Jumaat, 15 Oktober 2021

MANIFESTASI CINTA AR RASUL

 

Menjelang Rabiul Awwal, seluruh umat Islam secara sedar ataupun tidak, bulan yang barakah ini ramai yang mengambil ruang dan peluang untuk memperingati sirah baginda Nabi SAW. Para sarjana Islam bersepakat menyatakan baginda Nabi SAW dilahirkan pada bulan Rabiul Awwal. Meskipun begitu, para sarjana Islam berbeza pandangan dalam menentukan tarikh kelahiran baginda Nabi SAW.

Dalam menentukan tarikh lahirnya baginda Nabi, ada yang menyatakan pada 12 Rabiul Awwal. Ini adalah pandangan oleh Ibn Ishaq, al Zahabi dan al Tabari. Ada yang menyatakan pada 9 Rabiul Awwal, ianya adalah nukilan pandangan oleh Syeikh Safiyurrahman al Mubarakfuri dalam kitab sirahnya yang masyhur, ar Raheeq al Makhtum. Ada pula sebahagiannya menyatakan pada 2 Rabiul Awwal. Pandangan ini dinyatakan oleh Imam Abdul Barr dalam kitabnya al Isti'ab Fi Makrifat il Ashab. Demikian juga sebahagian sarjana, ada yang berpandangan pada 10 dan pada 2 Rabiul Awwal.




Perbezaan tarikh ini telah menjadi perbincangan dikalangam para sarjana. Namun, pandangan yang terpilih adalah pada 9 Rabiul Awwal, seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Safiyurrahman al Mubarakfuri. Pandangan ini juga disokong oleh ulama falak terkenal, Allamah Mahmud Basya al Falaki al Misri.

Pun begitu, para sarjana Islam bersepakat atas tiga perkara utama iaitulah baginda Nabi lahir pada bulan Rabiul Awwal, pada tahun Gajah dan pada hari Isnin. Diatas kesepakatan ini, menjelang bulan Rabiul Awwal, maka seluruh umat Islam akan mengambil kesempatan mengadakan majlis memperingati baginda Nabi SAW.

Dalam usaha kita menyuburkan cinta dan kasih sayang kita terhadap baginda Nabi SAW, perkara utama yang perlu kita ikuti adalah dengan menjadikan sunnah Nabi SAW sebagai pegangan dalam kehidupan seharian. Hal ini kerana, sabda Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan dari Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang tidak suka terhadap sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku"

Demikian juga firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 31, yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah SAW), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani"




Betapa penting dan perlu diberi keutamaan oleh kita semua adalah dengan mengikuti sunnah Nabi dalam segenap hal kehidupan. Ianya bukan bermusim, bahkan mesti dan sentiasa beramal dengan sunnahnya. Cinta dan kasih terhadap baginda Nabi SAW akan melahirkan tindakan kita yang beramal dengan sunnahnya dan meninggalkan bid'ah dengan tidak mereka cipta sesuatu amalan dalam urusan agama selain daripada apa yang diperintah.

Hal ini ditegaskan oleh baginda Nabi melalui sebuah hadis yang diriwayatkan dari Aisyah, bahawa beliau berkata ; suatu ketika Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami yang tidak ada padanya, maka ia tertolak."

Demikian tegahan serta ketegasan baginda Nabi SAW terhadap mereka yang suka mengada-adakan sesuatu amalan yang tidak diperintahkan. Sunnah baginda Nabi SAW telah lengkap dan sempurna tanpa perlu penambahan. Segala perbuatan dan amal Nabi telah melengkapi syariat dan menepati titah perintah Allah. Tiadalah satu pun percakapan, perbuatan mahupun akhlak Nabi yang ditunjukkan melainkan ianya datang daripada wahyu Allah SWT. Sebagaimana firman Nya dalam surah an Najm ayat 3-4 yang bermaksud :

"Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu tentang Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu, tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."




Manifestasi cinta terhadap Rasul boleh dizahirkan dengan kita mempelajari sunnah-sunnah Nabi. Apalah gunanya kita mengingati Nabi hanya sekadar mengalunkan selawat penyedap telinga sambil berlarak membawa sepanduk tetapi sebaliknya kita semakin jauh dengan sunnahnya. Bahkan sebahagian amalan sunnah pada hari ini dianggap janggal oleh sebahagian masyarakat. Lebih pedih lagi memilukan, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mempertikaikan ilmu hadis yang diwarisi oleh para ulama turun-temurun.

Manifestasi cinta kepada Nabi yang sebenar adalah dengan kita mengikuti sunnahnya. Selain itu, kita juga mesti lebih sensitif apabila mendapat atau mendengar sesuatu hadis dengan membuat semakan terlebih dahulu. Ini kerana untuk memastikan supaya tidak berlaku penyelewengan dan pendustaan terhadap baginda Nabi. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Cukuplah seseorang dianggap berdusta jika dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar".

Kita semua cinta dan kasih akan Nabi. Oleh yang demikian, diatas rasa cinta ini, kita perlulah berhati-hati dalam menerima dan menyampaikan sesuatu hadis supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berdusta terhadap Nabi. Bersikap bijaklah dengan memelihara kesahihan hadis. Atas makna manifestasi cinta ini, sunnah diikuti dan bid'ah dijauhi. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan