Islam adalah agama yang diredhai Allah dari dahulu hingga kini dan selamanya. Setiap kali amanah yang diberikan kepada umat terdahulu dikhianati, maka ianya bertukar nama lalu Allah gantikan mereka. Allah pindahkan amanah itu kepada umat yang baharu. Begitulah seterusnya sehingga Rasulullah SAW juga berwasiat untuk menjaga amanah itu kepada umat baginda selepas baginda tiada. Apa yang ditegakkan baginda itu juga akan berakhir apabila semuanya dirosakkan semula oleh manusia.
Itulah zaman di mana...
"Islam akan hanya tinggal nama, alQuran hanya tinggal tulisannya sahaja, Masjid indah tapi tiada petunjuk yang mengalir, ulamaknya tergolong dari kalangan manusia hina yang duduk di bawah kolong langit (di bawah kuasa pemerintah), dari mereka timbul fitnah dan kepada mereka fitnah itu dikembalikan."
Hari ini semua itu sudah berlaku. Islam kita hanya berdasarkan IC, serta bin dan binti. Bukan sahaja seluruh isi alquran tidak difahami, malah yang dibaca dalam solat juga tidak diketahui maknanya. Lalu 'bercakap-cakaplah' kita kepada Tuhan kita seperti burung kakak tua yang tidak tahu apa apa.
Sedar tak sedar, banyak sudah kalimah suci yang kita ubah. Sedangkan telah Allah tegaskan pengubahan mana mana dari kalimah suci itu amat ditegah. Contoh paling nyata dalam doa IFTITAH yang mesti dibaca oleh setiap dari kita setiap kali solat (QS: AL-AN'AM 162-163).
Ramai yang berbangga dengan masjid yang besar dan indah. Namun tidak nyata usaha dakwah di masjid yang besar. Ilmu tidak berterusan mengalir di situ ibarat sungai di taman syurga. Jemaah juga kurang berminat untuk berjemaah di dalamnya. Pemerintah (umarak) yang baik ialah yang berusaha mendekati ulamak untuk mengutip nasihat mereka. Ulamak yang buruk pula ialah yang terhegeh hegeh mendekati umarak.
Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya. Ulamak yang seharusnya tidak partisan sudah menjadi bahan lawak. Dalil dan fatwa dicari-cari dan dibacakan apabila ia 'menyokong' partinya setidak-tidaknya kepada pengikut setia (followernya). Ulamak itu kata jamak, iaitu sekumpulan orang alim yang berada dalam satu majlis syuro untuk memutuskan sesuatu. Apa yang difahami kini lain jadinya. Setiap penceramah digelar ulamak. Padahal ia hanya sekadar individu 'berilmu' yang perlu disucikan ilmunya melalui satu majlis syuro bersama alimin yang lain.
Apabila setiap individu itu digelar ulamak, maka sewenang wenang lah ia mengeluarkan fatwa yang berbeza-beza. Di situlah bermulanya fitnah di mana umat mula berpecah belah.
Allah suruh ikut tabia'at (langkah-langkah) Nabi yang berpedomankan wahyu, tetapi kila kini pula banyak mengikut tabiat syaitan yang bertuankan nafsu. Kita kini berbuat dan bercakap ikut suka kita sahaja. Alasannya ini adalah hak asasi manusia dalam dunia yang bebas. Apabila ada yang menegur atau menyingkap khilaf itu, maka sepantas kilat akan ada yang melenting..."jangan jadi judgemental, jangan menghakimi, jangan buka aib dan sebagainya."
Akhirnya kejahilan semakin berleluasa. Yang jahil bertambah degil, yang salah semakin parah, yang rosak semakin punah.
QS: 2. Al Baqarah 208. Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam KESELURUHAN, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.
Syaitan itu dikatakan berasal dari kelompok malaikat yang patuh. Hanya kerana SATU sahaja perintah Allah yang dilanggar, iaitu agar patuh kepada Adam, maka segala amal baiknya terhapus dan kekal dia sebagai penderhaka kepada Tuhannya. Bagaimana dengan kita pula? berapa banyak perlanggaran yang sudah kita lakukan? Allah suruh kita ikut Islam seluruhnya, namun syaitan hasut agar kita ikut sebahagian sahaja. Syaitan memang telah berazam untuk meracuni orang yang beriman. Jika tidak mampu menghasut terhadap perkara besar, maka ia akan usahakan melalui perkara kecil. Hari ini daripada perlanggaran perkara kecil sehingga perkara besar semuanya sudah diborong oleh kita.