Kapitalisme atau disebut sebagai
kapitalis merujuk kepada suatu falsafah barat yang mengagungkan nilai materialistik
dan kebendaan. Daripada pelbagai sudut, ekonomi, politik mahupun sosial, apa
yang di perjuangkan adalah kebebasan memiliki tanpa mengira nilai moral
kehidupan.
Dalam soal ekonomi, blok kapitalis hanya
mementingkan nilai keuntungan tanpa mempeduli soal kezaliman, penindasan
mahupun penipuan, segalanya adalah tentang untung rugi. Bagi mereka, kebajikan
pekerja bukanlah suatu persoalan yang penting dan utama. Selagi ada tenaga dan
sumber yang boleh mendatangkan keuntungan, maka semuanya dilanggar tanpa
berfikir kesan buruknya.
Dalam soal politik, kebebasan bersuara
adalah isu utama bagi mereka yang mahukan suara diiktiraf. Meskipun hal
tersebut melanggar norma kehidupan manusia. Kebebasan menubuhkan kepartian
tanpa mengambil kira kesan daripada perpecahan nasional akibat banyaknya
kepartian. Tanpa kawalan, sesiapa sahaja mampu menubuhkan parti membawa
ideloginya sendiri dengan tidak mengambil kira moralnya.
Dalam soal sosial, keuntungan adalah
matlamat besar mereka. Bertuhankan kapitalis, apa jua akan dijadikan
perdagangan. Institusi pendidikan ditubuhkan untuk mengaut keuntungan tanpa
melihat keberkesanan. Bukan melawan silibus siapa terbaik tetapi mengira untung
siapa yang tinggi hasil ketamakan. Golongan kaya sentiasa dijamin mendapatkan
perkhidmatan terbaik, sebaliknya bagi yang kurang kemampuan, hanya mampu
belajar di tepi jalanan disebabkan tidak mampu dari sudut kewangan.
Nampaknya kita seakan-akan dirasuki
fahaman kapitakis yang memikirkan kehendak sendiri tanpa melihat keutamaan yang
lebih besar. Disaat rakyat mendambakan kestabilan negara, politikus kian rancak
bermain percaturan. Di waktu bencana alam seperti banjir membadai negara, ada
yang cuba menyalahkan ketentuan Tuhan. Di ketika barisan hadapan pertaruhkan
nyawa berperang dengan Covid 19, ada yang mahu PRU disegerakan.
Kebodohan apakah ini ? Tidakkah kita
fikir antara kehendak dan keperluan ? Apakah perlu disaat negara diuji, sibuk
kita mencatur kuasa, mengagihkan kekayaan dan rakus kuasa ? Tergamakkah kita
melihat rakyat di bawah terkapai - kapai mencari rezeki, sedangkan kita
bergelut dengan krisis politik untuk pertahankan kepentingan diri ? Ketika
hutan dicabul dengan begitu hebat, masihkah mahu dipersalahkan ketentuan Tuhan
? Kebinatangan apakah ini ?
Mari kita renungkan firman Allah Azza Wa
Jalla dalam surah ar Rum ayat 41 yang bermaksud :
"Telah timbul kerosakan dan bala
bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan
manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka
sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan
supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".
Agama bukan sekadar mengajar kita bab ini
halal dan itu haram, agama tidak sekadar membincangkan tentang sah atau tidak
sesuatu ibadah, lebih besar daripada itu, agama mengajar kita etika dalam
mentadbir, mengurus dan menjaga amanah kehidupan. Amanah pemimpin terhadap
rakyatnya, amanah manusia terhadap menjaga khazanah alam Nya, amanah manusia
berpolitik mencari keredhaan Nya, bukan mempertahankan kepentingan diri semata.
Semoga Allah mengampuni kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan