Selasa, 9 November 2021

MEMADAILAH DENGAN APA YANG DIBAWA OLEH NABI SAW

 

Kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW merupakan ajaran yang lengkap, sempurna lagi menepati kehendak titah perintah Allah Azza Wa Jalla. Sesudah baginda Nabi SAW wafat, tidak ada lagi nabi sesudah baginda dan tidak ada lagi agama baharu. Sepertimana yang telah diungkapkan oleh baginda Nabi SAW dalam khutbah terakhirnya, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu, wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepadamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah al Quran dan sunnahku"




Melalui pesanan terakhir oleh baginda Nabi SAW, sesungguhnya memadailah bagi kita semua sebagai hamba Nya dan umat kekasih Nya, untuk berpegang teguh serta mengikuti ajaran al Quran dan didikan sunnah Nabi SAW tanpa perlu kita menokok nambah dan beramal selain apa yang tidak dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Ingatlah akan penegasan baginda Nabi SAW berkenaan menolak mengada-adakan amalan yang tidak dibawa dan diajar oleh baginda Nabi. Dalam sebuah hadis, daripada Aisyah RA, bahawa beliau berkata, suatu ketika Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu dalam urusan agama kami yang tidak ada padanya, maka ia tertolak"

Dalam kita menyusun atur langkah kehidupan, yang lebih utama dan paling mustahak untuk kita ikutilah adalah apa yang dibawa dan diajar oleh baginda Nabi. Beramal dengan apa yang dibawa oleh baginda Nabi SAW merupakan salah satu tanda kita mencintai Allah. Hal ini sepertimana yang telah dinyatakan oleh Allah Azza Wa Jalla melalui surah ali Imran ayat 31 yang bermaksud :

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah akan mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu" Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau menyatakan bahawa ayat ini sebagai pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah dan Rasul tetapi tidak menempuh jalan Nabi Muhammad SAW, bahawa dia adalah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehingga dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam ucapan dan perbuatannya. Berdasarkan tafsiran ini, ungkapan cinta Allah dan Rasul tidak sempurna dan masih dikira pendusta selagimana kita tidak mengikuti ajaran yang dibawa oleh Nabi SAW.




Oleh yang demikian, adalah menjadi kewajipan kepada kita yang bergelar muslim yang beriman, untuk mengikuti dan beramal dengan apa yang dibawa dan diajarkan oleh baginda Nabi, baik sebesar-besar amalan sehingga sekecil-kecilnya. Panduan dan tunjuk ajar baginda Nabi SAW adalah yang sebaik-baik perkara bagi kita. Jalan yang paling selamat dan dijamin keselamatan dunia akhirat adalah dengan mengikuti sunnahnya. Tidak ada yang ditunjuk oleh Nabi melainkan semuanya datang dengan wahyu Allah.

Allah SWT menerusi firman Nya dalam surah an Najm ayat 4 yang bermaksud :

"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya".

Amat malang pada hari ini, sebahagian para agamawan berkempen di meja penceramah membawa amalan-amalan yang tidak diajarkan oleh baginda Nabi SAW, mencanang cerita karut-marut dengan harapan untuk dikagumi dan dilihat hebat serta mengajak masyarakat beramal dengan perkara yang menyanggahi sunnah. Bertambah pilu, ada sebahagian pengikutnya begitu taksub diatas nama tuan guru yang mulia. Apa sahaja yang datang dari mulut sang guru, semuanya diikut membabi buta tanpa melihat dari mana sumbernya.

Agama berdiri diatas sumbernya, iaitu al Quran dan hadis. Dua sumber utama ini merupakan panduan bagi seluruh manusia untuk menelusuri jalan yang lurus. Oleh yang demikian, segala amalan dalam urusan agama, tidak ada yang lebih selamat melainkan mengambil daripada apa yang telah dibawa oleh baginda Nabi SAW. Ada pun selain itu, zikir-zikir serta amalan-amalan tertentu yang tidak diajar oleh Nabi, wajib kita menolak dan menjauhinya. Sesungguhnya, memadailah dengan kita mengikuti sahaja apa yang dibawa oleh baginda Nabi SAW. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan