Setiap
pasangan yang mendirikan rumahtangga sudah tentu mengharapkan kelahiran cahaya
mata yang akan menambah erat kasih sayang antara mereka. Setiap anak yang
dilahirkan juga membawa makna rezeki yang baik untuk manusia. Oleh itu,
pemberian cahaya mata adalah sebuah penantian yang di dambakan. Sejak awal
disahkan mengandung lagi, pelbagai persiapan dan persediaan kita lakukan. Semua
itu dilakukan atas nama kasih dan sayangnya kita kepada anak yang bakal
dilahirkan.
Dalam
sebuah hadith riwayat Imam Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
"Setiap
anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah, kedua ibubapanyalah yang
mencorakkannya menjadi yahudi atau nasrani atau majusi".
Berdasarkan
hadith ini, peranan ibubapa adalah sangat besar dan penting bukan sahaja
tentang persediaan untuk menyambut kelahiran bahkan perlu lebih bersedia juga
untuk memastikan anak yang dilahirkan nanti diberikan kefahaman Islam yang
sebenar, di didik dan ditarbiah mengikut acuan al Quran dan as Sunnah. Setiap
pasangan yang mendambakan anak harus sedar bahawa betapa penting dan besarnya
amanah yang akan dipikul kelak dan hal ini akan dipersoalkan oleh Allah pada
hari akhirat kelak.
Oleh
kerana anak merupakan amanah yang begitu besar, maka ibubapa perlu bersedia
dari sudut mental dan fizikal, juga perlu bersiap sedia menghadapi ujian
daripada Allah. Hal ini kerana, anak-anak merupakan salah satu ujian dalam
kehidupan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah at Taghabun ayat 15 yang
bermaksud :
"Sesungguhnya
harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi
Allah jualah pahala yang besar".
Anak
yang merupakan amanah terbesar ini akan menguji setiap mereka yang bergelar ibu
dan bapa dalam usaha mendidik dan mentarbiah anak-anak ini menjadi manusia yang
berguna. Menantikan kelahiran seorang anak, bukan lagi sekadar menentukan baju
apa yang hendak dibeli, tetapi lebih besar daripada itu ialah bagaimana anak
ini akan di didik. Ke mana hala tuju ibubapa untuk mencorakkan anak ini agar
menjadi saham pahala di negeri akhirat kelak.
Dalam
usaha untuk mendidik dan mentarbiah, ada beberapa perkara penting yang harus
diberikan penekanan dan ini juga adalah tanggungjawab dan peranan yang ibubapa
perlu lunaskan. Antara perkara terpenting dalam mendidik dan mentarbiah anak,
terlebih dahulu kita sebagai ibubapa wajib mengajar anak-anak supaya mengenal
Allah SWT dan Rasulullah SAW. Ajarilah mereka dengan ilmu tauhid, mengenali
siapa itu Tuhan dan laranglah mereka daripada melakukan syirik.
Dalam
al Quran, Allah SWT telah merakamkan sebuah nasihat seorang bapa kepada anaknya
surah Luqman ayat 15 yang bermaksud :
"Dan
(ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa memberi nasihat
kepadanya : "Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan
Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu
kezaliman yang besar".
Mengenal
Tuhan adalah asas dan merupakan akar kehidupan sebagai seorang muslim. Tidak
mengenali Tuhan adalah bencana yang paling besar dan hal ini satu kerugian yang
tiada tolak bandingnya. Selain itu, sebagai ibubapa juga, kita perlu sedar akan
betapa pentingnya mendidik anak-anak dengan menanam sifat sentiasa diri diawasi
oleh Allah dalam segala hal yang dilakukan, baik secara terangan mahupun secara
bersembunyi. Hal ini penting untuk menjelaskan kepada mereka walau kemana
sahaja kita berada, Allah sentiasa melihat dan mengawasi kita.
Firman
Allah SWT dalam surah Luqman ayat 16 yang bermaksud :
"(Luqman
menasihati anaknya dengan berkata) : " Wahai anak kesayanganku,
sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun
seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau
pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalas
Nya), kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuan Nya, lagi amat meliputi
akan segala yang tersembunyi".
Setelah
kita mengajar mereka untuk mengenali Allah SWT, para ibubapa juga seharusnya
berpesan kepada anak-anak, mengajar dan membimbing anak-anak supaya mendirikan
solat. Hal ini sangat penting bagi kita untuk mengajar anak-anak tentang solat
serta mengajak dan menyuruh mereka menunaikan solat. Amat sedih dan malangnya
pada hari ini, sebahagian ibubapa sanggup menggerakkan anak-anak mereka di awal
pagi untuk tujuan bersiap ke sekolah, tetapi tidak untuk menyuruh anak-anak
menunaikan solat.
Dalam
sebuah hadith hasan sahih riwayat Abu Daud, sabda Nabi Muhammad SAW yang
bermaksud :
"Suruhlah
anak-anak kamu solat ketika berumur tujuh tahun dan maka pukullah mereka jika
mereka berusia sepuluh tahun (jika mereka sengaja meninggalkan solat), dan
pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan ketika mereka
berusia sepuluh tahun)".
Para
ibubapa juga seharusnya terlebih dahulu menjadi contoh teladan kepada anak-anak
dengan mengajak mereka menunaikan solat. Bukan sekadar menyuruh sedangkan kita
sendiri pun gagal untuk hal itu. Solat merupakan tiang agama. Maka jika
sesebuah keluarga itu tidak mendirikan solat maka bererti sudah runtuhlah agama
dalam keluarga tersebut.
Selain
menerapkan ilmu tauhid, mengajar mereka mendirikan solat, para ibubapa juga
seharusnya menekankan tentang soal pembinaan akhlak sahsiah yang unggul,
menerapkan dan menyemai sifat-sifat terpuji seperti jujur, amanah dan menjauhi
sifat tercela seperti sombong dan bangga diri. Sentiasalah berpesan dan
mengingatkan anak-anak agar tidak bersikap sombong dan angkuh. Sepertimana
Luqman berpesan kepada anaknya yang dirakamkan oleh Allah SWT menerusi surah
Luqman ayat 18 yang bermaksud :
"Dan
janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia,
dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong ; Sesungguhnya
Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan
diri".
Demikian
beberapa tanggungjawab dan peranan yang harus dimainkan oleh para ibubapa. Kita
yang bergelar ibu dan bapa seharusnya bermuhasabah dengan apa yang telah kita
lakukan untuk mendidik dan mentarbiah anak-anak. Kita perlu sedar bahawa anak
yang menjadi impian dan penantian bagi setiap yang berkeluarga merupakan sebuah
amanah yang besar. Tidak sekadar anugerah tetapi diberi dengan amanah. Semoga
Allah menjadikan kita hamba Nya yang bertaqwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan