Isnin, 6 Februari 2023

GAGASAN RAHMATAN LIL A'LAMIN

 

Kasih dan sayang merupakan antara elemen terpenting dalam kehidupan makhluk. Allah SWT, Tuhan yang juga sebagai pencipta makhluk, Dia lah empunya segala sifat kasih dan sayang ini. Kasih dan sayang manusia adakalanya terbatas dan terhad kepada mereka yang tertentu sahaja. Sebaliknya, kasih dan sayang Allah tidak terbatas dan tidak terhad kepada hamba-hamba Nya yang beriman sahaja. Malah, bagi mereka yang tidak beriman pun dapat menerima dan merasai kasih sayang Allah melalui utusan baginda Nabi SAW.

Dalam al-Quran, surah al-Anbiya' ayat 107, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Kami tidak mengutus engkau, wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia"

Perkataan "Rahmat" dari sudut bahasanya seperti apa yang dinyatakan oleh Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisanul Arab, membawa maksud kelembutan yang berpadu dengan rasa kasih sayang. Ar-Raghib al-Asfahani ketika menghuraikan maksud rahmah, beliau menyatakan bahawa rahmah merangkumi beberapa perkataan seperti al-riqqah (kelembutan) atau al-ihsan (kebajikan), al-khayr (kebaikan) dan an-nikmah (kenikmatan). Dalam maksud yang mudah, rahmah membawa maksud kebaikan, kasih sayang dan kenikmatan yang luas pada semua manusia.




Dikalangan para ulama tafsir, seperti Ibn Katsir, ketika menafsirkan maksud rahmatan lil alamin, beliau menyatakan bahawa Allah menciptakan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat untuk semua manusia. Barangsiapa menerima rahmat ini dan berterima kasih atas berkat ini, dia akan bahagia di dunia dan di akhirat. Namun, barangsiapa menolak dan mengingkarinya, dunia dan akhirat akan terlepas darinya, seperti firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 28-29 yang bermaksud :

"Tidakkah kamu perhatikan orang-orang yang telah menukar nikmat Allah (perintah-perintah dan ajaran-ajaran Allah) dengan kekafiran dan menjatuhkan kaumnya ke lembah kebinasaan ? Iaitu neraka jahannam ; mereka masuk ke dalamnya ; dan itulah seburuk-buruk tempat kediaman".

Maksud rahmat nenurut Imam Ibnu Qayyim pula, beliau menyatakan bahawa :

"Pendapat yang lebih benar dalam menafsirkan ayat ini adalah bahawa rahmat disini bersifat umum. Dalam masalah ini, terdapat dua penafsiran. Pertama, alam semesta secara umum mendapat manfaat dengan diutusnya Nabi Muhammad SAW. Orang yang mengikuti beliau, meraih kemuliaan di dunia dan akhirat sekaligus. Orang kafir yang memerangi beliau, manfaat yang mereka dapat adalah disegerakan pembunuhan dan maut bagi mereka, itu lebih baik bagi mereka. Orang munafik, mereka mendapat manfaat berupa pemeliharaan darah, harta, keluarga dan kehormatan mereka. Penafsiran kedua, Islam adalah rahmat bagi setiap manusia, namun orang yang beriman menerima rahmat ini dan mendapat manfaat di dunia dan di akhirat. Sedangkan orang kafir menolaknya"

Selain itu, menurut Imam Muhammad bin Ali Asy-Syaukani pula dalam kitabnya Fathul Qadir, beliau menyatakan bahawa :

"Makna ayat ini adalah 'Tidaklah Kami mengutusmu, wahai Muhammad, dengan membawa hukum-hukum syariat, melainkan sebagai rahmat bagi seluruh manusia tanpa ada keadaan atau alasan khusus yang menjadi pengecualian'. Dengan kata lain, 'satu-satunya alasan Kami mengutusmu, wahai Muhammad, adalah sebagai rahmat yang luas. Ini kerana Kami mengutusmu dengan membawa sesuatu yang menjadi sebab kebahagiaan di akhirat"




Dalam kitab tafsir al-Qurtubi, direkodkan perkataan oleh Ibnu Abbas, beliau berkata :

"Muhammad SAW adalah rahmat bagi seluruh manusia. Bagi yang beriman dan membenarkan ajaran beliau, akan mendapat kebahagiaan. Bagi yang tidak beriman kepada beliau, diselamatkan dari bencana yang menimpa umat terdahulu berupa tenggelam ke dalam bumi atau ditenggelamkan dengan air",

Demikian beberapa sudut pandang dikalangan para ulama tafsir di dalam memaknai maksud rahmat. Berdasarkan penafsiran yang diberikan, rumusan mudah yang boleh kita nyatakan bahawa perkataan rahmat itu sendiri merujuk kepada apa yang ada pada baginda Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi selaku pembawa hukum-hukum syariat yang sempurna, padanya terkandung kasih sayang yang luas meliputi seluruh umat manusia. Ini berdasarkan apa yang boleh kita perhatikan, bagi mereka yang beriman, dunia dan akhirat pastinya bahagia. Bagi mereka yang kafir, menolak akan ajaran Nabi, diberikan rahmat ditangguhkan azab seksaan seperti yang telah menimpa umat terdahulu. Bagi golongan munafik pula, mereka juga beroleh rahmat daripada Nabi dengan dilindungi darah, harta dan keturunan mereka. Nabi tidak ambil tindakan untuk bunuh kaum munafik meskipun dikhianati oleh mereka.

Gagasan rahmatan lil alamin bukanlah hak milik eksklusif parti tertentu. Slogan ini adalah petikan daripada apa yang dinyatakan oleh Allah SWT. Oleh itu, segala bentuk rahmatnya Islam ini sudah terisi pada baginda Nabi SAW, maka mengikuti sunnah baginda Nabi juga bermaksud kita merasai kasih sayang Allah dan Rasul Nya. Jika sebaliknya, kita menolak dengan tidak mengikuti sunnahnya, ini bermakna kita telah menolak ajaran Nabi serta kasih sayang Allah dan Rasul Nya. Selain itu, agama Islam yang diturunkan oleh Allah berupa suatu angerah besar kepada umat manusia. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Islam memerintahkan kita dengan rahmat Nya, bersikap adil pada semua umat manusia. Berbuat baik kepada mereka dan menunaikan hak sesama manusia dengan tidak menzalimi dan menindas sekalipun kepada mereka yang bukan Islam.




Gagasan ini juga selain membawa mesej kesejahteraan pada semua, ianya juga membawa mesej ketegasan bertempat. Ini bermakna, sekalipun agama Islam menyuruh kita berkasih sayang sesama umat manusia, namun suruhan itu sama sekali tidak menafikan hak kemarahan dan penegasan kita tatkala maruah Islam dirobek. Gagasan Rahmatan lil Alamin ini tidaklah bertujuan menjadikan kita sebagai seorang yang lemah, naif dan dungu sehingga maruah dipijak. Ada ketikanya, kita perlu bertegas akan hal-hal yang menjatuhkan maruah Islam. Seperti apabila Islam dihina, maruah agama terluka, kita dituntut untuk berasa sensitif, marah dan kecewa dengan penghinaan tersebut. Pun begitu, kemarahan dan sensitif ini perlu diterjemahkan dalam kerangka yang dibenarkan oleh syarak. Tidak melampaui batas.

Demikian apa yang boleh kita ambil intipati dari gagasan Rahmatan lil Alamin ini. Kita harus sedar bahawa gagasan ini merupakan seruan agama Islam yang mutlak milik Allah. Ada pun kita hanyalah pelaksana kepada seruan gagasan ini. Bagi merealisasikan gagasan ini, sudah pasti ianya memerlukan kita untuk kembali kepada al-Quran dan hadith. Mesti merujuk sirah kehidupan baginda Nabi SAW dan para sahabat Nabi. Setiap dikalangan kita yang membawa seruan ini perlu lebih jujur dan amanah dengannya, tidak sekadar menjadikan alat tunggangan untuk mencapai kepentingan tertentu. Apatah lagi untuk dijadikan modal menghalalkan sesuatu yang haram dan sebaliknya mengharamkan sesuatu yang halal. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan