Rabu, 20 Oktober 2021

IMAN TIDAK BOLEH DIPAKSA

 

Keimanan merupakan asas terpenting dalam kehidupan sebagai seorang muslim. Beramal tanpa iman adalah sia-sia. Begitu juga sebaliknya, beriman tanpa beramal juga akan sia-sia sahaja. Perkataan iman dari sudut bahasa bermakna pembenaran hati. Manakala dari sudut istilah pula, iman membawa makna membenarkan dengan hati, mengikrarkan dengan hati dan membuktikan dengan amalan anggota badan.

Berdasarkan makna iman tersebut, adalah menjadi tiga perkara utama dalam menentukan kesahihan status keimanan seseorang. Ini bermakna, iman itu adalah lahirnya daripada hati, dizahirkan dengan ungkapan lidah dan direalisasikannya dengan mengamalkan apa yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Beriman bukanlah sekadar apa yang terkandung di hati, bahkan ianya juga meliputi percakapan dan perbuatan itu sendiri.




Oleh yang demikian, Allah SWT yang telah menurunkan Islam sebagai agama yang diredhai Nya, Dia lebih mengetahui hakikat para hamba Nya yang beriman. Memaksa manusia untuk beriman bukanlah tuntutan dalam Islam bahkan sebaliknya, sikap memaksa orang untuk memeluk Islam itu adalah dilarang dan di tegah oleh Allah Azza Wa Jalla. Perkara ini sepertimana dalam firman Nya dalam surah al Baqarah ayat 256 yang bermaksud :

"Tiada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Maka sesiapa yang tidak percaya kepada taghut serta beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada pegangan yang teguh, dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Ayat ini diturunkan oleh Allah SWT kepada golongan Ansar. Pada ketika itu, terdapat dikalangan golongan Ansar yang mempunyai anak-anak yang telah diyahudi atau dikristiankan. Apabila datangnya Islam, mereka berkehendak memaksa anak-anak mereka memeluk Islam, tetapi Allah Azza Wa Jalla telah melarang perbuatan memaksa tersebut dengan turunnya ayat ini.

Kata Ibnu Abbas, dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, yang bermaksud :

"Ada seorang wanita yang tidak dapat mengandung. Dia bernazar jika dia dapat anak, dia akan jadikannya beragama Yahudi. Apabila Yahudi Bani Nadir dihalau keluar dari Madinah, ada dalam kalangan mereka anak-anak golongan Ansar. Kata ibu bapa mereka : 'Kami tidak akan biarkan anak-anak kami mengikuti mereka', maka Allah turunkan ayat : "Tiada paksaan dalam agama..."

Berdasarkan hadis ini, begitulah Islam sangat melarang dalam hal paksa memaksa ini. Jika ibu bapa sendiri pun dilarang untuk memaksa anak-anaknya memeluk Islam, apatah lagi orang lain. Sikap memaksa ini adalah satu langkah yang boleh mengundang persepsi salah dan buruk terhadap agama Islam. Apa yang kita boleh lakukan adalah dengan berkongsikan tentang Islam. Adapun untuk memaksanya beriman, ianya adalah diluar kawalan kita. Kepada Allah jualah tempat kita bermohon agar mereka diberikan petunjuk.




Agama Islam yang diredhai Allah, diturunkan dengan penuh kesempurnaan merangkumi sifat rahmah, kasih sayang dan keadilan. Adalah tidak adil jika kita memaksa seseorang untuk memeluk Islam walhal hatinya berat dan ragu akan Islam. Pun begitu, ianya tidaklah sedikitpun menghalang kita daripada menyampaikan kebenaran dengan menyeru kembali sembah kepada Tuhan yang Maha Esa. Membawa kebenaran menyampaikan Islam pula tidak bermakna kita boleh melakukan sesuka hati.

Hal ini kerana, meksipun Allah mengiktiraf agama yang diredhai Nya adalah semata-mata Islam, sifat kasih sayang, nilai keadilan dan sifat manusiawi yang lain tetap tidak dipinggirkan. Keadilan tetap ditegakkan walau apa pun agamanya. Penghormatan kepada agama lain tetap dihormati namun tidaklah sehingga membenarkan ajaran mereka. Firman Allah SWT dalam surah al Hajj ayat 40 yang bermaksud :

"Dan kalaulah Allah tidak mendorong sesetengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama Nya ; sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa".

Ini menunjukkan walaupun Allah hanya meredhai agama Islam yang benar, hal itu tidak menafikan peranan dan tanggungjawab kita menjalankan sifat rahmah dan adil kepada mereka yang bukan Islam. Termasuklah dalam hal ini adalah Allah melarang kita memaksa orang lain hingga menafikan hak mereka untuk berfikir dan memilih. Oleh itu, marilah kita sama-sama menekuni mereka yang bukan Islam dengan menyampaikan Islam dengan cara yang sewajarnya dan tidak memaksa mereka. Semoga Allah merahmati dan memberkati hidup kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan