Rabu, 1 Februari 2023

CEMBURU YANG TERPUJI DAN TERKEJI

 

Perasaan dan emosi adalah sesuatu yang bernilai dan punyai harga tersendiri. Pada perasaan dan emosi juga mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di dalam setiap diri yang bernama manusia. Selain manusia, haiwan juga punyai perasaan dan emosi seperti manusia. Namun yang membezakan kita dengan haiwan adalah dengan anugerah kurniaan akal pada manusia. Kerana itu, penciptaan manusia dinyatakan sebagai sebaik-baik ciptaan. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah at-Tiin ayat 4 yang bermaksud :

"Sesungguhnya benar Kami ciptakan manusia dengan bentuk sebaik-baiknya"

Hal ini disebabkan oleh peranan penting akal dalam mengimbangi perasaan dan emosi. Jika kita membiarkan perasaan dan emosi menguasai diri, pastinya akan banyak tindakan di luar jangka yang akan dilakukan. Namun, dengan akal yang waras, berbekalkan nilai ketaqwaan dan keimanan kepada Allah, hidup ini akan terpimpin daripada melakukan hal yang diluar kewarasan manusia. Oleh itu, dengan akal kurniaan Allah SWT ini, sangat membantu manusia untuk lebih berfikir waras dalam menguruskan perasaan dan emosi yang bermacam ragam ini.




Cemburu antara bentuk warna-warni dalam soal perasaan dan emosi. Sifat cemburu adalah lahir daripada perasaan dan emosi yang tidak stabil sehingga menimbulkan kegelisahan dan ketidaktenteraman dalam jiwa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, cemburu membawa pelbagai makna seperti iri hati, syak wasangka, curiga dan seumpamanya. Pada sifat cemburu itu mempunyai sudut positif dan negatifnya. Perkara ini seperti yang diungkapkan oleh Wan Hussain Azmi Abdul Kadir dalam bukunya Kaunseling dan Psikologi Menurut Islam, beliau menyatakan bahawa :

"Manusia dalam dirinya mengandungi sifar-sifat kehaiwanan dalam bentuk kehendak-kehendak jasmani yang mesti dipenuhinya untuk menjaga keselamatan hidup dan jenisnya ; dan juga mengandungi sifat-sifat malaikat yang dilihat dalam kerinduan rohaninya kepada mengenal Allah dan beriman dengan Nya serta menyembah dan memuji Nya. Antara dua bahagian pada manusia ini, kadang-kadang berlaku perjuangan ; kadang-kadang ditarik oleh kerinduan kerohaniannya. Maka ketika ini, manusia berasa bahwa satu peperangan hebat sedang berlaku dalam dirinya"

Demikian sifat cemburu yang ada pada diri manusia. Kadang dengan cemburu, kita rasai seperti dalam peperangan dan kadang dengan cemburu juga, kita rasai seperti dekat dengan Allah. Maka baik buruknya cemburu itu bergantung kepada apa yang dicemburuinya. Pada dasarnya, sifat cemburu itu adalah sesuatu yang fitrah bagi manusia. Dalam erti kata lain, perasaan cemburu ini adalah perasaan dan emosi normal bagi manusia. Sebaliknya, jika tidak punyai perasaan cemburu, barangkali kita mempunyai masalah tidak normal seperti manusia yang lainnya.




Dalam Islam, cemburu adalah sesuatu yang diperkatakan oleh agama. Walau cemburu dilihat sebagai sesuatu yang fitrah, namun padanya terdapat cemburu yang terpuji dan juga sebaliknya cemburu yang terkeji. Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Sesungguhnya di antara cemburu itu ada yang disukai Allah dan ada yang dibenci Allah. Cemburu yang disukai Allah adalah cemburu dalam keraguan dan yang dibenci Allah adalah cemburu di luar keraguan"

Sebenarnya sifat cemburu itu adalah sesuatu yang disukai oleh Allah. Ini bermakna, cemburu juga punyai sudut positifnya. Cemburu yang disukai Allah ini bermakna cemburu pada perkara yang membawa kebaikan pada diri manusia itu sendiri. Seperti cemburu melihat orang kaya yang rajin bersedekah. Maka kita yang cemburu ini berazam untuk jadi pemurah seperti orang tersebut. Juga misalnya, seperti cemburu seorang isteri melihat suaminya bermesra dan terhibur dengan orang lain. Maka cemburu itu membuatkan dirinya berazam untuk menjadi lebih menghiburkan dan lebih mesra dengan suaminya.

Demikian beberapa bentuk dan situasi cemburu yang ada sudut positifnya. Tujuannya utamanya mesti membawa kepada kebaikan. Hal ini seperti sabda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari yang bermaksud :

"Tidak ada hasad (cemburu) yang dibenarkan kecuali dua orang : iaitu kepada orang yang Allah berikan harta, dia menghabiskannya dalam kebaikan. Dan kepada orang yang diberikan ilmu dan dia beramal dengan ilmu tersebut dan mengajarkannya pula kepada manusia"

Berdasarkan hadith ini, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani menyatakan bahawa istilah hasad dalam hadith ini membawa maksud al-Ghitbtoh iaitu keinginan untuk memperoleh nikmat seperti orang lain tanpa rasa mahu melihat nikmat terbabit ditarik daripada orang itu. Perasaan keinginan ini juga disebut sebagai persaingan dan ia menjadi sesuatu yang terpuji jika dalam perkara ketaatan. Demikian apa yang dijelaskan oleh para sarjana Islam. Asasnya, sifat cemburu itu mesti dibina diatas nilai taqwa dan iman. Sebaliknya, jika cemburu berdiri diatas selain dari taqwa dan iman, maka itulah cemburu yang terkeji, dilarang oleh Allah SWT.




Berlawanan dengan cemburu yang disukai Allah itu adalah cemburu yang terkeji. Cemburu yang terkeji adalah suatu perasaan yang lahir daripada emosi buruk, dipenuhi dengan sifat kecurigaan yang melampau, padanya timbul iri hati yang membarah, rasa dendam, ketidakpuasan hati sehingga akhirnya membuka ruang untuk melakukan sesuatu perkara diluar kewarasan akal dan norma kehidupan. Sebagai contoh, cemburu melihat ada orang yang lebih daripadanya, maka dicananglah cerita-cerita buruk bertujuan menjatuhkan maruah orang yang dicemburuinya. Misalnya lagi, cemburu dengan suami sehingga menimbulkan pertelingkahan, meninggikan suara dan seumpamanya. Keadaan ini cukup membanggakan syaitan dan iblis yang mahu melihat kerosakan dan kemusnahan hidup manusia.

Adapun cemburu antara suami isteri adalah sesuatu yang terpuji sekiranya membawa kepada kebaikan. Adalah sesuatu yang normal apabila pasangan hidup punyai cemburu terhadap kita. Hattakan baginda Nabi SAW juga adalah seorang yang cemburu. Hal ini berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Saad bin Ubadah beliau berkata :

"Jika aku dapati seorang lelaki bersama isteriku pasti aku akan menebaskan dengan pedang tanpa belas ! "Lalu Nabi bersabda : "Adakah kamu kagum dengan sikap cemburu Saad ? Sungguh aku lebih cemburu daripadanya. Dan Allah lebih cemburu daripada aku"




Dalam soal hidup berumahtangga, seorang suami perlu cemburu pada aurat isterinya sekiranya ada yang bukan mahram melihatnya. Seorang suami juga wajib bersifat cemburu apabila melihat isterinya bermesra berlebihan dengan lelaki bukan mahram. Agar dengan cemburu ini, akan melahirkan sifat lebih memelihara akan soal aurat, lebih berwaspada tentang soal hubungan percampuran lelaki dan perempuan. Bagi seorang suami, adalah dayus apabila dalam dirinya tidak punyai sifat cemburu apabila melihat isterinya melakukan sesuatu yang melanggar syariat. Begitu juga sebaliknya, seorang isteri memerlukan perasaan cemburu ini sebagai jambatan untuk bermanja dan berkasih sayang sekaligus menguatkan lagi hubungan suami isteri.

Menurut sarjana Islam Mesir, Syeikh Majdi bin Manshur bin Sayyid asy-Syuuri dalam kitabnya Tuhfah al-Arusain, beliau menyatakan bahawa cemburu merupakan salah satu sifat fitrah seorang perempuan (isteri). Oleh itu sebagai suami mesti memahami perasaan cemburu seorang isteri terhadapnya. Namun begitu, harus diingatkan kepada semua supaya kita tidak berlebihan atau melampaui batas dengan bersifat cemburu ini. Sehingga adakalanya merimaskan pasangan kita. Cemburu biarlah kena pada tempatnya. Janganlah kerana cemburu, menjadikan kita hilang kewarasan dalam kehidupan. Jadilah orang yang cemburu pada hal yang terpuji. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan