Khamis, 16 Februari 2023

ISRAK DAN MIKRAJ : PENGUBAT DUKA DIKALA KESEDIHAN

 

Umum mengetahui bahawa Israk dan Mikraj merupakan salah satu peristiwa agung dalam Islam yang berlaku kepada baginda Nabi Muhammad SAW. Peristiwa agung ini juga merupakan medan bagi menguji keimanan kita kepada Allah SWT antara percaya atau tidak. Namun begitu, diatas landasan iman yang suci, memperakui dan mempercayai akan kebenaran berlakunya peristiwa agung ini adalah suatu tuntutan keimanan kita kepada Allah. Ini bermakna, golongan yang mereka menolak akan kebenaran peristiwa Israk dan Mikraj ini pastinya bukanlah termasuk dikalangan orang yang beriman. Kerana bagi orang yang beriman, apa sahaja yang diungkapkan oleh baginda Nabi tidak lain datangnya dari wahyu Allah SWT.

Pada peristiwa Israk dan Mikraj, pelbagai hikmah yang tersirat dan yang tersurat yang boleh kita ambil sebagai pengajaran bersama. Selain padanya berlaku penurunan syariat solat untuk umat Nabi Muhammad SAW, peristiwa ini juga adalah merupakan pengubat duka baginda Nabi SAW di tahun kesedihan. Menurut Syeikh Syafiyurrahman al-Mubarakfuri dalam kitab terkenalnya, ar-Rahiq al-Makhtum, peristiwa Israk dan Mikraj terjadi setelah baginda Nabi SAW bersedih dan berdukacita dengan bertimpa-timpa kesedihan. Pada tahun tersebut, disebutkan sebagai Tahun Kesedihan. Pelbagai mehnah dan tribulasi dakwah, juga dugaan kehidupan meredhai insan-insan yang tersayang.




Pada tahun tersebut, baginda Nabi SAW kehilangan dua insan yang tersayang. Iaitulah bapa saudara, Abu Talib dan isteri yang tercinta, Khadijah. Abu Talib, bukan sahaja mempunyai darah pertalian sebagai bapa saudara Nabi, bahkan beliau adalah antara insan yang menjadi pelindung kepada Nabi SAW. Abu Talib telah menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan Rejab tahun ke-10 kenabian. Pada sebelum itu, Nabi Muhammad dan umat Islam yang lain telah diboikot oleh kaum Musyrikin Quraisy. Pemboikotan itu adalah tindak balas terhadap baginda Nabi SAW setelah baginda Nabi menolak tawaran istimewa mereka bertujuan untuk berhenti menyebarkan agama Allah.

Selepas beberapa bulan, pada tahun kenabian yang sama, telah pergi menghadap ilahi isteri tercinta baginda Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Menurut Imam Ibnu Jauzi dalam kitabnya, at-Talqih, Khadijah telah meninggal dunia pada usia 65 tahun manakala usia baginda Nabi sewaktu itu ialah 50 tahun. Bagi baginda Nabi, Khadijah merupakan anugerah Allah SWT kepada Nabi. Beliau hidup bersama Nabi lebih kurang 25 tahun, turut merasai jerit-perih dakwah suaminya, Nabi Muhammad. Setelah daripada pemergian dua insan yang tersayang ini, bertimpa-timpa lah kesedihan demi kesedihan yang meragut jiwa dan perasaan baginda Nabi. Dakwah Nabi ditolak oleh penduduk Taif.

Dengan penuh kedukaan, baginda Nabi SAW telah menghampiri sebuah pohon anggur yang rimbun. Baginda duduk dibawah naungannya dengan menyandarkan diri pada tembok. Kemudian baginda menadah lalu berdoa kepada Allah SWT. Hal ini sepertimana yang dinukilkan oleh Imam at-Thabarani dalam kitab al-Mu'jam al-Kabir, yang bermaksud :

"Allahuma Ya Allah, kepada-Mu aku mengadukan kelemahanku, kekurangan daya upayaku di hadapan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, Engkaulah Tuhan orang-orang yang lemah dan Tuhan pelindungku. Kepada siapa hendak Engkau serahkan nasibku? Kepada orang jauhkah yang berwajah muram kepadaku atau kepada musuh yang akan menguasai diriku? Asalkan Engkau tidak murka kepadaku, aku tidak peduli sebab sungguh luas kenikmatan yang Engkau limpahkan kepadaku. Aku berlindung kepada nur wajah-Mu yang menyinari kegelapan dan kerana itu yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat dari kemurkaan-Mu dan yang akan Engkau timpakan kepadaku. Kepada Engkaulah aku adukan halku sehingga Engkau redha kepadaku. Dan, tiada daya upaya melainkan dengan kehendak-Mu."




Dengan kerahmatan Allah, Tuhan yang tidak pernah lena dari memantau hamba Nya, telah menghadiahkan suatu peristiwa agung kepada Nabi juga kepada kita semua sebagai umatnya. Melalui peristiwa Israk dan Mikraj ini, baginda Nabi SAW telah dibawa berjalan dari Masjidil Haram di Makkah, bergerak menuju ke Masjid Al-Aqsa di Palestin. Kemudiannya, dengan kekuasaan dan kebesaran Allah, baginda diangkat ke langit sehingga menuju ke langit ketujuh. Pada setiap lapisan langit tersebut, baginda diberi peluang bertemu sebahagian para Nabi yang terdahulu dan sampai di akhirnya, baginda telah menerima suatu syariat yang besar dalam kehidupan umat Islam, iaitulah syariat solat fardhu. Dalam peristiwa ini juga, baginda telah diperlihatkan tentang kebesaran dan kekuasaan Allah sekaligus menambahkan kekuatan semangat dan membangkitkan semula roh untuk terus bertenaga menyebarkan risalah Islam.

Oleh yang demikian, apa yang boleh kita perhatikan adalah tatkala baginda diselubungi kesediahan dan kedukaan ujian kehidupan, Allah SWT telah membawa baginda menuju ke masjid-masjid. Ini juga merupakan isyarat khabar gembira buat orang yang beriman, apabila dilanda kedukaaan dan kesedihan, masjid adalah tempat yang boleh memberikan ketenangan. Masjid, selain tempat melakukan ibadah mengabdikan diri kepada Allah, ianya juga tempat umat bersosial, berekonomi dan sebagainya. Termasuklah juga tempat beroleh ketenangan. Demikian juga bagaimana baginda telah dibawa naik ke langit bertemu dengan para Nabi yang terdahulu. Ini juga memberi isyarat kepada kita untuk bertemu dengan orang-orang soleh sebagai pengubat duka akan ujian kehidupan. Pada wajah orang soleh itu, tentunya mencerminkan ketenangan.

Israk dan Mikraj merupakan suatu hadiah untuk baginda Rasulullah bagi menguatkan semangat setelah kesedihan demi kesedihan menimpa baginda. Penting dan mustahak bagi kita fahami akan sifat dunia yang datang untuk menguji kita semua. Tidak ada yang dapat menghalang daripada diuji dan diduga kecuali setelah kita kembali ke pangkuan ilahi. Lihatlah bagaimana Allah menghadiahkan kekasih Nya, dengan berjalan menuju ke masjid, kemudian bertemu dengan para Nabi terdahulu. Seteruk mana pun ujian dan dugaan yang menimpa, pastinya ada penamatnya. Namun harus diingat, plot penamat akan segala kesedihan di dunia ini bergantung kepada keimanan kita kepada Allah. Sekiranya kita banyak bersabar dengan mengingati Allah, maka berjayalah kita. Sebaliknya, jika kita asyik mengeluh dan terus menyalahi takdir, rugilah kita di negeri akhirat sana. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan