Selasa, 19 Januari 2021

GOLONGAN PELAMPAU YANG SENTIASA MEMERANGI ORANG ISLAM

 

Dalam kehidupan ini, kita tidak dapat lari daripada berhadapan dengan golongan atau kumpulan pelampau. Golongan pelampau ini akan sentiasa wujud dari zaman berzaman sejak daripada zaman baginda Nabi SAW. Golongan pelampau yang dimaksudkan disini ialah golongan yang hidupnya beragama tetapi tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar.

Perkara ini telah di ingatkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, daripada Ali RA, beliau berkata :

"Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Akan datang pada akhir zaman suatu kaum yang terdiri daripada golongan yang masih muda dan lemah fikiran, mereka berkata-kata dengan sebaik-baik perkataan (dengan hujah al Quran dan as Sunnah), mereka meninggalkan Islam dengan mudah seperti anak panah yang lalu menembusi sasaran, iman mereka tidak melebihi pangkal kerongkongnya. Bunuh lah mereka di mana saja kamu temui, kerana sesungguhnya membunuh mereka itu merupakan suatu ganjaran pada hari kiamat"



Berdasarkan hadis ini, baginda Nabi SAW memberitahu kita tentang kedatangan suatu kaum yang terdiri daripada golongan yang muda usianya, mereka ini sentiasa bercakap dengan hadis Nabi tetapi mereka tidak memahaminya dengan sebenar pemahaman. Malah mereka ini adalah golongan cetek akal fikirannya.

Prof. Dr. Sharaf Mahmud Al Qudhah berkata golongan pelampau ini tidak memiliki ilmu dan hikmah sebenar, golongan ini memahami dan mengamalkan slam dengan cara terlalu keras, ekstrem dalam sebahagian perkara dan pada sebahagian perkara lagi mereka terlalu bermudah-mudah.

Kata baginda Nabi SAW, golongan pelampau ini banyak melakukan ibadah seperti solat dan puasa bahkan amalan mereka lebih hebat daripada para sahabat Nabi SAW. Hal ini disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Salah seorang daripada kamu berasa kecil solatnya dan puasanya jika dibandingkan dengan solat dan puasa mereka"

Ini menunjukkan bahawa golongan ini hebat beribadah tetapi malangnya ibadah mereka itu tidak menghasilkan iltizam yang sebenar dengan agama. Amalan hebat mereka juga tidak menggambarkan kefahaman sebenar terhadap Islam. Mereka sangat muda menuduh orang Islam yang tidak bersama mereka dengan tuduhan fasiq dan sesat. Bahkan lebih dasyat ada yang sehingga mengkafirkan dan membunuh orang Islam.

Sejak pada zaman Nabi lagi, golongan pelampau tersebut telah muncul. Hal ini sebagaimana yang telah berlaku dalam satu kejadian yang kita semua maklum, di ketika baginda Nabi SAW mengagihkan harta kepada sebahagian pemimpin Arab yang baru memeluk Islam, tiba-tiba datang seorang lelaki bermata cengkung, pipi nya cembung, janggut nya lebat, berdiri di hadapan Nabi lalu berkata " Wahai Rasulullah, bertakwalah kamu kepada Allah".

Lalu baginda pun menjawab :

"Berwaspadalah kamu, bukankah aku orang yang paling layak untuk bertakwa kepada Allah dalam kalangan ahli bumi ?", Setelah lelaki berkenaan berlalu pergi meninggalkan baginda Nabi, lalu Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya akan keluar daripada keturunannya suatu kaum yang sentiasa membaca kitab Allah tetapi hanya sekadar di mulut mereka (tanpa penghayatan), mereka meninggalkan Islam dengan mudah seperti anak panah yang laju menembusi sasaran.' Seingatku baginda bersabda, Sekiranya aku sempat menemui mereka nescaya akan aku perangi mereka sebagaimana kaum Tsamud dibinasakan".

Golongan yang disifatkan oleh Nabi ini di dapati wujud selepas zaman Nabi di mana para sahabat Nabi melihat ciri-ciri tersebut ada pada golongan Khawarij. Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa golongan ini akan muncul dari generasi demi generasi, dari zaman berzaman hinggalah berlaku hari kiamat dan kemuncaknya adalah ketika munculnya dajjal.

 


Kita harus sedar dan bangkit daripada terjerumus ke dalam kumpulan pelampau ini. Mereka ini akan sentiasa muncul dan memerangi orang Islam. Mulut mereka lantang berhujah dengan al Quran dan Sunnah tetapi gagal memahami dengan ilmu dan hikmah sebenar. Teruskan menghiasi diri dengan ilmu dan kefahaman sebenar. Di bimbangi, kita termasuk dalam golongan pelampau ini. Semoga Allah berikan kita petunjuk serta taufik Nya dalam menelusuri titian kehidupan yang sementara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan