Ahad, 24 Oktober 2021

MEMBERI & MENJAWAB SALAM BUKAN MUSLIM

 

Hidup dalam masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama dan kaum telah membuka ruang dan peluang untuk kita saling kenal mengenali antara satu sama yang lain. Selain itu, perbezaan adat resam dan budaya juga telah menjadikan saling memahami antara satu sama lain. Demikian lah tujuan Allah menjadikan kita bersuku bangsa sepertimana dalam firman Nya dalam surah al Hujurat ayat 13 yang bermaksud :

"Wahai manusia sekalian, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti".




Oleh kerana kemajmukan ini, sebahagian daripada orang Islam tertanya-tanya dan barangkali timbul persepsi berkenaan hukum orang Islam memberi dan menjawab salam yang diberikan oleh orang bukan Islam. Persepsi ini juga barangkali timbul oleh kerana suasana masyarakat yang mencorakkan pemahaman sekaligus mencetuskan kekeliruan apabila berdepan dengan isu seperti ini.

Secara asasnya, Islam sangat menuntut umatnya untuk membalas segala penghormatan yang diberikan dengan cara yang lebih baik. Sepertimana dalam firman Nya dalam surah al Nisa ayat 86 yang bermaksud :

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu".

Demikian juga Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk hidup bermusuhan dengan mereka yang berbeza agama bahkan diperintahkan untuk melakukan kebaikan dan melakukan keadilan kepada mereka yang tidak memerangi Islam. Hal ini seperti firman Nya dalam surah al Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu ; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil".

Menurut Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Zad al-Ma'ad, beliau menyatakan bahawa :

"Telah berbeza pendapat para ulama salaf dan khalaf mengenai hukum memberi salam kepada Yahudi dan Kristian. Kata kebanyakkan ulama tersebut : 'Tidak dimulakan ucapan salam kepada mereka. 'Ulama yang lain berpendapat : 'Harus memulakan ucapan salam kepada mereka, seperti mana harus menjawabnya'. Pendapat ini (kedua) diriwayatkan daripada Ibn Abbas, Abu Umamah dan Ibn Muhairiz. Ia juga salah satu pendapat dalam mazhab al Syafi'i. Namun empunya pendapat ini dalam mazhab al Syafi'i menyatakan : 'Disebut al-Salam 'alaika (untuk seorang sahaja)'. Segolongan ulama berpendapat : 'Harus memulakan salam kepada Yahudi dan Kristian disebabkan kemaslahatan yang lebih utama yang diperlukan, atau bimbang tindakannya, atau hubungan kekeluargaan, atau apa-apa yang memerlukannya'.

Berdasarkan perbezaan pandangan tersebut, Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa majoriti ulama berpendapat wajib menjawab salam orang bukan Islam. Inilah pendapat yang benar. Sebahagian ulama lagi berpendapat tidak wajib menjawab salam. Bahkan Imam Ibn Qayyim menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa :

"Telah sabit dalam hadis, Nabi SAW lalu dalam satu majlis yang bercampur antara muslim, musyrikin penyembah berhala dan Yahudi, lalu baginda memberi salam untuk mereka semua".




Dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari menerusi kitab nya al Adab al Mufrad di bawah bab bagaimana menjawab salam kafir zimmi, beliau meriwayatkan kata-kata Ibn Abbas yang bermaksud :

"Jawablah salam sama ada Yahudi, Nasrani atau Majusi. Ini kerana Allah berfirman (surah al Nisa ayat 86) 'Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama), sesungguhnya Allah sentiasa menghitung setiap sesuatu".

Adapun sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Sesunguhnya Yahudi apabila memberi salam kepada kamu, sebenarnya dia menyebut : as-samu'alaika (maut atau kemusnahan), maka kamu jawablah wa'alaika (keatas kamu)".

Hadis ini adalah merujuk kepada konteks khusus kepada seorang Yahudi yang telah memberi salam kepada baginda Nabi dengan lafaz yang mengelirukan. Ucapan salam yang berikan oleh orang Yahudi tersebut adalah bertujuan untuk mengelirukan dan mempersendakan ucapan salam dengan mengubah lafaz salam tersebut. Maka jawapan yang diberikan oleh baginda Nabi ketika menjawab salam orang Yahudi tersebut bukan lah untuk semua keadaan. Ianya jawapan khas kepada orang Yahudi tersebut yang mempersendakan ucapan salam.




Oleh itu, sekiranya dengan keadaan berbeza, dimana terdapat orang bukan Islam memberikan salam kepada orang Islam dengan lafaz yang betul serta niat dan tujuan yang betul, maka jawapannya juga mesti dibalas dengan jawapan yang lebih baik seperti yang dianjurkan oleh Allah SWT. Dalam hal ini, Syeikh Albani dalam kitabnya Silsilah al Ahadith al Sahihah menyatakan bahwa :

"Ayat ini (surah al Mumtahanah ayat 8) dengan jelas memerintahkan agar melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang kafir warga negara Islam yang berdamai dan tidak menyakiti kaum mukminin. Tanpa syak lagi, jika seseorang dikalangan mereka memberi salam dengan menyebut secara jelas as salam'alaikum, lalu kita menjawabnya sekadar wa'alaika, adalah sesuatu yang tidak adil dan meninggalkan sikap baik. Ini kerana kita telah menyamakan antara dia dengan orang yang mengucapkan as samu'alaikum (maut atau kemusnahan). Ini adalah kezaliman yang nyata".

Menurut Syeikh Dr. Yusuf al Qaradawi pula dalam membincangkan berkenaan hak-hak bukan muslim, beliau menyebutkan bahawa sejumlah besar ulama salaf membolehkan memulakan ucapan salam kepada orang bukan Islam. Hadis yang melarang memulakan salam kepada orang bukan Islam adalah disebabkan suasana peperangan ketika itu. Oleh itu, kita diharuskan memberi salam kepada orang bukan Islam serta menjawab salam oleh orang bukan Islam dengan tujuan dan niat yang murni. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan