Sabtu, 29 Disember 2018

MEMAHAMI KONSEP PENDIDIKAN DALAM ISLAM

Pendidikan merupakan satu institusi yang paling penting dalam pembentukan keperibadian sesuatu ummah dan pembangunan negara. Kelemahan sistem pendidikan boleh mengakibatkan sesuatu bangsa hilang identiti dan keistimewaanya. Kemuliaan ilmu pengetahuan diperakui oleh semua bangsa di dunia ini. Kehebatan manusia jika dibandingkan dengan makhluk Allah yang lain adalah berdasarkan kepada ilmu pengetahuan yang dimiliki olehnya.

Nabi Adam iaitu manusia pertama yang diciptakan oleh Allah mempunyai keistimewaan melebihi malaikat apabila baginda dianugerahkan oleh Allah dengan ilmu pengetahuan yang tinggi terutamanya berkaitan dengan hal ehwal ilmu duniawi. Allah mengajar Nabi Adam pelbagai ilmu pengetahuan bagi memudahkan baginda mengendalikan hal ehwal keduniaan. Seperti mana firman Allah dalam Surah 2 (al-Baqarah):31 yang bermaksud;

"Dan Dia (Allah) mengajarkan Adam nama-nama (benda) seluruhnya".



Berdasarkan penjelasan berikut maka umat Islam sepatutnya memahami bahawa ilmu pengetahuan ialah sinar cahaya yang menembusi hati nurani dan pemikiran manusia secara pembelajaran yang tersusun. Sistem pendidikan yang berorientasikan kecintaan ilmu pengetahuan tanpa batasan sepatutnya dijadikan asas pendidikan negara Islam. Institusi pendidikan ini akan menghasilkan para pelajar yang memiliki ilmu pengetahuan pelbagai bidang berdasarkan kepada sikap dan kebijaksanaan para guru mendidik dan mengasuh para pelajar mereka.

Guru memainkan peranan penting dalam pembentukan keperibadian para pelajar, menyebarkan ilmu pengetahuan dan melatih mereka supaya memperolehi ketajaman akal dengan pelbagai kaedah seperti peperiksaan dan sebagainya. Sikap dan corak pemikiran yang berorientasikan kecintaan ilmu dan gemar melatih para pelajar menjadi orang yang berjaya dalam ilmu pengetahuan dan berakhlak mulia merupakan ciri-ciri para pendidik dan cendekiawan Islam. Jika para guru dan pendidik Islam memiliki ciri-ciri begini maka tidak wujud peristiwa soalan peperiksaan bocor atau seumpamanya.

Para pendidik dan pelajar yang berorientasikan jiwa ilmu tidak akan melakukan sesuatu yang terkeluar daripada etika ilmu pengetahuan ketika diuji kebolehan dan kebijaksanaan mereka dalam ilmu pengetahuan. Para pelajar dan pendidik yang berorientasikan etika menuntut ilmu sering menguji kebolehan mereka secara telus. Jika mereka berjaya dalam ujian maka perasaan bersyukur menjadi amalan mereka. Jika gagal mereka menjadi lebih bersemangat untuk memperbaiki diri dan mendalami ilmu. Jiwa begini sepatutnya disemat dalam jiwa para pendidik dan pelajar khususnya yang beragama Islam. 



Dalam aspek pendidikan tidak ada sikap pilih kasih atau terlalu mengagungkan sekolah-sekolah yang dapat menghasilkan para pelajar yang ramai mendapat keputusan yang cemerlang tanpa mengira latar belakang para guru dan persediaan kelengkapan pendidikan bagi sekolah-sekolah di seluruh negara. Keadilan dalam aspek pendidikan perlu dijadikan asas pendidikan negara. Jika perkara ini diabaikan maka sukar untuk menentukan sejauhmanakah kebijaksanaan para pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang berada di sekolah-sekolah di bandar dengan para pelajar di luar bandar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan.

Sikap gemar menyediakan keistimewaan kepada sekolah-sekolah yang menghasilkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan seperti memberi wang kepada guru besar dan seumpamanya merupakan satu inisiatif yang baik tetapi kadang-kadang ganjaran sebegini boleh mendorong para guru kurang prihatin terhadap etika ilmu pengetahuan. Jika keistimewaan dijadikan sebagai matlamat untuk menghasilkan ramai para pelajar mendapat A dalam peperiksaan maka objektif pendidikan berdasarkan konsep pendidikan Islam akan gagal.

Matlamat pendidikan boleh berubah kepada konsep menghasilkan ramai pelajar mendapat pangkat A daripada menghasilkan para pelajar yang tulen kebijaksanaan dan kepintaran kerana setiap mata pelajaran yang diajar ditumpukan kepada tajuk-tajuk yang akan dipaparkan dalam kertas soalan bukan keseluruhan ilmu berkaitan dengan mata pelajaran tersebut. Konsep ciptaan manusia sepatutnya dijadikan garis panduan sistem pendidikan negara Islam bagi menghasilkan masyarakat yang memiliki ketulenan dalam pelbagai bidang ilmu dan kepakaran. Allah menciptakan setiap individu dengan kepandaian dan kepakaran yang berbeza. Kebolehan setiap individu itu sepatutnya dipupuk dan diasuh bagi membantu mereka menerokai bidang yang dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. 



Oleh itu peperiksaan di peringkat awal persekolahan sepatutnya lebih tertumpu kepada bakat semula jadi kanak-kanak bukan dalam bentuk ilmu akademik yang sukar dicapai oleh kanak-kanak terutamanya mereka yang tidak dianugerahkan Allah kecapaian akal dalam ilmu akademik. Setiap perkara berkaitan dengan ilmu pengetahuan atau kepakaran walaupun bukan dalam bentuk akademik sepatutnya dijadikan mata pelajaran di sekolah-sekolah supaya kanak-kanak dan para pelajar berminat untuk mendalami ilmu mengikut bakat yang dianugerahkan Allah kepada mereka. Ibu bapa sepatutnya memahami bakat atau minat anak-anak sejak kecil kerana sikap dan minat mereka yang dipertontonkan kepada ibu bapa itu merupakan fitrah ciptaan mereka.

Ilmu yang dituntut bukan semata-mata untuk menonjolkan diri sebagai orang yang hebat memiliki ilmu pengetahuan dan lambang kebanggaan. Penekanan utama dalam aspek pendidikan ialah bagaimanakah ilmu yang dimiliki itu dapat dijadikan amalan atau asas untuk membina kehidupan yang sempurna di dunia ini. Jika ibu bapa, para guru dan pelajar memahami konsep dan prinsip menuntut ilmu pengetahuan dalam Islam maka isu kertas soalan bocor tidak akan wujud dalam institusi pendidikan negara Islam.

Jumaat, 21 Disember 2018

RAHMAT ISLAM MERENTASI SEMPADAN

Islam ialah cara hidup merangkumi segenap aspek dan ceruk kehidupan manusia di mana-mana sahaja dan pada masa bila-bila, berasaskan risalah atau misi dibawa Rasulullah SAW yang berpaksikan untuk mewujudkan suasana sejahtera, baik dan damai. Segala suruhan dan tegahan serta penyelesaian ditawarkan Islam, mencerminkan aspek kesejahteraan, kebaikan dan kedamaian berkenaan. Allah SWT berfirman:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekian alam (rahmatan li al-‘alamin).” (Al-Anbiya’: 107)




Istilah rahmah seperti dicatat al-Jurjani, merujuk kepada suatu keinginan menyampaikan kebaikan. Ini bermakna risalah Rasulullah SAW yang membawa rahmatan li al-‘alamin itu, suatu bentuk keinginan Allah SWT untuk memberikan kebaikan dan kesejahteraan kepada seluruh alam semesta terutama manusia yang semestinya terlaksana menerusi penghayatan yang tepat. Justeru, ungkapan yang menjadi falsafah dan polisi pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini, mesti ditafsirkan secara tepat menurut tafsiran muktabar dalam kalangan ulama tersohor untuk mengelaknya daripada terseleweng.
Menurut mufassir, Ibnu Kathir dalam kitab tafsir, Tafsir al-Quran al-‘Azim, ayat itu perlu difahami dalam pengertian Allah SWT mengkhabarkan Dia menjadikan Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh alam. Sesiapa menerima rahmat dan bersyukur atas nikmat ini, dia akan bahagia di dunia dan akhirat, manakala orang menolak serta mengingkarinya, akan rugi di dunia dan akhirat.
Ulama tersohor abad ke-20, Dr Wahbah al-Zuhayli dalam kitab al-Tafsir al-Munir menjelaskan ‘bahawa Kami (Allah SWT) tidak mengutusmu wahai Muhammad dengan syariah, petunjuk dan hukum al-Quran kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam dalam kalangan manusia serta jin di dunia dan akhirat. Kedua-dua tafsiran itu menghubungkan aspek rahmatan li al-‘alamin dengan syariat atau risalah dibawa Rasulullah SAW. Unsur rahmat akan hanya diperoleh apabila tidak diasingkan daripada syariat atau risalah Baginda, iaitu datang menerusi dan bersama pelaksanaan setepatnya isi kandungan risalah. Rahmat tidak akan datang di luar daripada kerangka dan isi keseluruhan hukum-hakam serta suruhan dan larangan yang terkandung dalam Islam. 

Satu aspek boleh diketengahkan dalam hubungan ini ialah wujud kaitan antara konsep rahmatan li al-‘alamin dengan akhlak Islam, khususnya apabila ditafsirkan keseluruhan ayat terbabit berasaskan hadis Rasulullah SAW yang membawa maksud Baginda diutus untuk menyempurnakan akhlak mulia. Justeru, konsep itu bermakna menerusi penghayatan syariat secara keseluruhan dan sempurna akan melahirkan manusia berakhlak mulia yang akan menaburkan pelbagai bentuk kerahmatan, kebaikan serta kemakmuran alam. Secara umumnya, Muslim sebagai penjana kesejahteraan dan kebaikan dalam kehidupan sudah terlihat. Muslim yang bertindak menghayati setepatnya akhlak mulia tuntutan Islam, pasti berupaya menaburkan pelbagai kebaikan dalam kehidupan harian di tengah-tengah masyarakat.
Bagaimanapun, untuk hal ini menjadi lebih jelas, wajar diperhatikan beberapa aspek tuntutan ajaran Islam supaya dihayati dalam kehidupan Muslim seperti terungkap dalam risalah Rasulullah SAW. Ruang pertama perlu diberikan perhatian dalam proses pembinaan diri ialah institusi keluarga yang menjadi permulaan kehidupan sebagai manusia. Dalam Islam, institusi keluarga ialah komponen masyarakat yang amat penting. Ia bermula dengan perkahwinan diasaskan atas mawaddah wa rahmah (kasih sayang dan belas kasihan) yang sedia dicipta serta diterap Allah SWT dalam lelaki dan perempuan seperti tercatat dalam surah al-Rum, ayat 21.
Daripada perkahwinan, lazimnya akan lahir zuriat yang juga amanah yang mesti dipelihara sebaik mungkin serta diberikan pendidikan cukup dan terbaik mengikut kemampuan. Sebagai timbal balik, anak-anak mesti mentaati ibu bapa dan menjaga mereka dengan baik apabila sudah tua. Suasana kehidupan sebegini dalam institusi keluarga, bersama dengan salutan pendidikan sempurna, berupaya melahirkan warga keluarga baik dan berakhlak mulia. Warga keluarga yang baik dalam kehidupan seterusnya, perlu berinteraksi dengan pelbagai pihak dalam masyarakat. Kumpulan orang lain paling hampir ialah jiran tetangga. Islam menginstitusikan suatu konsep cukup baik dan teratur bagaimana pergaulan serta interaksi mesti berlangsung dalam kalangan jiran tetangga, termasuk bukan Muslim.

Seseorang manusia terdedah kepada lapangan hidup lebih luas membabitkan warga masyarakat pada peringkat nasional dan antarabangsa. Islam menyediakan peruntukan untuk dihayati Muslim yang terbabit dalam peringkat kehidupan.Islam menginstitusikan konsep ukhuwah (persaudaraan) yang mengikat sesama Muslim atas dasar iman hingga tetap bersaudara walau di mana berada dan dituntut melaksanakan tugas persaudaraan. Dalam konteks hubungan dengan bukan Muslim, syariat Islam menjelaskan hubungan baik dan toleransi boleh berlangsung asalkan tidak menceroboh umat Islam seperti firman Allah SWT:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang (bukan Muslim) yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
Dalam bentuk lebih universal, ajaran Islam menjelaskan kriteria manusia paling baik dan dicintai Allah SWT, iaitu golongan dijelaskan hadis:
“Sebaik-baik manusia adalah paling bermanfaat kepada manusia lain.” (HR al-Tabrani dan al-Daruqatni)
Jelas kriteria diambil kira Islam dalam menentukan ciri manusia terbaik dan amat dicintai Allah, merujuk sebanyak mana seseorang dapat menyumbangkan manfaat kepada orang lain dalam kehidupan ini. Ini bermakna Islam menggesa umatnya sentiasa berusaha secara berterusan memberi sumbangan terbaik yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan manusia. Islam tidak membenarkan penganutnya melakukan kerja dan penjanaan yang boleh menyebabkan manusia lain terperangkap dalam kesukaran serta kesusahan, sekali gus tidak menjadi sumber dan punca kesukaran orang lain. Perlu diperhatikan, perkataan ‘manusia’ sebagai penerima manfaat berbentuk umum dan tidak dikhususkan sama ada Muslim ataupun bukan. 

Ini bermakna gesaan sesuatu bermanfaat yang menjadi indikator manusia Muslim terbaik dan dikasihi Allah SWT, bersifat sejagat yang golongan penerimanya tidak dibatasi oleh apa-apa bentuk sempadan biasa kemanusiaan seperti agama, bangsa dan warna kulit. Malah, ia merangkumi semua asalkan sahaja manusia dan meliputi pelbagai perkara dan perlakuan. Di sinilah terpacak kukuhnya nilai terbaik Muslim yang berfungsi sebagai penjana dan peneraju kesejahteraan dalam kehidupan di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sesungguhnya manusia Muslim mempunyai prasarana dan potensi cukup untuk muncul sebagai peneraju dalam kerja penjanaan kebaikan dan kesejahteraan dalam kehidupan manusia.
Islam menyediakan trek laluan kukuh, munasabah dan praktikal untuk digunakan dalam proses pembinaan personaliti Muslim kuat dan tahan uji bagi melaksanakan tugas berat sebagai penjana kesejahteraan hidup bermasyarakat. Ini bermakna seandainya kalangan Muslim didapati tidak dapat melaksanakan tugas sebagai penjana kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat, ia isyarat jelas tidak menyempurnakan tuntutan agama yang dianuti.
Justeru, Muslim perlu sedar dipertanggungjawabkan sebagai pembawa obor rahmatan li al-‘alamin yang perlu berfungsi sebagai penjana kesejahteraan hidup dunia. Hakikatnya orang Islam tiada pilihan selain terjun sepenuh masa mempersiapkan diri mengambil tanggungjawab berkenaan. Persiapan diri merujuk kepada keperluan memperkukuhkan jati diri keislaman dalam kehidupan harian, terutama menyuburkan penghayatan nilai akhlak mulia. Bagaimanapun, semua ini bukanlah suatu perkara mudah dilaksanakan tetapi menjadi wajah jihad perlu didepani umat Islam semasa

Rabu, 12 Disember 2018

ISLAM MELARANG MENYEBARKAN KEAIBAN ORANG


Dalam kehidupan bermasyarakat, umat Islam dituntut menjaga ukhuwah dan keharmonian berasaskan kepada nilai-nilai akhlak yang luhur. Umat Islam juga diajar untuk mencintai dan mengasihi saudara seagama, saling mengambil berat, membantu serta menjaga aib antara satu sama lain. Sebagaimana sabda Rasulullah dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, bermaksud:

“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuhnya. Sesiapa memberikan pertolongan hajat saudaranya, maka Allah akan menolong dalam hajatnya. Sesiapa memberikan kelapangan kepada seseorang Muslim daripada sesuatu kesusahan, maka Allah akan melapangkan dia daripada suatu kesusahan daripada sekian banyak kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aib orang itu pada hari kiamat.”



Aib saudara seagama adalah perkara yang tidak boleh dibuka atau disebarkan kepada orang lain sewenang-wenangnya. Umat Islam juga dilarang membuka aib pihak lain walaupun dianggap sebagai musuh. Dalam politik contohnya, perbuatan memburuk-buruk dan menyebar aib individu dari parti berbeza ideologi dilihat semakin menjadi-jadi. Hari ini orang menggunakan Internet sebagai saluran untuk membuat fitnah, adu domba, serangan peribadi dan membuka aib lawannya. Kadang kala diikuti dengan kata-kata kesat dan maki hamun tanpa menghiraukan dosa dan tegahan agama. Allah mengancam perbuatan seperti ini melalui firman-Nya dalam surah an-Nur: 19, bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab amat pedih di dunia akhirat dan Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahui.”

Perbuatan menyebarkan aib orang lain berlaku dalam pelbagai bentuk. Ada yang suka menjaja kisah keruntuhan rumah tangga orang, merakam video perlakuan seksual, menyebar poster atau gambar mengaibkan dan ada yang mengejek bentuk fizikal seseorang. Umat Islam dilarang mengejek, menghina kekurangan atau keaiban orang lain seperti gemuk, kurus kering, kulit hitam, wajah hodoh, kecacatan dan sebagainya. Semua ini termasuk dalam perbuatan mengumpat, mengeji dan memperlekeh orang lain yang dikeji oleh Allah.

Sebagaimana firman Allah melalui surah al-Humazah ayat 1 maksudnya: “Kecelakaan besar bagi setiap pengumpat lagi pengeji. Mengumpat, mengeji dan mendedahkan aib orang lain umpama memakan daging saudara sendiri yang telah mati.”
Begitu juga dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat: 12, bermaksud:

“Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah berdosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Musuh-musuh Islam akan bergembira apabila umat Islam saling membenci, menghina, mengaibkan dan memfitnah sesama sendiri sehingga membawa kepada perpecahan. Orang yang dalam hatinya ada perasaan benci dan hasad kepada saudara se-lslam, adalah golongan dalam dirinya mempunyai sifat-sifat munafik. Akhirnya perbuatan ini tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya perpaduan akan menjadi semakin rapuh dan umat Islam akan semakin lemah. Justeru, umat Islam perlu membersihkan diri daripada sebarang sifat keji khususnya seperti iri hati, hasad dengki, suka mengaibkan orang lain, suka mengumpat dan suka melihat orang lain dimalukan.