Jumaat, 29 Oktober 2021

BENCI JANGAN MELAMPAU, SAYANG JANGAN MELEBIH

 

Lumrah sebagai seorang manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekhilafan, ada perkara yang kita benci dan ada perkara yang kita sayang. Malah, manusia yang diciptakan dengan sebaik-baik ciptaan ini mengandungi beribu perasaan dalam diri sendiri. Satu roh menanggung dan menyimpan beribu perasaan yang menjadi fitrah bagi kita semua. Bezanya manusia dengan makhluk yang lain adalah anugerah akal yang tidak ternilai harganya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al Tin ayat 4 yang bermaksud :

"Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk yang sebaik-baiknya".

Dengan sebaik-baik bentuk penciptaan ini, manusia mampu menzahirkan rasa kasih sayang, benci, marah dan sebagainya dengan lebih sempurna. Jika kita sedang berkasih sayang, apa sahaja yang buruk dan negatif mampu merubah menjadi cantik dan positif. Sebaliknya, jika kita membenci sesuatu perkara, apa sahaja yang baik dan positif mampu merubah menjadi buruk dan tidak elok. Demikianlah manusia dengan berbagai-bagai warna warni perasaan.




Sifat marah, sayang, benci dan lain-lainnya bukanlah suatu kelemahan bagi seseorang manusia. Sebaliknya suatu kehormatan untuk kita mengekspresikan rasa dan pandangan kita terhadap sesuatu perkara. Islam tidak pernah melarang fitrah kita yang dicipta dengan sikap kasih, sayang, benci, marah dan lain-lain. Bahkan, Islam telah mengajar kita untuk bersikap benci, sayang dan marah hanya kerana Allah SWT. Kita membenci sesuatu perkara kerana Allah dan kita kasih dan sayang sesuatu perkara juga kerana Allah.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Ada tiga perkara sesiapa sahaja yang memilikinya nescaya ia akan merasakan manisnya iman, (1) Allah dan Rasul Nya menjadi yang paling ia cintai daripada keduanya, (2) Mencintai seseorang kerana Allah semata, (3) Benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

Dalam sebuah hadis yang lain, diriwayatkan oleh Imam Ahmad, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya ikatan keimanan yang paling kuat adalah engkau mencintai kerana Allah dan engkau membenci juga kerana Allah".

Berdasarkan dua hadis tersebut, dapat kita fahami bahawa Islam tidak melarang kita daripada menzahirkan rasa sayang dan benci kerana ianya adalah fitrah dan lumrah bagi setiap diri manusia. Cumanya, Islam menuntut agar kita meletakkan kasih sayang dan benci kita adalah kerana Allah SWT. Kita mesti meletakkan dalam diri kita untuk berkasih sayang kerana Allah dan membenci juga kerana Allah.

Dalam maksud yang lain, kita kasih terhadap seseorang adalah kerana kebaikan yang ada pada dirinya, bukan kerana keistimewaan pangkat atau kedudukkan yang dimilikinya. Begitu juga sebaliknya, kita benci terhadap seseorang adalah kerana kita benci maksiat yang dilakukannya dan bukan kerana dirinya sendiri. Perkara inilah yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan kita seharian.




Keadaan situasi hari ini, telah mengambarkan kepada kita bagaimana ramai yang memutuskan silaturrahim antara adik beradik, sesama kawan, jiran dan sahabat handal hanya kerana dipandu oleh emosi membenci yang sungguh melampau. Ada yang tidak bertegur sapa hingga berkurun keturunan, ada yang hingga membawa kepada pembunuhan. Malah, di zaman serba canggih ini, ada yang membenci hingga mengambil sikap "block" di saluran whatsapp, facebook dan lain-lain. Ini semua telah mengheret manusia ke lembah penghinaan dan mengundang kemurkaan Nya.

Begitu juga sebahagian kita yang cinta dan kasih kepada seseorang, hingga membuatkan mata hati kita buta kepada kebenaran. Menjelma lah benih ketaksuban dan fanatik terhadap seseorang yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perbalahan. Ada yang mengasihani isteri dan anak-anak, hingga sanggup melakukan apa sahaja mengikut kemahuan si isteri dan anak sedangkan kehendak Allah memerintahkan supaya menjaga aurat isteri dan anaknya tidak diendahkan. Malah, ada yang sanggup menghabiskan beribu ringgit untuk orang yang tersayang hingga mengundang kepada pembaziran.

Sikap melampau dalam membenci dan melebih dalam berkasih sayang ini telah mengingatkan kita akan sebuah hadis sahih dalam kitab al Adabul Mufrad, riwayat Imam Bukhari, pesanan Umar al Khattab apabila beliau berkata kepada seseorang tentang rasa cinta dan benci yang maksudnya :

"Hai Aslam , jangan jadikan cintamu sebagai beban dan jangan sampai bencimu membuat binasa". Aku bertanya :  "Bagaimana hal itu boleh terjadi ?". Beliau mengatakan : "Jika engkau mencintai janganlah berlebihan seperti seorang anak kecil mencintai sesuatu. Dan jika engkau membenci, janganlah berlebihan hingga engkau suka mencelakai sahabatmu dan membinasakannya".




Demikian lah Islam yang telah mengajar umatnya agar sentiasa melakukan sesuatu adalah kerana Allah, yakni bermaksud mencintai dan membenci sesuatu perkara adalah diatas dasar agama, kerana Allah, dan bukan sebaliknya didasari oleh sifat egois, taksub dan emosi yang melampau. Adakah kita lupa, pada zaman Nabi SAW, terdapat seorang lelaki yang bernama Abdullah dihadapkan dihadapan Nabi untuk disebat kerana meminum arak. Kisah ini diceritakan dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Bukhari, daripada Umar al Khattab, beliau berkata :

"Sesungguhnya terdapat seorang lelaki pada zaman Nabi SAW yang bernama Abdullah. Dia digelar sebagai himar dan menyebabkan Rasulullah SAW ketawa. Nabi pernah menyebatnya disebabkan dia peminum arak. Maka suatu hari dia dihadapkan ke hadapan Nabi lalu baginda memerintahkan supaya dia disebat. Seorang laki pun berkata "Ya Allah laknatlah dia". Berulang kali dia melakukan hal yang sama. Maka Nabi SAW bersabda : "Janganlah kalian melaknatnya. Demi Allah tidak aku ketahui melainkan dia ini mencintai Allah dan Rasul Nya".

Demikian lah agama melarang kita daripada bersikap melampau dan berlebihan dalam soal membenci dan menyayangi akan sesuatu perkara. Marilah kita memupuk dalam diri kita akan sikap kematangan dan waras dalam mencintai dan membenci sesuatu. Alangkah baiknya dunia ini jika kita faham dan selami perbatasan dalam benci dan sayang ini. Inilah juga sebahagian rahmat Allah terhadap sikap benci dan sayang. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan