Sesungguhnya sesuatu kepercayaan itu terbina diatas alasan hujah
dan fakta yang meyakinkan akal. Apa sahaja maklumat dan info yang hendak
disalurkan, tentunya manusia yang waras berkehendakkan kepada alasan dan hujah
yang kuat dengan hidangan fakta-fakta yang benar. Hal ini tentunya memerlukan
kepada keringat akal yang waras untuk memainkan peranannya untuk menimbang tara
antara yang benar dan yang batil. Pun begitu, meskipun anugerah akal yang
diberikan oleh Tuhan kepada hamba Nya bagi tujuan untuk berfikir, ianya adalah
terbatas dan mempunyai limitasi yang harus dipatuhi. Jika garisan limitasi akal
ini dilanggar, nescaya kita akan buntu dan hilang kepercayaan akan kewujudan
sesuatu perkara.
Kemunculan fahaman ateisme iaitu sebuah gerakan yang menolak akan
kewujudan Tuhan, merupakan suatu tamparan hebat bagi kelompok yang beragama dan
yang mempercayai akan kewujudan Tuhan. Sejarah melakarkan bibit-bibit
kemunculan pemikiran songsang ateisme ini adalah berpunca daripada kegagalan
manusia untuk menterjemahkan ajaran agama dengan intipati yang sebenar.
Natijahnya, manusia akan mudah kecewa dengan sikap pelampau beragama sehingga
lahirlah fahaman tentang agama itu tidak wujud dan sia-sia. Dakwaan batil ini
sekaligus mengheret polimik tentang hakikat kewujudan Tuhan. Jika dilihat dalam
sejarah tradisi ilmu, sebahagian ahli falsafah yang berpegang kepada
kepercayaan akan kewujudan Tuhan telah berjuang mengetengahkan pelbagai idea
dan teori bagi mengukuhkan lagi dakwaan sebenar bahawa Tuhan itu wujud.
Sebahagian besar sarjana zaman moden Barat telah mengakui kewujudan
Tuhan. Hal ini seperti yang telah diusahakan oleh John Clover Monsma, yang
telah menyunting lebih 30 artikel daripada ilmuan atau sarjana Barat, dan
dibukukannya yang berjudul The Evidence of God in an Expanding Universe.
Setiap mereka yang disunting aritkelnya telah mengemukakan hujah dan bukti
berdasarkan kepakaran bidang masing-masing. Sebagai contoh, dalam artikel
pertama yang disuntingnya yang bertajuk The Origin of The World : By Chance
or Design tulisan Frank Allen, beliau menyimpulkan dengan beranggapan
bahawa menganggap alam ini memiliki pencipta iatu Tuhan, yang membuat dan
mengatur dengan sangat rapi, kemungkinan ini sahaja yang rasional dapat
diterima akal. Selain daripada itu, akal tidak boleh menerimanya.
Dalam penulisan lain, Robert Morris Page telah menulis satu artikel
yang bertajuk A Conclusive Test. Artikel tersebut dinyatakan bahawa para
Rasul mendakwa mereka diutuskan oleh Tuhan telah menyampaikan dua perkara
penting iaitu pertama, tentang alam ini adanya pencipta yang whjib diyakini dan
kedua, tentang perkara-perkara ghaib yang akan berlaku kelak. Kedua-dua perkara
ini benar-benar berlaku dan sebahagiannya boleh dilihat sehingga kini. Hal ini
membuktikan kebenaran risalah yang dibawa oleh mereka sehingga mewajibkan
manusia percaya kepada para rasul termasuklah berita mengenai Tuhan. Akal
manusia tidak dapat menolak atau membantah kebenaran yang dibawa oleh para
Rasul. Malah keimanan akan kewujudan Tuhan merupakan perkara terpenting yang
tumbuh dalam perasaan fitrah manusia.
Selain itu, Paul Clarence Acbersold, seorang tokoh pemikir Barat,
jjuga telah menulis tentang soal kewujudan Tuhan dibawah artikelnya yang
bertajuk Pyhysical Evidences of God. Dalam artikel tersebut, beliau
menegaskan bahawa seluruh manusia bersepakat tentang wujudnya Tuhan. Manusia
merasakan sama ada melalui logik mahupun rohani, terdapat suatu kekuatan yang
sangat dahsyat yang mengatur alam semesta ini dengan sangat rapi. Kekuatan ini
adalah Tuhan yang Maha Agung dan Maha Besar. Beliau turut menyatakan bahawa
walaupun manusia tidak mampu mengenal hakikat Tuhan, namun banyak bukti dan
tanda pada alam ini yang menunjukkan bahawa Tuhan itu wujud.
Dalam Islam, terdapat banyak hujah dan dalil pembuktian akan
kewujudan Tuhan. Antaranya yang boleh kita lihat dialog seorang anak dan
bapanya, iaitu Nabi Ibrahim AS berdialog dengan bapanya yang bernama Azar.
Allah Azza Wa Jalla telah merakamkan dialog tersebut di dalam al-Quran, dalam
surah al-An'am ayat 74-78 yang bermaksud :
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar:
"Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?
Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata"(74). Dan
demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami)
di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya
dengan sepenuh-penuh yakin. (75) Maka ketika ia berada pada waktu malam yang
gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata:
"Inikah Tuhanku?" Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata
pula: "Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang".(76) Kemudian
apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata:
"Inikah Tuhanku?" Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia:
"Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya
menjadilah aku dari kaum yang sesat". (77) Kemudian apabila dia melihat
matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: "Inikah
Tuhanku? Ini lebih besar". Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `
Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu
sekutukan (Allah dengannya).”(78)
Dialog perdebatan antara Nabi Ibrahim AS dengan bapanya, Azar,
dalam usaha mencari hakikat Tuhan yang sebenar, telah memberikan kita suatu
daya fikir akan kewujudan Tuhan yang Maha Esa. Bagaimana alam ini terbentuknya
cuaca yang pelbagai, berubah waktu antara siang dan malam, tanpa ada sesuatu
kekuasaan yang mengawalnya. Selain itu, Allah SWT telah menimbulkan persoalan
tentang penciptaan diri manusia yang dicipta tanpa ada yang mencipta. Dalam
surah al-Tur ayat 35-36, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"(Mengapa mereka tidak beriman?) (i) Adakah mereka telah
tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau (ii) adakah mereka yang mencipta
diri mereka sendiri? (iii) Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu?
(Sudah tentu tidak!) (iv) Bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini
(kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya).”
Persoalan ini tentunya bukan kerana Allah SWT tidak tahu akan
hakikatnya. Namun begitu, persoalan ini bertujuan merangsang akal manusia yang
waras, berfikir akan hakikat itu dengan cara fikir yang betul. Bukan sekadar
berteori tanpa berpijak pada realiti yang nyata. Selain hujah berpandukan kitab
suci al-Quran, para sarjana Islam juga telah banyak usaha membentangkan hujah
logikal bagi mengukuhkan lagi dakwaan akan kewujudan Tuhan. Ini sepertimana
yang dinukilkan oleh Imam ar-Razi dalam kitab Mafatih al-Ghayb - al-Tafsir
al-Kabir, beliau membawa cerita tentang sekumpulan ateis yang berdebat
dengan Imam Abu Hanifah bagi menidakkan kewujudan Tuhan. Setelah Imam Abu
Hanifah mendengar hujah mereka, lalu Imam Abu Hanifah telah berkata :
“Sebenarnya aku sekarang sedang befikir tentang satu berita yang
disampaikan kepadaku, iaitu tentang sebuah kapal yang sarat dengan muatan
sedang belayar dilautan. Kapal itu berlayar sendiri tanpa nakhoda, pemilik, dan
pengawal yang menjaga dan mengemudinya. Lebih hebat lagi kapal tersebut mampu
belayar dengan baik dan lancar dalam lautan yang bergelora menuju ke
destinasinya"
Ketika Imam Abu Hanifah selesai bercerita, seorang daripada mereka
telah menyanggah Imam Abu Hanifah dengan mendakwa cerita tersebut tidak boleh
diterima akal sama sekali. Malah, mereka menyatakan sekalipun ada yang
menyampaikn cerita tersebut pastinya tidak berakal. Maka, Imam Abu Hanifah pun
menjawab dengan menyatakan bahawa jika begitu cerita tersebut tidak boleh
diterima, bagaimana mungkin alam yang begitu indah, tersusun rapi sama ada di
langit atau dibumi dan pelbagai lagi kejadian alam yang lain berlaku tanpa ada
penciptanya. Demikian bagaimana hujah logik Imam Abu Hanifah ketika berdepan
dengan golongan ateis.
Selain itu, Imam ar-Razi juga turut merakamkan jawapan oleh Imam
al-Syafie ketika beliau ditanya tentang bukti kewujudan Tuhan. Imam al-Syafie
menjawab dengan menyatakan :
“Lihat kepada daun mulberry ini. Daun ini mempunyai satu rasa. Jika
dimakan oleh ulat boleh menghasilkan sutera. Jika dimakan oleh oleh lebah boleh
mengeluarkan madu. Jika dimakan oleh kambing atau lembu akan mengeluarkan
kotoran. Jika dimakan oleh rusa akan mengeluarkan kasturi. Tidakkah semua ini
menggambarkan bukti bahawa Allah SWT wujud yang mencipta semua ini.”
Demikianlah bagaimana sebahagian jawapan yang menjadi hujah dan
sandaran bagi agama Islam membuktikan akan kewujudan Tuhan. Hakikatnya, para
sarjana Barat juga sebahagiannya turut berjuang mempersembahkan hujah dan bukti
dari sudut pandang mereka berkenaan kewujudan Tuhan. Berdasarkan apa yang telah
dibentangkan ini, tidak terlalu melampau untuk kita katakan bahawa adalah
sangat tidak waras bagi mereka yang masih berhalusinasi dengan berpegang pada
pendirian bahwa Tuhan itu tidak wujud. Pelbagai bukti melalui berbagai macam
keadaan disekeliling kita yang boleh dijadikan bukti asas tentang kewujudan
Tuhan. Semoga kita semua benar-benar waras dengan memperakui akan kewujudan
Tuhan dan sesungguhnya tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Semoga
Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan