Agama
Islam yang diturunkan oleh Allah SWT kepada para hamba Nya melalui para Rasul
Nya, tidaklah bertujuan untuk menolak fitrah diri manusia itu sendiri. Sikap
seronok berhibur dan bergembira merupakan citra manusia yang sudah menjadi
fitrahnya. Ada ketika kita akan berasa berduka dan ada masanya kita perlukan
hiburan untuk mengembirakan diri ini.
Sesiapa
pun tidak boleh menafikan kecenderungan kita yang memerlukan hiburan dan
kegembiraan. Bahkan jika dilihat, hiburan mampu memberi kesan dan rawatan minda.
Malah, hiburan telah pun menjadi sebahagian terapi bagi diri kita yang
dirundung kesedihan dan kedukaan. Maka, secara fitrahnya, manusia memerlukan
hiburan. Namun dalam masa yang sama, manusia bukanlah semata-mata dicipta untuk
mengisi hidup dengan berhibur sahaja.
Tujuan
hidup kita sebenar adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Sepertimana
dalam firman Nya dalam surah ad Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :
"Tidaklah
aku jadikan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah (beribadah) kepada
Ku"
Berdasarkan
ayat ini, jelas bagi kita tujuan utama kita diciptakan adalah untuk mengabdikan
diri kita hanya kepada Allah Azza Wa Jalla. Melaksanakan kebaikan dan mencegah
kemungkaran. Ini adalah tujuan sebenar kita diciptakan. Akan tetapi, tujuan penciptaan
tidak menafikan hak dan fitrah diri manusia yang kadang memerlukan hiburan.
Oleh itu, hiburan boleh kita sifatkan sebagai sebahagian kehendak hidup yang
sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan bukannya keperluan utama untuk kehidupan.
Islam
adalah agama yang meraikan fitrah. Oleh sebab itu, syariat Islam datang bukan
sekadar menuruti perintah Allah bahkan juga sebagai mengimbangi kehendak diri
manusia itu sendiri. Islam bukanlah agama yang anti hiburan atau menolak segala
bentuk untuk berhibur. Dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang
bermaksud :
"Bahawa
pada hari raya Fitri atau Adha, Abu Bakar masuk ke rumahnya (rumah 'Aishah) dan
Nabi SAW berada di sisinya. Ketika itu ada dua orang penyanyi wanita sedang
menyanyi mengenai kebanggaan Ansar pada Hari Bu'ath (peperangan antara Aus dan
Khazraj). Abu Bakar berkata : "Suara syaitan" (sebanyak dua kali).
Nabi SAW bersabda : "Biarkan mereka wahai Abu Bakar ! Setiap kaum ada hari
raya dan sesungguhnya hari ini adalah hari raya kita"
Berdasarkan
hadith ini, kita dapat melihat bagaimana baginda Nabi SAW begitu terbuka dan
meraikan fitrah manusia untuk berhibur. Nabi SAW tidak melarang hal itu
sekalipun nyanyian tersebut berlaku dalam rumah baginda Nabi. Sikap baginda
Nabi yang begitu lunak dan tidak bersikap keras mengenai hiburan membuktikan
bahawasanya Islam bukanlah agama yang keras dan mengongkong fitrah manusia.
Malah, kita juga boleh melihat bagaimana hikmahnya baginda Nabi menolak
bantahan Saidina Abu Bakar yang menganggap hiburan seperti suara syaitan.
Begitu
juga dalam hadith riwayat Imam Bukhari, daripada 'Aishah bahawa :
"Seorang
wanita berkahwin dengan lelaki Ansar, maka baginda bersabda : "Wahai
Aishah ! Mengapakah tiada bersama kamu hiburan ? Orang Ansar sukakan
hiburan"
Hadith
ini memberikan isyarat kepada kita bahawa tidaklah salah dan berdosa untuk kita
bergembira dengan berhibur pada sesuatu majlis di hari-hari tertentu seperti di
majlis perkahwinan, sambutan ulangtahun dan sebagainya. Ini sekaligus
mengambarkan Islam adalah suatu agama yang menitikberatkan soal fitrah dan
naluri manusia itu sendiri. Sebagaimana Nabi SAW suatu ketika, membiarkan
isterinya 'Aishah menonton sebuah pertunjukkan orang Sudan sehingga 'Aishah
sendiri jemu melihatnya.
Peristiwa
ini diceritakan oleh 'Aishah dalam sebuah hadith riwayat Imam Bukhari yang
bermaksud :
"Pada
hari raya orang Sudan membuat pertunjukkan permainan perisai dan lembing. Aku
tidak pasti sama ada aku yang meminta, atau baginda yang berkata : "Adakah
engkau ingin menontonnya ?' Jawabku : Ya. Lalu baginda menjadikan aku berada di
belakangnya, pipiku menyentuh pipinya sambil baginda berkata : "Teruskan
wahai Bani Arfidah (orang-orang Sudan). 'Sehinggalah aku jemu. Kemudian baginda
berkata kepadaku : 'Sudah cukupkah (jemukah) ?' Jawabku : Ya. Kata baginda :
'Kalau begitu, pergilah".
Demikianlah
baginda Nabi SAW yang melayani naluri isterinya yang terhibur dengan
pertunjukkan orang Sudan. Ini juga mencerminkan bagaimana sikap baginda Nabi
SAW yang tidak menolak mentah-mentah apa sahaja bentuk hiburan asalkan ianya
tidak melampaui batasan agama yang telah digariskan. Oleh itu, secara asasnya,
hiburan merupakan suatu perkara yang diharuskan oleh Islam. Namun, keharusan
dalam berhibur adalah terletak dan bergantung kepada bagaimana kandungan hiburan
itu sendiri.
Sebahagian
masyarakat menganggap asal namanya hiburan, maka ianya melalaikanan haram.
Dengan anggapan ini, kita tidak menolak kemungkinan akan lahirlah kelompok
Islamis yang melampau menolak hiburan mentah-mentah tanpa ada asasnya. Walhal,
berhibur adalah suatu yang menjadi warna-warni kehidupan. Cumanya, yang perlu
kita ambil tahu adalah pengisian dalam berhibur. Mestilah berhibur dalam
konteks yang dibenarkan oleh syariat. Jika lebih daripada itu, maka tidak ada
yang boleh melepasi syariat melainkan hal itu akan menjadi haram.
Apa
yang pentingnya ialah Islam datang bukanlah untuk menafikan fitrah manusia.
Sebaliknya, Islam datang untuk membimbing dan memandu naluri serta fitrah
manusia agar ianya tidak melampaui batas. Begitu juga dengan syahwat. Islam
tidak menafikan naluri manusia yang berkehendak kepada kecantikan, kemewahan
dan sebagainya. Namun, Islam diturunkan untuk memastikan kehendak naluri
tersebut dipandu dan dibimbing dengan sebaiknya. Semoga Allah memberkati dan
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan