Suasana
hidup beragama pada hari ini dilihat semakin terancam dengan ajaran-ajaran juga
saranan yang menyimpang nyiur daripada asas Islam yang sebenar, iaitulah al
Quran dan as Sunnah. Malah, sebahagian perkara yang dilihat secara jelas lagi
terang menyanggahi apa yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW dianggap seperti
itulah tuntutan dalam agama. Inilah yang dibawa oleh agama.
Keadaan
ini semakin merungsingkan kita apabila timbul pula dakwaan yang menyebutkan
amalan Nabi SAW adalah bersesuaian dengan Nabi semata-mata dan kita tidak layak
untuk mengamalkan apa yang diamalkan oleh baginda Nabi. Maka tanpa rasa bersalah
dan takut menyanggahi sunnah, terciptalah segala amalan turun-temurun, sanad
bersanad dari guru ke guru, hinggalah kepadanya, lalu di ijazahkan pula amalan
dari turun-temurun itu untuk dijadikan sebagai amalan.
Timbul
persoalan, demikian kah sifat agama ? Begitukah suruhan Allah dalam hidup
beragama ? Apakah tidak cukup atau sempurna ajaran dan teladan yang dibawa oleh
junjungan besar baginda Nabi SAW ? Bagaimana pula dengan firman Nya dalam surah
Ali Imran ayat 31 yang bermaksud :
"Katakanlah
(wahai Muhammad kepada umatmu) : Jika kalian benar-benar mencintai Allah, maka
ikutilah aku (Muhammad) nescaya Allah akan mencintai kalian dan mengampuni dosa
kalian"
Dengan
menggunakan akal yang waras, tanpa memerlukan kita belajar tinggi sehingga PhD,
siapakah yang lebih layak untuk kita ikuti dan contohi ? Berdasarkan firman
Allah ini, jelas bagi kita semua yang beriman kepada Nya, menjadi titah
perintah dan suruhan Nya kepada kita semua untuk mengikuti dan mencontohi apa
yang dibawa dan ditunjukkan oleh baginda Nabi SAW.
Oleh
itu, agak kehairanan juga apabila ada yang cuba untuk menghidupkan semula agama
ini dengan sifat konservatif, iaitu mengamalkan sesuatu berdasarkan apa yang
telah dilakukan oleh orang-orang terdahulu, mempertahankan nilai serta didikan
orang dahulu meskipun jelas ianya berlawanan dengan apa yang dibawa oleh
baginda Nabi SAW.
Hal
ini berlaku adalah barangkali kerana sikap kejahilan umat yang malas berfikir,
membaca serta mengakaji menggunakan akal yang waras, sehingga menerima apa
sahaja yang diajarkan meskipun hal itu tidak diketahui sumber dan asasnya.
Demikianlah sifat golongan konservatif dalam beragama, yang gemar mengajar
masyarakat dengan menyampaikan ajaran-ajaran yang jauh daripada asas agama,
menipu dengan bermodalkan kepetahan bersyarah, memukau masyarakat dengan
sedikit kelebihan pandai membaca al Quran, berdusta dengan gelaran tok guru,
mengeksploitasikan kejahilan umat dengan mengajar tanpa perlu ketahui asasnya.
Sejak
dahulu lagi, orang agama yang bersifat konservatif ini tidak gemar masyarakat
untuk berfikir, mengkaji dan mengetahui dalil. Bahkan dituduh menggunakan akal
akan menjadikan kita kufur dan jauh dari landasan agama. Padahal, sekiranya hal
itu berlaku, maka ianya akan memberi ancaman kepada sumber ekonomi mereka. Tidak
boleh lagi mengambil upah menjampi, tiada lagi upah tolong berdoa, baca tahlil
dan sebagainya.
Perkara
ini telah mengingatkan kita akan kata-kata Pendeta Za'ba dalam bukunya yang
bertajuk "Perangai Bergantung Pada Diri Sendir". Katanya,
bahkan tidak sedikit mereka yang cenderung berharap pertolongan orang lain
sahaja, seperti berharap kepada doa tok-tok lebai, tok-tok guru dan tok-tok
alim, atau berharap kepada sedekah tahlil mereka itu dan sebagainya apabila
telah masuk ke dalam alam arwah (sudah mati) kelak.
Demikian bagaimana Za'ba dengan lantangnya mengkritik sebahagian orang dahulu yang suka dan gemar bergantung kepada tok-tok guru dan membenarkan apa sahaja yang dibuat oleh gurunya tanpa mengetahui pokok pangkal sesuatu perkara. Sekiranya Za'ba masih hidup dan melihat perkembangan ini, sudah tentu beliau akan terus mengkritik sikap sebahagian orang agama yang cuba mengkonservatifkan agama ini dengan menumpukan kuasa autoriti mutlak kepada mereka. Walhal, yang lebih besar dan lebih hebat daripada itu adalah al Quran dan as Sunnah.
Seperti
juga Buya Hamka, pada era zamannya berlakunya polemik Kaum Muda (Wahabi) dan
Kaum Tua (Konservatif), beliau sendiri telah menentang golongan agamawan yang
bersifat konservatif dalam beragama. Beliau menulis sepucuk surat untuk Mufti
Johor, Tuan Sayyid Alwi bin Tahir al Hadad, pada tahun 1958 yang bertajuk
" Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor", beliau
menyatakan bahwa sepatutnya golongan yang digelar sebagai Kaum Tua
(konservatif) perlu disebutkan sebagai Kaum Muda. Kerana yang tuanya adalah
golongan Salaf, yang terdiri daripada zaman para Sahabat Nabi SAW seterusnya
zaman yang mengikuti jejak langkah mereka.
Apa
yang cuba dibawa oleh sebahagian orang agama, dengan mendatangkan amalan serta
ajaran yang bertentangan dengan al Quran dan as Sunnah, adalah suatu bencana
dan malapetaka yang besar bagi umat. Malah, lebih memburukkan lagi keadaan,
apabila umat ini terus berada di dalam lembah kejahilan, taksub dan fanatik
dengan golongan ini. Inilah malapetaka besar yang sedang melanda umat. Oleh
itu, sebagai seorang Islam yang memiliki iman kepada Nya, adalah menjadi
tanggungjawab serta peranan kita semua untuk mengajak masyarakat untuk kembali
kepada asas dalam agama.
Ibnu
Rusyd pernah berkata, jika ingin menguasai orang bodoh, bungkuslah sesuatu yang
batil dengan agama. Berhentilah daripada dieksploitasi oleh sebahagian mereka
yang tidak bertanggungjawab. Waspadalah dengan cerita karut-marut, amalan tidak
berasas dan lain-lain perkara yang mengundang kita untuk semakin jauh daripada
landasan agama Islam yang sebenar. Berusahalah dengan akal yang waras,
diimbangi dengan ilmu yang sahih dan diterjemahkan dalam bentuk amalan yang
menepati kehendak Allah dan Rasul Nya. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan