Pernahkah anda mengunjungi tempat awam yang
sudah terpampang papan tanda larangan merokok tetapi, ada sahaja orang yang
tanpa segan silu merokok di situ? Pernahkah anda melihat pemandu sambil lewa
melanggar lampu isyarat atau memandu di lorong kecemasan? Biasakah kita melihat
orang membuang sampah merata-rata termasuklah membuang sampah keluar daripada
kenderaan mereka?. Semua ini adalah contoh pelanggaran peraturan yang biasa
berlaku. Keadaan sebegini boleh dilihat di mana-mana. Mereka yang melakukannya
pula bukan sahaja tidak menunjukkan rasa bersalah, tetapi turut tiada rasa malu
terhadap perilaku tidak sopan tersebut. Ini menimbulkan persoalan sama ada
melanggar peraturan itu satu perkara mudah atau adakah perbuatan itu
menimbulkan rasa seronok?
Hakikatnya, kehidupan
manusia penuh dengan peraturan. Keadaan ini telah membentuk sikap manusia yang
berbeza-beza terhadap peraturan. Ada yang tekun mematuhi peraturan pada setiap
masa. Orang sebegini kadangkala dipandang sinis dan dianggap sebagai
"lurus bendul." Anggapan sebegini sebenarnya bukanlah anggapan
positif tetapi lebih kepada anggapan berbentuk ejekan. Ada pula yang bersikap
acuh tak acuh atau sambil lewa terhadap peraturan. Insan sebegini mematuhi
peraturan "mengikut mood" atau dengan kata lain, mematuhi peraturan
bila perlu sahaja. Misalnya, jika ada polis, barulah dia mengikut peraturan. Jika
tidak, semua peraturan akan dilanggar.
Tidak ketinggalan juga
mereka yang "ketegar" terhadap peraturan. Bagi orang sebegini,
peraturan tidak relevan atau tidak sesuai mengikut prinsip hidupnya. Oleh itu,
asal sahaja ada peraturan, akan dilanggarnya. Bagi individu ini, melanggar
peraturan adalah satu kemegahan. Secara umumnya, ada peraturan yang bertulis
dan ada juga yang tidak bertulis. Peraturan bertulis merujuk kepada
peraturan-peraturan yang disepakati ahli masyarakat dan jika tidak dipatuhi,
hukuman tertentu akan dikenakan. Contoh peraturan bertulis adalah berkaitan
lalu lintas, peraturan kerja di pejabat, undang-undang dalam negara,
hukum-hukum agama dan sebagainya.
Peraturan tidak bertulis
pula lebih umum sifatnya. Peraturan jenis ini berkait rapat dengan adat tradisi
atau budaya masyarakat setempat. Bagi peraturan jenis ini, jika berlaku
ketidakpatuhan, hukumannya lebih berbentuk hukuman sosial. Peraturan tidak
bertulis ini amat berkaitan dengan hal-hal adab seperti adab dalam hubungan
kemasyarakatan seperti hubungan kejiranan, suami-isteri, pelajar-guru ataupun
adab tingkahlaku seperti adab makan, adab menimba ilmu dan sebagainya. Apakah pula tujuan
peraturan? Matlamat peraturan ada kaitannya dengan konsep maslahah. Amnya,
maslahah membawa maksud "mencari manfaat dan menolak kerosakan atau
kebinasaan." Dalam pandangan hidup Islam, maslahah membawa makna yang
lebih besar iaitu "mencari manfaat dan menolak kerosakan seperti yang
ditentukan oleh Yang Maha Kuasa."
Ini bermakna kebaikan
yang dicari dan keburukan yang cuba dielakkan hendaklah selari dengan apa yang
ditentukan oleh Allah SWT. Konsep maslahah memberi keutamaan kepada masyarakat
dengan kata lain, keutamaan diberikan kepada masyarakat dan bukannya individu. Oleh
itu, mematuhi peraturan bertujuan membawa manfaat dan mengelakkan kebinasaan.
Sebagai contoh, orang yang tidak merokok akan memberi manfaat kesihatan kepada
dirinya dan dapat pula menghindarikan diri daripada keburukan iaitu penyakit.
Bukan sahaja kepada diri sendiri, kesihatan orang lain (ahli masyarakat) dapat
dipelihara. Malah, udara turut terjamin kebersihannya.
Ini bermakna peraturan
mempunyai matlamat yang murni. Malah sebenarnya manusia amat memerlukan
peraturan. Al-Quran sendiri menunjukkan pelbagai bentuk peraturan (hukum) yang
perlu dipatuhi oleh manusia misalnya berkaitan minum arak, zina, berhutang,
solat dan sebagainya. Peraturan atau hukum ini dibentuk oleh Allah SWT bukan
dengan matlamat yang sia-sia. Paling utama adalah untuk menyusun masyarakat
agar menjadi masyarakat yang bertamadun dan hidup dalam keharmonian.
Dengan itu, ungkapan
bahawa "peraturan dicipta untuk dilanggar" adalah tidak tepat sama
sekali. Ungkapan ini amat sering disebut dan kadangkala dinyatakan dengan penuh
bangga. Jika merujuk kepada segala peraturan yang dicipta Allah SWT itu, adakah
ini bermakna Allah SWT mencipta segala peraturan tersebut semata-mata untuk
manusia mengingkari atau melanggarnya? Segala peraturan itu dicipta Allah SWT
kerana Dia Maha Mengetahui bahawa manusia memerlukan peraturan tersebut. Tanpa
peraturan, kehidupan manusia samalah dengan kehidupan di alam haiwan. Jadi,
adakah kita mahu merendahkan diri sehingga ke tahap itu?
Oleh itu, peraturan
sepatutnya dihormati dan tidak diingkari. Setiap seorang daripada kita
mempunyai tanggungjawab terhadap peraturan itu. Malah, mematuhi peraturan
memerlukan pengorbanan tertentu. Dalam hal ini, kita perlu berkorban untuk
tidak melakukan sesuatu yang mungkin amat kita senangi, demi kebaikan diri
mahupun orang lain. Sesuatu peraturan yang diwujudkan perlu dipantau dan
dikuatkuasakan. Oleh itu, penguat kuasa amat diperlukan bagi memastikan
peraturan dipatuhi.
Walau bagaimanapun,
tugas penguat kuasa boleh diminimumkan jika ahli masyarakat dengan sendirinya
mempunyai kekuatan dalaman atau kekuatan diri untuk mematuhi peraturan. Kekuatan
dalaman inilah yang nampaknya tidak melata dalam masyarakat sehinggakan segala
peraturan yang ada dilanggar tanpa rasa gundah. Dalam hal ini, pendidikan,
latihan diri, contoh teladan dan kata nasihat diperlukan untuk membentuk
kekuatan dalaman atau kekuatan diri agar kita menjadi insan yang hormat dan
patuh kepada peraturan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan