Anak adalah anugerah yang di
idamkan oleh setiap pasangan yang berkahwin. Menjadi impian malah ianya sebagai
suatu tanda ikatan kasih sayang bertambah erat apabila dianugerahkan anak.
Seperti yang kita semua sedia maklum, anak adalah anugerah serta amanah
daripada Allah Azza Wa Jalla untuk kita sebagai ibu dan bapa, bertanggungjawab
sepenuhnya membentuk, mencorak dan membina watak anak-anak supaya menjadi soleh
dan solehah. Selari dengan hadis baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Tidaklah seorang bayi
yang dilahirkan melainkan dalam keadaan fitrah, maka Kedua orang tuanyalah yang
menjadikannya Yahudi, atau Nasrani atau Musyrik."
(Hadis Riwayat di dalam sahih Muslim)
Berdasarkan hadis ini, ianya
menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibubapa, bertanggungjawab
membentuk, mendidik dan menyemaikan pada mereka ajaran serta didikan islam.
Amatlah hebat cabaran mendidik anak masa kini, sehinggakan ada yang sanggup
mengabaikannya, membiarkan anak-anak mereka menghafal lagu-lagu cinta yang
mengkhayalkan, malah ada yang sanggup membiarkan anak-anak mereka menonton
lambakkan drama serta filem yang tiada faedahnya.
Tanggal 27 Ogos 2016, jam
8.53 malam, Allah SWT telah menghadiahkan pada kami seorang ulama kecil yang
bakal mewarisi keilmuan nabi, yang bakal mewarisi kebijaksanaan serta peribadi
akhlak Nabi yang baik. Amanah serta tanggungjawab berat ini digalas dengan
penuh kesyukuran serta memohon perlindungan daripada Allah, daripada gagal dan
lalai mendidik amanah istimewa ini. Allah SWT telah memberikan peringatan
kepada para ketua keluarga, supaya menjaga dan memelihara keluarganya daripada
menjadi bahan bakaran api neraka. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Hai orang-orang yang
beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya
adalah manusia dan batu” (QS at-Tahriim:6).
Maka sebab itu, amanah yang
telah dikurniakan oleh Allah ini, bukan sahaja menjadi lambing kasih sayang
malah ianya juga sebagai lambing kita berebut pahala mendidik anak serta
keluarga menjadi soleh dan solehah. Si ulama kecil ini, diberikan nama Faisha
Sumayyah yang bermaksud yang fasih tutur katanya dan moga dirinya menjadi
seorang wanita setabah wanita syahid pertama iaitu Sumayyah. Si ulama kecil ini
menjadi peringatan kepada kami sebagai abi dan uminya, supaya mendidik dirinya
mengikut acuan yang telah islam gariskan. Kita seharusnya lebih memandang berat
akan cabaran mendidik anak masa kini dengan lambakkan serta longgokkan drama,
filem serta lagu-lagu yang melalaikan. Bahkan kerap kali menjadi siulan
anak-anak kita pada hari ini ialah lagu-lagu cinta, yang di ingatinya ialah episod-episod drama dan filem, perkembangan ini amatlah menjadi
kebimbangan utama kita kerana anak-anak lebih banyak di didik dengan
perkara-perkara yang tidak berfaedah seperti ini. Semuanya bermula daripada
kesedaran diri kita akan kepentingan kita sebagai ibu bapanya mendidik anak-anak
menjadi yang soleh dan solehah.
Kita juga jangan lupa akan
pesanan baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Apabila seorang anak
Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang
memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa
untuknya." (Hadis Riwayat Muslim)
Anak-anak yang kita miliki
pada hari ini, adalah merupakan saham terbesar kita di alam barzakh kelak.
Alangkah bahagianya kita, setelah kita kembali kepada Allah, maka pemergian
kita di iringi dengan doa anak-anak yang soleh solehah. Tetapi ianya bukan berlaku
dengan sekelip mata. Terletak di bahu kita lah mendidik mereka supaya
senantiasa mendoakan kepada ibubapa, menjadi anak yang soleh solehah. Jika kita
berjaya mendidik mereka, damailah kita dengan penuh ketenangan di alam barzakh
kelak. Anak-anak adalah pinjaman daripada Allah buat kita, malah ia menjadi
medan ujian bagi kita untuk melihat sama ada kita bertambah syukur dengan
mendidiknya ke jalan yang lurus atau kita menjadi kufur dengan membawanya ke
jalan yang bengkok.
Marilah sama-sama kita
berazam dan bertekad untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang, yang berjaya
mencorakkan anak-anak ini dengan didikan dan ajaran daripada Allah SWT. Mohon
jualah kepada Allah, semoga kita semua tidak terleka, terlalai atau terabai
akan tanggungjawab mengenalkan mereka kepada Allah, mendidik mereka akan
hakikat kehidupan yang serba singkat ini seterusnya menyemaikan rasa cinta akan
kekasih Allah, Muhammad Bin Abdullah, Nabi junjungan kita. Semoga si ulama
kecil kami ini, menjadi saham kepada abi dan uminya untuk memasuki syurga yang
di idamkan oleh para hamba Nya yang beriman.