Slogan syarikat Apple Inc.
“The only thing that’s changed is everything” semasa pelancaran telefon pintar
iPhone 6S dan iPhone 6S Plus, perlu direnungi sedalam-dalamnya. Bukan kerana
teknologi dan inovasi yang dibawa oleh telefon pintar ini, tetapi fenomena
kegilaan dunia terhadap peranti pintar. Apa yang berlaku ialah pembeli sanggup
beratur panjang dan ‘berkhemah’ beberapa hari di jalanan luar gedung jualan
Apple sebelum hari peranti pintar tersebut tiba di gedung jualan. Kegilaan
terhadap telefon pintar bukan sahaja terhenti di situ, tetapi peranti pintar
kini sukar untuk dipisahkan dari kehidupan seharian. Lebih teruk lagi, peranti
pintar mampu menghilangkan kewarasan penggunanya sehingga aspek keselamatan
tergadai dan nilai manusiawi menjadi pertaruhan.
Lihatlah betapa besarnya
pengaruh peranti pintar. Fenomena ini bukan sekadar mengubah tabiat dan
tingkahlaku malah memberi ancaman kesihatan dan keselamatan. Beberapa jenis
penyakit dilaporkan berpunca dari perhubungan intim antara pengguna dan peranti
pintarnya. Penyakit terbaru yang diberi nama nomophobia (no-mobile-phobia: kegelisahan
ketika terpisah dari peranti pintar) merupakan penyakit yang sedang menular
dengan rancaknya di kalangan pengguna di pelbagai peringkat umur. Maknanya,
jika kita menoleh ke kiri atau kanan kita, kemungkinan besar, orang yang berada
di sekeliling kita sama ada di rumah, pejabat atau kalangan masyarakat setempat
juga mengalami simptom penyakit ini.
Rentetan sejarah hidup juga
telah berubah. Kalau dulunya fenomena kecelaruan adab dan kerosakan akhlak
melibatkan aktiviti melayari laman maya terlarang umpamanya, kini melangkaui
ancaman fitnah media siber. Fitnah di sini bukan hanya bermaksud menyampaikan
sesuatu tidak benar tentang seseorang, tetapi melibat segala bentuk ujian dari
media maya seperti pelanggaran hak dan privasi, pengabaian tanggungjawab,
kecuaian, kelekaan terlampau, hilang tumpuan dan berpuluh jenis lagi yang kita
sendiri pintar menyebutkannya. Sekali lagi, jika diamati, kita dapat lihat
pengguna yang fana dengan peranti pintarnya mengabaikan kerja tugas dan
tanggungjawab di rumah, pejabat dan masyarakat. Nilai-nilai akhlaki seperti
amanah, menjaga maruah, hormat-menghormati, bertanggungjawab, menyeru kepada
makruf dan mencegah munkar makin kikis kontang dari manusiawi.
Kebanyakan aplikasi media
sosial dan permainan mempunyai ciri khusus. Ada sesetengah permainan
mempertaruhkan habuan melihat gambar/video lucah apabila mencapai tahap-tahap
tertentu. Anasir ini sangat berbahaya terutama terhadap pelajar sekolah dan
remaja yang mendapat kemudahan peranti pintar dari ibubapa yang kurang
memantau. Inilah ciri-ciri perisian dan pengaturcaraan yang hebat sehingga
mampu mencorakkan bukan sekadar aplikasi tersebut tetapi pengguna yang
berinteraksi dengannya. Perisian dan bahasa pengaturcaraan Al-Quran terus
terbiar tidak diletakkan di platform operasi yang sebenar.
Sekali lagi pandangan hidup
yang betul dan prinsip manusiawi tidak boleh diabaikan walaupun pintar mana
peranti yang kita gunakan. Punca kegilaan ini adalah kerana pandangan hidup
kita telah tercemar. Dengan semangat mengajak pengguna sekurang-kurangnya balik
kepada naluri fikir yang asas iaitu ‘common sense’ (yakni berhenti
memperbodohkan akal yang Allah berikan dengan tidak menggunakannya langsung)
sehinggalah kepada menerapkan nilai-nilai Islami yang luhur seperti menggunakan
peranti pintar untuk tujuan asal manusia iaitu ta’abbud, jihad diri, istiqamah
di jalan Allah dan memanfaatkan peranti pintar untuk ummah.
Peranan kita sebagai manusia
tetap sama seperti sebelum peranti pintar lahir ke dunia ini. Saat peranti
pintar mencapai mumayyiz dan baligh sehingga perkembangan peranti pintar kini
menjadi matang, peranan kita tetap sama. Bagi mengukuhkan peranan sebagai khalifah,
manusia perlukan kewarasan yang tinggi selari dengan tuntutan wahyu. Imam
Ghazali pernah menukilkan bahawa akal adalah wahyu dari dalam, manakala wahyu
adalah akal dari luar. Jangan putuskan hubungan kita dengan wahyu dengan
menghilangkan kewarasan akal. Jangan biarkan slogan “The only thing that’s
changed is everything” mengubah sistem aqidah, prinsip muamalah dan nilai
akhlak manusia. InsyaAllah, belum ada qariah masjid mana-manapun di Malaysia
atau di seluruh dunia mengkebumikan mayat orang Islam dengan peranti pintarnya.
Oleh itu, selain dari menggunakan peranti pintar dengan waras dan pintar,
bersedialah berpisah dengan peranti pintar kita sebelum peranti pintar kita
dipisahkan dari kita. Berbekallah, sebaik-baik bekalan adalah taqwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan