sebagai contoh, para pelajar perlu bertanggungjawab menggunakan dana tersebut dengan amanah bagi tujuan pendidikan semata-mata bukan tujuan untuk bermewah-mewahan atau dijadikan modal menyertai skim cepat kaya. Kemudian, para pelajar hendaklah memulangkan kembali pinjaman tersebut setelah tamat belajar dan mula bekerja.

Mengambil kira situasi hari ini, kita melihat golongan penerima dana pendidikan utama negara, PTPTN berasa sedikit lega apabila pemerrintah membenarkan penangguhan pembayaran semula pinjaman pendidikan tersebut sehingga peminjam mencapai gaji RM4000 sebulan. Dalam satu keadaan, keputusan ini memberi sedikit kelonggaran kepada individu yang benar-benar berada dalam kesukaran untuk membuat bayaran balik pinjaman pendidikan tersebut. 



Walau bagaimanapun, dalam keadaan yang lain, kelonggaran ini juga sebenarnya membuka peluang kepada individu yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan terutama mereka yang sememangnya sengaja menangguh untuk membuat bayaran semula sedangkan tidak berhadapan dengan masalah  kewangan. Begitu juga dengan golongan yang memang tidak berniat untuk membayar semula pinjaman tersebut sebaliknya menunggu agar berlaku lagi ‘keajaiban’ seperti pinjaman pendidikan tersebut bertukar kepada biasiswa penuh.

Secara umumnya, pasaran pekerjaan pada masa kini mungkin tidak mampu menawarkan graduan gaji RM4000 sebulan kepada graduan muda. Bahkan mereka yang bekerja lebih lama lagi juga masih tidak mencapai angka gaji tersebut. Malaysia juga secara umumnya masih lagi tergolong dalam kumpulan negara berpendapatan sederhana. Justeru, apakah mekanisme terbaik untuk ‘memujuk’ peminjam dana pendidikan melunaskan hutang mereka demi kemaslahatan para pelajar pada masa akan datang dalam masa yang sama tidak menambah kesengsaraan penghutang yang memang benar-benar berada dalam kesukaran?

Fokus kepada kelayakan gaji untuk memulakan pembayaran balik pinjaman pendidikan perlu diseimbangkan juga dengan fokus kepada pembayaran mengikut kemampuan. Masyarakat perlu disedarkan bahawa hutang adalah satu beban yang berat. Hakikat bahawa hutang pendidikan tersebut adalah daripada dana awam perlu ditekankan. Setiap individu perlu menyedari bahawa kita tidak boleh menggunakan dana awam dengan cara batil atau zalim. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu berusaha untuk membuang sifat mementing diri demi memastikan generasi masa hadapan mendapat peluang pendidikan yang baik.

Jika kita berpendapat pada awalnya tidak patut manfaat pendidikan dikenakan hutang kepada penerimanya (pelajar), maka berusahalah untuk menyumbang kepada konsep pendidikan percuma bagi generasi seterusnya. Tidak membuat pembayaran semula mana-mana dana pinjaman pendidikan yang diterima tidak membantu ke arah usaha ini. Sebaliknya menyemai sikap penting diri dalam diri kita.

Hari ini, kita perlu melihat harta awam dalam ruang lingkup yang lebih meluas dan bermakna. Ini juga bermaksud, pengurusan harta awam tidak hanya tertakluk kepada para pemimpin akan tetapi turut merangkumi ahli masyarakat seperti kita semua. Setiap manfaat awam yang diterima perlu diurus dan digunakan dengan baik mengikut terma dan syaratnya. Peraturan ini tidak lain tidak bukan bagi memastikan kelangsungan manfaat harta tersebut untuk individu seramai mungkin temasuklah kepada generasi yang akan datang. Maka tidak hairanlah mengapa Khalifah Islam Kedua mengibaratkan harta awam seumpama harta anak yatim kerana beratnya amanah tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan