Kenangan manis dan pahit dalam riwayat kehidupan ini antara episod
memori yang sangat dihargai dan diingati oleh para manusia. Peristiwa yang
mencatatkan perasaan suka dan bahagia serta perasaan sedih dan derita tentunya
akan tersemat pada catitan memori peribadi. Oleh kerana itu, tiap-tiap bilah
episod kehidupan ini akan sentiasa terakam baik dalam memori akal ataupun pada
catitan diari, atau lebih moden kini manusia merakamkannya melalui foto dan
video. Zaman yang berubah telah memperlihatkan ragam manusia yang pelbagai
dalam usaha menghargai momen-momen sejarah kehidupan. Antaranya, mengambil foto
atau gambar, kemudian diletakkan di dalam bingkai gambar dan digantung di
dinding rumah.
Perbuatan menggantung gambar di dinding rumah antara perkara yang
boleh menimbulkan persoalan hukum sama ada boleh ataupun tidak. Ini adalah
kerana terdapat sebuah hadith riwayat Bukhari, bahawasanya Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada
anjing atau gambar".
Berdasarkan hadith ini, malaikat yang dimaksudkan itu adalah
malaikat yang membawa rahmat Allah. Ini bermaksud, para malaikat yang sentiasa
taat dan menjunjung perintah Allah akan memasuki rumah-rumah dengan membawa
rahmat. Selain itu, maksud perkataan gambar pada hadith ini pula adalah merujuk
kepada gambar makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan. Adapun gambar
makhluk yang tidak bernyawa seperti tumbuhan, alam semesta dan sebagainya,
tidak termasuk dalam larangan tersebut. Hadith ini juga adalah terkait rapat
dengan hadith ancaman oleh Nabi SAW kepada mereka yang melakar atau melukis
gambar makhluk hidup. Hadith tersebut adalah riwayat Bukhari dan Muslim. Sabda
Nabi SAW yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang yang paling berat seksaannya pada hari
Kiamat ialah orang yang membuat ukiran atau memahat patung".
Berdasarkan hadith-hadith tersebut, para sarjana Islam berbeza
pandangan berkenaan hukum menggantung gambar di dinding rumah. Ini kerana
diatas beberapa sebab. Antaranya ialah tentang definisi gambar atau dalam
bahasa Arab disebut sebagai "Taswir". Ungkapan Taswir berasal
dari kata terbitan al-surah. Dari sudut bahasa, taswir bermaksud gambar atau
rupa. Ini juga berdasarkan firman Allah dalam surah al-Hasyr ayat 24 yang
bermaksud :
"Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang
Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhluk-Nya
menurut yang dikehendaki-Nya); bagi-Nyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan
semulia-mulianya; bertasbih kepada-Nya segala yang ada di langit dan di bumi;
dan Dia lah Yang tiada banding-Nya, lagi Maha Bijaksana."
Pada sudut istilah pula, merujuk kepada kitab Mu'jam Lughah
al-Fuqaha', taswir membawa maksud perbuatan melukis bentuk, membuat ukiran
sama ada objek yang mempunyai bayang-bayang (apabila terkena cahaya seperti
patung-patung) atau tidak mempunyai bayang-bayang. Berdasarkan definisi
tersebut, para fuqaha' mengambil makna umum taswir untuk semua jenis dan bentuk
imej yang dihasilkan sama ada imej yang tetap, sementara, berdimensi, rata,
bernyawa mahupun yang tidak bernyawa. Dalam konteks ini, para ulama
kontemporari telah berbeza pandangan dalam usaha menilai adakah hukum gambar
sama seperti hukum melukis atau mengukir yang jelas padanya dilarang oleh Nabi
SAW.
Pandangan pertama, sebahagian para ulama cenderung untuk menyatakan
hukumnya adalah haram sama ada gambar tersebut diambil melalui kamera, atau
diukirnya ataupun dilukisnya. Hukumnya adalah haram tanpa mengira apa jua
kaedah atau cara yang digunakan. Ini kerana berdasarkan makna umum pada hadith
Nabi SAW. Antaranya hadith tersebut yang diriwayatkan oleh Muslim, daripada
A'ishah RAnha yang bermaksud :
"Sesungguhnya seberat-berat azab siksaan pada manusia di hari
kiamat adalah mereka yang melukis gambar."
Begitu juga dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, daripada
‘Abdullah bin ‘Umar RA, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
:
"Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar akan disiksa
pada hari kiamat. Akan dikatakan kepada mereka: Hidupkanlah apa yang kalian
ciptakan."
Berdasarkan kepada hadith-hadith tersebut, mereka yang menyatakan
hukum haram berpandangan kerana hadith-hadith yang menjelaskan hukum melukis
dan mengukir gambar adalah bersifat makna yang umum. Ini bermaksud, pengharaman
tersebut tidak dilihat kepada cara atau kaedah mendapatkannya tetapi dilihat
kepada hasil gambar yang diperolehi. Maka bagi mereka, berasaskan kepada
keumuman makna hadith tersebut, hukumnya adalah haram menggantung gambar berupa
makhluk yang bernyawa seperti manusia dan haiwan. Pun begitu, tidaklah haram
sekiranya digantung gambar yang tidak sempurna sifatnya, seperti gambar manusia
yang menampakkan separuh sahaja, menampilkan sebahagian anggota sahaja dan
sebahagian anggota lain seperti kepala tidak ada, dan hal itu dikira sebagai
makhluk tidak bernyawa kerana tidak sempurna kejadiannya.
Pandangan kedua, sebahagian para ulama lain berpandangan harus
menggantung gambar atau mengambil gambar dengan kamera. Ini kerana mereka
berpandangan sebab (illah) pengharaman gambar yang terdapat pada zaman
Rasulullah SAW adalah kerana menyaingi ciptaan Allah SWT. Bahkan sebahagiannya
pada zaman tersebut menyembah pula gambar tersebut . Selain itu, mereka juga
menyatakan bahawa tujuan gambar atau imej yang dihasilkan bukan bertujuan untuk
menyaingi ciptaan Allah. Apatah lagi untuk disembah, dijadikan bahan sembahan
berhala dan seumpamanya. Menurut Syeikh Ali al-Sayis dalam kitabnya, Tafsir
Ayat Ahkam, beliau menyatakan bahawa penggambaran fotografi tidak sama
seperti lukisan gambar, tetapi ia bagaikan penangkapan bayang yang mana ia
seperti hasil objek yang terpapar melalui cermin.
Malah menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya, al-Fiqh
al-Islami wa Adillatuhu, beliau menyatakan bahawa gambar fotografi terhasil
daripada proses tangkap bayang dengan cara yang tertentu dengan menggunakan
alat iaitu kamera. Oleh disebabkan itu, terdapat sebahagian ulama yang
mengharuskan perbuatan bergambar fotografi dan tiada larangan daripada
menggantungkan gambar tersebut di rumah dan selain daripadanya. Perbuatan ini
dibenarkan sekiranya gambar tersebut tidak menyebabkan berlaku fitnah seperti
gambar perempuan yang memperlihatkan bahagian anggota badan selain daripada
muka dan kedua-dua pergelangan tangannya.
Jelas bahawa pengharaman menggantung gambar adalah berasaskan
kepada perbuatan zaman dahulu yang melakukan perbuatan syirik dengan
menggantung gambar dan memuliakannya dengan cara memuja, membesarkan dan
mengagungkan gambar tersebut. Ini juga sepertimana yang telah dinyatakan oleh
Imam as-Shan'ani dalam kitabnya, Subul al-Salam, beliau menyatakan
bahawa sesungguhnya illahnya (tujuan pengharamannya) adalah bertujuan menutup
pintu kerosakan dan menjauhi daripada menyerupai perbuatan penyembah berhala
yang memuliakan benda-benda yang tidak hidup yang mana tidak boleh mendengar,
memberi manfaat dan mudarat.
Berdasarkan perbincangan yang dinyatakan ini, jelas kepada kita
bahawa menggantung gambar di dinding-dinding rumah sebagai perhiasan adalah
harus dan tidak berdosa. Ini kerana gambar-gambar tersebut tidaklah diletakkan
bertujuan untuk menyembah, memuja dan membesarkannya. Sebaliknya, sebagai
perhiasan mempotretkan kenangan kehidupan. Namun begitu, keharusan menggantung
gambar-gambar di dinding rumah boleh berubah menjadi haram sekiranya tujuannya
bertentangan dengan syarak. Apapun kefahaman kita, Islam telah memberikan satu
indikator utama iaitu tiada yang lebih hebat, lebih besar dan lebih agung
dariNya, Allah Azza Wa Jalla. Manusia diingatkan supaya tidak terlalu melampau
dalam memuliakan mana-mana insan di dunia ini kecuali membesarkan dan
mengagungkan Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan