Sesungguhnya
antara intipati utama yang diajar oleh agama Islam adalah tentang kebersihan
dan kesucian diri. Pada segelintir masyarakat barangkali melihat Islam itu
difahami dalam kerangka ibadah ketuhanan semata-mata. Tetapi sebaliknya, agama
Islam juga sangat menitikberatkan persoalan tentang kebersihan dan kesucian
diri, termasuk juga dalam bab kesucian rezeki yang halal dan segala hal yang
kita perolehi. Kepentingan menjaga kebersihan dan kesucian diri ini merupakan
sebahagian perkara yang disukai oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam
firman Nya menerusi surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud :
"Sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang
yang sentiasa mensucikan diri"
Berdasarkan
apa yang dinyatakan oleh Allah melalui ayat tersebut, dapatlah kita rumuskan
bahawa agama Islam bukan sekadar mengajak umatnya melaksanakan tanggungjawab
terhadap sang Penciptanya malah turut memerintahkan agar sentiasa menjaga
kebersihan dan kesucian diri dan dengan demikian, hal tersebut dikasihi dan
dicintai oleh Allah SWT. Secara prinsipnya, mereka yang beriman kepada Allah
SWT diiktiraf sebagai tidak najis. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata bahwa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya
seorang mukmin itu tidak najis"
Imam
al-Nawawi dalam kitabnya Syarah al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, ketika
menghuraikan hadith ini, beliau menyatakan bahawa :
"Hadith
ini merupakan suatu asas yang besar berkenaan dengan sucinya seorang muslim itu
sama ada dalam keadaan dia hidup ataupun telah mati. Adapun sucinya seorang
muslim dalam keadaan masih hidup, maka para ulama telah bersepakat akan hal
tersebut. Manakala kesucian mayat pula, para ulama berbeza pendapat dalam isu
ini dan pendapat yang sahih adalah kesuciannya dan disebabkan itulah ia
dimandikan"
Maka
timbul persoalan bagaimana pula dengan orang bukan Islam atau orang kafir ?
Apakah mereka dikira sebahagian daripada najis kerana tidak beragama Islam ?
Persoalan sebegini harus kita lihat dalam kerangka yang menyeluruh. Sebahagian
para ilmuan seperti mereka yang berpegang pada mazhab Zahiri, mereka menyatakan
bahawa orang bukan Islam adalah najis dan mereka ini tidak dibenarkan untuk
memasuki masjid. Ini juga merupakan pandangan oleh tokoh mazhab Zahiri, Imam
Ibn Hazm dalam kitabnya al-Muhalla. Perkara ini sepertimana dalam firman
Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 28 yang bermaksud :
"Wahai
orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis.
Oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini"
Namun
begitu, jumhur para ulama seperti Imam al-Syaukani dalam kitab Nail al-Autar,
beliau menyatakan bahawa jumhur ulama menjawab najis dalam ayat itu bermaksud
kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang wajib dihindari
dan dijauhi, bukan bermaksud najis pada badan mereka. Bahkan, jumhur ulama
menyatakan alasan orang bukan Islam tidak najis kerana Islam telah
mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika
bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Demikian juga
para jumhur ulama menjawab tentang persoalan ini dengan menyatakan bahawa
baginda Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, juga pernah
mengikat tawanan musyrik di dalam masjid iaitu Thumamah, juga baginda Nabi
pernah memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang
dihadiahkan Yahudi.
Demikian
pula apa yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari dalam kitabnya Asna
al-Matalib, beliau menyatakan bahawa manusia itu dimuliakan. Implikasi
kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah
mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (orang bukan Islam). Manakala najis
yang dimaksudkan di dalam ayat 28 surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka
atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis dan bukannya kenajisan pada
jasad mereka. Inilah pandangan beliau dalam melihat kerangka hukum orang bukan
Islam najis atau tidak.
Sekiranya
orang bukan Islam dianggap sebagai najis yang bersifat zahir, maka sudah tentu
Nabi SAW melarang para sahabat untuk tidak menggunakan benjana orang bukan
Islam yang diperolehi dalam beberapa siri peperangan. Hal ini boleh kita lihat
dalam sebuah hadith riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud, daripada Jabir RA beliau
berkata :
"Adalah
kami biasa berperang bersama Rasulullah SAW. Kemudian, kami berhasil merampas
bejana-bejana dan wadah-wadah air dari kulit milik orang-orang musyrik. Lantas
kami menggunakannya (untuk makan dan minum). Ternyata Nabi SAW tidak mencela
mereka kerana hal itu"
Berdasarkan
pemahaman dari hadith ini, jelas kepada kita bahawa orang bukan Islam sama
sekali tidak najis pada zahir diri mereka. Adapun sekiranya terpegang najis
bersifat zahir yang ada pada diri mereka, tanpa melihat apa pun agamanya, maka
barulah itu dikira sebagai najis. Oleh yang demikian, perkataan najis dalam
surah al-Taubah ayat 28 itu dilihat kenajisannya pada sudut hakiki yang
melibatkan kepercayaan mereka semata-mata. Adapun selain itu, sekiranya pada
zahir diri mereka bersih dan suci, maka bersih dan suci lah mereka dan tidak
menjadi masalah sekiranya mahu bersalaman dengan mereka yang bukan Islam. Hal
ini juga menepati dengan satu kaedah yang disebutkan sebagai “kita
berhukum dengan apa yang zahir dan Allah yang akan menguruskan apa yang
tersembunyi”.
Dalam
satu sudut yang lain pula, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan mayat
orang bukan Islam sama ada dikira sebagai najis atau sebaliknya. Dikalangan
fuqaha mazhab Hanbali dan Syafi'i, terdapat dua pandangan. Pun begitu, yang
dianggap benar dan menjadi pegangan mazhab Hanbali dan Syafi'i adalah pendapat
yang menyatakan tidak najis, malah bersih dan suci. Selain itu, turut
menyatakan pandangan yang sama seperti mazhab Hanbali dan Syafi'i, adalah
seperti Imam al-Nawawi, Ibnu Qudamah dan Ibnu Utsaimin. Demikian lah persoalan
berkenaan kenajisan orang bukan Islam atau kafir. Ringkasnya, orang bukan Islam
ataupun orang kafir tidaklah najis. Pada zahir diri mereka yang bersih dan
suci, kita boleh bersentuhan bersalaman. Namun, yang dikatakan najis itu adalah
merujuk kepada kepercayaan mereka. Bukan jasad dan fizikal zahir mereka. Semoga
Allah merahmati kita semua.