Selasa, 12 Oktober 2021

PARA RASUL DAN SIFAT KEINSANANNYA

 

Adalah menjadi rukun serta pegangan kepada setiap yang bergelar muslim, wajib beriman bahawa Allah SWT telah mengutuskan para Rasul untuk setiap umat yang berbeza. Bermula daripada Nabi Adam sehinggalah kepada penutup sekalian Nabi, iaitu baginda Nabi Muhammad SAW. Setelah kewafatan baginda Nabi, maka tidak ada lagi utusan rasul dan nabi. Hal ini sepertimana sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Dan aku ialah yang terakhir dari sekalian para nabi"

Juga firman Allah SWT dalam surah al Ahzab ayat 40 yang bermaksud :

"Dan akan tetapi sungguhnya Muhammad itu ialah utusan Allah dan penutup segala nabi-nabi"

Para Rasul diutuskan oleh Allah SWT bertujuan menyeru manusia membesarkan dan mengagungkan Allah. Mereka bukanlah pengasas atau pencipta agama Islam sebaliknya menggalas tugas menyampaikan kebenaran dengan menyeru mentauhidkan Allah, menentang syirik dan khurafat. Kadang-kala sebahagian rakan kita yang bukan Islam kita beranggapan bahawa Nabi Muhammad yang seringkali umat Islam menyebut-nyebutnya dengan pelbagai pujian itu adalah pencipta dan pengasas agama Islam.



Tanggapan ini bukanlah suatu yang baharu kerana kebiasaanya, sesuatu pengikut agama itu cenderung untuk menyifatkan mana-mana tokoh agama mereka dengan sifat ketuhanan atau malaikat, atau dengan sesuatu kuasa hebat.

Walhal, Islam tidak sedemikian. Nabi dan Rasul merupakan utusan Allah, yang membawa risalah kebenaran. Mereka juga adalah manusia seperti kita yang mempunyai perasaan seperti kita, mereka juga hidup berkeluarga, punyai anak dan isteri seperti kita. Ada para Nabi yang hidup senang, ada para Nabi yang hidup susah. Seperti kita, ada yang kaya dan ada yang miskin.

Cuma yang membezakan kita dengan mereka yang terdiri daripada para Rasul dan Nabi ini adalah mereka merupakan insan yang terpilih oleh Allah untuk ditabal dan diangkat sebagai utusan Allah, diberikan wahyu, diberikan pertolongan oleh Allah dengan mukjizat. Walau pun begitu, hal itu berlaku diatas izin dan kehendak Allah. Menerusi al Quran, Allah SWT telah banyak menceritakan kepada kita tentang sifat keinsanan para Nabi dan Rasul. Misalnya dalam surah al Kahf ayat 110 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu ; Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadatnya kepada Tuhannya"

Firman Allah SWT lagi dalam surah al Ra'd ayat 38 yang bermaksud :

"Dan demi sesungguhnya ! Kami telah mengutus rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keterunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seorang Rasul untuk mendatangkan sesuatu mukjizat melainkan dengan izin Allah. Setiap satu tempoh dan waktu ada baginya ketetapan"

Sesungguhnya, antara sebab Allah SWT sangat menekankan tentang ciri-ciri keinsanan seorang Nabi dan Rasul melalui firman Nya ini adalah kerana untuk memelihara tauhid kepada Allah supaya manusia menyembah Dia Yang Maha Berkuasa dan layak untuk disembah. Apabila ketauhidan manusia utuh dan kukuh diatas kalimah tauhid, maka sesiapa pun yang menyeru kepada Allah, yang disembah hanyalah Allah, tidak kepada penyerunya.



Kebijaksanaan Allah Azza Wa Jalla menekankan sifat keinsanan para Nabi dan Rasul juga bertujuan melindungi manusia daripada mengagungkan manusia melebihi batasan yang sepatutnya. Manusia apabila melihat kehebatan seseorang Nabi dan Rasul, lalu kagum akannya, dibimbangi akan mengheret manusia bersikap melampau mengagungkan para Nabi dan Rasul sehingga ke tahap mentuhankannya.

Sejarah telah memperlihatkan kepada kita apa yang telah berlaku kepada umat Nabi Isa, kekaguman mereka sehingga taksub, melampau dalam memuji yang akhirnya mereka mengangkat Nabi Isa sebagai anak Tuhan. Perkara ini sangat bercanggah dengan akidah dan tauhid orang Islam. Oleh kerana itu, baginda Nabi SAW telah mengingatkan kita akan sikap melampau ini, sepertimana dalam sebuah hadis sahih riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Jangan kamu memujiku berlebihan seperti Kristian berlebihan memuji Isa bin Maryam. Aku hanya seorang hamba Allah. Katakanlah : Hamba Allah dan Rasul Nya"

Hadis ini memberikan peringatan kepada kita agar tidak melampaui dalam memuji para Rasul dan Nabi. Sekalipun para Rasul dan Nabi itu bersifat dengan sifat ketuhanan, mana mungkin seorang manusia biasa boleh mencontohi mereka kerana sifat Tuhan itu sama sekali tidak sama seperti sifat makhluk Nya. Para utusan Allah, nabi dan rasul, diutuskan bertujuan untuk diikuti dan dicontohi, maka kerana itulah, hakikat mereka para Rasul dan Nabi ini adalah manusia seperti kita. Kita boleh mencontohi mereka dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan. Yang membezakan kita dan mereka adalah pilihan Allah.

Syeikh Ali al Tantawi dalam kitab Ta'rif 'Am bi din al Islam, beliau menyatakan bahawa :

"Para Rasul kesemuanya manusia. Mereka dilahirkan seperti mana dilahirkan manusia, mereka mati seperti mana manusia mati, mereka sakit dan sihat seperti mana manusia sakit dan sihat. Mereka tidak berbeza dengan manusia pada bentuk tubuh badan dan anggota, tidak pada perjalanan darah dan pergerakan jantung. Mereka makan dan minum seperti mana manusia makan dan minum. Tidak pada mereka sedikit pun unsur uluhiyyah (ketuhanan), kerana ketuhanan untuk Allah semata. Namun mereka adalah manusia yang telah diwahyukan kepada mereka".

Demikianlah sifat keinsanan yang ada pada Nabi dan Rasul. Segala kisah dan cerita keajaiban yang ada pada Nabi dan Rasul adalah semata-mata dengan keizinan Allah pada insan yang terpilih. Bukanlah bermakna Nabi dan Rasul itu berkuasa melainkan dengan kekuasaan Allah jualah. Semoga Allah mengampuni dan merahmati hidup kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan