Ahad, 24 Disember 2023

MATI SYAHID ; CITA-CITA TERTINGGI PARA PEJUANG ISLAM

Kehidupan di dunia adalah bersifat sementara. Ini bermakna setiap yang kita miliki di dunia bakal pergi dan hilang meninggalkan kita. Ini juga merangkumi usia yang semakin meningkat, raut wajah yang makin kedut sejajar dengan waktu dan masa yang sentiasa berjalan tanpa boleh mengundur lagi kebelakang. Oleh yang demikian, dunia bukanlah pentas untuk kita diami selama-lamanya melainkan sampai detik dan ketikanya, kita semua bakal pulang bertemu Allah SWT. Dunia dan kematian tidak boleh dipisahkan. Ke mana sahaja kita berada, pastinya kita akan bertemu waktu tersebut untuk meninggalkan segala isi dunia bagi menghadap Allah SWT.

Kematian bukanlah sesuatu yang bersifat memisahkan. Sebaliknya kita hanya berpindah dari satu alam ke alam yang lain. Kematian juga bukanlah suatu penamat episod kisah dan cerita kita. Ianya bakal bersambung di alam akhirat pula. Di dalam Islam, sebaik-baik kematian adalah mereka yang mati syahid. Mati syahid merupakan salah satu kemuliaan di dalam Islam. Ini kerana, mereka disangka telah mati sedangkan mereka masih hidup dalam keadaan yang istimewa. Ini sebagaimana penjelasan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 154 yang bermaksud :

“Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu ialah orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.”




Dalam kitab Tafsir al-Muyassar, dinyatakan bahawa ayat ini merupakan peringatan kepada orang beriman agar jangan mengatakan mereka yang telah terbunuh di jalan Allah itu ialah orang-orang yang mati yakni tidak ada apa-apa nilai. Bahkan mereka itu hidup dengan keadaan yang istimewa walau kita tidak menyedarinya. Ayat ini menjadi bukti dan hujah bahwa adanya nikmat di dalam kubur. Demikian ulasan terhadap ayat diatas. Ini boleh kita fahami bahawa kematian syahid di kaca mata penduduk dunia barangkali dianggap mati yang sia-sia padahal di sisi Allah, mereka diberikan pelbagai nikmat kesenangan sejak bermula di alam kubur lagi.

Kematian syahid seringkali dikaitkan dengan golongan yang mati berperang di jalan Allah. Sedangkan, kematian syahid dibahagikan kepada beberapa bahagian. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Jabir bin 'Atik bahwa yang bermaksud :

“Abdullah bin Thabit ketika meninggal dunia, anak perempuannya berkata: ‘Demi Allah, aku sangat berharap engkau mati syahid. Adapun engkau telah mempersiapkan peralatan engkau (bagi menyediakan peralatan perang dan ekspedisi serta lain-lain).’ Lalu Rasulullah SAW bersabda: ‘Sesungguhnya Allah telah menjadikan pahalanya setimpal dengan apa yang diniatkannya, dan menurut kamu, siapakah orang yang dikira mati syahid itu?’ Mereka menjawab: ‘(Orang yang mati syahid itu) ialah orang yang terbunuh di jalan Allah.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan Allah ada tujuh orang, iaitu orang yang mati kerana taun adalah syahid, orang yang mati tenggelam (lemas) adalah syahid, orang yang mempunyai luka pada lambung lalu mati adalah syahid, orang yang mati kerana penyakit perut adalah syahid, orang yang mati dalam kebakaran adalah syahid, orang yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid dan seorang wanita yang meninggal dunia sedangkan dia dalam keadaan mengandung adalah syahid.’”

Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Orang-orang yang mati syahid ialah lima; orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, mati ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.”




Berdasarkan maksud hadith ini, mati syahid bukan sahaja kepada mereka yang terbunuh di jalan Allah, bahkan mereka yang mati lemas, mati kerana sakit dalam perut, mati dalam kebakaran, mati ditimpa runtuhan dan mati seorang wanita yang dalam keadaan mengandung. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa kesemua jenis kematian itu dianggap sebagai mati syahid disebabkan kelebihan kurniaan Allah SWT kepada mereka kerana dahsyatnya kesakitan dan kepedihan kematian tersebut yang ditanggung oleh mereka. Demikian apa yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi.

Selain itu, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fathul Bari, menyatakan bahawa melalui hadith-hadith yang berkaitan mati syahid, dapat dibahagikan mati syahid itu kepada dua bahagian. Pertama, syahid di akhirat dan syahid di dunia. Syahid jenis pertama ini merujuk kepada sesiapa yang gugur terbunuh di jalan Allah melawan orang-orang kafir (bagi menegakkan agama-Nya) ikhlas kerana Allah serta dalam keadaan mara ke hadapan dan bukannya berundur melarikan diri. Kedua, syahid di akhirat sahaja. Ini merujuk kepada sesiapa yang diberikan pahala mati syahid namun tidak terpakai keatas mereka hukum syahid tersebut di dunia. Ini juga bermaksud syahid jenis ini masih lagi perlu dimandikan, disolatkan dan sebagainya. Pun begitu, Imam al-Nawawi menambahkan satu bahagian lagi iaitulah syahid di dunia tetapi tidak di akhirat. Ini merujuk kepada mereka yang mati dalam peperangan melawan orang kafir namun terhalang keatas mereka untuk syahid di akhirat kerana beberapa halangan seperti niat yang rosak dan lari dari medan perang.

Kematian syahid padanya terdapat beberapa kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya. Antara kelebihannya ialah mereka yang mati syahid akan peroleh ganjaran pahala yang besar. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 74 yang bermaksud :

“Dan barangsiapa berperang di jalan Allah, lalu gugur atau memperoleh kemenangan maka akan kami berikan pahala yang besar kepadanya.”

Begitu juga dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, dinyatakan kelebihan bagi mereka yang mati syahid , Allah SWT akan menyediakan 100 tingkatan kedudukan. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

“Sesungguhnya di dalam Syurga nanti ada 100 tingkatan kedudukan yang Allah sediakan buat pejuang di jalan Allah"




Demikian antara kelebihan dan keistimewaan yang dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya buat mereka yang mati syahid. Sesungguhnya adalah menjadi cita-cita orang yang beriman mengharapkan agar terpilih untuk memperolehi mati syahid. Mengharapkan diri untuk mati syahid bukanlah sesuatu yang salah atau terlarang. Bahkan baginda Nabi SAW menggalakkan kepada sifat merindui mati syahid. Ini sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Barangsiapa yang berdoa supaya dikurniakan mati syahid dengan penuh ikhlah, maka Allah akan meletakkannya dikedudukan orang-orang yang syahid, sekalipun dia meninggal di atas katil (tanpa berjuang)".

Berdasarkan hadith tersebut, maka tidaklah menjadi satu kesalahan atau larangan dalam Islam bagi orang yang beriman memohon doa agar direzekikan untuk mati syahid. Bahkan sekalipun dirinya tidak berpeluang peroleh mati syahid, namun kerana doanya itu, Allah pastinya akan meletakkan dirinya pada kedudukan orang yang mati syahid. Demikian betapa tinggi dan mulianya bagi mereka yang perolehi mati syahid dan berdoa untuk beroleh mati syahid. Mati syahid pastinya sebuah kematian yang dicemburui oleh orang yang beriman. Kerana padanya tidak ada istilah mati yang sia-sia. Oleh yang demikian, sentiasalah kita berdoa agar Allah SWT memberikan kita peluang untuk perolehi nikmat mati syahid. Kerana inilah cita-cita tertinggi bagi sesiapa yang beriman kepada Allah SWT. Semoga Allah mengampuni kita semua.


Ahad, 17 Disember 2023

USAHA BOIKOT DAN SERUAN JIHAD ISLAM

 

Pelbagai daya usaha yang boleh dilakukan sebagai mewakili suara umum, memberikan tekanan demi tekanan kepada pihak musuh. Ini termasuklah usaha untuk melumpuhkan ekonomi mereka dengan tindakan kempen memboikot barangan dagangan mereka. Bercakap soal boikot, sejarah pernah mencatatkan gerakan boikot yang telah dilancarkan oleh kaum Quraisy terhadap baginda Nabi dan pengikutnya sebagai usaha protes terhadap usaha dakwah Nabi SAW. Seperti yang dinukilkan oleh al-Marhum Syeikh al-Buthi dalam kitabnya, Fiqh as-Sirah, pemboikotan telah berlaku pada bulan Muharram tahun ke-7 kenabian hingga Muharram tahun ke-10 kenabian.

Sesungguhnya usaha dan gerakan memboikot ini telah banyak berlaku pada zaman baginda Nabi SAW. Antara lain adalah ketika baginda Nabi sampai di Madinah, baginda telah membina sebuah pasar Madinah sebagai tanda protes kepada Pasar Bani Qainuqa', yang dimiliki oleh bangsa Yahudi. Mereka telah melakukan pelbagai bentuk penindasan dan kezaliman terhadap para peniaga termasuklah mengenakan sewa pajak yang tinggi, monopoli, perjudian dan amalan riba. Untuk memberikan keadilan bagi mereka yang ditindas, baginda Nabi telah mendirikan sebuah pasar baharu yang disebut sebagai Pasar Madinah dan dijalankan aktiviti jual beli dengan aman dan adil. Ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Syeikh Safiyurrahman Mubarakfuri dalam kitab sirahnya, al-Rahiq al-Makhtum.




Selain itu, usaha memboikot monopoli oleh orang Yahudi juga telah dilakukan dengan usaha yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin Affan, membebaskan telaga Raumah dari penguasaan Yahudi bagi manfaat umat Islam. Saidina Uthman bin Affan telah membeli telaga Raumah yang asalnya dimliki oleh Yahudi. Pada ketika itu, musim kemarau melanda Madinah. Akibatnya, umat Islam sangat memerlukan bekalan sumber air. Malangnya, bekalan sumber air yang terdapat di telaga Raumah adalah kepunyaan orang Yahudi. Satu-satunya cara untuk umat Islam mendapatkan bekalan air pada ketika itu adalah dengan membeli telaga tersebut. Demi manfaat orang Islam, Saidina Uthman telah menginfakkan hartanya dengan membeli telaga tersebut sekaligus membebaskan telaga Raumah dibawah penguasaan Yahudi.

Asas di dalam Islam, aktiviti muamalah atau jual beli adalah harus, sama ada jual beli tersebut melibatkan orang Islam mahupun orang yang bukan Islam. Keadaan ini sepertimana yang dilakukan oleh baginda Nabi yang telah berjual beli dengan orang Yahudi. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah Ranha yang bermaksud :

“Sesungguhnya Nabi s.a.w membeli makanan dari seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW.”

Menurut Imam al-Nawawi dalam kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, ketika menjelaskan maksud hadith ini, menyatakan bahawa keharusan berjual beli dengan orang bukan Islam sememangnya telah disepakati para ulama. Namun, keharusan tersebut adalah terhad kepada perkara yang dibenarkan sahaja, sekiranya transaksi tersebut boleh membawa kepada perkara yang haram seperti menjual senjata kepada musuh Islam, sebarang bentuk yang boleh membantu untuk menegakkan syiar agama mereka, membeli kitab agama mereka dan seumpamanya maka muamalat tersebut diharamkan.

Berdasarkan penjelasan tersebut, adalah harus berjual beli dengan orang bukan Islam dengan syarat perkara tersebut tidak membantu agama mereka memerangi agama Islam. Melihat kepada keadaan krisis Israel-Palestin yang tidak berkesudahan sejak 70 tahun lebih, maka seruan boikot barangan Israel menjadi agenda utama umat Islam dalam usaha memberikan tekanan kepada Zionis dan sekutunya. Usaha dan tindakan memboikot ini juga adalah selari dengan perintah Allah SWT untuk tolong-menolong dalam kebaikan dan tidak bertolongan dalam kemaksiatan dan permusuhan. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud :

“Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”




Dalam lembaran sejarah, perjuangan memboikot Israel-Yahudi telah bermula sejak tahun 1945 lagi. Pada tahun tersebut, satu resolusi dikeluarkan oleh Liga Arab bertajuk "The Boycott of Zionist Goods and Products". Resolusi ini adalah hasil pertemuan tujuh anggota Liga Arab pada 22 Mac 1945. Kempen boikot berdasarkan resolusi ini adalah sebagai usaha memprotes kemasukan pendatang orang Yahudi dengan menghalang penjualan tanah terhadap mereka. Catatan sejarah juga menyatakan pada tahun 1951, Liga Arab telah menubuhkan Central Boycott Office di Damsyik bertujuan menyelaraskan mekanisme dan aktiviti pemboikotan. Pun begitu, kerana faktor kebergantungan ekonomi kepada kuasa dunia, akhirnya beberap buah negara Islam mulai menamatkan tindakan boikot ini seperti Mesir pada tahun 1970, Jordan pada tahun 1993 dan Pihak Berkuasa Palestin pada tahun 1994.

Usaha memboikot barangan Israel-Yahudi bukanlah semata-mata kerana namanya Israel dan Yahudi, tetapi usaha memboikot ini adalah diatas sebab permusuhan mereka terhadap agama Islam. Permusuhan dan kebencian bukanlah intipati utama dalam ajaran Islam. Namun begitu, apabila ada pihak yang menyerang Islam, memusuhi agama ini, tidaklah salah untuk mempertahankan diri dan agama ini bahkan menjadi kewajiban untuk berjuang dengan pelbagai cara termasuklah dengan usaha memboikot. Sesungguhnya usaha memboikot ini adalah salah satu perjuangan berjihad di jalan Allah. Ini sepertimana sabda Nabi dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, daripada Anas bin Malik RA, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perangilah orang-orang Musyrik dengan harta kamu, jiwa kamu dan lidah kamu”.

Berdasarkan hadith ini, usaha memboikot adalah termasuk dalam makna berjihad dengan harta kita. Ini kerana, melalui harta wang ringgit yang kita miliki, kita boleh memilih untuk tidak membeli barangan Israel-Yahudi dengan sebab tidak mahu menjadi sebahagian dari penyumbang ekonomi mereka. Maka dengan itu juga, dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, dinyatakan beberap jenis jihad yang memperincikan maksud keumuman jihad, antara lainnya jenis jihad adalah jihad harta. Pada makna jihad harta tersebut, ianya menjadi tuntutan kepada kita untuk menyumbangkan harta bagi menjamin keperluan manusia untuk membangunkan masyarakat Islam yang dicita-citakan.




Sesungguhnya kesempurnaan iman itu terletaknya juga kepada keprihatinan akan nasib umat yang ditindas. Pada pandangan kita, melihat umat Islam ada yang dibantai dengan pembunuhan, kita sangka mereka sedang diuji. Walhal, bagi kita yang melihat juga sedang diuji. Allah mahu menguji kita apakah tindakan yang diambil bagi membela nasib umat yang ditindas ini. Allah SWT telah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 15 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya)”.

Imam al-Qurtubi dalam kitab tafsirnya menyatakan bahwa jihad dengan harta dan diri adalah kesempurnaan jihad. Pun begitu, dalam bersemangat dan keghairahan kita untuk memboikot, ianya perlulah dilaksanakan diatas panduan ilmu dan adab. Usaha memboikot perlu jelas pada matlamatnya untuk menekan syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung menyumbang dana kepada Zionis. Dalam masa yang sama, umat Islam perlulah mengamalkan sikap tabayyun dalam menerima maklumat dan bukannya bertindak semberono. Usaha ini juga perlu dilakukan dengan bijak dan berhikmah, tidak bertindak secara ekstrim sehingga membakar kedai-kedai terlibat. Islam sangat menentang keras orang-orang yang melampaui batas. Semoga Allah merahmati kita semua.

Rabu, 13 Disember 2023

MAKSUD JIHAD : MEMAHAMI YANG BENAR DAN MENOLAK YANG BATIL

 

Antara kemuliaan dan keistimewaan yang ada pada diri manusia adalah dengan anugerah akal oleh Allah SWT. Melalui penggunaan akal yang waras, ianya telah banyak mengajar manusia untuk bijak membezakan antara yang baik dan buruk. Menerima sahaja apa-apa maklumat tanpa menyelidik, mengkaji atau menyiasat terlebih dahulu adalah perbuatan mensia-siakan fungsi akal yang sempurna. Oleh kerana itu, akal adalah sangat penting untuk bukan sekadar memilikinya tetapi menggunakannya untuk mencari kebenaran dan menolak kebatilan. Dengan akal yang waras juga, manusia tentunya dapat menilai antara naratif yang benar dan salah.

Ungkapan "jihad" antara salah satu terma yang seringkali disalah fahami, baik dikalangan orang Islam mahupun orang bukan Islam. Hakikatnya, jihad adalah syariat agama Allah SWT dengan tujuan meninggikan kalimah Allah SWT. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

"Sesiapa yang berjihad untuk menjadikan kalimah Allah di tempat yang tertinggi maka dia telah berjihad di jalan Allah"




Perkataan jihad adalah berasal dari bahasa Arab. Dalam kitab Lisanul 'Arab karangan Ibnu Manzur, ungkapan jihad pada sudut bahasa membawa maksud menghadapi kesusahan dan mengerah tenaga. Dari sudut istilah pula, perkataan jihad seperti yang disebutkan oleh Al-Kasani dalam kitab Bada'i al-Sana'i, jihad pada uruf syarak digunakan pada mengerah sepenuh kemampuan untuk berjuang pada jalan Allah SWT dengan nyawa, harta, lisan dan lain-lain. Selain itu, Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari memberikan makna jihad itu dengan makna khusus kepada peperangan. Secara rumusannya, boleh kita sifatkan maksud jihad itu kepada dua bahagian. Pertama, jihad secara umum yang melibatkan pelbagai jenis jihad seperti jihad dengan tenaga, harta, lisan dan sebagainya. Kedua, jihad secara khusus iaitulah peperangan menentang musuh Allah.

Secara prinsipnya, ungkapan jihad mempunyai makna dan pemahaman yang sangat luas. Ianya tidak tertumpu semata-mata kepada seruan berperang mengangkat senjata. Malah dalam al-Quran sendiri, perkataan jihad yang terdapat dalam ayat-ayat Makkiyyah berbeza maksudnya jika dibandingkan perkataan jihad dalam ayat-ayat Madaniyyah. Ini kerana, syariat berperang belum disyariatkan lagi di Mekah kecuali setelah Nabi berada di Madinah. Sebelum daripada itu, tidak ada lagi seruan jihad berperang di jalan Allah. Dalam sebuah ayat Makkiyyah, surah al-Furqan ayat 52, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang kafir, dan berjuanglah dengan Al Quran dengan jihad yang besar”

Menurut Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Wasit, beliau menyatakan bahawa perkataan jihad atau berjuang dengan al-Quran bermakna berjuang dengan berdakwah kepada mereka tanpa menggunakan kekerasan. Berdasarkan penafsiran yang dinyatakan ini, berjuang dengan al-Quran adalah menuntut kita agar berdakwah dengan menyampaikan hujah dan keterangan yang dinyatakan di dalam al-Quran. Inilah makna jihad dengan al-Quran walau pada ketika itu tidak ada lagi syariat jihad berperang mengangkat senjata. Selain itu, berjihad juga dalm konteks ayat Makkiyyah bermaksud berjihad dengan melakukan amal soleh.

Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 6, yang bermaksud :

“Dan sesiapa yang berjihad (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk".




Berkenaan ayat ini, Imam Ibn Kathir dalam kitab tafsirnya, menyatakan bahawa jihad pada ayat ini bermaksud jihad dengan beramal soleh. Maka, berdasarkan pemahaman ayat ini, jihad dengan beramal soleh akan memberikan kebaikan atau faedah dan manfaat kepada sesiapa yang berusaha untuk melakukan amal soleh dan tidak sedikitpun memberikan untung rugi kepada Allah Azza Wa Jalla. Demikian sebahagian bukti yang jelas menunjukkan bahawa jihad bukan semata-mata jihad berperang. Ianya merangkumi makna yang luas berdasarkan kepada konteks ayat tentang jihad tersebut. Seruan jihad boleh jadi membawa maksud berdakwah, beramal soleh dan sebagainya.

Dalam sirah para Nabi, bukanlah semua para Nabi itu berjuang dengan berperang mengangkat senjata. Seperti kisah perjuangan Nabi Nuh AS, baginda tidak pernah sama sekali mengajak atau menyeru untuk berperang dengan sesiapa sahaja yang ingkar dan menolak dakwah baginda. Pun begitu, baginda juga berjihad ke jalan Allah SWT dengan menyeru kaumnya siang dan malam, berdakwah mengajak kepada menyembah Allah SWT. Sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla, dalam surah Nuh ayat 5 - 8, yang bermaksud :

“Nuh berkata, " Ya Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku malam dan siang, maka seruanku itu hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran). Dan Sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada iman) agar Engkau mengampuni mereka. mereka memasukkan anak jari mereka ke dalam telinganya dan menutupkan bajunya (ke mukanya) dan mereka tetap (mengingkari) dan menyombongkan diri dengan sangat. Kemudian Sesungguhnya aku telah menyeru mereka (kepada iman) dengan cara terang-terangan, kemudian Sesungguhnya aku (menyeru) mereka (lagi) secara terbuka dan dengan diam-diam, maka aku berkata (kepada mereka), 'Mohonlah ampunan kepada Tuhanmu,' sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun,”

Dalam kitab Tafsir al-Maraghi, Syeikh Muhammad al-Maraghi menyebutkan bahawa Nabi Nuh AS berjihad dengan berdakwah kepada kaumnya agar kembali ke jalan yang benar dengan cara berdoa bersungguh-sungguh. Nabi Nuh berdakwah siang dan malam, kadangkala Nabi Nuh berdakwah secara sembunyi kepada kaumnya dan kadangkala Nabi Nuh berdakwah secara terang-terangan. Demikian Syeikh al-Maraghi menggambarkan kepada kita makna jihad tidak terhad kepada seruan berperang semata-mata. Namun begitu, makna jihad dengan seruan berperang bukanlah bermakna tidak penting dan tidak benar. Sesungguhnya ungkapan jihad pada satu-satu keadaan menuntut kita untuk keluar berperang. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud :

"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya"




Ini bermakna Allah SWT telah memerintahkan umat Islam untuk keluar berjihad berperang menentang musuh dengan tujuan untuk mempertahankan agama dan meninggikan kalimah Allah. Peperangan dalam Islam adalah bertujuan untuk mempertahankan dan melindungi, bukannya untuk menindas, menzalimi atau membunuh semberono. Bahkan, Islam telah menggariskan beberapa etika peperangan antara lain adalah dilarang mencerobohi rumah ibadat agama lain, dilarang membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tua. Demikianlah prinsip dalam peperangan oleh Islam. Seruan jihad berperang juga tidaklah diwajibkan keatas semua orang beriman. Ini kerana, masing-masing mempunyai posisi dan kemampuan tersendiri.

Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskan dalam al-Quran, surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud :

“Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Sesungguhnya jihad dalam Islam terbahagi kepada 4 bahagian. Seperti yang dinukilkan oleh Imam Ibn al-Qayyim dalam kitabnya, Zad al-Ma'ad, jihad itu mempunyai peringkat-peringkatnya dengan 4 bahagian. Pertama, jihad melawan nafsu. Keduanya, jihad melawan syaitan, ketiganya jihad melawan bid'ah dan yang keempatnya jihad melawan musuh yang jelas. Demikianlah yang disebutkan oleh Imam Ibn Qayyim bagi menjelaska kepada kita bahawasanya jihad itu adalah sebuah perjuangan yang sangat meluas makna dan pemahamannya. Amatlah dukacita sekali, apabila istilah jihad banyak disalah ertikan yang sekaligus memberikan suatu naratif yang buruk terhadap istilah tersebut. Konotasi tentang jihad perlulah difahami dengan pertimbangan syarak dan bukannya mengikut telunjuk hawa nafsu. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Jumaat, 8 Disember 2023

PERKAHWINAN SUATU PERMULAAN, BUKAN NOKTAH SEBUAH PERCINTAAN

 

Setiap manusia adalah berhak untuk memiliki kebahagiaan hidup. Kebahagiaan yang dirasai akan lebih bermakna bagi seorang insan apabila ianya dibina diatas nilai keimanan kepada Allah. Maka sesuai dengan naluri manusia, Allah SWT telah menghiasi pada diri hamba Nya itu keinginan kepada hidup berpasangan. Bagi memastikan keinginan tersebut menjadi ruang untuk mendapat pahala, Allah SWT telah mensyariatkan perkahwinan sebagai usaha menghalalkan hubungan dan menjaga serta memelihara keturunan yang baik. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 14 yang bermaksud :

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".




Melalui syariat perkahwinan, Allah SWT memberikan ruang dan peluang kepada para hamba Nya untuk berkasih sayang, saling mencintai, saling menghargai antara satu sama lain dan sebagainya. Selain itu, perkahwinan juga antara bukti-bukti kebesaran Allah. Melalui perkahiwnan juga, secara tidak langsung ianya juga bertujuan mengajak manusia berfikir akan kebesaran Allah yang telah menjadikan dua jiwa dari berlainan jantina, bertaut kasih dan sayang serta saling menyatakan komitmen diatas nama cinta, untuk memelihara ikatan yang terjalin. Kebesaran Allah yang menjadikan lelaki dan peremupuan disatukan diatas nama kasih dan sayang. Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud :

"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."

Oleh yang demikian, perkahwinan adalah suatu manifestasi hidup yang berakarkan ketauhidan kepada Tuhan yang Maha Besar, dengan segala kekuasaan dan keagungan Nya. Bagi mencapai maksud kebahagiaan, ketenangan dan kasih-sayang dalam sesebuah perkahwinan, perasaan cinta suami isteri akan menjadi tulang belakang kepada keharmonian berumahtangga. Tanpa perasaan cinta, tidak dapat dicapai oleh manusia dengan apa yang diperkatakan sebagai sakinah ,mawaddah dan rahmah. Perasaan cinta merupakan suatu anugerah Allah kepada hamba Nya. Kerana cinta, seorang suami nekad bekerja mencari nafkah untuk memastikan isteri dan anak-anak hidup senang. Kerana cinta, seorang ibu sanggup memperjudikan nyawanya untuk memastikan anak yang dikandungnya dapat hidup melihat dunia. Kerana cinta, manusia sanggup melakukan apa sahaja.




Sesebuah perkahwinan yang didirikan, telah berjaya menyatukan dua jiwa yang saling mencintai. Pun begitu, perkahwinan bukanlah suatu penamat atau titik noktah kepada perjalanan sebuah percintaan. Ini kerana, di dalam Islam, perkahwinan bukan sekadar tempat untuk manusia bersuka ria, tetapi dipenuhi dengan beban tanggungjawab bersama. Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya perlu memainkan peranan bertanggungjawab memelihara rukun hidup berumahtangga. Kerana itulah, mendirikan rumahtangga bermakna kita perlu bersedia untuk memberikan komitmen penuh dalam melayari bahtera perkahwinan. Sesuatu bahtera itu kadang kala diuji dengan ombak yang menyerang, kemudiannya kembali tenang. Kemudiannya diserang lagi dan begitulah seterusnya lumrah hidup berkahwin. Dengan perasaan cinta dan kasih sayang, kerukunan rumahtangga perlu dipastikan selamat dengan izin Nya.

Perkahwinan merupakan sebuah permulaan kehidupan yang baharu. Padanya ada hitam dan putih, ada manis dan pahit. Ada ketikanya, senyum terukir mekar bahagia, dan ada waktunya pula berjurai airmata bertemankan derita. Ibarat kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit. Alam perkahwinan tidak pernah menjanjikan kemanisan selamanya. Seperti apa yang ditayangkan dalam drama dan filem, semuanya adalah fantasi belaka. Realitinya, fasa hidup berumahtangga ada waktu dan ketikanya kita akan diuji dengan kemanisan dan ketikanya diuji dengan kepahitan. Pahit manis itulah yang menjadi kenikmatan dalam sebuah percintaan. Berkahwin juga bukan bermaksud telah tamat cerita romantis kita bersama pasangan. Walhal, untuk mengekalkan keharmonian rumahtangga, perasaan cinta, kasih dan sayang harus sentiasa mekar melayari bahtera perkahwinan.

Sesebuah perkahwinan yang berjaya bukanlah diukur dengan kemewahan majlis walimahnya. Tidak pula dinilai dengan siapa dan berapa jumlah tetamunya. Tidak sama sekali dilihat dengan berapa hantaran dan jumlah mas kahwinnya. Kejayaan sesebuah perkahwinan letak duduknya adalah kepada kejayaan suami isteri memainkan peranan bersama menunaikan tanggungjawab seperti yang digariskan oleh syarak. Tanpa perasaan cinta yang berpanjangan, manakan dapat melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna. Perkahwinan di dalam Islam sangat menuntut kepada soal kebertanggungjawaban. Sehingga dalam sebuah hadith Nabi SAW, baginda Nabi menekankan soal keutamaan para suami memberikan nafkah kepada keluarga. Ini sepertimana dalam hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Satu dinar yang engkau keluarkan di jalan Allah, lalu satu dinar yang engkau keluarkan untuk memerdekakan seorang budak, lalu satu dinar yang engkau yang engkau keluarkan untuk satu orang miskin, dibandingkan dengan satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu maka pahalanya lebih besar (dari amalan kebaikan yang disebutkan tadi)”




Hadith ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa keutamaan para suami memberikan nafkah kepada keluarga lebih baik daripada memberikan sedekah kepada orang lain. Hal ini sekaligus memberikan penekanan kepada para suami untuk bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian rumahtangga terus dikecapi. Begitu juga dengan para isteri. Ketaatan kepada suami merupakan kunci terpenting dalam keharmonian rumahtangga. Sekalipun seorang suami itu, keluar mencari nafkah dengan penuh perasaan kasih dan sayang terhadap keluarganya, tetapi si isteri tidak mentaatinya, tidak menghormati dan memuliakan suaminya, pelayaran percintaan dalam berumahtangga pastinya bertemu dengan jalan buntu, tidak tergapai pintu kebahagiaan.

Dalam sebuah hadith riwayat al-Tabrani, baginda Nabi SAW mengingatkan kepada para isteri akan tanggungjwabnya terhadap suami. Sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Hak suami atas isterinya (tanggungjawab isteri terhadap suaminya), bahawa isteri tidak boleh meninggalkan hamparan (tilam) suaminya, hendaklah menerima dengan baik pemberian suaminya, hendaklah taat pada perintah suaminya, tidak boleh keluar dari rumahnya kecuali dengan izin suaminya, dan tidak boleh membawa (membenarkan) orang yang dibenci oleh suaminya masuk ke dalam rumahnya."

Demikianlah sebahagian kecil daripada peranan suami dan isteri dalam melayari percintaan hidup berumahtangga. Apa yang pentingnya ialah perkahwinan sesuatu yang menggemberikan. Sesiapa sahaja yang berkahwin, tentunya terukir senyuman bahagia disulam rasa syukur kepada Nya sambil menerima ucapan tahniah daripada ramai orang. Perkahwinan juga suatu bukti komitmen percintaan kita kepada pasangan. Pun begitu, kehidupan kita sebenarnya baru bermula dengan fasa hidup berumahtangga. Selepas ini, biarlah segala kemanisan dan kepahitan itu diharungi bersama dengan nilai kekuatan cinta kepada Nya. Dugaan dan cabaran adalah lumrah kehidupan. Hadapilah dengan penuh ketenangan dan kematangan. Misi percintaan harus kita lebarkan lagi, dan jangan biarkan kemanisan bercinta terhenti begitu sahaja. Sesungguhnya percintaan itu adalah kesenian kehidupan. Maka bercintalah dengan penuh kesenian. Semoga Allah merahmati kita semua.

Isnin, 4 Disember 2023

BERPOLIGAMI TANDA SUAMI CURANG ?

 

Dalam kerukunan kehidupan ini, manusia sangat memerlukan cinta dan kasih sayang sebagai mengisi ruang fitrah seorang insan. Cinta adalah anugerah Allah yang tidak terperi hebatnya kekuasaan Allah yang telah mencampakkan perasaan cinta, kasih dan sayang sesama insan. Kejadian manusia yang bermula dari penciptaan Nabi Adam AS telah membuktikan hidup ini tidak akan sempurna tanpa terciptanya kaum perempuan bagi mewarnai naluri fitrah insan yang suci ini. Ini sepertimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah An-Nisa' ayat 1 yang bermaksud :

"Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu."




Menurut Syeikh Dr. Wahbah az-Zuhaili, dalam kitab tafsirnya, Al-Wajiz, beliau telah menjelaskan bahawa penciptaan Hawa sebagai isteri dari sama jenisnya dengan Adam AS adalah bersesuaian dengan tujuan berkasih sayang dan dipersatukan dengan cinta kerana Allah SWT. Berdasarkan apa yang telah disebutkan ini, jelas kepada kita bahawa penciptaan Adam tidak akan lengkap tanpa hadirnya Hawa sebagai menyuburkan naluri insani yang memerlukan tempat untuk berkasih sayang. Kerana yang demikian juga, perkahwinan antara lelaki dan perempuan merupakan suatu syariat Islam yang suci bertujuan memastikan cinta, kasih dan sayang yang dibina berdiri diatas panduan dan bimbingan syarak, bukan semata-mata kerana melempiaskan nafsu tanpa bertanggungjawab.

Perkahwinan adalah sesuatu yang mulia lagi suci. Ianya adalah manifestasi cinta yang menyatukan dua jiwa diatas keredaan Allah SWT. Maka, perkahwinan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang hina dan sebagainya. Selain ianya bersesuaian dengan naluri manusia, perkahwinan juga suatu tuntutan dalam agama dan menjadi sunnah junjungan besar baginda Nabi SAW. Pun begitu, pandangan masyarakat terutamanya kaum wanita yang seringkali beranggapan bahawa suami yang berpoligami adalah tanda kecurangan yang jelas, adalah sesuatu yang tidak benar sama sekali. Ini kerana, kecurangan adalah suatu perbuatan yang boleh dianggap tidak bermoral, yang dilakukan dengan tujuan yang tidak elok dan perbuatan curang ini sangat ditegah oleh agama Islam.

Maka, adalah tidak adil sekali untuk kita menyatakan bahawa mereka yang berpoligami telah melakukan kecurangan terhadap pasangan. Walhal, poligami adalah suatu bentuk perkahwinan yang sah di sisi agama Islam. Poligami adalah peruntukan syarak yang disyariatkan oleh Allah SWT dan mustahil bagi Allah untuk mengajak para hamba Nya dikalangan para suami untuk melakukan kecurangan terhadap pasangan dengan berpoligami. Ketahuilah sesungguhnya poligami itu merupakan syariat agama Allah, titah perintah dan suruhan oleh Allah. Ianya bukan direka-reka untuk memuaskan kehendak para suami. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 3 yang bermaksud :

"Maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu khawatir tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim".




Seperti yang dinukilkan oleh al-Marhum Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam risalah kecilnya, Markaz al-Mar'ah fi al-Hayat al-Islamiah, beliau menyatakan bahawa :

"Inilah apa yang diraikan oleh syariat Islam dalam persoalan poligami, ia telah menimbang antara segala kebaikan dan keburukan, segala manfaat dan mudarat, kemudian ia mengizinkannya kepada sesiapa yang perlu dan dikawal dengan syarat bahawa pengamalnya percaya terhadap dirinya bahawa dia dapat menjaga keadilan dan tidak takut berlakunya kezaliman dan berat sebelah. Firman Allah dalam Surah al-Nisa ayat 30: (maksudnya):“Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Syariat poligami bukanlah berdiri diatas ruang kecurangan terhadap pasangan. Sebaliknya berpaksikan kepada peruntukan syarak yang diberikan kepada kaum suami oleh Allah SWT. Dengan itu, berpendirian bahwa poligami adalah ruang untuk berlaku curang terhadap pasangan adalah sesuatu yang tidak benar. Selain itu, jika kita mahu membenarkan sekalipun dakwaan bahawa poligami suatu bentuk kecurangan, apakah kita mahu pula menuduh junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW berlaku curang terhada para isterinya. Ini kerana, baginda Nabi SAW telah menikahi lebih dari seorang wanita dengan jumlah melebihi empat yang hanya dikhususkan kepada baginda Nabi sahaja. Apakah kita bersetuju juga untuk mengatakan bahwa Nabi Muhammad menunjukkan contoh yang tidak bagus, melakukan curang dengan berpoligami. Sangat besar dan dahsyat tuduhan ini kepada Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, ungkapan "curang" juga sangat tidak sinonim dan langsung tiada perkaitan dengan berpoligami. Jika benar kecurangan itu berlaku, maka si suami yang bertindak melakukan kecurangan dibelakang isteri akan terus bercinta dengan mana-mana wanita tanpa berhasrat atau berhajat untuk menikahi wanita tersebut. Ini juga boleh dianggap sebagai hubungan terlarang antara lelaki dan perempuan tanpa perikatan yang sah, barulah tepat untuk dinamakan sebagai curang. Namun sebaliknya, jika mendirikan rumahtangga untuk ke sekian kalinya, dengan pilihan hati si suami, diikat dengan komitmen dan tanggungjawab, ianya tidak dinamakan sebagai kecurangan bahkan perbuatan tersebut dipandang mulia oleh Islam. Seharusnya masyarakat perlu memahami tentang curang dan konsep poligami agar ianya tidak mendatangkan fitnah pada syariat Allah.




Kebiasaan lagi dalam norma masyarakat, sikap kecurangan sering dikaitkan dengan sikap tidak setia. Maka dikatakan suami yang berpoligami adalah suami yang tidak punyai sikap setia pada isteri. Bersabitan dengan itu, muncul lah pula terma-terma islamik seperti suami hanya pinjaman Allah dan seumpamanya untuk memberikan gambaran seolah-olah poligami ini suatu yang menindas perasaan wanita. Inilah barah jika kita tidak memahami agama dengan lunas yang betul. Pertamanya, agama melarang umatnya untuk berlaku curang, berdusta dan seerti dengannya. Tetapi pada masa sama, tidak ada sebarang suruhan agama untuk para suami bersikap setia pada seseorang isteri. Kedua, kesetiaan mutlak diri manusia itu hanya kepada Allah SWT. Ini juga termasuk arahan taat setia isteri kepada suami selagimana berada dalam perkara kebaikan. Apabila si suami menyuruh untuk melakukan perkara maksiat, pada keadaan itu tidak ada lagi makna taat dan setia isteri kepada suami.

Ketiga, bukan sahaja suami sebagai pinjaman Allah, bahkan anak-anak, isteri, keluarga dan keseluruhan hidup ini adalah pinjaman Allah. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa kecintaan mutlak tanpa batasan itu hanya kepada Allah. Kasih dan sayangnya kita sesama manusia akan terbatas dengan kehidupan yang sementara ini. Sesungguhnya kuat setara mana pun kasih dan sayang kita terhadap seseorang, hujungnya, dia akan pergi meninggalkan kita kerana hakikatnya tiada yang kekal melainkan semuanya adalah pinjaman Allah SWT. Demikianlah seharusnya yang perlu kita fahami berdasarkan lunas-lunas syarak. Kita boleh bersetuju untuk tidak besetuju dengan mana-mana pandangan manusia. Namun begitu, jangan pula kita terperangkap dengan permainan emosi sehingga mengheret syariat Allah sebagai suatu musibah dan bala kepada manusia. Kita sangat yakin, sesuatu syariat itu adalah baik. Namun pelaksanaannya yang dibuat oleh manusia itu takkan terlepas dari kekhilafan dan kesilapan. Maka yang kita menentang adalah sikap pelaku, bukanlah syariat. Semoga Allah merahmati kita semua.