Isnin, 26 Februari 2024

YA'JUJ DAN MA'JUJ : SEBUAH HAKIKAT KEMUNCULAN

 

Peristiwa kiamat ialah merujuk kepada suatu tempoh masa yang menunjukkan kehancuran dunia sesuai dengan kehendak dan ketetapan oleh Allah SWT. Sejak sekian lama dahulu, manusia dari zaman berzaman seringkali berbicara dan bercakap tentang keadaan-keadaan yang akan terjadi di masa hadapan. Dalam pelbagai konteks, juga dalam pelbagai ajaran agama di dunia ini tentunya tidak terlepas dari mengajar dan menerangkan tentang peristiwa kiamat yang memperlihatkan soal kehancuran dan kemusnahan alam dunia yang sementara ini.

Dalam ajaran Islam, peristiwa kiamat adalah termasuk di dalam perkara yang ghaib. Ini bermakna, setiap perkara yang bersifat ghaib tentunya tidak dapat diketahui secara tepat dan jelas melainkan daripada apa yang diceritakan di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Selain daripada itu, tidak boleh diterima sebagai dalil atau bukti untuk dipegang. Ini termasuklah tentang hakikat kemunculan Ya'juj dan Ma'juj. Dalam usaha memahami apakah itu Ya'juj dan Ma'juj, para ulama bahasa telah khilaf atau berselisih pendapat dalam memaknainya. Berlaku khilaf tentang asal perkataan Ya'juj dan Ma'juj ini sama ada ianya dari isim Musytaq atau dari isim 'Ajam.




Pun begitu, menurut Syeikh Yusuf al-Wabil, dalam kitabnya, Asyrath al-Sa'ah, beliau menyatakan bahawa Ya'juj dan Ma'juj berasal dari bahasa Arab yang berakar kata "ujaj" yang bermaksud mengering kemudian mengeras. Manakala satu lagi dari kata "al-ajj" yang bermaksud ketika musuh datang dengan cepat sekali. Ungkapan Ma'juj pula berasal dari kata "maaja" yang bermaksud goncang. Dalam pada itu, Syeikh Yusuf al-Wabil telah menukilkan pandangan Abu Hatim yang menyatakan bahawa ungkapan Ma'juj berasal dari perkataan maaja yang bermaksud kekacauan. Menurut pendapat yang sahih, Ya'juj dan Ma'juj bukan isim Musytaq tetapi isim 'Ajam dan laqab (gelaran).

Penceritaan tentang Ya'juj dan Ma'juj ini terdapat di dalam al-Quran dan hadith Nabi SAW. Antaranya seperti yang terkandung di dalam al-Quran, melalui surah al-Kahfi ayat 94, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Ya’juj dan Ma’juj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"

Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim, menyatakan bahawa Ya'juj dan Ma'juj termasuk dari keturunan Nabi Adam AS sebagaimana yang ditegaskan di dalam al-Sahihain. Selain itu, Syeikh al-Maraghi pula dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Maraghi, menyatakan bahawa apabila mereka tiba di antara dua gunung itu iaitu tempat yang dikatakan oleh para pelancong pada abad ke-15 M sebagai tempat yang unik, beliau dapati di antara dua gunung itu tinggal suatu bangsa manusia yang hampir tidak dapat memahami setiap persoalan yang diajukan kepada mereka kerana tahap pemikiran mereka lemah. Sekiranya mereka mempunyai kecerdasan yang mantap, sudah tentu mereka memahami setiap persoalan yang diajukan berbanding penggunaan bahasa isyarat.

Kisah penceritaan berkenaan Ya'juj dan Ma'juj juga terdapat di dalam hadith Nabi SAW. Antara lain dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abi Sa'id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Allah SWT berfirman, “Wahai Adam!” Kemudian Adam berkata, “Labbaik wa sa’daik! Kebaikan berada di tangan-Mu.” Allah pun berkata, “Pisahkanlah penghuni-penghuni neraka!” Adam berkata, “Siapakah penghuni-penghuni neraka itu?” Allah berkata, “Di setiap seribu orang ada sembilan ratus sembilan puluh sembilan orang.” Itu adalah ketika anak kecil akan beruban, setiap wanita hamil akan keguguran dan kamu melihat manusia seolah-olah mabuk, padahal mereka tidak mabuk. Akan tetapi, azab Allahlah yang sangat pedih.” Para sahabat pun berkata, “Ya Rasulullah! Siapakah di antara kami satu orang tersebut?” Kemudian Baginda SAW menjawab,"Bergembiralah kamu. Sesungguhnya dari setiap orang daripada kamu, maka dari Ya’juj dan Ma’juj ada seribu orang...”




Berdasarkan pemahaman hadith ini, ianya menunjukkan kepada kita bahawa orang kafir selain daripada Ya'juj dan Ma'juj akan masuk ke dalam neraka Allah SWT. Bahkan, hadith ini juga menunjukkan kepada kita sesungguhnya betapa banyak sekali bilangan Ya'juj dan Ma'juj ini dan sebaliknya betapa sedikit pula orang yang beriman masuk ke dalam neraka. Demikian apa yang telah dijelaskan. Menurut al-Quran, kemunculan Ya'juj dan Ma'juj adalah suatu hal yang benar dan akan terjadi. Mereka ini hanya menanti roboh sahaja tembok-tembok yang telah memisahkan mereka dengan dunia yang nyata. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' ayat 96-97 yang bermaksud :

"Hingga apabila dibukakan (dinding) Ya'juj dan Ma'juj, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat yang tinggi. Dan telah dekatlah datangnya janji yang benar (hari berbangkit), maka tiba-tiba terbelalaklah mata orang-orang yang kafir. (Mereka berkata): “Aduhai, celakalah kami, sesungguhnya kami dalam kelalaian tentang ini, bahkan kami adalah orang-orang yang zalim.”

Berdasarkan pemahaman ayat ini, Syeikh al-Maraghi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahawa mereka turun seperti helang dari setiap bukit dan dataran yang tinggi. Keadaan ini serupa dengan kaum Genghis Khan sebagaimana diceritakan oleh pakar sejarah Arab dan Perancis – peperangan mereka ini bermula dari dataran tinggi di Asia Tengah. Selain itu, Syeikh Solah ‘Abd al-Fattah al-Khalidiyy pula dalam kitabnya, Ma‘a Qisas al-Sabiqin Fi al-Qur’an, Durus Fi al-Iman wa al-Da‘wah wa al-Jihad, telah menyatakan bahawa ayat dalam Surah al-Kahfi menceritakan tentang Ya'juj dan Ma'juj pada apa yang telah berlalu dan menceritakan kerosakan yang telah mereka lakukan di atas muka bumi. Manakala ayat dalam Surah al-Anbiya' menceritakan berkenaan Ya'juj dan Ma'juj pada masa akan datang dan tentang keluarnya mereka secara besar-besaran sebelum berlakunya kiamat.




Kemunculan mereka di bumi ini adalah sesuatu yang benar lagi nyata. Namun begitu, terdapat dua pandangan berkenaan kemunculannya. Pada pandangan pertama, mereka menyatakan bahwa Ya'juj dan Ma'juj akan muncul dan keluar sekali sahaja iaitu ketika waktu hampirnya kiamat. Manakala pandangan kedua, ada yang menyatakan bahwa Ya'juj dan Ma'juj akan muncul beberapa kali bermula sejak kurun pra sejarah hinggalah pengakhirannya dengan kemunculan besar yang membawa kemusnahan yang dahsyat ketika waktu hampir kepada kiamat. Walau bagaimana pun, kemunculan Ya'juj dan Ma'juj adalah suatu kepastian. Ini berdasarkan dalam beberapa hadith yang turut menceritakan tentang kemunculan mereka. Antaranya dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Huzaifah bin Asid al-Ghiffary menceritakan :

"Suatu hari Rasulullah dating kepada kami dalam keadaan kami sedang berbincang-bincang. Lantas baginda bertanya: “Apakah yang kamu bincangkan?” Mereka mengatakan: “Kami membincangkan tentang Hari Kiamat”. Nabi SAW bersabda: “Ia tidak akan berlaku melainkan sebelumnya kamu melihat 10 tanda.” Lalu Nabi SAW menyebutkan tandanya – “Asap, Dajjal, Binatang melata, keluar matahari daripada arah terbenamnya (barat), turunnya Isa bin Maryam alaihisalam, Yakjuj dan makjuj, serta tiga gempa iaitu di timur, barat dan kepulauan Arab. Akhir sekali ialah api yang keluar dari Yaman sehingga menghalau manusia ke tempat pengumpulan mereka.”

Sesungguhnya kemunculan Ya'juj dan Ma:juj itu adalah sesuatu yang pasti dan benar. Menurut para sarjana Islam, Ya'juj merupakan satu kaum dan Ma'juj pula merupakan satu kaum lain. Mereka adalah manusia seperti kita namun kufur dan ingkar kepada Allah SWT. Golongan ini apabila tepat pada saat dan ketikanya, dengan izin dan kehendak dari Nya, mereka ini akan muncul di bumi dengan tujuan untuk melakukan pelbagai kerosakan. Seperti yang dinyatakan oleh al-Alusi dalam kitabnya, Ruh al-Ma'ani, mereka akan melakukan kerosakan seperti mengganas, membunuh dan segala kerosakkan terhadap manusia. Walau apapun penceritaan tentangnya, tentunya wahyu al-Quran dan hadith tempat terbaik sebagai rujukan mengenali hakikat golongan dahsyat ini. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan