Sabtu, 10 Februari 2024

IBADAH WAKAF SYARIAT SEDEKAH TERTINGGI

 

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini telah banyak mengajar kita tentang persoalan "memberi dan menerima". Sebahagian manusia seringkali merasa kecewa sekiranya tidak menerima atau mendapat sesuatu yang diingininya tetapi pada masa sama, jarang sekali kita mendengar sebahagian manusia merasa kecewa kerana tidak dapat memberi. Hal ini barangkali disebabkan kerana mungkin kita terlalu memfokuskan soal apa yang boleh diterima sehingga lupa pula tentang apa yang harus diberi. Sedangkan hakikat kehidupan ini sangat terkait tentang soal memberi dan menerima.

Dalam agama Islam, terdapat satu pensyariatan oleh Allah SWT yang mendidik para hamba Nya untuk bersedekah. Syariat tersebut ialah ibadah wakaf. Perkataan wakaf berasal dari bahasa arab. Dari sudut bahasa, seperti yang terdapat dalam kitab Lisan al-Arab, perkataan wakaf membawa maksud berdiri atau berhenti. Selain itu, perkataan wakaf juga boleh disama ertikan dengan ungkapan al-Habs yang bermaksud berhenti atau menahan. Kebanyakkan para sarjana fiqh Islam memberikan takrifan wakaf dari segi bahasanya adalah bermaksud al-Habs (menahan) kerana perkataan tersebut lebih dekat kepada pengertian syarak.




Pada sudut istilah pula, terdapat beberapa pentakrifan wakaf yang telah dikemukakan oleh para sarjana Islam merangkumi beberapa makna. Antaranya seperti yang dijelaskan oleh Ibnu Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni, wakaf bermaksud sebagai menahan pokok (zat harta) dan menyedekahkan buah (hasil). Dr. Wahbah al-Zuhaili pula dalam kitab al-Fiqh Islami wa Adillatuh, beliau menyatakan bahawa wakaf ialah menahan harta benda daripada pemilikan untuk individu tertentu dan diuruskan manfaat (harta itu) untuk pihak yang telah diwakafkan keatasnya. Selain itu, Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, beliau menyebut wakaf bermaksud menahan harta yang boleh dimanfaatkan selama bendanya masih baik dengan cara memutuskan hak pemilikan atas harta tersebut.

Berdasarkan pelbagai pentakrifan tersebut, dapat kita fahami bahawa ibadah wakaf pada sudut istilahnya membawa maksud suatu amalan sedekah yang menyerahkan harta yang dimiliki bagi tujuan dimanfaatkan kepada masyarakat dan sedekah tersebut juga bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana ibadah wakaf adalah amalan sedekah yang paling tinggi darjatnya kerana dirinya sendiri telah memutuskan hak pemilikian hartanya untuk digunakan manfaatnya kepada orang lain. Inilah juga sebahagian kesempurnaan kebaikan di dunia dan akhirat. Dalam al-Quran, surah Ali-Imran ayat 92, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya."

Berdasarkan ayat ini, Imam al-Khatib al-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Maani Alfaz al-Minhaj, beliau menyatakan bahawa sesungguhnya Abu Talhah disaat mendengar ayat ini, Abu Talhah suka (ingin) mewakafkan kebun Bairuha' yang merupakan harta yang paling disayanginya. Selain itu, Imam al-Baidawi dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Baidawi, beliau menjelaskan bahawa seseorang itu tidak akan dapat mencapai hakikat sesebuah kebaikan iaitu kesempurnaan bagi kebaikan atau tidak akan mencapai kebaikan Allah SWT iaitu Rahmat-Nya, keredaan-Nya dan syurga sehinggalah seseorang itu menginfakkan sesuatu yang disayanginya daripada harta-hartanya.




Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Nabi SAW menceritakan tentang wakaf yang telah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab. Hadith tersebut diriwayatkan oleh anaknya Abdullah bin Umar yang bermaksud :

"Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah dari hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya."

Dalam catatan sejarah Islam, amalan wakaf telah bermula sejak awal tahun Hijrah dengan pembinaan Masjid Quba' dan Masjid Nabawi. Kedua-dua pembinaan ini merupakan amalan wakaf yang diperkenalkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dan kemudiannya diteruskan usaha wakaf ini oleh para sahabat baginda. Catatan sirah baginda Nabi SAW turut mencatatkan amalan wakaf yang diusahakan oleh Saidina Uthman bin Affan. Pada waktu itu, umat Islam sangat sukar untuk mendapatkan bekalan air kerana terdapat sebuah telaga yang dimiliki oleh seorang Yahudi, beliau telah menghalang umat Islam daripada mendapatkan bekalan air tersebut. Malah, sekiranya mahu dapatkan air, beliau yang juga pemilik kepada telaga tersebut mengenakan caj bayaran yang mahal kepada umat Islam. Melihat akan keadaan tersebut, Saidina Uthman telah membeli telaga itu dan mewakafkannya untuk kegunaan awam.

Melalui pensyariatan ibadah wakaf ini, secara tidak langsung ianya telah banyak membantu membangun ekonomi dan sosial masyarakat. Terdapat banyak keistimewaan dan faedah melalui ibadah wakaf ini. Lembaran sejarah terus mencatatkan kegemilangan dunia dengan amalan berwakaf. Antaranya, Terusan Wakaf 'Ayn Zubaydah yang bermula dari Baghdad ke Makkah telah dibina pada zaman Khalifah Harun al-Rashid, Wakaf Rumah Sakit Istana al-Fatimiy pada zaman pemerintahan al-Ayubiyin di Mesir, Hospital Wakaf Ibnu Tulun di Kaherah, Hospital Wakaf Marakish di Afrika Utara, pembinaan institusi wakaf seperti Universiti al-Nizamiyyah di Baghdad dan Universiti Al-Azhar di Mesir. Inilah sebahagian kejayaan membangunkan umat melalui amalan berwakaf.




Sistem wakaf yang disyariatkan oleh Allah SWT ini telah banyak menyumbang kepada kesejahteraan hidup. Malah, sebahagian tokoh sarjana Barat turut mengakui kekaguman mereka terhadap amalan wakaf yang begitu indah ini. Sarjana Barat seperti Baskan dan Yediyildiz, mereka menyifatkan pada zaman kegemilangan wakaf, kehidupan seseorang manusia seolah-olah dibiayai institusi wakaf sejak hari kelahiran hingga kematiannya. Bagi mereka juga, wakaf dilihat sebagai suatu instrumen terpenting dalam msnyumbang kepada pembiayaan pembangunan masyarakat Islam. Selain itu, Gaudiosi, seorang sarjana Barat melalui sebuah artikelnya yang bertajuk “The Influance of the Islamic Law of Waqf on the development of the Trust in England : The Case of Merton College", beliau menyatakan penelitiannya terhadap sistem wakaf ini telah memainkan peranan besar dalam kewujudan sistem perundangan Trust di Barat. Ini bermakna dunia Barat telah dipengaruhi oleh sistem wakaf sehingga mendorong dunia Barat kepada idea mewujudkan sistem Trust.

Demikianlah pensyariatan ibadah wakaf bersesuaian dengan fitrah kemanusiaan. Dalam konteks Malaysia, amalan wakaf telah dipertanggungjawabkan oleh badan-badan kerajaan seperti Yayasan Wakaf, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), dan pelbagai lagi kewujudan institusi wakaf yang lain. Jika dahulu amalan wakaf ini dilihat hanya mampu dilakukan oleh mereka yang kaya-raya. Namun begitu, dengan kecanggihan teknologi sesuai dengan peredaran zaman, ibadah wakaf telah berkembang meluas memberikan ruang juga peluang kepada semua umat Islam melakukannya dengan menyumbang wang ringgit. Bagi yang tidak memiliki harta berupa fizikal seperti rumah atau tanah, wang ringgit juga boleh disumbangkan melalui atas nama wakaf. Dimana sahaja, pada bila-bila masa sahaja, kita boleh berwakaf. Begitulah mudahnya untuk beramal dengan ibadah sedekah yang tertinggi ini. Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan