Rabu, 27 Oktober 2021

DISEBALIK MAKNA لا إله إلا الله (LA ILAHA ILLA ALLAH)

 

Ungkapan La Ilaha Illa Allah merupakan suatu kalimah tauhid yang mengandungi makna yang begitu mendalam dan ianya juga merupakan puncak manifestasi keimanan kepada Allah SWT. Ungkapan ini juga dikenali sebagai dua kalimah syahadah, yang terkandung dalam rukun Islam sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim, dari Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar al Khattab RA dia berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Islam terbina diatas lima perkara, bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa di bulan Ramadan".


Ungkapan lafaz ini membawa kita kepada suatu pemahaman bahawa Allah adalah Tuhan yang secara mutlaknya, tidak ada yang pertama, kedua dan seterusnya. Dengan keesaan Nya ini, maka selayaknya kita tunduk dan patuh menyembah hanya Allah Azza Wa Jalla. Sejak awal pengutusan Rasul, bermula dari zaman Nabi Adam AS hingga kepada penghulu sekalian Nabi, baginda Nabi SAW, kesemuanya membawa risalah kalimah tauhid yang sama iaitu menyeru manusia menuju jalan kebenaran. Biarpun syariat yang dibawa oleh para Rasul berbeza mengikut zamannya, tetapi kalimah tauhid yang agung ini terus-menerus dijulang oleh mereka.

Selain itu, adalah menjadi syarat kepada mereka yang mahu memeluk Islam dengan perasaan hati yang tenang dan rela, harus melafazkan kalimah ini dengan memahami makna tiap-tiap bait kalimah tersebut. Ini kerana ianya mengandungi makna dan hakikat yang suci dan agung. Seperti ikrar taat setia, ungkapan ini memainkan peranan besar dalam kehidupan setiap Muslim, menolak syirik, khurafat dan tahyul dan menjunjung tinggi kesucian kalimah agung.

Jika dilihat pada makna zahir lafaz la ilaha illa allah, kita seringkali menterjemahkan dengan maksud "Tiada Tuhan Selain Allah". Sebaliknya, makna ini tidak lah menepati maksud yang sebenar. Hal ini kerana kita seringkali menterjemahkan perkataan "illah" itu kepada makna Tuhan. Sedangkan makna Tuhan dalam bahasa Arab lebih menepati dengan penggunaan perkataan "Rabb". Kita boleh menyemak semula makna ayat dalam surah al Fatihah pada ayat kedua. Perkataan "Rabb" diterjemahkan sebagai Tuhan.

Dalam kitab Hakikat Tauhid karangan Prof. Dr. Yusuf al Qaradhawi, beliau menyatakan bahawa perkataan "illah" tidak sekadar membawa makna Tuhan tetapi juga membawa makna yang disembah dengan sebenarnya iaitu yang dicintai dan ditaati, yang berhak disembah. Dia mempunyai sifat-sifat kesempurnaan yang dituntut supaya mengajukan khusus kepada Allah, puncak kepada segala kecintaan dan ketaatan.

Perkataan "Al-Illah" menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah pula ialah :

"Yang dituhani oleh hati dengan cinta, tunduk dan merendah diri kepada Nya, takut dan mengharap serta kembali kepada Nya pada saat susah, bermohon bagi pelbagai kepentingan, bertawakkal kepada Nya dalam pelbagai masalah (perkara), berlindung dan bertenang hati mengingati Nya, rasa penuh kedamaian dalam mencintai Nya. Kesemua ini tiada pada yang lain melainkan Allah sahaja. "




Oleh itu, menterjemahkan perkataan "illah" dengan makna "Tuhan" adalah sangat umum dan tidak mencapai makna yang sebenar. Perkara ini boleh menjadi umum kerana agama lain selain Islam juga menggunakan perkataan "Tuhan" bagi menterjemahkan tuhan agama mereka. Oleh yang demikian, perkataan "illah" yang terdapat dalam lafaz syahadah ini tidak sekadar Tuhan bahkan menjadikan "illah" satu-satunya perkataan yang mempunyai ciri dan makna tersendiri yang membezakan Islam dengan agama-agama lain.

Untuk menterjemahkan lafaz "La ilaha illah Allah" dengan sempurna, boleh kita simpulkan bahawa :

"Tiada yang dituhani oleh hati dengan cinta, tunduk dan merendah diri kepada Nya, takut dan mengharap serta kembali kepada Nya pada saat susah, bermohon bagi pelbagai kepentingan, bertawakkal kepada Nya dalam pelbagai masalah (perkara), berlindung dan bertenang hati mengingati Nya, rasa penuh kedamaian dalam mencintai Nya. Kesemua ini tiada pada yang lain melainkan Allah"

Ketauhidan merupakan pokok asas dan elemen terpenting dalam kehidupan sebagai seorang Muslim. Seharusnya kita mengambil ruang dan peluang ini untuk memahami dengan sebenar-benarnya makna dan hakikat perkataan "la ilaha illah Allah". Bukan sekadar menyebut di bibir tetapi mesti dizahirkan oleh hati dan dibuktikan dengan amal soleh kita. Apabila kita telah benar-benar memahami akan hakikat tersebut, maka segala ajaran yang terkandung dalam Islam akan menjadikan kita lebih faham dan mengenali Tuhan. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan