Rabu, 13 Januari 2021

PERMUDAHKAN PERKAHWINAN SUATU TUNTUTAN SYARIAT

 

Perkahwinan merupakan syariat Allah Azza Wa Jalla sebagai suatu cara meramaikan umat manusia dengan jalan yang bersih dan suci terpelihara keturunannya. Perkahwinan juga merupakan suatu tuntutan sunnah yang digalakkan oleh Islam.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al Nisa' ayat 1 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia ! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya -hawa'), dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat ; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu".

Berdasarkan firman Allah, kita memahami bahawa tujuan perkahwinan itu adalah untuk menjadikan diri kita, pasangan hidup kita serta keluarga kita beriman dan bertaqwa kepada Allah SWT. Tujuan sesuatu perkahwinan itu juga adalah untuk menambahkan ramai umat manusia dengan cara yang suci lagi terpelihara.



Maka, apa yang dikejar dalam perkahwinan adalah usaha menuju ketaqwaan dan bukannya kemegahan majlis walimatul urus sehingga membazir hanya untuk sehari kehidupan. Walhal, ada perkara lebih mustahak daripada itu ialah bagaimana pengisian rumahtangga itu dengan pengisian yang mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menjadi dilema dikalangan orang bujang pada zaman ini adalah kesukaran untuk memenuhi kehendak adat yang menyusahkan sehingga membuatkan diri mereka buntu. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah wujud pemikiran banding membanding nilai mahar kahwin sehingga membebankan bakal suami untuk memenuhinya. Sedangkan sebaik-baik perkahwinan adalah yang mudah maharnya. Ini sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban yang bermaksud :

"Sebaik-baik pernikahan adalah yang dipermudahkan maharnya"

 


Dalam kitab Majmu' Fatawa, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah telah berkata :

"Barangsiapa yang nafsunya mengajak kepada meninggikan mahar anak perempuan mereka melebihi mahar anak-anak perempuan Nabi SAW yang mana mereka itu sebaik-baik ciptaan Allah dari segenap kebaikan dan  mereka itu adalah sebaik-baik wanita sekalian alam pada setiap sifat jahil."

Ini bermakna sebaik-baik wanita yang terdiri daripada anak-anak baginda Nabi SAW pun tidaklah tinggi mahar mereka sehingga membebankan para suami mereka. Oleh itu, mempermudahkan urusan perkahwinan juga merupakan suatu tuntutan syariat. Ada pun wang hantaran, wang belanja dan sebagainya bukanlah suatu syariat sebaliknya ianya hanyalah tuntutan adat kebiasaannya.

Prinsip memudahkan urusan dan bukannya menyukarkan sesuatu urusan termasuk dalam perkara kebaikan. Permudahkan urusan bukan lah bermakna sambil lewa tetapi sebaliknya mendahulukan tuntutan syarak melebihi tuntutan adat kebiasaan. Allah SWT berfirman dalam surah al Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan ia tidak menghendaki kamu beroleh kesukaran".

Daripada semua peringkat, para ibubapa, pihak berkuasa, jurunikah dan semua pihak yang terlibat perlulah melihat semula tujuan perkahwinan itu agar kita sama-sama mempermudahkan perkara yang membawa kebaikan bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat kelak. Semoga kita semua beroleh keampunan daripada Allah SWT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan