Isnin, 30 Januari 2023

FAHAMAN ATEISME : GERAKAN TIDAK BERTUHAN

 

Naluri manusia secara fitrahnya pasti akan mempercayai sesuatu kekuasaan ghaib yang dapat memberikan perlindungan, kesejahteraan dan sebagai tempat memohon segala hajat dan keperluan. Tanpa mengira apa jua nama yang diberikan, manusia secara normal pasti mempunyai naluri keyakinan akan kewujudan kekuasaan tersebut. Oleh kerana itu juga, kita dapat melihat perkembangan kewujudan agama-agama di dunia ini tumbuh dan bercambah selari dengan naluri manusia itu sendiri yang hidup mesti bertuhan. Pada kebanyakan manusia itu, Tuhan merupakan suatu entiti kepada kekuasaan yang dipercayainya.

Namun, diatas perkembangan ini juga, kita dapat melihat suatu gerakan ideologi yang tumbuh dengan mesejnya menentang arus fitrah manusia yang hidup bertuhan. Ideologi ini disebutkan sebagai "Ateisme". Istilah Ateisme merupakan gabungan dari dua perkataan iaitu "atheis" dan "isme". Perkataan ateis berasal dari bahasa Yunani iaitu atheos yang membawa maksud tiada Tuhan. Manakala perkataan isme pula merujuk kepada makna suatu fahaman, ideologi dan seumpamanya. Maka gabungan dua perkataan ini membentuk makna sebagai fahaman atau gerakan yang menolak dasar kewujudan ketuhanan.

Berdasarkan The Encyclopedia of Religion, ateisme merupakan suatu doktrin yang mendakwa bahawa Tuhan tidak wujud dan kepercayaan terhadap kewujudan Tuhan adalah kepercayaan yang palsu. Selain itu, dalam satu sudut lain pula, menurut The New Encyclopedia Britannica, ateisme merupakan sebuah kritikan dan penafian terhadap kepercayaan metafizik tentang Tuhan atau makhluk kerohanian. Meskipun begitu, kita mesti bijak membezakan antara fahaman agnostisme dan fahaman ateisme. Agnostisme merupakan suatu ideologi yang menimbulkan keraguan tentang kebenaran kewujudan Tuhan. Sebaliknya, Ateisme pula suatu ideologi yang dengan yakin dan pasti menolak akan kewujudan Tuhan.




Dalam tradisi ilmu Islam, ateisme disebutkan sebagai mulhid atau ilhad. Menurut Ibn Faris dalam kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah, mulhid atau ilhad membawa maksud menyimpang daripada pandangan yang benar. Selain disebutkan sebagai mulhid atau ilhad, terdapat juga beberapa perkataan dan istilah lain yang merujuk kepada fahaman ateisme seperti dahriyyah, zanadiqah, tabi'iyyah dan la diniyyah. Berdasarkan pandangan para sarjana Islam, seperti yang dinyatakan dalam kitab Mausu'ah al-Falsafah Wa al-Falasifah, golongan ateisme ini bukan sahaja menolak kewujudan Tuhan serta agama malah ateis juga bermaksud mereka yang mengingkari serta mendustakan kewujudan Allah.

Aliran fahaman ini lahir daripada sejarah pemikiran moden Barat yang lampau. Akibat daripada kegagalan pihak gereja sebagai sebuah institusi agama di Barat menjadi sebuah institusi yang mulia dan contoh teladan yang baik, akhirnya kebangkitan Barat menolak sistem nilai moral beragama , tidak lagi mempercayai pihak gereja sekaligus melahirkan pemikiran-pemikiran baru bertujuan membebaskan manusia dari berada di bawah cengkaman agama. Krisis agama di Barat yang memperlihatkan bagaimana penyelewengan dan penindasan yang dilakukan oleh pihak gereja, menghasilkan sebuah kebangkitan menghakis kepercayaan terhadap institusi agama.

Kesan daripada kebangkitan tersebut, maka muncul lah beberapa kenyataan yang boleh disifatkan sebagai menolak agama dan Tuhan. Antara figura dan tokoh terawal yang mengemukakan ideologi ateisme ini ialah Baron D' Holbach. Beliau menulis sebuah buku berjudul The System of Nature. Dalam penulisannya, beliau menyatakan bahawa alam ini bekerja dengan mekanismenya sendiri dan tidak melibatkan pengaruh Tuhan. Padanya, agama merupakan suatu bentuk penindasan dan kezaliman yang melemahkan kebenaran. Selain itu, Ludwig Andreas Feuerbach, antara tokoh terawal juga dalam memperjuangkan ideologi ateisme ini. Dalam buku beliau yang berjudul The Essence of Christianity, beliau menyatakan bahawa pemikiran mutlak tentang Tuhan tidak penting kerana ia sekadar khayalan akal yang berpisah daripada Tuhan.




Tokoh Sosialis dan Kapitalis terkenal, Karl Marx turut melontarkan pandangan berbaur ateisme menerusi bukunya, Critique of Hegel's Philosophy of Right. Dalam penulisannya, beliau menyatakan bahawa agama itu seperti candu rakyat. Baginya, agama itu sendiri telah merampas kesedaran manusia dengan membawa episod kedukaan sedangkan manusia berkeinginan menjadikan alam ini lebih baik. Oleh yang demikian, beliau berpandangan Kristian dan semua agama di dunia hendaklah dimusnahkan terlebih dahulu sebagai proses membina alam. Vladimir Lenin, antara yang mendukung falsafah Karl Marx turut menyatakan dalam bukunya, Socialism and Religion, agama adalah sejenis arak yang sangat kotor sehingga memabukkan akal serta menutup ingatan seseorang manusia daripada mengingati tentang kesedaran untuk berusaha membebaskan diri.

Kemunculan ideologi fahaman ateisme di Barat telah berkembang luas ke seluruh dunia. Fahaman ini juga disebarkan dengan pantas melalui banyaknya bahan bacaan, medium wacana dan diskusi, melalui internet dan sebagainya. Turut tidak ketinggalan, Malaysia yang kita cintai ini. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010, seramai 202, 763 orang atau 0.7 peratus dikategorikan sebagai tiada agama. Dalam satu kajian yang dilakukan oleh WIN-Gallup International pada tahun 2014, hasil kajian ke atas 500 responden di Malaysia, di dapati sebanyak 3 peratus mengaku sebagai ateis dan 20 peratus mengaku tidak beragama. Angka dan perolehan data ini tidak boleh dipandang remeh. Hakikat yang harus diakui, ideologi ateisme ini merupakan serangan pemikiran yang tidak dapat dikesan secara zahir. Ianya mampu menyerang ke minda manusia dengan menimbulkan pelbagai keraguan tentang Tuhan dan agama.

Sebagai warganegara Malaysia yang menjunjung tinggi perlembagaan negara, harus diingatkan bahawa di bumi ini tidak ada ruang untuk fahaman ateisme ini bertapak. Diatas ikrar Rukun Negara, seluruh rakyat berikrar pada rukun yang pertama, kepercayaan kepada Tuhan. Oleh itu, tiada ruang bagi golongan yang diluar fitrah manusia ini, yang menafikan kewujudan Tuhan ini, untuk hidup bebas dan menyebarkan fahaman songsang mereka ini. Sejarah lampau di Barat, memperlihatkan bagaimana agama Kristian dimanipulasikan oleh para pendeta yang rakus sehingga mengheret agama-agama lain turut terpalit. Agama Islam tidak seperti agama lain. Bahkan jauh lebih baik, Islam datang dengan membawa terma kebebasan, dari menjadi hamba sesama makhluk, bebas merdeka menjadi hamba kepada yang berkuasa mutlak, yakni Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 25 Januari 2023

AL-QURAN SEBAGAI KOMPAS KEHIDUPAN

Kehidupan yang sementara ini merupakan suatu perjalanan menuju negeri yang abadi. Dalam perjalanan yang tiada henti ini, sudah tentu segala perancangan untuk sampai ke negeri abadi ini harus diteliti dengan bersungguh agar kita benar-benar sampai ke sana dengan penuh kegembiraan dan keseronokan, bukan sebaliknya dengan penyelasan dan penderitaan. Untuk menyelusuri perjalanan ini, kita akan banyak bertemu dengan ranjau duri, dugaan dan cabaran yang seringkali kita anggap sebagai ujian kehidupan.

Maka untuk menuju negeri abadi dengan selamat, Allah Azza Wa Jalla telah menjadikan al-Quran sebagai panduan perjalanan hidup bagi seluruh umat manusia yang mahu mempedulikannya. Sebaliknya, bagi mereka yang sombong dan angkuh, pastinya akan tersesat kerana berjalan meniti kehidupan yang sementara ini tanpa merujuk al-Quran yang merupakan panduan seluruh umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 1 - 5 yang bermaksud :

"Alif Lam Mim (1) Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya ; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (2) (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka (3) dan mereka yang beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya hari akhirat (4) Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang beruntung (5).




Perkataan al-Quran berasal daripada bahasa Arab. Dari sudut bahasa, perkataan al-Quran mempunyai beberapa maksud iaitu antaranya bermaksud mengumpulkan dan menghimpunkan. Qiraah bermaksud menghimpun huruf-huruf al-Quran dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Al-Quran dari pemahaman sudut istilah pula, al-Quran merupakan kitab yang diturunkan Allah secara berperingkat (mutawatir) kepada baginda Nabi SAW yang berbentuk mukjizat, melalui malaikat Jibril AS, dan membacanya pula mendapat pahala.

Al-Quran merupakan kalam Allah untuk para hamba Nya sebagai suatu modul panduan bagi melayari kehidupan yang sementara ini untuk menuju ke negeri abadi. Kitab al-Quran tidak sama seperti terbitan buku, novel, majalah atau apa sahaja bacaan lain. Padanya terdapat penceritaan dan penjelasan berkaitan Islam. Selain itu, sebagai panduan umat manusia mengambil pelajaran dari umat terdahulu, padanya juga terkandung cerita dan kisah umat-umat terdahulu yang telah dihukum oleh Allah SWT. Juga padanya, terdapat ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan tentang ilmu sains, ilmu falak, yang turut merangkumi penceritaan tentang kejadian langit dan bumi, kejadian manusia dan sebagainya.

Bagi orang Islam, al-Quran merupakan buku perlembagaan yang tertinggi mengatasi mana-mana buku peraturan di seantero dunia. Kitab ini diturunkan oleh Allah melengkapkan pensyariatan Islam, merangkumi syariat-syariat Nabi yang terdahulu dan padanyalah terletaknya kesempurnaan syariat agama Islam. Dengan turunnya al-Quran, tidak ada lagi sebarang pembaharuan syariat sama ada dengan tujuan pengurangan atau penambahan, al-Quran memuktamadkan segala kesempurnaan syariat agama Allah ini dan seluruh umat manusia disuruh untuk mengikuti panduannya. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 47, yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (al-Quran), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu"




Tujuan utama dan terpenting al-Quran diturunkan adalah sebagai untuk panduan bagi umat manusia. Padanya terkandung petunjuk menuju jalan yang benar, iaitu jalan yang diredhai oleh Allah SWT. Ibarat seperti kompas, pada al-Quran itu terkandung segala nasihat, peringatan, membawa khabar dan berita gembira, selain membawa amaran berserta ancaman daripada Allah agar manusia sentiasa berwaspada dengan kehidupan sementara ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

Demikianlah al-Quran yang diturunkan sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Umpama kompas penunjuk arah yang benar tatkala kita berjalan di dalam kehidupan yang sementara ini. Tanpa kompas menunjuk arah, tersesatlah kita di dalamnya. Begitu juga dalam kehidupan ini. Meniti hidup di dunia ini tanpa berpegang pada panduan al-Quran, pastinya kita akan bertemu dengan banyak simpang-siur kesesatan yang menggelapkan perjalanan. Oleh yang demikian, al-Quran yang dibaca oleh umat Islam ini bukan sekadar hiasan di dinding-dinding rumah, tidak pula sekadar alat kecemasan memohon hajat dan kemahuan, apatah lagi dijadikan hanya sebagai tangkal azimat kehidupan. Al-Quran jauh lebih penting sebagai penyelamat kita menuju ke negeri abadi dengan selamat tanpa sesat.

Kehebatan al-Quran bukan sahaja terbukti sebagai kompas kehidupan umat manusia, malah keaslian bahasanya yang datangnya dari kalam Allah tidak dapat disaingi oleh mana-mana bahasa puitis sedunia. Keaslian ungkapan yang luar biasa ini membuktikan bahawa al-Quran bukanlah karangan atau penulisan mana-mana makhluk Nya. Bukanlah seperti penulisan buku-buku novel dan sebagainya yang sebahagian besarnya hanya terhad pada logik akal manusia. Ayat-ayat al-Quran bukanlah dipetik dari ucapan mana-mana makhluk. Sebaliknya diungkap oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Sejarah menceritakan sejak dahulu, terdapat beberapa cubaan untuk mencipta surah menandingi surah yang terkandung dalam al-Quran namun gagal dan tidak dapat menyainginya.




Sebelum pada itu, Allah dengan kebijaksanaan Nya lebih awal menjelaskan kepada kita bahawa tidak ada seorang pun yang dapat mencipta ayat setanding kalam Nya. Hal ini sepertimana firman Allah dalam surah al-Isra' ayat 88 yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) "Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang sama (dengan) al-Quran ini, mereka tidak akan mampu membuatnya, walaupun mereka saling bantu-membantu".

Demikianlah hakikat yang ada pada al-Quran. Sesungguhnya manusia itu telah diberi pilihan dengan jelas dan nyata. Untuk melayari kehidupan ini, tidak ada perkara yang boleh merisaukan kita selagimana kita benar-benar berjalan mengikuti kompas kehidupan ini, iaitu al-Quran. Telah diberi jaminan oleh baginda Nabi SAW tidak akan tersesat selamanya apabila kita benar-benar berpegang kepada al-Quran disamping as-Sunnah. Sedar lah kita bahawa al-Quran bukan sekadar jampian tetapi lebih bermakna, sebagai sebuah kompas kehidupan, menunjukkan arah yang benar dan tepat bagi menuju kepada Allah. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.


Ahad, 22 Januari 2023

KISAH ISRAILIYYAT : SEJARAH, FAKTA DAN MITOS

 

Penceritaan merupakan salah satu medium menarik untuk memupuk semangat umat manusia untuk mempelajari sesuatu pelajaran. Oleh itu, konsep penceritaan seringkali digunakan bagi menarik perhatian orang ramai bagi mempelajari sesuatu. Selain itu, juga menjadi lumrah umat manusia untuk mudah tertarik dan takjub apabila mendengar sesuatu perkhabaran atau cerita yang dapat menyentuh jantung hatinya. Maka tidak hairanlah di dalam al-Quran, terdapat sebuah nama surah yang disebut al-Qasas yang membawa maksud cerita-cerita.

Namun begitu, bukanlah semua kisah atau cerita yang kita dengari itu datangnya dari sumber agama yang autentik. Sebahagian kisah yang seringkali didengari dan didendangkan kepada kita adalah bersumberkan daripada Israiliyyat. Menurut Imam al-Tabari dalam kitab Jami' al-Bayan'an Takwil Aayi al-Quran, perkataan "Israiliyyat" dari segi bahasa berasal daripada kata jamak Israil. Perkataan Israil merupakan gelaran kepada Nabi Yaakub AS yang bermaksud hamba Allah dan pilihan Nya dari kalangan para makhluk Nya. Ia berasal daripada perkataan Ibrani dan terbina dua kalimah "Isra" bermaksud hamba dan "Iil" bermaksud Allah.




Pengertian dari sudut istilah pula, seperti yang telah dinyatakan oleh Imam al-Zahabi dalam kitabnya al-Israiliyyat fi al-Tafsir wal Hadith, beliau menyebutkan :

"Lafaz Israiliyyat pada zahir adalah lafaz jamak (plural) lafaz mufradnya (singular) 'israiliyyah. Ia adalah kisah atau peristiwa yang disebutkan daripada sumber isra'iliy, dinisbahkan kepada Isra'il iaitu Nabi Yaakub bin Ishaq bin Ibrahim. Kepadanyalah dinisbahkan bangsa Yahudi lalu dikatakan 'Bani Isra'il"

Dalam ungkapan yang lebih mudah, kisah Israliyyat ini adalah merujuk kepada cerita atau kisah yang bersumberkan daripada Yahudi. Menurut sejarah, kisah Israiliyyat bermula daripada interaksi orang-orang Yahudi dengan orang-orang Arab sejak sebelum Islam muncul lagi. Orang Yahudi memiliki ilmu pengetahuan yang diambil daripada ajaran kitab Taurat dan buku-buku agama yang lain. Orang Arab seringkali bertanya orang-orang Yahudi tentang perkara-perkara yang ingin mereka tahu khususnya perkara yang berhubung sejarah lama.

Malah, pada zaman Nabi SAW, sebahagian sahabat baginda Nabi seperti Abu Hurairah RA dan Ibnu Abbas RA, pernah bertanya kepada ahli kitab Yahudi yang memeluk Islam tentang beberapa perincian cerita terdahulu tetapi pertanyaan tersebut adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu, tidam termasuk persoalan yang berkaitan dengan akidah. Perkembangan kisah Israiliyyat ini terus melebarkan sayapnya ketika pada zaman Tabi'iin apabila aktiviti periwayatan kisah Israiliyyat ini menjadi lebih aktif disebabkan oleh kecenderungan masyarakat suka mendengar cerita-cerita yang aneh.

Bertambah aktif lagi, pada zaman seterusnya datanglah golongan Tabi' tabii'in, periwayatan kisah Israiliyyat menjadi lebih berkembang luas dengan munculnya golongan "al-Qussas" iaitu gelaran kepada mereka yang menjadi penyampai-penyampai cerita yang tidak bertanggungjawab. Kesannya, menurut Imam Ibnu Khaldun dalam kitabnya, al-Mukaddimah, timbunan riwayat inilah yang akhirnya mewarnai sebahagian tafsiran ayat-ayat al-Quran. Ini berlaku bukan sahaja kepada kitab-kitab Tafsir bil Ma'thur, (tafsir dengan ayat al-Quran dan Hadith), bahkan menular kepada kitab-kitab Tafsir bil Ra'yi (tafsir dengan pendapat dan ijtihad) dengan kadar yang berbeza-beza.




Secara umumnya, kisah Israiliyyat seringkali dirujuk sebagai bahan yang bersifat negatif, tidak sahih atau sukar untuk diterima akan kesahihannya. Tanggapan ini sebenarnya tidaklah tepat secara mutlak bagi menggambarkan pendirian Islam terhadapnya kerana kisah Israiliyyat tidaklah datang dengan satu jenis sahaja malah sekurang-kurangnya ia dibahagikan kepada tiga bahagian. Seperti yang dinyatakan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya Muqaddimah fi Usul al-Tafsir, beliau membahagikan kepada tiga bahagian. Pertama, kisah Israiliyyat yang selari dengan apa yang ada dalam sumber Islam, al-Quran dan al-Sunnah. Kedua, kisah Israiliyyat yang bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ketiga, kisah Israiliyyat yang tidak dapat dipastikan statusnya.

Berkenaan hukum meriwayatkan kisah Israiliyyat, para ulama berbeza pandangan dengan terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, tidak harus meriwayatkannya. Mereka berhujah dengan beberapa dalil antaranya dalam surah al-Maidah ayat 13, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan dikalangan puak Yahudi itu ada golongan yang suka mendengar berita-berita bohong, dan suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang tidak hadie di majlismu wahai Muhammad, mereka mengubah perkataan-perkataan (Taurat) dari tempat-tempatnya"

Hujah yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abu Hurairah RA katanya : Ahli kitab membaca Kitab Taurat dengan bahasa Ibrani, lalu mereka menghuraikannya kepada orang-orang Islam dalam bahasa Arab. Berkenaan hal tersebut, Nabi SAW bersabda :

"Janganlah kamu mempercayai ahli kitab dan jangan pula mendustai mereka, Katakanlah ! Kami beriman kepada Allah dan kepada kitab yang diturun kepada kami.."




Bagi pandangan kedua, mereka berpandangan harus bagi meriwayatkan kisah Israiliyyat. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 94, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Dan jika kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu"

Dalil yang lain, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sampaikanlah daripadaku sekalipun satu ayat, riwayatkanlah daripada Bani Isra'il, tiada salahnya. Sesiapa melakukan pendustaan terhadapku dengan sengaja, maka hendaklah ia menyiapkan tempatnya dalam neraka"

Demikianlah perbezaan pandangan dikalangan para ulama berkenaan hukum meriwayatkan kisah Israiliyyat. Meskipun kedua-dua pandangan ini mempunyai hujah dan alasan yang sama kuat, kesimpulan mudah yang boleh kita jadikan sebagai panduan adalah dengan memahami bahawa sebahagian kisah Israiliyyat, selari dengan apa yang disebutkan dalam al-Quran dan Sunnah. Maka kisah seperti ini tidaklah menjadi masalah bagi kita meriwayatkannya. Namun begitu, ada juga sebahagiannya bercanggah dan menyanggahi maksud dan fakta al-Quran dan Sunnah, perkara ini wajib ditolak. Oleh itu, sebagai umat yang bertanggungjawab, kita seharusnya lebih teliti dan cermat dalam berkongsikan sesuatu kisah atau cerita agar tidak termasuk dalam golongan tukang cerita yang kerjanya bohong dan berdusta. Semoga Allah merahmati kita semua.

Ahad, 15 Januari 2023

IBADAH SOLAT SUATU KEREHATAN, BUKAN BEBANAN

 

Pada asasnya, penciptaan umat manusia mempunyai tujuan yang pelbagai. Antara tujuan utama dan terbesar manusia diciptakan itu adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Dalam maksud yang lebih mudah, tujuan manusia dijadikan diatas muka bumi ini untuk beribadah, menyerah diri dengan mentaati perintah Allah SWT, sedaya upaya melakukan suruhan Nya dan meninggalkan larangan Nya. Penciptaan manusia selain itu juga bertujuan membuktikan akan kekuasaan dan kebesaran Allah yang menjadikan umat manusia itu dengan berbagai keunikan yang tersendiri.

Firman Allah SWT dalam surah al-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud :

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku"

Menurut Ibnu 'Asyur dalam kitab tafsirnya, at-Tahrir wa at-Tanwir, beliau menyatakan bahawa tujuan manusia diciptakan dan dihidupkan di alam semesta hanya satu, iaitu untuk beribadah kepada Allah dan tidak berbuat syirik kepada Nya. Ayat ini juga menunjukkan bahawasanya orang yang diberikan tanggungjawab syariat adalah dua makhluk iaitu jin dan manusia. Mereka dipertanggungjawabkan dengan syariat untuk diberi hukuman dan balasan berupa syurga dan neraka.




Dalam Islam, syariat terbesar yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT kepada hamba Nya adalah syariat ibadah solat fardhu (wajib) lima waktu sehari. Ibadah solat merupakan tiang dan sendi kepada tertegaknya agama Islam diatas jalan yang lurus. Ibadah solat merupakan binaan asas sebagai seorang Islam. Terbinanya Islam di dalam diri manusia itu salah satunya adalah dengan menunaikan solat. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin Umar RA, berkata :

"Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : Islam itu didirikan atas lima (perkara) - menyaksikan bahwa tiasa Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke Baitullah dan puasa di bulan Ramadan"

Ibadah solat itu sendiri merupakan suatu kurniaan Allah SWT kepada hamba Nya. Ianya ibadah tertua di dunia. Sebelum Nabi Muhammad SAW, ibadah solat itu sendiri telah disyariatkan kepada para nabi sebelum itu lagi. Kerana itu, kita akan dapati di dalam al Quran, doa Nabi Ibrahim AS yang memohon kepada Allah agar keturunan baginda Nabi Ibrahim menjadi keturunan yang sentiasa melazimi solat. Oleh itu, syariat solat yang diterima oleh Nabi Muhammad SAW daripada Allah SWT merupakan pelengkap kepada syariat ibadah solat itu sendiri.

Syariat solat telah diwahyukan oleh Allah kepada baginda Nabi SAW melalui peristiwa agung yang disebut sebagai Israk' dan Mikraj. Setelah peristiwa itu, umat Nabi Muhammad SAW diwajibkan untuk menunaikan solat sebanyak 5 waktu sehari semalam. Meskipun begitu, sebahagian masyarakat beranggapan bahawa solat merupakan suatu bebanan bagi diri manusia. Pada tanggapan mereka, ibadah solat memerlukan tenaga yang banyak bagi melakukan beberapa langkah pergerakan disamping terikat pada 5 waktu yang tertentu.




Jika kita amati, sesungguhnya ibadah solat bukanlah suatu bebanan kepada umat manusia. Sebaliknya, suatu kurniaan Allah bagi merehatkan diri manusia setelah berpenat dengan urusan duniawi. Disamping beberapa manfaat secara jasmani dan rohani juga akan diperolehi dengan kita melakukan ibadah solat. Melalui ibadah solat, ianya dapat merehatkan mental daripada kegelisahan, keresahan dan kegusaran. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma'arij ayat 19-23 yang bermaksud :

"Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut) ; apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah ; Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut ; kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang - iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya"

Demikian juga apabila kita berada di waktu kesusahan, dirudung kepiluan dan kegusaran, Allah adalah sebaik-baik tempat bagi kita memohon pertolongan dan bantuan Nya. Bahkan, tatkala kita diuji dengan pelbagai dugaan, Allah SWT menyuruh kita menjadi orang yang bersabar dan dirikanlah solat. Dua hal ini bertujuan untuk mencapai ketenangan hidup setelah jantung hati resah dan gelisah. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 45 yang bermaksud :

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan mengerjakan solat. Dan (solat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk"




Dengan mendirikan solat, ianya banyak memberikan kesan ketenangan hati dan merehatkan minda daripada letih memikirkan hal yang memenatkan kita. Ibadah solat padanya yang merangkumi beberapa pergerakan umumnya mempunyai hikmah disebaliknya. Oleh yang demikian, solat merupakan antara ritual yang menguatkan spiritual diri manusia selain menguatkan jasmani itu sendiri. Namun begitu, ketenangan dalam solat hanya boleh diperolehi apabila kita benar-benar khusyuk merasai sifat kehambaan kepada Allah. Sebaliknya, jika sekadar solat bagi melepaskan tanggungjawab, ia bermakna kita perlu melatih diri agar lebih ikhlas sehingga merasai akan nikmat kelazatan mendirikan solat.

Begitu juga dengan melakukan ibadah solat, ianya dapat merehatkan diri kita dengan menguatkan kembali tubuh badan setelah berpenat seharian menjalani rutin kehidupan. Perkara ini sepertimana yang dinyatakan oleh Profesor Madya Dr. Haji Wan Nudri Wan Daud, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), dalam sebuah artikel di Sinar Harian, beliau menyatakan bahawa solat menyamai senaman yang boleh meningkatkan pengaliran oksigen ke otak seterusnya meningkatkan kecerdasan otak serta dapat mengurangkan kadar denyutan jantung selain dapat merawat sakit pinggang.

Selain itu, ibadah solat yang dilakukan dengan sempurna juga secara tidak langsung dapat mencegah kita daripada melakukan perkara yang mungkar. Ini kerana akar daripada solat itu sendiri dapat menghubungkan diri kita dengan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Maka apabila kita mendirikan solat, kita akan merasai bahawa Allah sedang memerhati dan mengawasi kita. Dengan itu, segala gerak-geri diri ini akan kita jaga supaya tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud :

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar"

Sesungguhnya ibadah solat itu sendiri akan dilihat sebagai bebanan sekiranya kita sendiri yang gagal merasai keindahan dan kelazatan solat. Pada solat itu sendiri mempunyai pelbagai hikmah dan manfaat yang memberikan kita suatu kerehatan fizikal dan mental. Dirikanlah solat dengan penuh kesempurnaan nescaya kita akan menemui akan makna sebuah kerehatan. Sepertimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud yang bermaksud : "Wahai Bilal, rehatkan kami dengan solat". Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 10 Januari 2023

AURAT WANITA : ISLAM MELINDUNG, BUKAN MENGONGKONG

 

Kecantikan amat sinonim bagi kaum wanita walau dimana pun mereka berada. Baik di utara, mahupun di selatan, wanita dan kecantikan adalah sesuatu yang begitu berharga dan terpenting dalam kehidupan mereka. Biasa kita melihat perasaan hati atau disebutkan sebagai "mood" kaum wanita boleh berubah hanya kerana tudung yang tidak menjadi, jerawat yang tiba-tiba menjelma dan seumpamanya. Berbeza pula dengan kaum lelaki. Sehelai baju yang tidak dicemari bau dan kotoran, mampu di pakainya berhari-hari. Adakalanya jerawat tumbuh pun tidak dipedulikannya.

Demikian lah sifat kewanitaan yang tidak dapat dipisahkan dengan kecantikan dan keindahan. Bukanlah bermaksud kaum lelaki tidak mempedulikan kebersihan, kecantikan dan sebagainya namun bagi kaum wanita itu adalah perkara terpenting bagi mereka yang mampu menentukan baik buruknya pada hari tersebut. Kerana fitrahnya wanita itu suka dan begitu teliti akan kecantikan, maka syariat Islam yang berpaksikan kepada firman Allah serta kalam kekasih Nya, Nabi Muhammad SAW datang membawa suruhan menutup aurat bagi memelihara dan melindungi kecantikan seseorang wanita.




Pada kecantikan seseorang wanita itu terdapat nilai harga diri dan maruah yang perlu dijaga dan dipelihara. Aurat wanita bukanlah sesuatu alat untuk dipertonton, ditayang dan diperlihatkan oleh mereka yang tidak layak untuk menatapnya. Pada diri wanita itu punyai harga yang harus dibayar untuk menatap akan kecantikan dan keindahan mereka. Oleh yang demikian, Allah dengan sifat penyayang Nya pada kaum wanita memerintahkan agar kaum wanita menutupi aurat. Hal ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka (daripada yang diharamkan) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya ; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka"

Walau pun sebahagian golongan liberalis mempertikaikan syariat memakai tudung ini dengan mendakwa bahawa tiada ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa kepala dan rambut wanita sebahagian dari aurat namun kita harus fahami bahawa dalam surah an-Nur ayat 31 ini, Allah SWT menggunakan perkataan 'khimar' atau 'khumur' yang membawa maksud penutup kepala. Meskipun penterjemahan kepada perkataan "khimar" itu masih boleh dipertikaikan lagi namun menafsirkan ayat al-Quran tanpa melalui displin ilmu yang betul maka kita akan dapati banyak perkara yang bertembung dengan al-Quran. Ini kerana, menguasai bahasa arab semata-mata tanpa mempunyai displin ilmu dalam penafsiran akan menjadikan kita tersesat dari intipati kehendak syariat sebenar.

Adalah tidak benar sama sekali apabila ada yang mendakwa syariat menutup aurat untuk wanita berupa diskrimimasi gender semata-mata. Walhal, sejarah dunia menunjukkan kepada kita bahawa kezaliman dan penindasan terhadap golongan wanita telah berlaku sejak zaman Eropah dahulu. Di Prague, terdapat sebuah muzium khas yang mempamerkan alat-alat penyeksaan. Pada zaman Eropah dahulu, kaum isteri kepada tentera yang pergi berperang bagi menentang tentera Islam di Palestin suatu masa dahulu dipaksa untuk memakai cawat besi. Barangkali pemakaian tersebut adalah kerana ketidak kepercayaan suami terhadap isterinya ketika ditinggalkan. Lebih tragis, cawat besi yang dipakaikan itu dikunci. Hal ini menyebabkan kesukaran untuk mereka bergerak dan amat menyeksakan.




Meskipun hal tersebut sudah menjadi bahan sejarah, namun kepada mereka yang mengagungkan dunia barat, kononnya dunia barat menjadi kiblat kepada perjuangan hak kewanitaan, haruslah celik sejarah dan tidak terperangkap dengan kata dan ungkapan propaganda mereka semata-mata. Tidak cukup dengan itu, ada pula yang mendakwa pemakaian menutup aurat dianggap kuno dan tidak maju. Malah, sebahagiannya menganggap memakai tudung hanya bertujuan mengongkong kemajuan para wanita. Dakwaan ini tidak seharusnya dikata dengan cakap lepas sahaja. Harus dibuktikan dengan data dan kajian yang dibuat.

Satu hal yang kita harus sedari ialah pemakaian tudung menutup aurat sama sekali tidak menjadi penyebab kemunduran kaum wanita bersaing di dunia realiti. Betapa ramai sahaja kaum wanita yang menutup aurat namun mampu bersaing dan meraih kejayaan dalam bidang masing-masing. Misalnya, Zahra Lari, seorang atlet peluncur ais UAE mampu tampil bersaing di pentas dunia dengan menutup aurat. Dalam konteks Malaysia pula, tidak kurang hebat para wanita yang bertudung bersaing dalam pelbagai arena. Seperti contoh, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang juga merupakan wanita pertama Malaysia dilantik sebagai orang nombor 2 negara. Mampu berdiri dengan gahnya sebagai wanita yang menutup aurat. Selain itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, juga merupakan seorang wanita bertudung menutup aurat.

Jelaslah bagi kita betapa dangkalnya dakwaan sebahagian mereka yang beranggapan menutup aurat dengan memakai itu adalah suatu kongkongan hidup mengekang kemajuan hidup para wanita. Syariat menutup aurat khasnya kepada kaum wanita bukanlah suatu bentuk kezaliman dan penindasan Tuhan kepada mereka. Jika dahulu, ketika di zaman Arab Jahiliah, para wanita sama sekali tidak bernilai pada kaca mata kaum lelaki. Pada zaman sebelum kedatangan Islam, wanita tidak lebih dijadikan sekadar tempat melempiaskan nafsu, dijadikan kuli tidak bermaruah, tidak diberikan hak untuk berharta dan pelbagai lagi kezaliman yang menimpa kaum wanita dahulu. Namun sebaik datangnya Islam dengan membawa rahmat, menyelamatkan kaum wanita daripada di tindas, maruah dan harga diri dipertahankan dengan turunnya syariat Allah ini.

Dunia seharusnya mengiktiraf kaum wanita sebagai makhluk yang bermaruah dan harus dipandang tinggi. Sepertimana Islam melalui syariatnya, melindungi maruah dan harga diri wanita daripada dijadikan barang dagangan untuk ditayangkan semata-mata. Kecantikan lahiriah yang juga merupakan anugerah Allah kepada hamba Nya harus dijaga dengan penuh terhormat. Tidak boleh dijadikan bahan tontonan tidak berbayar bahkan lebih daripada itu, Islam menegahnya dengan bermaruah. Oleh demikian, sesuai dengan fitrah wanita yang penuh kelembutan dan kehalusan budi, syariat Allah melengkapkan lagi makna maruah dan harga diri seorang wanita. Semoga Allah merahmati kita semua.

Jumaat, 6 Januari 2023

BERSEDIH DAN BERDUKACITA DENGAN KEMATIAN

 

Sesuatu yang telah menjadi lumrah pada diri manusia itu akan merasai kesedihan, hiba, pilu dan berdukacita diatas musibah yang menimpanya. Apa sahaja keadaan yang menekan jiwa dan perasaan manusia, pastinya tidak dapat lari daripada perbuatan menangis menitiskan airmata. Padanya itu adalah lumrah tabiat semulajadi manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. Dalam al-Quran, menerusi surah an-Nisa' ayat 28, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan manusia diciptakan dalam keadaan lemah"

Menurut Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Thariqul Hijrataian, beliau menyatakan bahawa kelemahan di sini merangkumi semuanya secara umum. Kelemahannya lebih dari hal lain. Manusia lemah badan, lemah kekuatan, lemah keinginan, lemah ilmu dan lemah kesabaran. Demikian apa yang dijelaskan oleh Imam Ibn Qayyim berkaitan ayat ini. Beberapa ayat lagi yang menjelaskan bahawa manusia itu sememangnya dalam kelemahan dan ketidakupayaan. Dalam firman Nya yang lain, surah ar-Rum ayat 54 yang bermaksud :

"Allah lah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah keadaan lemah itu menjadi kuat, kemudian Dia menjadikan (kamu) setelah kuat itu lemah (kembali) dan beruban. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dia Maha Mengetahui Maha Berkuasa"




Ayat ini jelas menunjukkan kelemahan pada manusia itu bukan sahaja tertakluk pada rohani, juga pada fizikal manusia selari dengan peredaran masa yang datang dan pergi. Pun begitu, manusia tidak dapat lari dari sebarang kelemahan lebih-lebih lagi ketika berdepan dengan musibah kehilangan yang menyakitkan. Manusia secara normalnya pasti akan merasai kesedihan dan kedukaan apabila kehilangan seseorang yang pergi buat selamanya. Begitulah juga yang telah berlaku kepada kehidupan baginda Nabi SAW. 

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA beliau berkata ketika putera Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim meninggal dunia baginda menangis kerana kesedihan lalu berkata Abdul Rahman bin Auf RA kepada baginda :

"Dan engaku pun menangis wahai Rasulullah ? Maka sabda Rasulullah SAW : 'Wahai anak Auf, sungguhnya ia adalah rahmat.' Kemudian Rasulullah SAW bersabda : 'Bahawasanya mata itu menitiskan air dan hati itu bersedih dan tiada kami sebut melainkan barang yang diredhai oleh Tuhan kami sahaja. Dan sesungguhnya kami dengan perpisahan denganmu wahai Ibrahim sedang bersedih".

Baginda Nabi SAW juga adalah manusia biasa seperti kita yang tidak dapat lari daripada perasaan sedih, duka dan hiba. Ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa setiap insan itu sememangnya dalam keadaan lemah dan tidak punyai upaya melainkan dengan izin dan kudrat dari Allah SWT. Sungguh pun Islam tidak melarang kita untuk bersedih dan berdukacita diatas kehilangan insan yang tersayang, namun perbuatan menangis hingga meratap, menampar pipi dan seumpamanya adalah dilarang dan ditegah oleh Islam.

Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Dua perkara pada manusia yang kedua-duanya adalah daripada perbuatan orang kafir, mencela keturunan (seseorang) dan meratap atas mayat".

Dalam hadith yang lain, riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Mas'ud RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Bukan dari amalan kami mereka yang menampar pipi (ketika kematian) dan mengoyakkan pakaian dan menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliah".

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu' Syarh al-Muhazzab, beliau menyatakan bahawa :

"Dan adapun menangis dengan meraung yakini mengangkat suara seperti bertempik terlolong-lolong, meratap, menampar pipi, mengoyakkan pakaian, menggaruk akan muka dan menarik-narik rambut, menyeru dengan ucapan-ucapan jahiliah seperti berkata matilah aku atau binasalah aku maka sekaliannya haram dengan sepakat Ashab".




Berdasarkan penjelasan ini, Islam sangat melarang umatnya dari bersikap melampau dalam menzahirkan kesedihan dan kedukaan. Sehingga melakukan perbuatan orang Jahiliah dahulu seperti menampar pipi, mengoyak pakaian dan sebagainya, ini telah termasuk dalam maksud melampaui batas. Sekiranya bersikap dengan demikian, maka ketahuilah bersabar adalah permulaan atas segala musibah yang melanda. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud :

“Sungguhnya Nabi SAW telah lalu kepada seorang perempuan yang sedang menangis atas anaknya (yang mati). Maka Nabi SAW berkata baginya: Takutlah kamu akan Allah dan bersabarlah. Kata perempuan itu: Dan apa engkau peduli dengan musibah yang menimpa aku. Maka ketika Nabi SAW beredar seorang telah memberitahu perempuan itu bahawasanya yang bercakap dengannya tadi ialah Rasulullah SAW. Perempuan itu telah kematian anaknya (kerana itu dia jadi bersangatan perasaannya). Lalu dia datang ke rumah Nabi SAW dan didapatinya tidak ada orang yang menunggu pada pintunya. Kemudian berkata perempuan itu: Wahai Rasulullah. Aku tidak mengenali akan engkau (meminta uzur). Maka sabdanya : Hanyalah sabar itu ketika permulaan (datang musibah).”

Disaat menghadapi musibah yang mendukacitakan ini, Baginda Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita doa yang boleh kita ungkapkan. Perkara ini sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Ummu Salamah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Jika ada di antara kalian tertimpa musibah, hendaklah dia berkata : Sesungguhnya kami milik Allah dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Nya. Ya Allah aku hanya menghitung pahala musibah ini di sisi Mu, maka berikanlah kepadaku pahala itu dan gantikanlah aku dengan sesuatu yang lebih baik daripada musibah ini"




Ungkapan ini tidak terbatas pada soal kematian sahaja bahkan merangkumi semua maksud musibah seperti kemalangan, rumah terbakar dan apa sahaja musibah yang mendukacitakan. Kekuatan umat ini adalah pada doa yang ikhlas dan benar-benad mengharapkan pada Allah SWT. Kehilangan seseorang yang pergi buat selamanya pastinya akan meninggalkan kesan dan bekas yang mendalam pada hati ini. Oleh yang demikian, agama Islam memberikan ruang pada kita untuk bersedih dan berdukacita sebagai bukti kelemahan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT.

Inilah apa yang diajarkan dan diperintahkan oleh Allah SWT ketika kita menghadapi musibah kehilangan selamanya insan yang tersayang. Sesungguhnya, bersedih dan berdukacita diatas kematian insan yang kita sayangi bukanlah sesuatu yang salah dan menyalahi agama. Bahkan sifat sedih dan duka tersebut adalah lumrah dan tabiat normal manusia. Pun begitu, janganlah biarkan kesedihan dan kedukaan menguasai diri kita sehingga bertindak melampaui batas agama. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.