Perkembangan
semasa politik hari ini boleh digambarkan seolah-olah seperti tidak sihat dan
agak tenat. Hal ini kerana percaturan demi percaturan yang diatur untuk
kepentingan tertentu yang akhirnya menjerat rakyat yang tidak berdosa.
Pergolakan politik sedikit demi sedikit telah mengheret rakyat ke kancah yang
tidak sihat. Dari sudut positif, situasi ini juga ini sangat bagus bagi rakyat
untuk bangun dan menilai semula dengan menyuarakan hak rakyat dalam memilih
wakil mereka.
Melihat
situasi yang tidak menentu ini, istilah "katak" sudah mula di
tutup aibnya dengan melabelkan berprinsip. Ada juga yang cuba menjernihkan
semula parti dengan menampilkan calon yang lebih muda dan baharu. Kononnya
inilah aspirasi dan kehendak rakyat. Tidak kurang ada juga pelbagai adegan siri
pelacuran politik, cium sana jilat sini demi pertahankan kekuasaan, yang
akhirnya disebut sebagai ijitihad politik.
Sementelah
itu, kita dapat melihat rakyat yang dulunya tidak dipeduli suara dan haknya,
kini dijulang bagai raja berapi-api. Janji dahulu masih kekal sebagai janji dan
terus berikrar untuk ditepati. Apa yang membimbangkan kita adalah bukan soal
calon baharu, tidak juga soal lompat tak lompat, yang membimbangkan rakyat
adalah hala tuju dan masa depan parti yang bakal memerintah yang dipimpin oleh
mereka yang rakus kuasa dan tamak haloba.
Meskipun
ada usaha daripada beberapa parti politik yang cuba meletakkan calon baharu
dengan wajah dan harapan yang baharu, itu semua tidak dapat memuktamadkan
kebimbangan rakyat terhadap masa depan mereka. Apa yang lebih penting ialah
bagaimana sesebuah parti politik kelak yang bakal memimpin negara menjalankan
tugas dan amanah dengan telus dan jujur. Berkhidmat tanpa penat dan berbakti
tanpa henti untuk rakyat.
Meletak
calon muda dan baharu sekalipun, sekiranya soal dalaman parti politik masih
dibelenggu dengan soal ketirisan wang, pecah amanah, politik wang dan lain-lain
maka perkara tersebut masih tidak dapat menjamin masa depan yang lebih
sejahtera dan cerah. Selagi hala tuju parti politik masih tidak mahu berubah
membawa aspirasi baharu, maka selagi itulah tiada jaminan nasib rakyat
benar-benar akan terbela. Sepanjang tempoh ketidaktentuan politik, slogan
rakyat ditunggang habis-habisan. Semuanya demi rakyat. Hakikatnya, slogan hanya
sekadar laungan politik. Selebihnya, untuk habuan dan kepentingan tertentu.
Teringat
kata-kata Al Marhum Dr. Siddiq Fadzil ketika dalam satu wacana ilmiah, beliau
menyatakan bahawa dalam politik tidak penting pendapat-pendapat ini, yang
penting ialah pendapatan. Soal rakyat adalah soal kedua. Yang penting bagi
sebahagian politikus adalah kuasa dan takhta. Oleh kerana itu, episod
lompat-melompat, merampas kuasa melalui pintu belakang, adegan politik
pelacuran adalah hidangan kerakusan oleh politikus kepada rakyat setelah mereka
diberi kuasa dan kepercayaan. Untungnya adalah mereka yang berkuasa. Yang
ruginya adalah rakyat bawahan.
Adegan
dan babak kerakusan politikus ini akan memakan diri mereka sendiri kelak.
Demokrasi akan memulangkan semula hak rakyat dalam menentukan masa depan yang
lebih baik dan cerah. Ketika dan saat itu, rakyat lah penentu nasib turun naik
seseorang pemimpin. Maka sebelum episod kalah menang parti politik tertentu,
bawalah insaf dan bermuhasabah lah dengan hala tuju sebenar parti politik
masing-masing. Renungi lah kata-kata Fudail Ibn Iyyad yang bermaksud :
"Tidak
ada seorang lelaki yang gilakan kuasa kepimpinan melainkan dia akan terjebak dengan
hasad dan kejahatan, suka mencari keaiban manusia dan dia benci untuk menyebut
kebaikan orang lain"
Juga
marilah kita sama-sama merenungi sabda baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis
riwayat Imam Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
kalian akan bersungguh-sungguh menginginkan jawatan, sedangkan jawatan akan
menjadi sesalan pada hari kiamat (jika tidak dijalankan dengan baik)".
Melalui
hadis ini, baginda Nabi SAW memperingati kita bahawa jawatan dan kedudukan yang
kita idam-idamkan ini boleh menjadi penyebab kita memyesal di hari akhirat
kelak kerana tidak amanah dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab sebagai
seorang pemimpin. Sebagai seorang
muslim, memadai lah dengan peringatan daripada baginda Nabi SAW yang tidak kata
selain dari wahyu Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan