Jumaat, 16 November 2018

APABILA SUDAH TIADA MALU


Secara umumnya, sumbang mahram adalah satu istilah bagi menggambarkan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan salah laku seksual dan dilihat oleh masyarakat sebagai sesuatu yang jijik dan terkutuk. Jijiknya dan kotornya ia kerana perbuatan terkutuk ini melibatkan jenayah secara seksual, seperti rogol ataupun pencabulan dan kelucahan yang dilakukan dalam kalangan sesama ahli keluarga yang ada pertalian kekeluargaan dan persaudaraan secara dekat. Namun bagi sesetengah pelaku dan pemangsa, mereka mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza tentang apa yang mereka lakukan.

Tidak kiralah apa yang mereka fikirkan, dan sama ada perbuatan itu satu jenayah dan kesalahan, ataupun satu perbuatan yang wajar bagi mereka, telah banyak dikupas dan diselidiki oleh para ilmuwan dan pengkaji. Kupasan yang dibuat adalah dari pelbagai sudut seperti undang-undang dan jenayah, kesihatan, psikologi dan pendidikan serta lain-lain. Hakikatnya, perbuatan ini terus berlaku dalam anggota masyarakat saban hari, seolah-olah tiada penghujung, dan dipercayai akan terus berlaku dalam zaman yang serba canggih dan moden ini.



Kebanyakan kes ini melibatkan ahli keluarga sendiri terutamanya di antara bapa kandung dengan anak, bapa tiri atau bapa angkat, bapa saudara, bapa mertua dan menantu, dan di antara abang dan adik, adik dan kakak, atau pun ibu dan anak, datuk dengan cucu dan sebagainya. Secara wajarnya, perkara ini tidak seharusnya berlaku. Semua anggota masyarakat telah maklum bahawa ia adalah satu perbuatan yang haram dan amat dilarang oleh ajaran Islam. Namun, apa yang lebih mengerikan ialah, ia banyak berlaku dalam kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Tiada niat untuk menghukum atau memperlekeh sesiapa.

Namun inilah kekeliruan yang wujud sekarang ini. Lebih-lebih lagi, apabila masyarakat kita ini terkenal dengan sifat sopan santun dan pemalunya yang amat tinggi. Namun perkara ini perlu dirungkai dan diselesaikan bagi menyelamatkan generasi muda dan masyarakat sekarang agar tidak terus hanyut dalam trauma dan kekeliruan yang ada ini. Masyarakat perlu tahu bahawa sumbang mahram adalah satu kegiatan yang berkaitan dengan naluri seksualiti. Naluri seksualiti ini terhasil daripada dorongan naluri dan desakan nafsu yang sebenarnya adalah asas kepada kejadian dan kesinambungan fitrah manusia serta segala makhluk bernyawa yang diciptakan Allah SWT di atas muka bumi ini.

Namun, naluri ini telah tersimpang secara jauh daripada norma-norma yang telah ditetapkan oleh syariat Islam. Ia menyimpang jauh daripada landasan yang sewajarnya menurut agama, kerana ia tidak terdidik dan terbentuk seperti yang telah diatur dan diajarkan oleh agama Islam. Pendidikan seksual yang teratur sememangnya perlu dalam menangani kegiatan ini, kerana ia akan meningkatkan lagi kesedaran berkaitan fenomena dan tragedi serta trauma akibat daripada sumbang mahram. Namun pendidikan dan pendedahannya tidak perlu terasing daripada ajaran keagamaan dan keimanan. Ia perlu didedahkan secara seiring agar dapat mewujudkan kestabilan dan keharmonian di antara pelbagai pendekatan yang diajukan. 



Bangsa Melayu itu sendiri juga terkenal dengan cara ia menyelesaikan sesuatu masalah itu secara sopan dan santun yang tinggi, tanpa mengabaikan pendekatan dan ajaran agama. Ini terbukti apabila diperhalusi, kita meletakkan nama bagi alat kelamin sebagai kemaluan. Asalnya malu. Alat tersebut memiliki status maruah dan rasa malu yang amat tinggi. Maksudnya, ia adalah sebagai sesuatu yang perlu dijaga secara baik dan sempurna sehingga akan terasa malu yang teramat sangat jika didedahkan kepada khalayak ramai. Amat memalukan jika ia terpampang. Malah, malu itu juga terhasil daripada ajaran agama Islam.

Rasa malu yang tinggi adalah gambaran kepada keimanan yang tinggi juga. Ini merujuk kepada sebuah hadis Rasulullah SAW bahawa malu itu adalah sebahagian daripada iman. Bahkan, diri kita sebagai sebuah bangsa yang pemalu, adalah bangsa yang kuat keimanan. Seterusnya, pendidikan dan kesedaran ini tidaklah perlu bermusim, diperkenalkan atau ditawarkan hanya pada waktu-waktu tertentu. Prinsipnya mudah. Ini kerana desakan dan naluri seksual individu manusia juga bukannya bermusim, atau muncul dalam tempoh-tempoh tertentu sahaja, terutamanya dalam kalangan kaum lelaki.

Pendidikan berterusan ini membantu manusia agar tidak lalai dan alpa dalam perkara ini. Manusia amat memerlukan bantuan dalam mendidik dan mendorongnya ke arah perlakuan seksualiti yang sihat dan produktif, bukannya yang membinasakan generasi sendiri. Itulah matlamat utama biologi seksualiti manusia. Oleh yang demikian, tidak akan wujud fahaman bahawa perlu wujud kes sumbang mahram dahulu, barulah kesedaran seksual manusia berkaitan sumbang mahram akan muncul, terbentuk dan terpupuk serta bercambah. Ia seumpama sudah terhantuk baru terngadah, dan sebagai manusia, kita pun semakin terus keliru. Inilah yang perlu dielakkan dan diselesaikan dahulu.

Ahad, 11 November 2018

MELAWAN GODAAN NAFSU


Dunia ini medan bagi segala amalan sama ada kebaikan atau keburukan di mana akan berlaku pertembungan mereka yang bersama Allah dan mereka yang cenderung kepada hawa nafsu. Setiap manusia diciptakan oleh Allah mempunyai nafsu. Nafsu yang ada pada manusia adalah ujian Allah. Jika manusia mampu menguasai nafsunya bermakna dia berjalan mengatasi sebahagian besar daripada ujian Allah yang cukup berat. Sekiranya nafsu dididik ke arah kejahatan dan melalui sistem yang jahat, maka nafsu akan menjadi jahat dan liar. Maka, akan lahirlah mereka yang mempunyai kepandaian, tetapi digunakan ke jalan yang salah. Ini amat bahaya kepada kehidupan manusia kerana masyarakat akan terdedah kepada kehancuran.
Justeru, nafsu perlu dikenali tahapnya agar mudah diperangi kerana nafsu secara fitrahnya akan membayangi kejahatan melainkan mereka yang mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Firman Allah SWT: "Sesungguhnya nafsu itu akan mendorong kepada kejahatan melainkan nafsu yang diberi rahmat oleh Allah SWT." (Surah Yusuf, ayat 53). 

Nafsu amarah tidak dapat dikawal dengan sempurna oleh hati, jika sekiranya hati tidak dapat dibantu oleh ilmu, hikmah kebijaksanaan dan akal. Jika gagal, maka hati akan binasa. Akibatnya, seseorang itu mudah terjerumus ke arah perbuatan yang melanggar syariat, tidak beradab, tidak berperikemanusiaan, bertindak sesuka hati, zalim serta pelbagai keburukan dan bencana kepada diri serta persekitaran.
Oleh itu, perjuangan menentang hawa nafsu dianggap suatu pengorbanan yang amat dihormati dan menjurus kepada jalan yang sebenar. Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya :
"Mereka yang berjuang ke jalan Kami, nescaya Kami akan tunjukkan jalan Kami. Sesungguhnya Tuhan berserta dengan orang yang berbuat baik." (Surah al- Ankabut, ayat 69).
Sesiapa yang bermujahadah terhadap nafsu, akan ditingkatkan darjatnya kepada kedudukan yang lebih baik dan Allah akan memberi petunjuk kepada segala perkara kebaikan. Maka, nafsu perlu dididik dan diasuh mengikut telunjuk iman kerana nafsu adalah musuh utama kepada manusia sebelum datangnya musuh kedua iaitu syaitan. Nafsu adalah musuh dalaman sedangkan syaitan musuh luaran. Apabila nafsu sudah ditundukkan dan ia taat kepada perintah Allah maka baharu syaitan akan dapat dikalahkan.

Sejarah nafsu bermula sejak zaman Nabi Adam di mana nafsu mempengaruhi anaknya, Qabil untuk membunuh saudaranya, Habil hasil daripada hawa nafsu dari dalam jiwa manusia. Demikian Allah SWT membuat sesuatu ketetapan dalam kehidupan manusia berdasarkan ilmu dan hikmah daripada-Nya agar dapat diklasifikasikan antara mereka yang terbaik antara hambanya. Pelajaran ini adalah gambaran kepada kehidupan manusia pada masa hadapan di mana perlakuan ini akan berterusan sehingga hari kiamat. Lalu, Allah SWT mengembangkan pelajaran melalui seekor burung yang lemah sebagai jawapan kepada pengurusan sesuatu jasad yang sudah kembali.
Umat Nabi Muhammad SAW adalah umat akhir zaman yang sentiasa ke hadapan dalam mencorakkan kehidupan berpaksikan ketaatan kepada Allah SWT. Hubungan sebenar antara mereka dan Pencipta adalah ketaatan yang tidak berbelah-bahagi di samping ganjaran baik yang dijanjikan Allah SWT. Firman Allah SWT: 
"Mereka hanyalah menunggu berlakunya ketentuan kepada orang terdahulu (azab). Maka kamu tidak akan mendapati apa-apa perubahan selain dari ketentuan Allah SWT." (Surah Fatir, ayat 43).
Sebenarnya dunia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Berlakunya ujian, fitnah dan kerosakan yang berleluasa adalah tanda jelas akan kedudukan usia di dunia ini. Oleh itu, bersegeralah dalam melakukan kebaikan di samping berhati-hati dengan dosa dan kemaksiatan. Ingat bahawa hari yang kita lalui semakin sukar kerana hampirnya kita dengan kiamat.
Sabda Rasul SAW bermaksud: "Tiada seorang pun nabi yang diutuskan melainkan mereka menyeru umatnya ke arah kebaikan dan menentang kemungkaran. Sesungguhnya umat ini menerima kebaikan yang banyak pada awalnya dan diuji dengan fitnah dan kerosakan di penghujungnya. Maka pada ketika itu berkatalah orang yang beriman: "Inilah detik kemusnahan. Sesiapa yang ingin selamat, maka ikutilah jalan yang menuju kepada Allah dan hari kiamat." (Hadis Riwayat Muslim).

Maka, berbahagialah buat mereka yang mati di atas landasan tauhid yang sebenar. Dari sinilah kita melihat bahawa maksud fitnah ialah sesuatu perkara yang berlaku dan memudaratkan agama atau suatu nikmat dunia secara keseluruhan atau sebahagian daripadanya. Segala kenikmatan dunia yang dikecapi manusia juga dikategorikan sebagai fitnah bagi melihat sejauh manakah tahap kesyukuran seseorang terhadap nikmat berkenaan. Firman Allah SWT:
"Kami akan menguji kamu dengan kebaikan dan keburukan sebagai cubaan. Kepadanya juga kamu dikembalikan." (Surah Al-Anbiya', ayat 35). 
Begitu juga ujian kepada harta dan anak pinak yang berkait rapat dengan godaan nafsu. Untuk menjamin keselamatan, kita hendaklah memastikan jalan yang kita pilih agar mendapat ganjaran yang dijanjikan itu. Fitnah dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu fitnah umum dan fitnah khusus. Fitnah umum ialah bencana yang menimpa semua masyarakat tanpa mengira kedudukan mereka dan fitnah khusus ialah bencana yang menimpa seseorang individu sama ada terhadap dirinya, agama, harta benda atau keluarganya. 
Kita juga akan melihat pertarungan yang sengit dalam menghadapi pelbagai ujian yang terkadang akan menguji kesabaran dan emosi sehingga kita berasakan bahawa kitalah orang yang paling malang di dunia ini sedangkan hakikat sebenar adalah sebaliknya. Kita lupa bahawa Allah SWT menyediakan pelbagai bentuk bonus ganjaran kepada mereka yang diuji. Bagi mereka yang menghadapi ujian getir dan menghadapinya dengan ketabahan serta bersabar di samping terus berusaha, iman mereka akan bertambah dan mendapat ganjaran orang yang bersabar. Mereka yang bersyukur dengan nikmat dikurniakan, akan mendapat ganjaran orang yang bersyukur.

Sabda Rasul SAW: "Alangkah hebatnya seorang Muslim di mana apabila ditimpa musibah mereka sabar dan apabila dikurniakan nikmat mereka bersyukur. Itulah yang terbaik bagi mereka." (Riwayat Muslim).
Ketahui segala kelemahan kita dalam menghadapi ujian dari Allah SWT akan dapat ditampung jika sekiranya kita penuhi kehidupan kita dengan amalan solat dan terus melakukan kebajikan pada setiap masa.
Antara amalan penting dalam masyarakat ialah mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana ia akan menyelamatkan umat daripada bencana umum yang akan diturunkan kepada semua seperti firman Allah SWT: 
"Takutlah kamu akan seksaan yang akan diturunkan kepada semua dengan kezaliman yang dilakukan oleh orang lain." (Surah Anfal, ayat 25).
Dengan melakukan kebaikan secara bersungguh-sungguh dapat menjinakkan hawa nafsu yang sentiasa rakus dalam merencanakan kehidupan dunia. Ini antara tugas manusia yang dianugerahkan sebagai khalifah di muka bumi bagi mengimbangi hawa nafsu yang cenderung kepada kejahatan.

Sabtu, 10 November 2018

HAPUSKAN SIKAP ANGKUH POLITIK


Setiap ahli politik sepatutnya memahami bahawa kemenangan dan kekalahan dalam politik adalah ditentukan oleh rakyat. Kedudukan mereka sama ada dalam jangka masa panjang atau pendek adalah bergantung kepada sikap dan kecekapan mereka memerintah negara. Apabila mereka diberi mandat untuk menerajui negara maka kebolehan dan kecekapan mereka dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran akan dinilai rakyat. Janji-janji ditaburkan semasa pilihan raya dahulu perlu direalisasikan dengan pelbagai kegiatan yang boleh meyakinkan rakyat, walaupun ia sukar dilaksanakan ketika negara berhadapan krisis kewangan.

Sikap keangkuhan dan terlalu berbangga dengan kemenangan perlu dikikis dalam sanubari setiap ahli politik yang diberi jawatan sebagai pemimpin masyarakat dan kerajaan. Muhasabah diri amat perlu supaya sikap angkuh dan bongkak tidak wujud dalam pemikiran dan jiwa setiap pemimpin. Sikap menghormati orang lebih tua dan berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran dan kemasyarakatan perlu dijadikan sebagai tabiat atau tatasusila keperibadian para pemimpin politik Islam.



Keangkuhan para pemimpin politik Islam sama ada dalam kalangan parti memerintah atau pembangkang semakin hari kian dipertonjolkan kepada masyarakat. Sikap cabar mencabar sesama sendiri jelas menunjukkan kualiti dan kematangan pemimpin politik umat Islam adalah tidak menepati konsep kepimpinan dalam Islam. Intisari dan isu-isu dibangkitkan dalam pergeseran sesama mereka lebih menjurus kepada kemusnahan umat Islam dan penghakisan kewibawaan Islam.

Setiap ahli politik umat Islam usah mendabik dada mempertonjolkan diri bahawa kewibawaan dan kehebatan mereka seolah-olah mempunyai persamaan dengan jaguh pemimpin Islam masa silam. Kelemahan yang terdapat pada diri umat Islam masa kini dalam hal ehwal politik dan pentadbiran hanya dapat dipertingkatkan melalui kerjasama sesama umat Islam walaupun berbeza parti politik. Sebagai pemimpin muda yang mendapat amanah dari rakyat untuk menerajui negara maka sikap dan tingkah laku dalam arena berpolitik sepatutnya bertepatan dengan harapan rakyat.

Rakyat memilih parti politik tertentu untuk menerajui negara adalah untuk mengembalikan kekuatan umat Islam. Sikap terlalu takut kehilangan jawatan sehingga membelakangi kepentingan umat Islam dalam hal ehwal kepimpinan dan pentadbiran negara perlu dielakkan. Konsep kepimpinan Islam ialah melantik orang yang layak dan berpengalaman menerajui negara walaupun mereka itu bukan dari parti politik yang sama. Dalam keadaan kemelut politik umat Islam masa kini maka gabungan antara ahli politik berwibawa tanpa mengira parti politik amat diperlukan bagi menstabilkan hak dan kewibawaan umat Islam masa kini. Oleh itu bersatulah umat Islam tanpa mengira perbezaan parti politik.

Sabtu, 3 November 2018

UJIAN MENINGKATKAN DARJAT MANUSIA


Dalam Al Quran, Allah telah berfirman yang bermaksud:
"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk, ayat 2)
Antara tanda kekuasaan Allah SWT dan kehebatan pentadbiran-Nya jelas kelihatan pada mati dan hidup. Sunnah al-mawt wal hayat dipamerkan kepada manusia bersama matlamat yang diciptakan kerananya iaitu menguji siapakah manusia yang paling baik amalannya. Ayat itu menyatakan, hidup di dunia selalu berhadapan dengan kesusahan dan ujian. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain.
Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT. Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi. 

Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, mengharapkan Allah SWT melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal. Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah SWT. Segala keputusan Allah SWT adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)." (Surah an-Nisa', ayat 19)
Mengingatkan hakikat inilah Nabi SAW mengajar satu doa, "Ya Allah, sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat pemberian-Mu, berpalingnya afiat daripada-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan berhimpun kemarahan-Mu." (Riwayat Muslim)
Syeikh Al-Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba-Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan. Setiap Mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap ujian. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah Ali-Imran, ayat 26)

Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya. Peringatan kepada manusia, segala yang dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah SWT.
Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran dengan menetapkan dalam minda bahawa setiap ujian adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Di samping meyakini bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya hikmah. Apabila masa terlalu lama dan usaha menjadi sukar, kesabaran manusia menjadi lemah. Oleh itu, di dalam banyak ayat Allah SWT menggandingkan kesabaran dengan ibadat solat kerana solat adalah sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.
Ia sumber yang memulih tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati. Kerana itu ia dapat memanjangkan hayat kesabaran dan menjadikannya tidak putus, kemudian menambahkan kepada kesabaran itu keredaan, ketenangan dan keyakinan. Sudah menjadi ketentuan Allah SWT, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah SWT.