Khamis, 4 November 2021

KESEDARAN ALAM SEKITAR YANG DITUNTUT ISLAM

 

Islam adalah suatu agama yang syumul, lengkap dan sempurna bermula dari bangkit tidur hingga kita tidur semula. Ajaran Islam meliputi segenap aspek kehidupan sosial, pendidikan, ekonomi dan lain-lain. Larangan Islam bukan sahaja sekadar haram dalam hal ibadat, bahkan merangkumi semua hal yang berkaitan kehidupan dunia dan akhirat.

Bercakap soal alam sekitar, Allah SWT telah menceritakan hakikat kerosakan muka bumi ini adalah berpunca dari diri manusia itu sendiri. Diatas sebab sikap tamak haloba, mengaut keuntungan tanpa mengambil kira dan peduli tentang masa depa alam yang sedang kita diami ini. Firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah ash-Shura ayat 30 yang bermaksud :

"Dan apa juga yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (daripada perbuatan salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar daripada dosa-dosa kamu".




Allah telah menjadikan alam sekitar ini dengan sistem dan peraturannya yang tersendiri. Air sungai yang mengalir menerusi sistemnya mampu memberikan manfaat kepada seluruhnya makhluk Nya yang terdiri daripada tumbuhan, haiwan dan manuisa. Telah menjadi sunnatullah, bukit-bukau yang tersusun, gunung-ganang yang kukuh, semuanya terbina atas sistemnya yang baik. Namun dek kerana ketamakan manusia yang tidak bertanggungjawab, merosak dan menghancurkan sistem aturan alam sekitar yang akhirnya, mengundang kesusahan dan bala bencana.

Maka diatas kealpaan kita, Allah SWT yang Maha Berkuasa memberikan pengajaran kepada hamba Nya dengan mendatangkan kesusahan berupa banjir, tanah runtuh dan lain-lainnya dengan tujuan agar manusia kembali sedar dan insaf akan perbuatan buruk yang tidak bertanggungjawab itu. Firman Allah SWT dalam surah ar Rum ayat 41 yang bermaksud :

"Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya kembali (insaf dan bertaubat)".

Menurut Ibn Abi Shaibah dan Ibn Jarir dari Hasan, maksudnya Allah membinasakan mereka disebabkan dosa mereka di daratan dan lautan kerana perbuatan buruk mereka. Demikian pula yang dimaksudkan kerosakan di darat dan di laut, dalam kitab tafisr al Kashhaf karangan al Zamakshari, beliau menyatakan kerosakan di darat dan dilaut seumpama kemarau, kelaparan, kekurangan hasil pada tanaman, kekurangan untung dalam perniagaan, berlaku kematian kepada manusia dan binatang, banyak kebakaran dan banjir, gementarnya pemburu dan penyelam (kembali tanpa hasil), hilangnya keberkatan dari setiap sesuatu, sedikitnya manfaat pada perkara umum dan banyaknya mudarat.




Usaha memelihara dan menjaga ekosistem alam sekitar bukan sahaja terpundak di bahu pihak berkuasa, bahkan ianya dituntut oleh Islam. Peranan saling menjaga dan memelihara anugerah yang tidak ternilai ini adalah menjadi suatu kewajipan bagi orang yang beriman. Malah, ganjaran serta pahala yang besar di sisi Allah bagi mereka yang sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar. Sebagaimana dalam sebuah hadis sahih riwayat Imam Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidak ada seorang Muslim pun yang menanam pokok atau mengusahakan pertanian lalu burung, manusia atau binatang memakan daripadanya kecuali akan menjadi sedeka untuknya".

Berdasarkan hadis ini, dapat kita fahami bahawa menjaga alam sekitar dengan mengikut peraturan serta sistemnya yang bersifat sunnatullah, akan mendatangkan manfaat kepada makhluk lain dan hal tersebut dikira sebagai sedekah bagi kita yang menjaganya. Adalah besar tuntutan Islam di dalam hal memupuk kesedaran menjaga dan memelihara alam sekitar.

Selain itu, terdapat juga beberapa larangan mencemar dan merosakan alam sekitar oleh baginda Nabi SAW sewaktu berperang. Dalam sebuah hadis, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Dengan nama Allah, seranglah mereka yang kufur kepada Allah, janganlah kamu khianati atau berubah pendirian, jangan bunuh anak-anak kecil atau perempuan, atau orang tua, atau orang yang bertapa di biar, jangan kamu tebang kurma-kurma  atau pokok-pokok dan jangan kamu robohkan bangunan-bangunan (tempat kediaman)".




Dalam sebuah hadis yang lain, baginda Nabi SAW melarang daripada kita mencemarkan air. Sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :

"Jangan seseorang dari kamu kencing dalam air yang bertakung, kemudian mandi menggunakannya".

Ibn Hajar al Asqalani dalam kitab Fathul Bari menyatakan bahawa larangan supaya tidak kencing di dalam air yang bertakung adalah supaya tidak menajiskan air, dan larangan dari mandi menggunakannya adalah supaya ia tidal merosakan kesucian. Demikian bagaimana Islam sangat mementingkan penjagaan alam sekitar agar tidak dirosakan, dicemari dan dimusnahkan akibat kehendak manusia yang bertuhankan keuntungan semata-mata.

Oleh yang demikian, marilah sama-sama kita mengambil langkah dengan penuh keinsafan dan kesedaran tinggi akan peri pentingnya menjaga dan memelihara alam sekitar. Islam bukan hanya sekadar mengajar solat di masjid, tidak hanya sekadar belajar rukun iman dan Islam bahkan memerintahkan kita untuk mengambil peduli akan anugerah alam yang dikurniakan oleh Allah yang tiada tolak bandingnya jika dinilai. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan