Jumaat, 24 November 2023

NERAKA ; SEBURUK-BURUK TEMPAT KEMBALI

Kehidupan ini sebahagiannya adalah diatas aturan Tuhan dan sebahagian lagi adalah diatas pilihan kita sendiri. Kita tidak boleh untuk memilih warna kulit, keturunan atau bangsa apa yang kita mahukan tetapi dalam sebahagian hal kehidupan ini, kita boleh memilih dalam soal lain seperti memilih jodoh, makanan, gaya hidup dan sebagainya. Sekiranya kita diberikan pilihan untuk memilih antara bahagia atau sengsara, tentunya kita akan memilih bahagia. Naluri insani itu pastinya menyukai perkara yang boleh memberikan kebahagiaan, ketenangan dan seumpamanya untuk makna sebuah kehidupan. Sesiapa sahaja tidak menyukai keperitan, keazaban yang menyakitkan dan selainnya. Namun begitu, demikianlah neraka yang padanya terkandung seribu satu macam rasa kepedihan azab yang tidak terperi sakitnya.

Dalam agama Islam, setiap perbuatan yang dilakukan, baik dalam bentuk ungkapan atau tingkah laku, sama ada dalam bentuk zahir atau batin, semuanya akan dibalas oleh Allah SWT. Balasan bagi tiap-tiap yang ingkar kepada Allah itu pastinya dihukum neraka, lubang kesengsaraan yang tiada terperinya. Keperitan dan kesengsaraan itu dapat dimaknai dengan apa yang terdapat pada namanya neraka. Tidak ada suatu kesenangan pun apabila kita mendengar perkhabaran tentang neraka. Pada neraka itu mempunyai sifat yang panas dengan nyalaan apinya yang tidak terperi bahangnya. Dalam al-Quran, Allah SWT telah menggambarkan kepada kita bahawa neraka itu seburuk-buruk tempat yang menggerunkan, menakutkan dan mengundang seribu satu rasa yang bersifat sengsara. Ini seperti firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 66 yang bermaksud :

“Sesungguhnya neraka Jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal yang amat buruk.”




Kejadian neraka yang dipenuhi dengan segala kesengsaraan dan penderitaan yang tidak bertepian ini sangat menakutkan dan menggerunkan. Kehangatan api neraka yang menyala-nyala, sifat apinya yang membakar, telah membuatkan para ahlinya hendak keluar dari menghadapinya berterusan. Pun begitu, Allah telah menjanjikan tidak akan ada sesiapa pun yang terlepas daripada diazab walau pada diri manusia tersebut berusaha keluar dari neraka. Ini seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam a-Quran, surah al-Hajj ayat 22 yang bermaksud :

"Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya (kepada mereka dikatakan) : "Rasailah azab yang membakar ini"

Neraka yang amat dahsyat azabnya disediakan tempatnya oleh Allah SWT kepada golongan yang mengingkari arahan dan titah perintah Allah Azza Wa Jalla. Antara lainnya adalah seperti golongan kafir yang ingkar taat kepada Allah dan mereka yang mendustakan ayat Allah. Hal ini ditegaskan oleh Allah menerusi firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 39 yang bermaksud :

"Adapun orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya"

Seperti syurga Allah, neraka juga mempunyai beberapa nama dan setiap dari nama tersebut menjanjikan azab yang pedih lagi dahsyat. Nama lain bagi neraka seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, iaitulah neraka Hawiyah terdapat dalam surah al-Qariah ayat 11, neraka Saqar seperti yang dinyatakan dalam surah al-Mudatsir ayat 42-43, begitu juga nama neraka Sa'ir dalam surah al-Mulk ayat 5, neraka Hutamah dalam surah al-Huzamah ayat 4, neraka Jahim, diceritakan dalam surah al-Syuaa'ra ayat 91 dan nama neraka Lazha yang terdapat dalam surah al-Ma'arij ayat 15. Banyak lagi ayat-ayat yang menceritaka tentang nama neraka yang kesemuanya sudah tentu menjanjikan kehebatan azab yang amat dahsyat.




Bagi memahami dan mengenali sifat neraka itu sendiri, telah banyak diceritakan oleh Allah dan Rasul Nya menerusi wahyu Allah, al-Quran dan al-Sunnah. Antaranya seperti yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan rasul Nya, neraka itu bersifat membakar menyala dimana bahan bakarannya terdiri daripada manusia dan batu berhala. Seperti yang telah dijelaskan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Baqarah ayat 24 yang bermaksud :

"..Maka peliharalah diri kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang kafir".

Selain sifatnya yang membakar, di dalam neraka juga disediakan makanan kepada ahli neraka. Mereka dihidangkan dengan makanan daripada pokok-pokok yang berduri. Ini seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah al-Ghasyiyah ayat 6-7, yang bermaksud :

"Tiada makanan bagi mereka (di neraka) selain daripada pokok-pokok yang berduri. (Makanan) yang tidak menggemukkan, dan tidak pula dapat menghilangkan sedikit kelaparan pun".

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, telah membawakan huraian daripada Ibnu Abbas dengan menyatakan pokok-pokok yang dinyatakan dalam ayat itu adalah pohon neraka. Selain itu, menurut Sa'id bin Jubair, pokok yang dimaksudkan dalam ayat itu adalah pokok az-Zaqqum yang berduri, seperti juga yang telah diceritakan oleh Allah dalam al-Quran, surah ad-Dukhan ayat 43-46. Dijelaskan oleh Allah bahawa buah pokok itu adalah makanan bagi orang yang berdosa di dalam neraka. Makanannya panas seperti tembaga cair mendidih dalam perut. Selain dihidangkan makanan, pada neraka itu juga disediakan minuman yang amat kotor dan panas.

Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran, surah Ibrahim ayat 16-17, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dibelakangnya disediakan neraka Jahannam, dan ia akan diberi minum daripada air danur (yang keluar daripada tubuh ahli neraka). Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas daripada azab seksa itu); dan selain itu ada lagi azab seksa yang lebih berat".

Pada neraka itu juga, mempunyai sifat suara api neraka yang menggerunkan bagi sesiapa sahaja yang mendengarnya. Logiknya ketika kita berada di dunia, pastinya api mengeluarkan bunyi letupan dan letusan maraknya api apabila kita membakar sesuatu. Apatah lagi api di neraka, bukan sahaja membakar bahkan mengeluarkan suara yang mengundang kegerunan dan ketakutan yang amat dahsyat. Ini seperti yang dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam surah al-Furqan ayat 12 yang bermaksud :

"Apabila ia (neraka) meihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar darinya suara gemuruh kerana marah dan geram"




Demikian pula suhu kehangatan dan kepanasan api neraka yang sudah tentu tidak sama skala bahangnya. Dalam menceritakan tentang kepanasan api neraka ini, baginda Nabi SAW menyatakan bahawa kepanasan api di dunia baru 1/70 api neraka. Ini bermakna, api di dunia yang pada akalnya sudah merasai perit dan pedihnya bila terkena, sehingga boleh membawa kepada tahap melecur dan rentung, inikan pula api neraka yang lebih besar dan hebat sifat panas membakarnya. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, dia mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Api dunia yang kamu semua panaskan 1/70 bahagian daripada api neraka". Mereka bertanya : "Wahai Rasulullah, meskipun semua dikumpulkan ?" Rasulullah SAW bersabda : "Ia lebih panas 69 kali".

Hadith ini memadai bagi kita untuk memahami betapa panasnya sifat bakar api neraka yang jauh lebih dahsyat jika dibandingkan dengan api di dunia. Inilah hakikatnya sebuah neraka yang dijanjikan Allah sebagai balasan kepada hamba Nya yang ingkar dan kufur pada Nya. Apa yang ditulis ini adalah sebahagian kecil daripada apa yang dikhabarkan oleh Allah dan Rasul Nya. Apa jua yang dijelaskan tentang neraka, pastinya tempat tersebut adalah seburuk-buruk kembali. Jika di dunia, kita masih boleh memilih untuk kesenangan, keselesaan dan kebahagiaan. Namun, di akhirat kelak, iman dan amal soleh kita lah yang akan menentukan baik buruk tempat untuk kita kembali kepada Allah. Semoga Allah menjauhi kita daripada seksaan api neraka.


Sabtu, 18 November 2023

LIBERALISME SEBAGAI SUATU CARA HIDUP

 

Sebahagian manusia yang terpelajar merasakan bahawa untuk membina sesebuah masyarakat yang bertamadun, maju dan moden, kita perlu keluar dari norma dan sifat konservatif (adat tradisi) dan perlu mengamalkan suatu cara hidup liberalisme, yang lebih menjamin kestabilan dan kebebasan dalam menentukan dasar-dasar baharu tanpa perlu terikat lagi dengan pengamalan adat dan budaya orang dahulu. Malah bagi mereka sebahagian daripada kepercayaan yang bersifat konservatif tersebut telah banyak menyekat manusia untuk berubah selari dengan tuntutan peredaran zaman.

Ungkapan "Liberalisme" adalah merujuk kepada sebuah bentuk pemikiran falsafah barat yang lahir di tengah-tengah kebobrokkan masyarakat yang memperlihatkan kepada kita keadaan pada masa tersebut sangat teruk apabila ahli gereja telah mempergunakan agama bagi menekan hidup orang barat. Falsafah liberalisme ini telah melahirkan sebuah gerakan reformasi yang dipelopori oleh Martin Luther. Gerakan reformasi ini bertujuan bagi menunjukkan protes terhadap penguasaan dan dominasi gereja kepada masyarakat. Gagasan liberalisme yang diperjuangkan dahulu telah memperlihatkan juga kebangkitan di Perancis dalam usaha menentang Raja Louis XVI dan golongan bangsawan.




Sebenarnya, istilah liberalisme ini tidak mudah untuk difahami kerana terdapat banyak definisi-definisi yang dikemukakan adalah berdasarkan aliran yang berbeza-beza. Seperti kata Bapa Liberalisme, John Locke, liberalisme adalah suatu kebebasan yang menuntut umat manusia mengisinya untuk mencapai keadilan yang manusiawi. Beliau berpandangan keadilan tidak akan dapat dicapai tanpa melalui kebebasan individu. Begitu juga yang diungkapkan oleh John Stuart Mill dalam karyanya, On Liberty, beliau menekankan soal kebebasan individu sebagai asas kenegaraan Baginya, kerajaan tidak boleh campur tangan dalam ruang individu. Selain itu, menurut Ludwig Von Mises, dalam bukunya yang bertajuk Liberalisme, istilah liberalisme adalah sebuah doktrin yang terarah sepenuhnya kepada tingkah laku manusia di dunia ini.

Berdasarkan Pusat Rujukan Persuratan Melayu, ungkapan liberal membawa maksud bersifat condong kepada kebebasan dan pemerintahan demokratik atau berfahaman bebas atau berpandangan terbuka. Sebagai rumusan yang boleh kita coretkan, istilah atau perkataan liberalisme adalah terkait rapat dengan soal kebebasan dan keadilan. Kebebasan lawannya keterikatan atau terkurung. Ini bermaksud, liberalisme menuntut kita untuk hidup membebaskan diri dan tidak terkurung atau terikat pada sesuatu dengannya. Ini juga sama seperti yang dianjurkan di dalam Islam. Sebelum daripada muncul nya istilah liberalisme ini, Islam telah sejak dahulu lagi menekankan aspek kebebasan individu.

Dalam kerangkan Islam, tidak ada yang disebut sebagai kebebasan mutlak. Namun, Islam menuntut umat manusia membebaskan diri dari belenggu kejahilan, menuju kepada lorong kebijaksanaan. Membebaskan diri dari menyembah berhala yang tidak punyai kuasa, kepada menyembah Tuhan yang Maha Esa. Islam juga telah datang membebaskan kaum wanita dari menjadi hamba seks kepada menjadi insan yang berharga dan punyai nilai maruah. Pun begitu, secara umumnya, apa yang terkandung pada nilai-nilai falsafah liberalisme tersebut seperti nilai kebebasan dan keadilan, sudah lama dibicarakan oleh Islam menerusi wahyu Allah, al-Quran dan al-hadith. Cuma, barangkali kurang diwacanakan melalui terma liberalisme sehingga kadang-kala istilah liberalisme ini dilihat negatif dan dipandang serong oleh segelintir pihak yang mempunyai latar belakang berpendidikan agama.




Pengamalam hidup secara liberal bukanlah suatu yang baharu diperkatakan. Dalam konteks Malaysia itu sendiri, telah digariskan cabaran kelima Wawasan 2020 ilham Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan matlamat mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi. Demikian juga yang terkandung dalam Dokumen Rukun Negara yang telah dibentuk oleh Majlis Gerakan Negara pada 31 Ogos 1970, menyatakan pada bahagian pengisytiharan, antara cita-cita yang didukung Malaysia adalah hendak menjamin satu cara hidup liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak. Ini menunjukkan satu sudut positif kehidupan yang telah dibina diatas nilai liberal. Sesuai dengan latar belakang negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, nilai liberal sangat penting sebagai menjamin suatu cara hidup yang lebih harmoni, saling menghormati dan bertoleransi.

Ini bukanlah bermakna untuk mengangkat nilai liberal, kita mesti berpandangan semua agama itu sama tetapi sebagai negara yang agama Islam sebagai agama persekutuan, perlu dihormati oleh penganut agama selain Islam dan pada masa yang sama, orang Islam mestilah menghormati agama lain dengan memberikan ruang bagi mereka selain Islam mengamalkan cara hidup menurut agama-agama masing-masing. Selain memenuhi hak-hak lain seperti hak pendidikan, hak bersosial dan sebagainya. Nilai liberal dalam kehidupan juga mampu menjamin hak istimewa kaum tertentu tanpa menindas dan menzalimi kaum lain. Ini kerana, keadilan tidak dapat dicapai tanpa kebebasan dan sebagai penduduk asal sesuatu negara, sudah tentu mempunyai kebebasan untuk membuat peraturan tanpa meminggirkan kaum lain.

Dari sudut sistem demokrasi liberal pula, ianya telah sejak sekian lama diamalkan di Malaysia dengan memisahkan kuasa antara pihak kerajaan yang memerintah (eksekutif), penggubal undang-undang (legislatif) dan kehakiman (judisiari). Dengan pecahan bidang kuasa seperti ini, ianya telah dapat memberikan nilai kebebasan dan keadilan kepada ketiga-tiga badan induk utama ini bagi tujuan menjalankan maksud dan peranan badan masing-masing tanpa dipengaruhi atau ditekan oleh mana-mana pihak. Tanpa nilai yang bersifat liberal ini, tentunya akan mengundang banyak kepincangan dalam pengurusan kehidupan. Sesungguhnya, istilah liberal yang selalu dimomokkan dengan maksud yang negatif, sedikit-sebanyak telah banyak menjamin kestabilan dalam kehidupan. Tanpa dinafikan, sebahagian maksud liberal jika mengikut naratif barat sangat menyimpang jauh dari norma kehidupan manusia. Ibarat pepatah menyebutkan buang yang keruh, ambil yang jernih.

Sebenarnya pengamalan liberalisme itu sendiri adalah bertunjangkan daripada pengalaman beragama. Seperti yang dinukilkan oleh seorang penulis Turki, Mustafa Akyol, beliau menyatakan John Locke, bapa pendiri idea liberalisme, adalah tokoh liberal yang sangat berpegang kepada agama. Ini terbukti melalui penulisan John Locke sendiri yang bertajuk Two Treatises of Government, beliau merumuskan bahawa liberalisme bukanlah untuk menolak agama tetapi mengelakkan agama menjadi musnah akibat daripada politik dan kekuasaan. Ketegasan John Locke ini membuktikan idealisme ini bukanlah bermaksud menafikan kepentingan unsur keagamaan. Oleh kerana itu, liberalisme tidak ditafsirkan sebagai menafikan hak beragam namun sebaliknya menitipkan nilai toleransi dalam kerangka masyarakat majmuk. Maka, tidaklah salah hidup dengan mengamalkan nilai-nilai liberal selagi perkara tersebut tidak menyanggahi syarak. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 14 November 2023

YAHUDI DAN SEJARAH KEBIADABANNYA

 

Dunia ini barangkali akan menjadi suram andai kita semua punyai keturunan dan kaum yang sama. Tidak ada beza antara kita dan tentu sekali kita akan cepat bosan dengan kehidupan. Maka dengan itu, kebijaksanaan Allah SWT yang telah menjadikan dikalangan diri manusia itu berbilang kaum dan bangsa adalah supaya kita dapat mempelajari sesuatu dan dapat membezakan antara intan dan berlian, kaca dan permata, sekaligus memberikan kita suatu pelajaran hidup yang bermakna. Dengan sebab kita mengenali antara satu sama lain, sekurang-kurangnya kita kenal akan sejarah sesebuah kaum dan bangsa.

Jika dahulu, sejarah mencatatkan kegilaan diktator Jerman, Adolf Hitler membunuh orang-orang Yahudi dianggap suatu tindakan kejam, hari ini mungkin kita boleh bersetuju dengan tindakannya setelah kita dihidangkan dengan kebiadaban Yahudi membantai umat tidak berdosa di Palestin. Barangkali terfikir jauh benak hati kita, adalah mungkin benar apa yang pernah diungkapkan dahulu oleh Hitler tentang sikap sebenar orang Yahudi. Cuma, kita seharusnya lebih adil supaya tidak memukul sama rata kepada semua mereka yang berketurunan Yahudi.

Kaum Yahudi antara golongan yang banyak diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran. Malah, perbincangan tentangnya juga banyak dibahas dan dikupas termasuk dari sudut sejarah dan kebiadaban mereka di dunia ini. Secara umumnya, kaum Yahudi merujuk kepada sekelompok umat yang berasal daripada keturunan Nabi Ishak AS dan Nabi Yaakub AS. Dalam al-Quran, selain nama Yahudi, terdapat beberapa gelaran lain yang merujuk kepada kaum Yahudi antaranya istilah al-Lazina Hadu, Bani Israel dan Ahlul Kitab. Dalam Islam, ungkapan Yahudi membawa kepada dua sudut pandang, iaitulah Yahudi sebagai agama dan Yahudi sebagai kaum dan bangsa.




Golongan Yahudi sangat terkenal dengan perangai degil, penipu, sombong, angkuh, bodoh dan sebagainya. Pada al-Quran itu sendiri terdapat banyak kisah yang dirakamkan oleh Allah SWT tentang perangai biadab mereka ini. Ini seperti yang dinyatakan di dalam surah al-Baqarah, diceritakan kebiadanan Yahudi mempermain-mainkan perintah Allah yang menyuruh mereka untuk menyembelih seekor lembu betina. Menurut Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni dalam kitab tafsirnya, Safwah al-Tafasir, beliau menjelaskan bahawa surah ini dinamakan al-Baqarah (lembu betina) adalah untuk mengingatkan kembali mukjizat yang berlaku pada zaman Nabi Musa.

Melalui kisah mukjizat tersebut, pada zaman Nabi Musa AS, terdapat seorang lelaki dikalangan bani Israel yang telah mati dibunuh. Namun, tidak ada sesiapa yang mengaku membunuh. Lalu Allah SWT telah memerintahkan kumpulan Bani Israel menyembelih seekor lembu betina lalu disuruh memukul mayat seorang lelaki tersebut dengan amggota lembu betina yang disembelih itu. Maka, pelbagai lah hujah dan alasan bodoh yang mereka utarakan kepada Allah dengan tujuan untuk mencari sebab supaya tidak melakukan sembelihan tersebut. Tetapi akhirnya, mereka tetap melakukannya. Akhirnya, dengan mukjizat Allah, lelaki yang mati dibunuh itu tadi bangkit dan menunjukkan siapa yang membunuhnya. Kisah ini dirakamkan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah ayat 67 hingga 74.

Selain itu, golongan Yahudi dikenali dengan perangai tamak terhadap dunia. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 96 yang bermaksud :

“Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.”




Sejarah juga mencatatkan bahawa golongan Yahudi merupakan golongan yang takut akan kebenaran. Mereka sebenarnya bacul dan pengecut. Inilah yang telah dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah al-Maidah ayat 21 hingga 22 yang bermaksud :

“(Nabi Musa berkata lagi): "Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat). Mereka menjawab: "Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)."

Lihatlah betapa bacul dan penakutnya mereka yang tidak yakin dengan kebenaran. Seperti yang telah diungkapkan oleh Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan Yahudi menolak kebenaran janji Allah SWT yang memastikan kemenangan dengan berperang bersama Nabi Musa AS. Selain itu, Allah SWT telah melondehkan wajah sebenar golongan Yahudi seringkali berperangai rasis perkauman. Ini seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Jumaah ayat 6, firman Nya yang bermaksud :

“Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang yang beragama Yahudi, kalau kamu anggap bahawa kamulah sahaja orang-orang yang dikasihi Allah tidak termasuk umat-umat manusia yang lain, maka bercita-citalah hendakkan mati (dengan meminta kepada Allah supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar!"




Imam al-Tabari dalam kitabnya, Tafsir al-Tabari, beliau menegaskan bahawa ayat ini menunjukkan Yahudi mempunyai sifat rasis perkauman yang tinggi kerana beranggapan mereka merupakan bangsa pilihan yang dikasihi Tuhan. Ini juga sekaligus membuatkan mereka mendabik dada rasa bangga kerana banyak para Nabi yang lahir dari kalangan kaum mereka. Pun begitu, mereka memilih untuk ingkar dan menyeleweng daripada ajaran yang dibawa oleh Nabi mereka sendiri. Maka tidak hairanlah jika kita melihat sikap mereka yang berasa bagus dan hebat boleh membantai umat Islam di bumi Palestin sedangkan para Nabi mereka sendiri pun mereka bunuh. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 61 yang bermaksud :

"Dan mereka pula membunuh nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang benar. Yang demikian itu ialah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh."

Dalam konteks hari ini, Yahudi sejak dahulu berperangai jahat dan biadab, telah membuat kerosakan dan kemusnahan di bumi Palestin. Kebiadaban mereka ini menceroboh bumi Plaestin telah dikhabarkan oleh Allah dalam surah al-Israa ayat 4 yang bermaksud :

“Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.”

Banyak lagi kisah-kisah kebiadaban mereka yang dirakamkan di dalam al-Quran. Kemuncak kebiadaban mereka ialah apabila mereka sendiri mengakui bahawa mereka adalah anak Tuhan. Kisah ini dirakamkan oleh Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 18 yang bermaksud :

"Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: "Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangiNya". Katakanlah (wahai Muhammad): "(Kalau betul demikian), maka mengapakah Ia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang diciptakanNya. Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan serta hukum SyariatNya), demikian juga Ia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali"

Demikianlah sebahagian sejarah kebiadaban mereka membuat onar pada umat manusia. Bahkan mereka juga jauh lebih biadab dengan Allah SWT dengan mempermainkan titah arahan Allah selain mengaku merekalah anak Tuhan. Ini hanyalah sebahagian dari banyak lagi kisah kebiadaban mereka ini. Apa yang jelas, Allah dan baginda Nabi SAW telah banyak mengingatkan kita tentang kewaspadaan terhadap golongan Yahudi ini. Bukan semata-mata kerana isu Palestin ini tercetus, bahkan sejak dahulu lagi mereka ini dikenali dengan sikap biadab dan sangat melampau. Tentunya kisah mereka ini tidak sekadar untuk dibaca namun untuk kita mengambil pelajaran dari sikap buruk mereka ini. Semoga Allah SWT mengampuni kita semua.

Khamis, 9 November 2023

SIAPAKAH IMAM AL-MAHDI ?

 

Bagai menanti kelahiran seorang perwira, isu Imam al-Mahdi seringkali menjadi polimik sensasi dikalangan umat Islam sejak dahulu kala lagi. Kedatangan Imam al-Mahdi adalah antara sebahagian tanda-tanda besar hari kiamat. Lembaran sejarah yang panjang telah mencatatkan pelbagai rentetan peristiwa dramatik yang berlaku sehingga ke tahap pertumpahan darah akibat pendakwaan diri mereka adalah Imam al-Mahdi. Krisis ini juga sekurang-kurangnya telah menimbulkan persepsi demi persepsi yang memperlihatkan betapa ramai manusia di seluruh dunia yang berebut untuk mengaku sebagai Imam al-Mahdi. Kesan krisis ini juga telah menjadikan perbalahan yang berpanjangan sesama umat Islam.

Untuk melihat kepada sesuatu yang akan terjadi di masa hadapan, tidak ada yang boleh dikhabarkan atau diceritakan melainkan kita kembali merujuk berita atau perkhabaran di dalam al-Quran dan hadith Nabawi. Dalam al-Quran, tidak disebut tentang Imam al-Mahdi. Pun begutu, dalam hadith terdapat banyak riwayat-riwayat yang menceritakan tentang kedatangan Imam al-Mahdi. Sesungguhnya kedatangan Imam al-Mahdi adalah benar. Ini kerana terdapat banyak riwayat-riwayat yang menyatakan perkara yang sedemikian. Meskipun terdapat banyak riwayat tentang kedatangan Imam al-Mahdi, bukan semua riwayat tentangnya boleh kita amal dan faham. Kerana pada riwayat yang banyak tersebut, ada yang berstatus palsu, ada yang lemah, ada yang hasan dan tidak kurang ada juga yang sahih.




Oleh yang demikian, Syeikh Abd al-Muhsin bin Hamad menulis dalam kitabnya, al-Radd' Ala Man Kazaba Bil Ahaadith Al-Waaridah Fil Mahdi, beliau menyatakan bahawa :

"Aku telah meneliti kebanyakan hadis-hadis berkaitan al-Mahdi dan aku telah mendapatinya sebagaimana yang telah dikatakan oleh al-Syaukani, Ibn al-Qayyim dan selainnya: Padanya hadis-hadis yang sahih, hasan, hadis dhaif yang boleh dikuatkan, dan terdapat juga hadis-hadis palsu berkaitannya (Al-Mahdi). Memadailah bagi kita hadis-hadis yang elok sanadnya. Kebenarannya, sesungguhnya majoriti ahli ilmu bahkan ia adalah satu kesepakatan bahawa sabitnya khabar berkenaal al-Mahdi bahkan dia adalah benar dan akan keluar pada akhir zaman. Adapun, mereka yang syaz dari kalangan ahli ilmu dalam hal ini maka tidak diberi perhatian pada pendapatnya dalam hal tersebut".

Berhubung isu kedatangan Imam al-Mahdi, pada sisi para sarjana, ada yang menerimanya tentang hakikat Imam al-Mahdi ini dan tidak kurang juga ada yang menolaknya seperti Imam Ibn Khaldun. Pada sisi Ahlus Sunnah wal Jamaah, tidak ada sebarang khilaf atau perselisihan pendapat tentang kedatangan al-Mahdi. Bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah, Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang diutuskan oleh Allah untuk menegakkan keadilan. Imam al-Mahdi lahirnya dari keturunan Nabi menerusi jalur al-Hasan RA. Pun begitu, kumpulan Syiah membantah akan hal itu dan mendakwa Imam al-Mahdi lahir dari keturunan Nabi menerusi jalur al-Hussain RA.

Seperti yang dinyatakan, perkhabaran tentang kedatangan Imam al-Mahdi ada dikhabarkan oleh baginda Nabi SAW melalui hadith-hadithnya. Antara lain, dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Abdullah bin Mas'ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau dari ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman".




Persoalan besarnya, siapakah al-Mahdi ? Menurut Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Nihayah fi al-Fitan wal Malahim, nama sebenar Imam al-Mahdi ialah Muhammad bin Abdillah al-'Alawi al-Fatimi al-Hasani. Pernyataan ini adalah berdasarkan sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, daripada Abdullah bin Mas'ud RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Dunia tidak akan berlalu pergi sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki dari kalangan ahli baitku yang namanya bersamaan dengan namaku.”

Berdasarkan hadith ini juga, terdapat beberapa ciri-ciri utama Imam al-Mahdi antaranya termasuklah namanya sama seperti nama baginda Nabi, berketurunan dari keluarga Nabi selain dirinya berbangsa Arab. Ini bermakna, sesiapa yang mendakwa dirinya adalah Imam al-Mahdi tetapi tidak terdapat padanya ciri-ciri ini, maka jelaslah ianya tidak lebih sekadar suatu pendustaan dan pembohongan semata-mata. Selain itu, para sarjana Islam berbeza pendapat tentang tempat kelahiran Imam al-Mahdi. Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Tazkirah, menyatakan bahawa Imam al-Mahdi lahir di negara Maghribi. Ada sebahagian lain pula mendakwa lahir di Andalus. Namun begitu, pendapat yang paling tepat dan sahih riwayat dari Abu Nu'aim, seperti yang terdapat dalam kitab Asyrath al-Sa'ah karangan Maher Ahmad al-Sufi, Imam al-Mahdi dilahirkan di Madinah.

Kedatangan Imam al-Mahdi adalah bertujuan membantu Nabi Isa AS menentang Dajjal. Oleh itu, Imam al-Mahdi akan muncul tatkala diwaktu sebelum turunnya Nabi Isa AS untuk menentang Dajjal. Ini sepertimana yang tercatat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdillah RA, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Isa bin Maryam SAW turun, lalu pemimpin mereka (al-Mahdi) berkata: ‘Marilah, solatlah mengimami kami.’ Lalu Isa berkata: ‘Tidak, sesungguhnya sebahagian kamu menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain, sebagai kemuliaan yang Allah berikan kepada umat ini.”

Selain itu, berdasarkan bukti yang kuat, Imam al-Mahdi akan keluar dari arah timur. Hal ini berasaskan kepada hadith Nabi SAW riwayat Ibn Majah, daripada Thauban RA katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Ada tiga orang yang akan saling membunuh di sisi simpanan kamu; mereka semua adalah putera khalifah, kemudian ia tidak akan kembali kepada salah seorang dari mereka. Akhirnya, muncullah bendera-bendera hitam dari arah timur, lalu mereka akan memerangi kamu dengan peperangan yang tidak pernah dilakukan oleh satu kaum pun.. (lalu Baginda menuturkan sesuatu yang tidak aku fahami, kemudian bersabda): Jika kamu melihatnya, maka bai’ahlah dia. Walaupun dengan merangkak di atas salji, kerana sesungguhnya dia ialah khalifah Allah, al-Mahdi.”

