Selasa, 16 November 2021

POLITIK HEGEMONI YANG HARUS DITOLAK

 

Hegemoni merupakan suatu konsep yang berasal daripada istilah Yunani, hegeisthai yang membawa maksud mengetuai atau memimpin. Konsep hegemoni ini mula diperkenalkan oleh seorang sarjana Itali yang bernama Antonio Gramsci. Beliau telah menulis berkenaan konsep ini menerusi karyanya yang bertajuk Prison Notebooks. Apa yang menariknya, karya penulisannya ini ditulis ketika beliau sedang menjalani hukuman penjara dari tahun 1926 hingga tahun 1937.

Usaha Gramsci memperkenalkan istilah hegemoni ini adalah bertujuan untuk menyedarkan masyarakat bawahan bahawa mereka sedang dan telah didominasi dan dieksploitasi secara sosialogi oleh golongan atasan yang memegang tampuk pemerintahan. Menurut Gramsci, hegemoni merupakan dominasi satu kumpulan terhadap kumpulan lain yang lebih lemah, meskipun bilangannya ramai.



Secara mudahnya, konsep hegemoni ini membawa maksud suatu kaedah untuk mendoktrinkan rakyat bawahan dengan pelbagai bentuk seperti ugutan, ancaman dan lain-lain. Sebagai contoh, demi untuk mengekalkan kuasa dan takhta pemerintahan, maka pelbagai agenda untuk memburukkan imej serta watak pihak lawannya dengan penguasaan media arus perdana, juga dengan menabur berita palsu dan fitnah, melabel dan mewujudkan sangkaan buruk terhadap lawan, menimbulkan ketakutan sekiranya pihak lain menang, dan sememangnya inilah budaya politik yang seringkali berlegar di arena persada politik kita.

Dalam konsep hegemoni, tekanan, perdaya, manipulasi dan sokongan akan berjalan dan bergerak seiring. Untuk meraih sokongan, maka pelbagai tekanan politik cuba diberikan. Juga memanipulasi media dengan memperlihatkan sisi buruk pihak lawan, bahkan juga mereka turut akan memperdayakan rakyat dengan menimbulkan ketakutan dan keresahan sekiranya pihak tertentu dipilih sebagai pemerintah.

Apabila keadaan ini berlaku, kumpulan yamg mendominasi akan berjaya mempengaruhi serta mengawal kumpulan yang didominasi untuk menerima nila moral dan politik, juga memaksa untuk menerima budaya kumpulan yang dominan. Maka melalui konsep hegemoni ini, kita dapat lihat bagaimana pihak penguasa akan melaksanakan pelbagai usaha diantaranya adalah dengan mengeksploitasikan seluruh jentera media yang ada bagi tujuan memperlihatkan bahawa merekalah pejuang agama, bangsa dan negara.




Sebenarnya konsep hegemoni ini adalah sesuatu kaedah yang tidak sihat untuk meraih sokongan politik seterusnya untuk mengekalkan tampuk kekuasaan. Apa yang kebanyakan generasi muda mahu lihat adalah kehebatan dan keterujaan dasar dan polisi yang mahu dilaksanakan. Bukan sekadar bercakap mencanang sana sini tetapi dengan penuh yakin dan berani, perlu dibawa ke arena debat dan memperincikan apa dasar dan polisi yang mahu diketengahkan.

Kempen politik yang sihat sememangnya dinanti-nantikan oleh golongan rakyat yang dahagakan kemajuan, pembangunan serta mengharapkan nasib dan maruah mereka terjaga dan terpelihara. Apa yang terjadi dalam kancah arena politik kita hari ini, budaya politk matang dan sejahtera hanyalah sekadar laungan semata-mata dan hal ini tidak dapat diterjemahkan dengan tindakan. Kita dapat lihat bahawa masih berlaku kempen bersifat menakutkan, mengugut dan memberi ancaman tanpa membawa sebarang dasar dan polisi yang menyakinkan.

Amat malang lagi, ada yang menggunakan ruang kempen ini untuk mencucuh sentimen perkauman, bangsa dan agama. Walhal, alangkah cantik dan sihatnya, jika dasar dilawan dengan dasar, polisi dilawan dengan polisi dan bukannya memburukkan lawan dengan pelbagai kaedah kempen yang tidak sihat. Perkara ini seringkali berulang-ulang dengan menonjolkan keburukan lawan dan hal ini lama kelamaan akan meloyakan rakyat.




Keadaan ini boleh ditolak dengan kesedaran yang tinggi. Pihak penguasa perlu lebih adil dan berani dalam hal ini dan bukannya menyekat hak kebebasan media arus perdana. Untuk masa hadapan, kita semua perlu sedar dan bangkit menolak politik berkonsepkan hegemoni ini agar kita bebas dan memiliki autoriti memilih tanpa perlu ada rasa ditekan dan diugut. Akhirnya, marilah sama-sama kita menekuni sebuah hadis Nabi SAW riwayat Imam Bukhari, daripada Abu Dzar RA, dikatakan bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasiqan dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu".

Imam al Hafiz Ibn Hajar al Asqalani dalam Fath al Bari telah berkata barangsiapa yang berkata kepada seseorang dengan mengatakan kamu fasiq atau kamu kafir dan tuduhan itu tidak seperti yang dikatakan maka dia (yang melemparkan tuduhan) berhak mendapat apa (sifat) yang disebutkan itu. Maka jika sebaliknya, maka tuduhan itu tidak akan kembali kepadanya disebabkan tuduhannya itu benar.

Semoga kita semua berpolitik secara sihat, menolak politik bersifat hegemoni dan pelacuran politik murahan. Kepada Allah jualah sebaik-baik tempat kita meminta dan bersandar. Mudah-mudahan Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan