Isnin, 13 Februari 2023

TOLERANSI DALAM BERINTERAKSI DENGAN ORANG BUKAN ISLAM

 

Asas kepada kesejahteraan dan keterjaminan keamanan kehidupan ini sedikit-sebanyak terletak kepada nilai bertoleransi. Malah, nilai ini lebih penting untuk diterjemahkan bagi masyarakat yang hidup di dalam suasana kepelbagaian bangsa, agama dan kepercayaan. Dalam konteks ini, bertoleransi merupakan suatu yang dituntut oleh agama dengan diajar dan ditunjuk oleh baginda Rasulullah SAW. Lebih-lebih apabila baginda Nabi berinteraksi dengan golongan mereka yang bukan Islam. Melalui petunjuk al-Quran dan hadith, kita akan dapat melihat bagaimana Islam mengajar umatnya untuk hidup dalam keadaan saling bertoleransi.

Merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu, perkataan toleransi membawa maksud sabar atau sikap bertolak-ansur. Ia juga boleh membawa maksud sikap dapat menerima atau menghormati pendapat, fikiran dan kepercayaan individu lain. Dalam agama Islam, toleransi boleh dimaksudkan dengan pelbagai terma diatas nama rahmat atau kasih sayang. Diatas nilai dan terma tersebut, kita dapat melihat beberapa ayat di dalam al-Quran dan juga di dalam hadith yang menyatakan secara prinsip, melarang umat Islam bersikap zalim, tidak berlaku adil dan menindas pihak yang berbeza dengan mereka. Keadilan mesti ditegakkan merentasi segala rancam perbezaan.




Bahkan, bersikap bertoleransi juga merangkumi maksud menghormati hak setiap individu dengan bersikap adil. Kerana bersikap adil itu lebih dekat kepada ketaqwaan dan disukai oleh Allah SWT. Sepertimana firman Nya di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8 yang bermaksud :

"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil"

Ayat ini diturunkan bertujuan untuk menjawab satu peristiwa yang berlaku kepada Asma Binti Abi Bakar yang telah menerima kedatangan ibunya bernama Qatilah Binti 'Abdil 'Uzza yang bukan Islam. Lalu beliau bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang hasrat ibunya yang mahu sangat untuk menyambung hubungan dengannya. Maka baginda Nabi SAW pun menjawab dengan menyatakan bahawa boleh. Bahkan Nabi juga menyuruh Asma' untuk menerima hadiah pemberian ibunya. Keadaan ini menjelaskan bahawa tidak ada masalah bagi kita melakukan kebaikan kepada mereka yang bukan Islam walau berbeza agama, lebih-lebih lagi kepada kaum keluarga kita walau mereka golongan bukan Islam.

Melalui petunjuk baginda Nabi SAW, kita dapat melihat bagaimana terjemahan interaksi dengan orang bukan Islam itu diajar dan ditunjuk oleh baginda Nabi SAW. Antaranya Nabi SAW melarang untuk kita menyakiti dan menzalimi orang bukan Islam. Seperti yang disebutkan oleh baginda Nabi dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'As bahawa Nabi SAW bersabda :

"Sesiapa yang membunuh seorang yang berada dalam perjanjian damai, dia tidak akan menghidu bau syurga, walaupun bau syurga itu dapat dihidu dari jarak empat puluh tahun"

Dalam ucapan hadith yang lain, riwayat Abu Daud dan selainnya, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa sesiapa yang menzalimi orang mu'ahid, atau mengurangkan haknya atau membebankannya melebihi kemampuannya, atau mengambil sesuatu daripadanya tanpa kerelaan, aku akan mendakwanya pada hari kiamat".




Ungkapan oleh Nabi Muhammad SAW memberikan isyarat kepada umat Islam agar tidak sesekali melakukan sesuatu perkara yang boleh menyakiti dan menzalimi mereka yang bukan Islam. Sekalipun kita majoriti, biarpun kita tuan empunya tanah tersebut, kita harus memenuhi hak mereka yang bukan Islam dengan menjamin keselamatan, keadilan dan hak manusiawi yang lain tanpa mengurangi atau melebihi. Selain itu, baginda Nabi SAW juga memberikan penghormatan kepada orang bukan Islam yang bersikap baik dan menziarahi mereka yang sakit. Perkara ini sepertimana yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Jabir bin Mut'im, telah berkata :

"Rasulullah SAW telah bersabda pada tawanan perang Badar, "Jika sekiranya Mut'im bin Adiy masih hidup, lalu memintaku melepaskan tawanan ini, aku akan bebaskan dia".

Juga dalam hadith yang lain, riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik RA telah berkata :

"Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: "Masuklah Islam". Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: "Taatilah Abu al-Qasim SAW". Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: "Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”

Dalam soal berinteraksi dengan orang bukan Islam juga, baginda Nabi SAW seorang yang memberikan kemaafan kepada mereka yang menyakiti baginda Nabi. Ini sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud :

"Bahawa seorang perempuan Yahudi telah datang bertemu Rasulullah SAW membawa biri-biri yang beracun, Rasulullah SAW pun memakannya. Kemudian dia telah dibawa bertemu Rasulullah SAW. Rasulullah bertanya tujuan perempuan tersebut berbuat begitu, maka dia menjawab, "Aku mahu membunuhmu". Nabi SAW menjawab, "Allah SWT tidak akan mengurniakan kekuatan kepadamu untuk melakukannya". Para sahabat bertanya kepada Nabi SAW : "Perlukah kita membunuhnya ?" Berkata Rasulullah SAW : "Tidak." Anas berkata, "Aku masih dapat mengecam kesan racun di bibir atas Nabi SAW".




Ini juga sebahagian toleransi yang membawa kepada usaha dakwah yang baik. Terkadang, kita seringkali menyeru mereka dengan kata-kata tetapi kurang pada tindakan sehingga Islam itu dapat dilihat pada ungkapan sahaja tetapi tidak pada akhlaknya. Selain itu juga, dalam kerangka toleransi baginda Nabi dalam berinteraksi dengan orang bukan Islam, baginda Nabi juga pernah menerima hadiah dari orang bukan Islam. Dalam satu hadith hasan riwayat al-Bazzar, daripada Buraydah bin al-Husayb RA berkata :

"Al-Muqawqis (atau Cyrus Koptik - pemerintah Mesir berbangsa Qibtiy, sebelum kedatangan Islam) telah menghadiahkan dua orang budak perempuan. Salah seorang daripadanya ialah Mariah, iaitu yang menjadi ibu kepada anak baginda Nabi, Ibrahim. Yang kedua (bernama Sirrin) baginda SAW berikan kepada Hassan bin Thabit dan menjadi ibu kepada 'Abd al-Rahman bin Hassan. Cyrus Koptik itu juga menghadiahkan kepada baginda Nabi seekor baghal (keldai) dan baginda Nabi menerimanya".

Demikianlah beberapa contoh sikap toleransi baginda Nabi SAW dalam berinteraksi dengan orang bukan Islam. Perkataan "kafir" juga merujuk kepada makna orang bukan Islam, bukanlah sesuatu gelaran yang halal kita perangi tanpa sebab yang dibenarkan oleh Allah. Mereka yang hidup aman dengan orang Islam wajib dipenuhi hak-hak mereka sebagai seorang manusia. Ini termasuklah hak berlaku adil, hak keselamatan dan selainnya. Toleransi merupakan kata kunci yang mengukuhkan institusi masyarakat. Tanpa nilainya, pastinya kita hidup dalam perbalahan, peperangan dan pergaduhan yang merugikan. Namun begitu, maksud toleransi di sini ada batasannya. Ianya tidak bermaksud kita perlu turut menyembah apa yang mereka sembah, kita perlu turut melakukan ritual agama mereka. Perkara tersebut tidak lagi dinamakan toleransi. Hal itu sudah melampaui batas. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan