Dikalangan orang Islam di serata dunia, seringkali menyeru umatnya
untuk sentiasa berpegang teguh dengan pendirian dan pemahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pada masa yang sama, tidak kurang juga wujud beberapa perbahasan, wacana dan
diskusi bagi membincangkan aliran pemikiran atau golongan tertentu yang
dianggap sebagai terkeluar dari golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam beberapa
keadaan, sebahagian kecil mereka yang telah bersikap melampau dengan semberono
mengeluarkan golongan-golongan tertentu dari kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah
dan mendakwa hanya merekalah yang benar-benar memahami dan mengamalkan ajaran
Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terlebih dahulu, adalah penting untuk kita memahami disebalik
istilah besar ini. Perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah nama suatu gerakan
parti, NGO atau mana-mana mazhab yang diasaskan oleh para ulama. Tetapi istilah
ini adalah datangnya daripada nas-nas syarak yang banyak. Pada perkataan
al-Sunnah, ianya merujuk kepada segala perbuatan, percakapan, pengakuan, akhlak
dan segala hal yang disandarkan kepada baginda Nabi SAW. Sunnah Nabi SAW
merupakan sumber autentik dalam beragama selepas al-Quran. Dalam erti kata lain,
al-Sunnah merupakan wahyu panduan hidup umat manusia terpenting selepas
al-Quran. Dalam hadith Nabi, begitu banyak sekali perkataan al-sunnah
digunakan. Antaranya hadith riwayat al-Baihaqi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Wahai sekalian manusia, sesungguhnya aku telah tinggalkan buat
kamu (dua perkara) selagimana kamu berpegang dengannya, maka kamu tidak akan
sesat selama-lamanya, iaitu Kitabullah dan sunnah Nabi-Nya.”
Hadith ini menjelaskan tentang wasiat baginda Nabi SAW yang begitu
bermakna untuk kita semua umat akhir zaman. Selain itu, al-Sunnah juga merujuk
kepada ijtihad atau sunnah para sahabat. Ini bermaksud, baginda Nabi SAW
mengiktiraf segala perbuatan, percakapan, pengakuan dan akhlak para sahabat
sebagai sumber hukum untuk diikuti oleh sekalian manusia. Hal ini sepertimana
yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, baginda Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
“Hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah para Khulafа’
al-Rаshidіn al-Mahdiyyіn.”
Berdasarkan pemahaman maksud al-Sunnah ini, jelas bahawasanya
perkataan istilah al-Sunnah bukanlah suatu istilah baharu malah telah lama
disebutkan melalui lisan junjungan besar baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu,
sebagai sumber autentik dalam beragama, adalah menjadi kewajipan para umat
manusia supaya beramal dengan apa yang ditunjukkan oleh baginda Nabi dan
meninggalkan apa yang dilarangnya. Sesungguhnya apa yang ditunjukkan oleh Nabi
itu adalah sunnah, dan lawannya adalah bid'ah iaitu merujuk kepada maksud
sesuatu yang dilarang, ditegah dan segala yang tidak datang dari ajaran baginda
Nabi SAW. Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang bermaksud :
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu
maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya
maka patuhilah larangan-Nya, dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya
Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya).”
Bagi lebih memahami maksud Ahli Sunnah Wal Jamaah, para ulama telah
membahaskannya berdasarkan sebuah hadith riwayat Ibn Majah, sabda Nabi SAW yang
bermaksud :
“Dan sesungguhnya umat ini akan berpecah kepada tujuh puluh tiga
golongan (mengikut hawa nafsu), semuanya di dalam neraka kecuali satu iaitu
al-Jamа‘ah.”
Para ulama telah membahaskan siapakah golongan yang dimaksudkan
al-Jamaah. Dalam kitab al-I'tisam, Imam al-Syatibi telah menukilkan
bahawa secara umumnya, pendapat para ulama mengenai "al-Jamaah"
adalah berkisar kepada beberapa makna. Pertamanya, perkataan al-Jamaah merujuk
kepada makna golongan majoriti dalam kalangan umat Islam yang terdiri daripada
para imam mujtahid, para ulama, ahli syariah dan umat yang mengikuti mereka.
Keduanya, al-Jamaah membawa makna kumpulan para ulama mujtahid. Ketiganya,
al-Jamaah merujuk kepada makna para sahabat Nabi SAW. Keempat, al-Jamaah
membawa makna umat Islam yang bersepakat atas sesuatu perkara dan yang
terakhir, al-Jamaah juga boleh membawa makna umat Islam yang bersatu mentaati
seorang pemimpin.
Berdasarkan kesemua pandangan ini, Imam al-Syatibi merumuskan
bahawa istilah atau perkataan al-Jamaah itu membawa maksud perhimpunan yang
bersatu dibawah pemimipin atau imam yang menepati petunjuk al-Quran dan
al-Sunnah. Ini bermaksud, selagi mana para imam yang diikuti, tanpa mengira apa
jua mazhabnya, selagi ianya menepati dan tidak menyanggahi al-Quran dan
al-Sunnah, maka ianya termasuk sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ini juga
menjelaskan kepada kita bahawa apa jua pegangan mazhab kita, selagi ianya tidak
menyimpang jauh dari intipati ajaran Islam sebenar, maka kita semua adalah
dalam payung besar Ahli Sunnah Wal Jamaah. Baik apa pun iktikadnya berdasarkan
mazhab Hanafiah, Malikiyyah, Syafie'iyyah mahupun Hanabilah, ataupun mana-mana
mazhab lain yang tidak terkenal, asalkan tidak menyalahi wahyu, kita semu
tergolong dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam kitab I'lam al-Muwaqqi'in karangan Imam Ibnu Qayyim,
Ibnu Mas'ud menyatakan bahawa al-Jamaah adalah apa yang menepati kebenaran,
sekalipun engkau berseorangan. Ini bermaksud sesuatu himpunan atau kumpulan
yang bersatu bukan diatas dasar kedua-duanya, yakni al-Quran dan al-Sunnah,
maka ianya tidak termasuk sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerana kesatuan
sesuatu kumpulan ini mestilah didasari oleh wahyu al-Quran dan al-Sunnah.
Sebaliknya, jika bersatu diatas selain kedua-duanya, maka terkeluar mereka dari
maksud al-Jamaah tersebut. Secara ringkasnya, seperti yang dinyatakan dalam
kitab al-Wajiz fi Aqidah al-Salaf karangan Syeikh Abdul Hamid al-Atsari,
beliau menyatakan bahawa Ahli Sunnah Wal Jamaah itu :
“Mereka yang berpegang dengan sunnah Nabi SAW, para sahabatnya dan
yang mengikut mereka serta berjalan mengikut perjalanan mereka dalam aqidah,
ucapan dan amalan. Mereka juga beristiqamah dalam mengikut (sunnah) dan
menjauhi bid’ah (munkarah). Mereka kekal, zahir dan didukung sehingga hari
kiamat. Maka mengikuti mereka mendapat petunjuk sedangkan menyalahi mereka
adalah kesesatan”.
Oleh yang demikian, menjadi kewajipan setiap umat Islam, baik
datang dari mana arah sekalipun, biarpun dari bangsa dan warna kulit berbeza
pun, wajib berpegang serta beramal dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beramal dengan sunnah bukanlah sebuah pilihan, bahkan sebaliknya sebuan
tuntutan kewajipan. Sesiapa yang mengikuti selain dari apa yang dibawa oleh
Rasulullah SAW, nescaya ancaman hebat menanti. Sepertimana firman Allah SWT
dalam surah al-An'am ayat 153 yang bermaksud :
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul
lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut
jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu)
mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah
perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir Ibn Kathir,
menjelaskan bahawa menurut Ibn Abbas RA, ayat ini dan yang seumpama dengannya di
dalam al-Quran adalah merujuk kepada arahan Allah terhadap golongan orang
beriman agar sentiasa berada dalam jamaah dan menegah mereka daripada
perselisihan dan perpecahan yang menyesatkan. Demikianlah apa yang boleh kita
fahami daripada istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Berlawanan dengan Ahli Sunnah
Wal Jamaah, adalah mereka yang tidak menepati ajaran al-Quran dan al-Sunnah.
Sesungguhnya nama Ahli Sunnah Wal Jamaah bukanlah nama untuk di dagang, apatah
lagi untuk ditunggang demi kepentingan diri. Tidak juga nama eksklusif parti
atau NGO. Namun, sebaliknya, ianya adalah sebuah warisan yang tidak akan sesat
selagimana kita masih bertaut padanya. Semoga Allah mengampuni kita semua.