Sesungguhnya
mental, fizikal dan spiritual adalah tiga aspek penting yang wujud dalam diri
manusia sama ada yang bertamadun atau tidak, beragama atau tidak beragama.
Ketiga-tiga aspek itu diisi oleh Islam berdasarkan panduan wahyu dengan nama
iman, Islam dan ihsan. Iman adalah kepercayaan atau akidah. Islam adalah
pengamalan atau syariat, manakala ihsan adalah kerohanian atau akhlak. Iman,
Islam dan ihsan itu paksi kepada agama Islam seperti mana telah dijelaskan oleh
Rasulullah SAW.
Ketiga-tiga
paksi agama Islam itu mestilah diambil berat oleh setiap Muslim secara
seiringan tanpa boleh dipisahkan. Apabila lengkap ketiga-tiga paksi itu maka
lengkaplah penghayatan Islam seseorang. Sesungguhnya, kemanisan iman bermaksud
perasaan gembira melakukan ibadah dan sanggup menanggung kesukaran demi
mendapatkan keredaan Allah SWT serta rasul-Nya. Taatilah segala suruhan,
larangan serta mengutamakan Allah SWT dan rasul-Nya lebih daripada
segala-galanya.
Rasulullah
SAW menjelaskan, kemanisan iman itu tercapai dengan pengakuan, penerimaan dan
penghayatan Allah SWT sebagai Tuhannya, Islam sebagai agamanya dan Muhammad SAW
itu sebagai rasulnya. Kemanisan iman penting bagi setiap Muslim kerana apabila
kemanisan iman telah bertapak di jiwa seseorang Muslim maka dia tidak lagi
malas, bosan, penat dan cuai sebaliknya sentiasa semangat, rajin serta cergas
dalam melaksanakan segala tuntutan Islam.
Muslim
yang mengecapi kemanisan iman pastinya sentiasa positif dalam kehidupannya.
Apabila dia mendapat nikmat dia bersyukur, apabila dia mendapat musibah dia
bersabar. Jiwanya sentiasa reda, syukur dan bahagia. Hatinya sentiasa bahagia
apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran. Dirinya sentiasa
merasakan keberadaan dan pengawasan Allah SWT dengan kehidupan yang
bertunjangkan kepada penghayatan ihsan.
Rasulullah
SAW telah memberi panduan dengan kaedah yang jelas untuk merasa kemanisan iman.
Riwayat Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda:
"Tiga
perkara ini jika terdapat dalam diri seseorang nescaya dia akan merasai
kemanisan iman iaitu dia menjadikan Allah dan rasul-Nya lebih dicintai olehnya
daripada yang lain daripada keduanya; dia mencintai saudaranya tiada lain
cintanya itu melainkan kerana Allah SWT semata-mata; dan dia benci kembali
kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam api
neraka."
Melalui panduan hadis itu, kemanisan iman boleh diusahakan
dengan mencintai Allah SWT lebih daripada segala-galanya. Cinta kepada Allah
SWT menghasilkan kemanisan iman pada tahap tertinggi. Melaluinya jiwa sentiasa
tenang dan hati sentiasa dipandu oleh petunjuk-Nya.
Kedua, mencintai Rasulullah SAW selepas cintanya kepada Allah
SWT kerana cinta kepada Allah SWT tidak dapat dipisahkan dengan cinta kepada
kekasih-Nya, Muhammad bin Abdullah. Sesungguhnya Baginda utusan Allah SWT yang
menyampaikan segala perkara dikehendaki oleh Allah SWT.
Melalui Baginda, kita mendapatkan Islam, mengenal Allah SWT dan
mengetahui segala perintah serta larangan-Nya. Kedudukan Baginda tiada taranya,
Baginda insan teragung dan rasul terulung. Sesungguhnya, untuk mendapat cinta
Allah SWT maka seseorang itu perlu mencintai Rasulullah SAW.
Ketiga, mencintai saudaranya kerana Allah SWT semata-mata. Allah
SWT menciptakan manusia dalam pelbagai warna, bangsa dan adat untuk saling
kenal mengenali. Justeru, kemanisan iman ialah dengan mencintai saudaranya
hanya kerana Allah SWT.
Hubungan persaudaraan yang wujud bukanlah kerana kemuliaan,
harta atau pangkat tetapi hubungan yang wujud hanya kerana Allah SWT
semata-mata. Persaudaraan menjamin keamanan, kebahagiaan dan kejayaan bagi
sesebuah masyarakat bukan sahaja di dunia tetapi berterusan sehingga ke akhirat.
Keempat, membenci dan tidak akan kembali kepada kekufuran.
Mukmin yang mencapai kemanisan iman akan menyembah dan mengabdikan dirinya
kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Dia tidak akan menyembah Allah SWT
apabila beroleh kebaikan dan apabila ditimpa kesusahan dia kufur.
Antara cara meningkatkan keimanan ialah memahami serta
menghayati zat, perbuatan dan sifat Allah SWT. Memahami dan menghayati ayat
al-Quran sebagai panduan dalam mencapai kebahagiaan, memperbanyakkan zikir dan
mengingati Allah SWT dalam setiap keadaan, masa serta tempat.
Mengamalkan sunah Nabi Muhammad SAW serta mencontohi akhlak
Baginda. Sentiasa bersama dengan ilmuwan, ahli ibadah, teman soleh solehah yang
sentiasa mengingatkan kealpaan kita terhadap Allah SWT serta berdoa memohon
petunjuk daripada Allah SWT supaya menetapkan hati kita dalam ketaatan.