Ketika menjelaskan maksud hadith ini, Imam Ibn Kathir dalam kitabnya, al-Nihayah fi al-Fitan wal Malahim, beliau menyatakan bahawa Tiga orang putera-putera khalifah akan saling berbunuhan di sisinya untuk merebutkannya hingga tiba akhir zaman. Kemudian, keluarlah al-Mahdi dan beliau datang dari arah timur. Beliau didokong oleh orang-orang dari timur yang menolongnya, menegakkan kekuasaannya, memperkuat sendi-sendinya, dan bendera mereka ketika itu juga berwarna hitam yang melambangkan ketenangan, sebagaimana bendera Rasulullah SAW di mana ia juga berwarna hitam dengan sebutan al-‘Uqab. Dia akan dibai’ah di Masjidil Haram (berhampiran Ka’bah) sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian hadith.




Kedatangan Imam al-Mahdi adalah sebagai seorang pemimpin yang akan kembali menegakkan kebenaran dan menolak kebatilan untuk selama beberapa tempoh tertentu. Dalam hadith riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya, pada umatku terdapat al-Mahdi. Dia akan muncul, hidup (berkuasa) selama lima, tujuh, ataupun sembilan (yakni terdapat keraguan daripada salah seorang periwayat hadith ini, iaitu Zaid berkenaan bilangan tahun yang disebutkan)".

Dalam hadith lain riwayat Abu Daud, daripada Sa'id al-Khudri RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Akan datang pada umatku al-Mahdi, apabila masanya pendek, maka tujuh tahun. Sekiranya tidak, maka sembilan tahun.”

Dalam kitab Tuhfah al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri menjelaskan :

“Dalam riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri dalam Sunan Abu Daud, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun, dengan lafaz yang tiada keraguan daripada perawi. Begitu juga dalam hadis Ummu Salamah, disebut bahawa Imam Mahdi akan berkuasa selama tujuh tahun dan ia juga tanpa ada keraguan daripada perawi. Daripada sini, hadis yang menggunakan lafaz yang pasti, lebih diutamakan daripada lafaz yang masih ada keraguan".

Demikianlah serba ringkas yang dapat difahami tentang siapakah Imam al-Mahdi yang seringkali menjadi isu polimik dikalangan orang Islam. Jelas kepada bahawasanya Imam al-Mahdi itu adalah berketurunan Arab, salasilah dari keturunan Nabi SAW, dan kedatangannya pada sebelum turunnya Nabi Isa AS. Kedatangannya adalah untuk memimpin umat dan dunia ini dengan penuh keadilan, membawa kebenaran dan melawan kebatilan. Selain itu juga, Imam al-Mahdi turut akan membantu Nabi Isa AS melawan dan menentang Dajjal laknatullah. Inilah janji-janji Allah yang benar, tidak ada yang lebih benar melainkan apa yang didatangkan oleh Allah kepada para hamba Nya. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Khamis, 2 November 2023

SYURGA ; SEBAIK-BAIK TEMPAT KEMBALI

 

Sudah namanya fitrah apabila manusia dan kebahagiaan tidak dapat berpisah. Sangat mustahil jika manusia diberi pilihan, sama ada untuk memilih bahagia atau derita, mustahil ianya akan memilih derita. Begitulah pula andai kita ditanya untuk ingin bahagia atau sengsara, tidak waraslah jika kita memilih untuk sengsara. Demikianlah diri manusia. Walau berlainan warna kulit, biar berbeza asal-usul keturunan, namun kita semua pastinya akan menyukai bahagia berbanding derita. Inilah namanya fitrah. Selari dengan fitrah itu, maka Allah telah menjanjikan balasan syurga, dimana padanya terkandung infiniti nikmat yang tidak dapat diungkap oleh mulut, tidak dapat dirasa dengan lidah dan tidak boleh dilihat dengan mata, melainkan beriman dengan apa yang telah dikhabarkan oleh Nya.

Sebagai umat Islam, kita sangat dituntut untuk memohon syurga yang padanya sebaik-baik tempat kembalinya kita semua. Bahkan, baginda Nabi SAW telah menyuruh kita agar memohon syurga yang paling tinggi, iaitulah syurga Firdaus. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila kamu meminta kepada Allah mintalah kepadanya syurga Al-Firdaus kerana ia merupakan syurga terbaik serta yang paling tinggi".




Syurga adalah sebaik-baik tempat untuk kita kembali kepada Allah SWT. Setelah kita mendiami alam rahim, berpindah ke alam dunia dan seterusnya mengembara ke alam barzakh sebelum kita menuju ke hari perhitungan dengan Allah. Sememangnya, syurga itu telah disediakan oleh Allah kepada para hamba Nya yang sabar dan tekun dalam mentaati titah perintah Nya. Hal ini diakui oleh Allah SWT melalui hadtih qudsi riwayat Bukhari, firman Allah dalam hadith yang bermaksud :

"Aku telah sediakan buat hamba-hamba-Ku yang soleh syurga yang tidak ada mata pernah melihatnya, tidak ada telinga yang pernah mendengarnya dan tidak terlintas dalam jantung hati manusia".

Begitulah sifat Allah SWT yang maha kasih akan hamba-hamba Nya dengan menjanjikan sebuah balasan yang tidak akan terfikir dek akal logik. Kerana itulah juga, setiap kali kita mahu membicarakan tentang syurga, maka mestilah merujuk kepada sumber autentik, al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana syurga adalah perkara ghaib yang terbatas oleh akal kita untuk memikirkan kecuali dengan keimanan kukuh kita kepada Allah. Dalam al-Quran, perkataan syurga selain al-Jannah, disebutkan juga dengan pelbagai perkataan lain yang membawa maksud sama. Antara lain ialah perkataan Darul al-Salam, Darul Maqam, Jannatul Adnin, Jannatul Makwa, al-Firdaus dan lain-lain.

Seperti ungkapan Darul al-Salam, firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 25 yang bermaksud :

"Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa (Darussalam), dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu".




Begitu juga ungkapan Darul Maqam dalam surah Fatir ayat 35 yang bermaksud :

"Tuhan yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal (Darul Maqam), dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan Kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu".

Pada syurga itu terdapat pelbagai nikmat kebahagiaan yang tidak terhitung oleh kita semua. Meski kita ketika di dunia, telah banyak melihat dan menyaksikan pelbagai keindahan lakaran alam ciptaan Allah, gunung-ganang yang tinggi, bukit-bukau yang tersergam, air terjun yang menghairahkan, namun semua itu tidak terbanding dengan nikmat yang lebih dahsyat di syurga kelak. Syurga sebagai tempat sebaik-baik kembali, padanya terdapat sungai-sungai yang mengalir indah airnya, bukit-bukau yang sangat memukau dan pelbagai lagi nikmat yang tidak terungkap ini. Firman Allah SWT dalam surah Muhammad ayat 15 yang bermaksud :

"Perumpamaan taman surga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa; di sana ada sungai-sungai yang airnya tidak payau, dan sungai-sungai air susu yang tidak berubah rasanya, dan sungai-sungai khamar (anggur yang tidak memabukkan) yang lezat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai madu yang murni. Di dalamnya mereka memperoleh segala macam buah-buahan dan ampunan dari Tuhan mereka. Samakah mereka dengan orang yang kekal dalam neraka, dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga ususnya terpotong-potong?"

Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Di dalam syurga ada lautan air, lautan madu, lautan susu dan lautan arak. Kemudian, dari lautan-lautan itu, sungai-sungai terpancar mengiringinya".

Begitu juga sekiranya ketika di dunia, pelbagai hidangan yang menyiurkan kita, di syurga jauh lebih banyak hidangan istimewa dan lebih lazat berbanding apa yang pernah kita rasai di dunia. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 25 yang bermaksud :

"Dan sampaikan berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa bagi mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam syurga-syurga itu, mereka mengatakan, 'Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu'. Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan mereka ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya".




Selain itu, pada syurga juga terdapat para bidadari yang cantik, penuh kesopanan dan kelembutan. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah ar-Rahman ayat 56 yang bermaksud :

"Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan, yang tidak pernah disentuh oleh manusia maupun jin sebelumnya".

Inilah sebahagian nikmat yang dijanjikan oleh Allah SWT di tempat yang sebaik-baik kembalinya manusia. Namun begitu, nikmat bagi ahli syurga yang paling tinggi adalah apabila dapat melihat wajah Allah SWT. Inilah setinggi-tinggi nikmat yang terindah untuk hamba Nya yang bertaqwa. Ini sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Suhaib RA, bahawa Rasulullah membaca ayat surah Yunus ayat 26 lalu bersabda yang bermaksud :

"Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla".

Sepertimana hebatnya syurga itu, maka hebat dan mulia lah juga para penghuninya. Mereka yang menghuni syurga, diberikan kemuliaan pada mereka setimpal dengan apa yang telah mereka kerjakan ketika di dunia. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa :

“Kumpulan pertama yang memasuki syurga adalah bak bulan pada malam bulan purnama manakala kumpulan yang menelusuri mereka adalah seperti bintang yang paling bersinar cahayanya. Mereka bersatu hati. Tidak ada perselisihan atau kebencian antara mereka. Setiap mereka memiliki dua orang isteri yang sumsum tulangnya kelihatan daripada betis-betis mereka dari balik daging kerana teramat cantiknya. Mereka senantiasa bertasbih pada waktu pagi dan petang. Mereka tidak meludah, mengeluarkan kahak ataupun membuang air. Pinggan mangkuk dan sikat mereka diperbuat daripada emas dan perak.”

Demikianlah sedikit sebanyak gambaran syurga yang menjadi tempat kembali yang baik bagi hamba Nya yang baik-baik. Oleh itu, untuk memiliki syurga, ianya menuntut kita kepada sebuah perjalanan perjuangan dengan mentaati segala titah perintah Nya dan dalam masa sama menjauhi segala tegahan dan larangan Nya. Sesungguhnya syurga itu adalah sebaik-baik tempat yang disajikan dengan pelbagai keistimewaan yang tiada tolak bandingnya. Apa yang kita anggap indah, lawa, cantik dan terpesona di dunia ini adalah amat kecil nilainya berbanding syurga yang dijanjikan oleh Allah. Untuk itu, teruskan mengejar syurga dengan tanpa jemu berbuat baik dan mencari redha Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.