Golongan
LGBT merujuk kepada mereka yang mengamalkan kehidupan songsang diluar
normalisasi fitrah manusiawi. Kecenderungan seksual yang melawan fitrah, juga
boleh disifatkan sebagai kecelaruan minda. Secara peribadi, adalah wajar untuk
dibuat semakan semula pada golongan ini bagi menjustifikasikan golongan ini
sebagai pesakit mental akibat kecelaruan perasaan dan gender. Golongan ini juga
boleh kita sifatkan sebagai tidak normal, melawan hukum alam dan seumpamanya.
Islam sangat melarang umatnya daripada terjebak dalam kancah tidak bermoral
ini. Malah, sejak dahulu kala lagi, golongan ini sama sekali tidak pernah
diiktiraf oleh mana-mana ketamadunan dan peradaban manusia.
Oleh
itu, bagi memastikan kelangsungan perjuangan tidak normal mereka ini, tidak ada
yang boleh ditunggangi melainkan berpaut pada perlembagaan ciptaan Barat iaitu
deklarasi Hak Asasi Manusia. Secara umumnya, Islam sejak dahulu lagi telah
memberikan hak manusiawi merentasi sempadan perkauman, warna kulit dan agama.
Ini dapat dilihat ketika baginda Nabi SAW menubuhkan Piagam Madinah, yang telah
menekankan soal hak persaudaraan, keadilan, toleransi, keselamatan, kedamaian
dan kesejahteraan. Melalui piagam tersebut, baginda Nabi telah menyatukan dua
kaum utama di Madinah, iaitulah Aus dan Khazraj. Disamping berjaya mengeratkan
hubungan antara kaum Ansar yang merupakan penduduk tetap Madinah dengan kaum
Muhajirin, penduduk Mekah yang berhijrah bersama Nabi SAW.
Golongan
LGBT yang berpaut pada hak asasi manusia ciptaan Barat adalah bertuhankan
sekular dan liberal. Ini sekaligus menjadi binatang tunggangan golongan LGBT
bagi menuntut kebebasan cara hidup mereka yang songsang itu. Pada tanggal 10
Disember 1948, setelah hampir tiga tahun lamanya, akhirnya tercipta lah
Universal Declaration Of Human Rights (UDHR) 1948. Dalam UDHR, sebanyak 30
artikel berkaitan hak asasi manusia merangkumi soal kesamarataan, kebebasan,
keselamatan diri, larangan perhambaan, larangan buang negeri, kemanusiaan,
kesamaan di sisi undang-undang, kebebasan berhimpun dan sebagainya. Rentetan
daripada itu, Lembaga Hak Asasi Manusia dan Mahkamah Hak Asasi Manusia
ditubuhkan di Strasbourg, Perancis. Penubuhan ini berperanan sebagai mengadili
aduan-aduan berkaitan hak asasi manusia.
UDHR
sememangnya telah menjadi alat tunggangan golongan LGBT ini bagi memperjuangkan
hak mereka sebagai manusia normal. Seperti yang dinyatakan oleh Marks, seorang
aktivis LGBT, dalam tulisannya bertajuk "Global Recognition of Human
Right for Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender People", beliau
merujuk kepada tujuh perkara yang terkandung dalam UDHR. 7 perkara utama
tersebut adalah seperti yang termaktub dalam UDHR. Pada perkara 1 berkaitan
kebebasan manusia yang dilahirkan adalah sama rata dan mulia.Perkara 2, isu
kebebasan tanpa diskriminasi, perkara 3 hak nyawa dan keselamatan diri, perkara
5 hak mendapat layanan yang sama tanpa kezaliman dan penindasan, perkara 6
tentang hak pengiktirafan sebagai manusia di sisi undang-undang, perkara 7
berkenaan kesamarataan setiap insan di sisi undang-undang dan perkara 16
berkaitan kebebasan perkahwinan.
Berdasarkan
7 perkara yang terkandung dalam UDHR tersebut, maka dapat kita simpulkan bahawa
perjuangan golongan LGBT yang bertuhankan Barat dan bersumberkan UDHR ini,
mereka menuntut 8 perkara utama ini. Antaranya, mereka menuntut aktiviti seks
sesama jantina (tanpa mengambil kira soal hukum halal dan haram). Mereka
menuntut pengiktirafan terhadap hubungan sesama sejenis atau berlainan jenis.
Selain itu, mereka mahukan perkahwinan sesama jantina dibenarkan, mereka
menuntut membenarkan gay dan lesbian untuk berkhidmat dalam tentera, selain
mahu memperjuangkan undang-undang untuk identiti gender dan ekspresi gender.
Mereka juga tanpa segan silu mahu memperjuangkan juga antidiskriminasi
berdasarkan orientasi seksual.
Inilah
yang menjadi nadi serta tunjang kepada perjuangan LGBT ini. Bersumberkan kitab
wahyu mereka, UDHR sentiasa menjadi rujukan utama mereka untuk melindungi
aktiviti tidak bermoral mereka ini. Melalui perjuangan tidak bermoral mereka
ini, maksud utama mereka adalah untuk mahukan seluruh dunia mengiktiraf
kecenderungan seks mereka dan perlu dihormati, di turuti akan hak-haknya oleh
kerajaan dan masyarakat awam tanpa sebarang syarat dan bentuk diskriminasi.
Mereka juga mahu mengajak masyarakat awam supaya tidak memandang serong kepada
golongan LGBT dan tidak bersikap prejudis. Ini sekaligus seolah-olah mahu
mengajak untuk kita menolak nilai halal dan haram dalam Islam diatas nama
toleransi, hormat-menghormati dan sebagainya.
Namun
begitu, kita amat bertuah kerana masih dikurniakan akal yang waras. Warga dunia
yang budiman dan waras rata-ratanya menolak UDHR sebagai suatu instrumen dalm
perundangan. Ini boleh kita lihat dalam satu penghakiman di Tribunal Sivil di
Brussels, UDHR dikategorikan sebagai perisytiharan biasa dan tidak mempunyai
kuasa perundangan. Mahkamah pula menyatakan matlamat asal perisytiharan UDHR
tersebut diwujudkan untuk melontarkan persamaan idea yang berjaya dicapai oleh
semua negara yang terlibat. Begitu juga turut dipersetujui oleh Hakim Mahkamah
Tinggi dan Duta Amerika Syarikat ke PBB, Arthur J. Goldberg, beliau
berpandangan bahwa UDHR bukanlah satu instrumen undang-undang tetapi sekadar
perisytiharan biasa. Malah, Diplomat Amerika Syarikat, Eleanor Roosevelt
menyatakan bahawa UDHR bukanlah suatu bentuk perjanjian atau undang-undang.
Demikianlah
bagaimana kebuntuan golongan LGBT yang sama sekali tidak pernah diiktiraf oleh
mana-mana sejarah tamadun dunia. Pun begitu, beberapa buah negara dunia kini
sudah menzahirkan sokongan dan solidariti terhadap perjuangan LGBT. Ianya tetap
sama sekali tidak mewakili keseluruhan suara warga dunia yang masih waras dan
berakal. Dalam konteks Malaysia, ada baiknya jika kerajaan melihat semula
cadangan untuk menjustifikasikan golongan ini sebagai masalah mental. Ini
kerana dunia tidak pernah mengiktiraf gender ketiga yang sememangnya di luar
tabiat manusia normal. Walau apa pun peluru dan senjata mereka untuk
memperjuangkan kebatilan ini, pastinya rapuh dan rebah kerana kebenaran tidak
akan pernah tunduk dan padam pada perkara kebatilan. Semoga Allah merahmati
kita semua.