Hidup ini tidak dapat lari dari memaknai maksud kecintaan kepada
sesuatu. Baik hal yang dicintai itu berupa cinta sesama manusia, atau cinta
kepada kebendaan seperti kereta, rumah dan sebagainya, mahupun cinta kepada apa
sahaja yang disukai dan dikasihinya. Salah satu manifestasi kecintaan itu dapat
diterjemahkan melalui ingatan memori yang sentiasa merinduinya hingga kadang
terbawa-bawa ke dalam mimpi. Oleh itu, kita juga seringkali mendengar
kisah-kisah menarik orang-orang soleh berjumpa dengan baginda Nabi SAW melalui
mimpi. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Malah, dek kerana kerinduan yang
sangat begitu kuat kepada baginda Nabi, Bilal bin Rabah RA, muazzin rasmi
baginda Nabi, pernah bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad SAW.
Dalam soal kita berbicara tentang bertemu Nabi dalam mimpi, sesuatu
yang mustahak yang mesti diperjelaskan kepada masyarakat adalah berkaitan
dengan Yaqazah. Perkataan "Yaqazah" menurut Kamus Idris
al-Marbawi, ianya merujuk kepada maksud jaga, sedar (bukan dalam keadaan
mimpi). Secara umum, Yaqazah adalah bermaksud perbuatan seseorang yang mendakwa
bahawa dirinya telah secara sedar dan jaga, bukan melalui mimpi, bertemu dengan
baginda Nabi SAW. Perbuatan Yaqazah ini telah menjadi polimik dikalangan umat
Islam. Ini kerana, sebahagian para ulama menyatakan hukumnya adalah harus
manakala sebahagian lain telah menolak perbuatan tersebut boleh berlaku.
Dakwaan boleh bertemu Nabi SAW secara sedar dan jaga ini
bertitiktolakkan dari sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi SAW
bersabda yang bermaksud :
"Sesiapa yang melihatku di dalam tidur maka ia akan melihatku
di dalam jaga atau ia seolah-olah telah melihatku di dalam jaga. Bahawa syaitan
tidak boleh menyerupai diriku"
Mengenai hadith ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaaj
Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa terdapat tiga pandangan para
ulama berkenaan perbuatan yaqazah ini. Pandangan pertama, maksud boleh melihat
Nabi SAW secara jaga itu ialah mereka yang hidup semasa hayat baginda Nabi. Ini
bermaksud, sesiapa yang melihat di dalam mimpi tetapi tidak sempat berhijrah
bersama Nabi ke Madinah, maka Allah SWT memberi taufiq Nya untuk berhijrah sama
kemudiannya dan pada masa itu dia akan dapat menemui Nabi secara jaga. Pada
pandangan kedua pula, maksud melihat Nabi SAW secara jaga ialah orang yang
bermimpi itu boleh melihat benar-benar apa yang dimimpikan secara jaga semasa
di akhirat nanti. Ini kerana di akhirat nanti semua umat akan dapat melihat
baginda Nabi SAW sama ada yang pernah melihatnya di dunia atau yang belum
pernah melihatnya.
Manakala pandangan ketiga, ada yang berpandangan orang yang
bermimpi Nabi SAW itu dapat melihatnya di akhirat dengan cara melihat yang
khusus kerana hampirnya ia dengan Nabi SAW di samping memperolehi syafaatnya
dan lain-lain. Selain itu, Imam Ibn Hajar al-'Asqalani dalam kitabnya, Fathul
Bari, telah menukilkan sebanyak 6 pandangan dalam isu Yaqazah. Antara lain,
pandangan yang datang daripada Ibn Abi Jamrah, beliau meriwayatkan bahawa Ibnu
Abbas dan selainnya pernah bermimpi melihat Nabi SAW dalam tidurnya. Setelah
Ibnu Abbas bangun daripada tidur, terfikir di benaknya tentang hadith berkaitan
Yaqazah. Lalu Ibnu Abbas telah menemui ibu saudaranya, Maimumah. Lantas
Maimumah memberikannya cermin yang selalu digunakan oleh Nabi SAW. Ibnu Abbas
telah melihat cermin tersebut dan mendapati apa yang dilihat di dalam cermin
itu adalah gambar Nabi SAW dan bukan gambar dirinya.
Dalam hal ini, Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani telah menyatakan
bantahan tentang perbuatan Yaqazah, iaitu boleh melihat Nabi secara jaga dengan
beliau menyatakan bahawa :
“Ini suatu yang amat mustahil, kerana seandainya ada orang yang melihat
Nabi SAW di waktu terjaga, tentu dia termasuk sahabat Nabi SAW. Bererti peluang
untuk menjadi sahabat tetap berlangsung sehinga hari kiamat. Tentunya hal ini
(yaqazah) sangat keliru. Wujudnya ramai yang (mendakwa) mimpi bertemu Nabi SAW,
tetapi tidak seorang pun mengaku berjumpa dalam keadaan sedar (bangun).”
Turut menyatakan bantahan terhadap perbuatan Yaqazah ini ialah Imam
al-Qurtubi. Dalam kitab Fathul Bari, dinukilkan ungkapan beliau yang
bermaksud :
“Dalam makna hadis ini terdapat perbezaan; Sebahagian berpendapat
sebagaimana zahirnya, iaitu barangsiapa yang melihat dalam mimpi, maka ia telah
melihat secara hakiki sama seperti orang melihatnya di waktu terjaga, pendapat
ini dapat diketahui kekeliruannya dengan dalil akal, kerana :
1) Tidak seorang pun yang melihatnya melainkan dalam bentuk saat
beliau meninggal. Tidak mungkin ada dua orang yang bermimpi melihatnya secara
jaga dalam waktu yang sama dalam dua tempat.
2) Bahawa ia hidup keluar dari kuburnya dan berjalan di pasar serta
berbicara dengan manusia. Bahawa kuburnya kosong dari jasadnya, sehingga tidak
tertinggal sesuatu di dalamnya, maka yang diziarahi hanya kubur semata (tanpa
jasad) dan memberi salam kepada sesuatu tidak ada. Kerana ia mampu dilihat di
sepanjang waktu; pagi dan petang secara hakiki di luar kuburnya.
Pendapat yaqazah secara hakiki adalah kebodohan, tidak akan
berpegang dengannya siapa saja yang memiliki sedikit akal yang sihat.”
Selain itu, Syaikhul Islam Ibn al-Taimiyyah dalam kitabnya, al-Jawab
al-Sahih, juga menegaskan tidak boleh terjadinya bertemu Nabi secara jaga
atau sedar. Beliau dengan tegas menyatakan bahawa :
“Melihat para Nabi di dalam mimpi adalah haq (benar). Adapun
melihat orang yang sudah mati dalam keadaan terjaga, maka ini adalah jin yang
menjelma dalam bentuknya. Kemudian, mimpi itu kadangkala benar datang dari
Allah, sehingga ia merupakan mimpi yang benar. Namun kadangkala datang dari
syaitan. Sebagaimana pembahagian dua ini telah disebutkan di dalam hadis-hadis
yang sahih. Dan syaitan kadangkala menjelma dalam mimpi dalam bentuk seseorang.
Bahkan, kadangkala menjelma dalam keadaan terjaga dengan bentuk seseorang yang
dapat dilihat orang ramai. Dengan itu dia akan menyesatkan orang yang tidak
mempunyai ilmu dan iman. Seperti terjadi di kalangan kaum musyrik India dan
lainnya. Apabila ada seseorang meninggal dunia, maka setelah itu mereka
melihatnya datang membayar hutang, mengembalikan barang titipan dan
menceritakan tentang orang-orang mati di antara mereka. Sesungguhnya itu adalah
syaitan yang menjelma dalam bentuknya. Kadangkala syaitan datang dalam bentuk
orang soleh yang mereka agungkan. Dan dia berkata: “Saya adalah si Fulan”,
padahal sebenarnya dia adalah syaitan. Melihat Nabi Muhammad dalam mimpi adalah
benar, tetapi melihatnya dalam keadaan terjaga, maka beliau tidak mungkin
dilihat dengan mata, demikian juga orang-orang lain yang telah mati. Walapun
banyak orang kadangkala melihat seseorang yang menurut prasangkanya adalah Nabi
di antara para nabi. Kadangkala di dekat kuburannya atau dijauh dari kuburannya.”
Demikianlah sebahagian nama-nama besar para sarjana Islam seperti
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani, Imam al-Qurtubi, Ibnu Taimiyyah, juga Imam
al-Nawawi, Ibn Kathir dan begitu juga al-Sakhawi meragui dan menolak perbuatan
bertemu Nabi SAW secara jaga. Selain itu, perbuatan Yaqazah juga boleh terdedah
kepada tipu daya syaitan dengan membuka pintu kerosakan yang berbagai seperti
timbul penyakit ujub dan sum'ah. Perbuatan Yaqazah ini juga akan mengheret dan
membuka ruang fitnah yang luas terhadap ajaran Islam dengan dakwaan semborono
boleh bertemu Nabi SAW. Berhati-hatilah dengan perbuatan yang sedemikian kerana
kelak banyak mengundang mudarat berbanding faedahnya. Semoga Allah merahmati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan