Poligami seringkali dijadikan isu yang
disalah fahami oleh kebanyakan orang. Bukan sahaja dikalangan orang bukan
muslim, bahkan sebahagian besar orang muslim juga beranggapan tidak benar
terhadap poligami. Poligami juga sering dijadikan modal peluru oleh golongan
liberal yang kononnya membela nasib golongan wanita yang di tindas.
Scam poligami merujuk kepada suatu makna
sindiket penipuan yang melibatkan urusan poligami. Akibat sindiket penipuan ini
berlaku, maka syariat poligami terheret dengan labelan yang tidak wajar di
perkatakan. Malah sebelum ini, Mufti Perlis menerusi pelbagai medium media
massa telah menjelaskan tentang polimik scam poligami ini. Beberapa perkara
perlu kita teliti sebelum kita meletakkan labelan "scam poligami".
Pada umumnya, poligami merupakan satu
syariat Allah SWT untuk para hamba Nya. Ianya adalah syariat dan bukannya adat.
Perkara ini disebutkan oleh Allah menerusi firman Nya dalam surah an Nisa' ayat
3 yang bermaksud :,
"Maka berkahwinlah dengan sesiapa
yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) : dua, tiga atau empat"
Ayat ini menjelaskan bahawa Islam telah
mengehadkan perkahwinan tidak melebihi empat dalam satu-satu masa. Hal ini
membuktikan Islam telah meletakkan batu asas pembatasan untuk melindungi serta
menjaga maruah wanita daripada terus dijadikan sebagai alat pakai buang nafsu
semata-mata. Islam tidak mencipta kahwin lebih tetapi sebaliknya Islam datang
dengan meletakkan had batasan untuk kaum lelaki tidak berfoya-foya, juga
mengangkat martabat wanita daripada di perkotak-katikkan oleh kaum lelaki.
Hukum asal berpoligami adalah harus. Ia
bukanlah satu tuntutan tetapi satu pilihan yang diikat dengan syarat kemampuan
dan keadilan yang mesti ditegakkan antara pasangan. Ianya boleh berubah menjadi
haram sekiranya berpoligami tersebut mendatangkan kezaliman dalam berumah tangga.
Oleh itu, sekiranya kita bimbang tidak mampu berlaku adil, sama ada dari sudut
nafkah zahir atau batin, maka Allah berfirman dalam ayat yang sama yang
bermaksud :
"Kemudian jika kamu bimbang tidak
dapat berlaku adil (diantara isteri-isteri kamu), maka (kahwinlah dengan)
seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kau miliki. Yang
demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan
kezaliman"
Poligami adalah suatu syariat yang
lengkap dengan kebaikan. Tetapi akibat pelaku poligami yang tidak beramal
seperti apa yang diperintahkan oleh Allah, istilah poligami mula disalah fahami
dan di lihat sebagai suatu syariat yang menindas dan mengancam maruah wanita.
Tidak cukup dengan itu, polimik ini terus dimainkan dan disensasikan lagi
dengan tayangan filem/drama yang menampilkan sisi buruk berpoligami. Walhal ini
adalah suatu suntikan minda untuk menonjolkan keburukan berpoligami.
Kita semua faham. Scam poligami bukanlah
merujuk kepada syariat poligami itu sendiri, tetapi menurut Sister In Islam,
scam ini merujuk kepada penyalah gunaan peruntukkan undang-undang berpoligami
dibawah Enakmen Pentadbiran Agama negeri masing-masing. Walau apa pun alasan mereka
untuk menentang, penggunaan istilah scam untuk poligami adalah suatu yang tidak
wajar, biadap dan boleh mengundang lebih banyak salah faham terhadap kesucian
syariat poligami.
Kajian yang dibuat oleh Sister In Islam
juga telah banyak menampilkan sisi buruk poligami. Keabsahan kajian tersebut
perlu disahkan oleh pihak berautoriti dan bukan main kaji semata-mata. Hal ini
kerana ianya melibatkan pensyaritan yang diturunkan oleh Allah yang Maha
Sempurna. Dalam Al quran, surah al Ankabut ayat 45, Allah SWT berfirman yang
bermaksud :
"Sesungguhnya solat itu mencegah
daripada perbuatan keji dan mungkar"
Sebahagian besar kita memahami bahawa
ibadah solat dapat mencegah daripada melakukan kejahatan. Tetapi kita lihat ada
manusia yang menunaikan solat tetapi tetap melakukan maksiat. Mengumpat,
berzina, memfitnah dan sebagainya. Adakah wajar kita katakan ibadah solat ini
suatu bentuk penipuan (scam) ? Adakah layak untuk kita labelkan ibadah solat
itu suatu penipuan juga kerana yang solat pun melakukan maksiat ?
Undang-undang adalah suatu ijtihad yang
dilakukan oleh makhluk yang bernama manusia. Ijtihad tersebut mungkin benar dan
mungkin juga salah. Ijtihad manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan dan
kesalahan. Namun adalah tidak wajar menyandarkan kesalahan tersebut dengan
menunggang nama syariat Tuhan yang Maha Sempurna dengan menggelar "scam
poligami".
Islam sangat melarang seorang suami
melakukan kezaliman terhadap isterinya. Bukan sahaja dalam hal poligami, bahkan
dalam hal monogami (kahwin satu) pun Islam melarang daripada bersikap kasar
dengan pasangan. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim, daripada Abu
Hurairah RA, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :,
"Bergaul lah kaum wanita itu dengan
pergaulan yang lemah lembut, kerana sesungguhnya kaum wanita itu dijadikan dari
tulang rusuk dan sesungguhnya tulang rusuk itulah yang sebengkok-bengkoknya
ialah yang paling atas. Maka apabila engkau hendak meluruskannya, luruskanlah
dengan perlahan dan apabila tidak diluruskan, ia sentiasa bengkok selama-lamanya.
Oleh sebab itu, pergauli lah wanita dengan pergaulan yang lemah lembut"
Berhati-hatilah ketika melabel sesuatu
perkara lebih-lebih lagi apabila ianya menyentuh soal pensyariatan dalam agama.
Jangan kerana sikap kita yang mahu membela hak manusia sehingga mendatangkan
anggapan buruk terhadap syariat Tuhan. Semoga Allah memberikan kita hidayah
serta taufik Nya untuk meneruskan hidup dibawah redha Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan