Khamis, 21 Januari 2021

KEKUASAAN BUKANLAH TANDA KEMULIAAN

 

Manusia dan kuasa adalah dua perkara yang sangat berkait rapat dalam kehidupan. Tanpa kuasa, manusia tidak dapat melakukan apa-apa. Sebaliknya kuasa tanpa ada manusia yang menguruskannya, ianya tidak dapat memberikan apa-apa kesan implikasi dalam kehidupan. Dalam banyak hal, kuasa mutlak adalah hak milik Allah Azza Wa Jalla. Dia lah yang Maha Berkuasa mengurus atur kehidupan para makhluk Nya.

Manakala kekuasaan khalifah atau pengurus tadbir bumi ini, Allah SWT berkehendak untuk memberikan kepada sesiapa sahaja kekuasaan ini. Allah berkuasa untuk memberikan kuasa ini kepada sesiapa sahaja mengikut kehendak Nya. Perkara ini disebutkan di dalam Al quran menerusi firman Nya dalam surah Ali Imran ayat 26 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."



Inilah juga peringatan Tuhan buat semua para hamba Nya yang sentiasa mengidamkan kekuasaan untuk dirinya. Kekuasaan itu boleh jadi satu kemuliaan kepada manusia juga sebaliknya boleh jadi satu penghinaan. Untuk berbakti melakukan kebaikan, kekuasaan bukan lah syarat utama untuk melaksanakan hal-hal tersebut. Malah jauh lebih daripada itu adalah kemahuan kita untuk berkhidmat meski tanpa penghormatan pangkat dan kedudukan.

Dengan kekuasaan yang dipegang oleh kita pada hari ini, maka sedarlah kita bahawa kekuasaan bukan sekadar amanah oleh Allah terhadap kita bahkan besar dari itu adalah ujian  berat dan dugaan hebat bagi kita yang memegang kuasa. Diatas nama kekuasaan, ramai manusia memuliakan kita, menghormati serta berbaik dengan kita. Namun setelah hilang kuasa, hilanglah rakan taulan.

Kekuasaan yang diberikan oleh Allah kepada hamba Nya tidak semestinya bermaksud Allah memuliakannya. Ada juga kerana kuasa, Allah menghinanya. Lihatlah bagaimana Firaun yang memiliki kuasa pemerintahan, diberikan istana, tentera yang gagah dan ahli sihir yang setia berkhidmat untuknya, namun namanya tercatat dalam Al Quran sebagai orang yang dihina oleh Allah. Dalam surah al Ghafir ayat 45-46, firman Allah yang bermaksud :

"Dan firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa seburuk-buruknya. Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada di alam barzakh), dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat) : "Masukkanlah firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya".



Kekuasaan juga boleh hadir dengan penuh kemuliaan daripada Allah SWT. Lihatlah bagaimana Allah Azza Wa Jalla memuliakan kerajaan Nabi Allah Sulaiman dengan keindahan istana sehingga dapat menjentik hati Ratu Saba'. Allah memuliakan baginda Nabi Sulaiman dengan kedudukan yang dekat dengan Nya. Walau Nabi Sulaiman diberikan kekuasaan, sedikit pun tidak melalaikan baginda Nabi malah lebih dekat dengan Allah.  Allah SWT berfirman dalam surah Sad ayat 40 yang bermksud : ni

"Baginda (Sulaiman) mempunyai kedudukan yang dekat di sisi Kami dan tempat kembali yang baik".

Kegilaan mendapat kuasa akan membawa kepada kebinasaan dan keruntuhan manusia itu sendiri. Renungilah sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Muslim yang bermaksud :

"Sesungguhnya binasa umat terdahulu dari kamu atas perbuatan mereka yang banyak mempersoal serta bertelagah dengan pemimpim mereka"

Betapa buruknya sikap mereka yang gilakan kuasa hingga sanggup bergaduh bertelagah yang akhirnya akan merugikan manusia itu sendiri. Pada masa sama, dalam tidak sedar, sikap gila kuasa ini akan menimbulkan perasaan hasad dan suka mencari keaiban orang lain. Telah berkata Fudail bin Iyyadh :

"Tidak ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia terjebak dengan hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut kebaikan orang lain"

Marilah kita meletakkan diri kita sentiasa dalam keadaan bermuhasabah. Ingatlah bahawa kekuasaan tidak semestinya bermaksud Allah memuliakan seseorang. Tidak ada sesiapa pun yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Kekuasaan pada hari ini adalah ujian dan cubaan bagi kita yang menanggungnya. Oleh itu, pimpin lah dengan penuh amanah, moga kelak menjadi asbab kemuliaan bagi kita. Semoga Allah mengampuni dan merahmati diri kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan