Rabu, 8 Februari 2023

APABILA AGAMA DIJADIKAN HIBURAN

 

Sejak dahulu lagi, manusia yang normal pastinya tidak dapat dipisahkan dengan nilai kepercayaan hidup beragama. Meskipun pelbagai anutan agama yang ada di dunia ini, suatu yang tidak dapat kita nafikan lagi manusia pastinya hidup dengan bergantung kepada sesuatu kepercayaan sama ada pada nilai moral mahupun pada nilai beragama. Hidup beragama merupakan suatu fitrah manusia. Padanya terbina asas kepercayaan yang kemudiannya akan melahirkan ritual-ritual tertentu bagi mengukuhkan lagi kepercayaan tersebut. Ini juga dinamakan sebagai agama.

Perkataan agama berasal dari bahasa Sanskrit dibawah agama Hindu dan Buddha bagi merujuk kepada sistem kepercayaan agama tersebut. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan agama mempunyai beberapa maksud antaranya agama merujuk kepada kepercayaan pada Tuhan, sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran Nya. Selain itu, agama juga bermaksud kepercayaan pada sesuatu dewa yang dipuja. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam bukunya, Islam : Faham Agama dan Asas Akhlak, ketika memberikan definisi tentang maksud agama, beliau menyatakan bahawa perkataan al-Diin (agama) itu merangkumi empat perkara iaitu keadaan berhutang, keadaan takluk menyerah diri, kuasa dan gaya menghukum dan bawaan kecenderungan yang sedia ada pada insan.




Agama dalam bahasa Arab disebut sebagai al-Diin (الدين). Ibnu Faris dalam kitabnya, Maqayisul Lughah, telah menyatakan beberapa makna yang merujuk kepada maksud al-Diin. Antara lain, al-Diin bermaksud pasrah, menyerah, takluk, perhitungan dan lain-lain. Penggunaan perkataan al-Diin pada bangsa Arab terpakai untuk beberapa maksud dan tujuan. Antaranya, al-Diin digunakan bagi tujuan kekuasaan, kemampuan dan kegagahan. Selain itu, al-Diin juga digunakan bertujuan ketaatan, penghambaan diri dan pelayanan. Al-Diin juga digunakan bagi tujuan undang-undang, tatatertib dan ideologi. Juga sebahagian digunakan untuk maksud pembalasan, perhitungan hutang dan seumpamanya.

Berdasarkan pemaknaan dan penggunaan tersebut, dapat dirumuskan bahawa perkataan al-Diin merangkumi maksud kekuasaan, penyerahan diri, iman dan amal dan hitungan ganjaran baik dan buruknya sesuatu perkara tersebut. Ini juga bermaksud sesuatu perkara yang dinilai sebagai baik mahupun buruk adalah berdasarkan pada nilaian agama. Bukan pada rasa dan minat manusia. Agama Islam yang merupakan suatu cara hidup yang sejahtera adalah ditentukan oleh wahyu Allah SWT iaitu al-Quran dan Hadith. Sepertimana firman Nya dalam surah an-Najm ayat 4 yang bermaksud :

"Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya".

Oleh itu, bagi menentukan segala cara hidup menurut sudut pandang Islam mestilah kembali kepada apa yang terkandung pada al-Quran dan hadith. Lebih-lebih lagi dalam bab beribadah kepada Allah. Mesti dan pasti mengambil daripada apa yang dituntut dalam al-Quran dan hadith. Namun begitu, amat malang sekali apabila terdapat segelintir dikalangan masyarakat yang merasai keindahan beragama itu pada hiburan yang berbalutkan islamik. Apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad dianggap tidak sesuai, membosankan dan seumpamanya. Perkara ini sama sekali tidak boleh dipandang remeh.




Sesuatu ibadah yang ditunjukkan oleh Nabi merupakan keutamaan kita bagi mengikutinya. Tidak ada yang lebih baik melainkan apa yang diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud :

"Dan apa sahaja perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amallah, dan apa jua yang dilarang untuk kamu lakukan, maka jauhilah ia."

Demikian pula dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Apabila aku menyuruh kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah apa yang kamu mampu dan apabila aku melarang kamu daripada melakukan sesuatu, maka jauhilah ia".

Demikianlah agama ini berdiri dan tertegak diatas apa yang diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya. Selain daripada itu, tiada sesiapa yang berhak mereka cipta ibadah tertentu sekalipun diatas maksud perkara baik. Kerana baik buruknya sesuatu hal itu bukanlah ditentukan oleh sudut pandang dan rasa kita tetapi mesti kembali merujuk al-Quran dan hadith Nabi, padanya sumber yang tiada keraguan sama sekali. Mereka cipta sesuatu amalan yang tidak diajar oleh baginda Nabi SAW merupakan suatu perkara mengada-adakan perkara baharu yang dilarang dan ditegah oleh Nabi SAW.

Hal ini sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Barangsiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan (agama) kami ini sesuatu yang tidak termasuk dari bahagiannya, maka ia adalah ditolak".

Juga dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Jabir RA, beliau berkata, ketika Rasulullah SAW berkhutbah, baginda bersabda :

"Sesungguhnya sebaik-baik perkataan adalah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW. Dan seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara yang baru dan setiap yang bid'ah adalah sesat".




Maka jelaslah bagi kita sesuatu ibadah yang menjadi lambang ketaatan kita pada Nya mestilah berlandaskan apa yang dibawa oleh kekasih Nya, baginda Nabi Muhammad SAW. Secara tidak langsung, dalil seperti diatas memberikan kita isyarat bahawa tidak ada sebarang alasan bagi tujuan membenarkan kita mereka cipta sesuatu amalan diatas apa jua sebabnya. Walaupun pada logik akalnya, adalah lebih baik buat itu dan ini, namun kononnya "lebih baik" itu tidak akan membawa sebarang makna di sisi Allah SWT. Harus difahami, sesuatu baik buruk itu mesti berdasarkan panduan al-Quran dan hadith. Bukan semata-mata mengikut telunjuk nafsu dan syaitan.

Akibat daripada mengabaikan keutamaan mengikut amalan sunnah Nabi SAW, maka kita akan lihat betapa banyaknya amalan-amalan yang dibuat bukan untuk meraih pahala dan redha Allah, tetapi sekadar untuk menyedapkan hati dan perasaan kita. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada asatizah yang mengajar agama hanya bermodalkan cerita kosong dan dongeng, tanpa menyemak, hadith palsu yang disebarkan dan barangkali atas kejahilan, tafsiran pemahaman agama yang menyimpang jauh mengikut selera nafsu sahaja. Intipati ajaran yang dibawa oleh Nabi dipandang sepi, sebaliknya ajaran tok guru yang mulia, disanjung dan dihormati. Seolah-olah agama ini tertegak pada tok gurunya, tidak pada wahyu Allah.

Agama itu sendiri bukanlah bahan untuk dijadikan proksi hiburan. Berqasidah, bersyair, memuji dan mengagumi baginda Rasulullah SAW pada kadar yang dibenarkan syarak bukanlah suatu yang terlarang. Namun, untuk memperkotak-katikkan apa yang dibawa dan diajar oleh Nabi adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diungkapkan apatah lagi keluar dari mulut orang yang beriman. Apabila agama dijadikan sebagai bahan hiburan, secara tidak langsung kita sedang membawa umat ini jauh dari penghayatan agama. Agama tidak lagi dilihat sebagai penghayatan, tetapi dilihat dan diukur pada keseronokan, keasyikan dan sebagainya. Punah lah keaslian agama ini jika agama dijadikan hiburan, tidak lagi mengajak kembali pada Tuhan. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan