Rabu, 31 Mac 2021

ISLAM AGAMA YANG MUNDUR ATAU UMAT YANG LUNTUR ?

 

Realiti hari ini menggambarkan kepada kita bahawa Islam adalah agama yang mundur, tidak berdaya saing, negara yang penuh sampah-sarapnya, gejala rasuah bermaharajalela, ekonomi yang teruk dan pelbagai lagi yang digambarkan tentang dunia Islam hari ini.

Malah, lebih mendukacitakan kita, para asatizah berceramah di masjid-masjid, surau-surau, tempat pengajian, lantang bersuara gegak gempita dengarnya. Tetapi tandas di masjid sangat kotor dan jijik. Karpet tempat bersujud berhabuk tidak terurus, cermin tingkap kotor bersalut debu. Siling bersawang bagai pesta menternak. Maka apakah ajaran Islam terpisah antara dunia dan akhirat ?



Islam bukanlah agama yang memisahkan antara dunia dan akhirat. Dr. Abdullah Nasih Ulwan dalam kitabnya Syariah Islam : Ciri-Ciri Keunggulan, beliau menyebutkan antara keagungan syariat Islam ialah sifatnya tidak memisahkan antara tuntutan material (dunia kebendaan) dengan kerohanian (akhirat). Bahkan Islam sangat menganjurkan umatnya untuk mencari rezeki, bekerja dan berusaha mencari dunia dengan syarat ianya tidaklah terlalu leka sehingga mengabaikan hak ibadah kepada Allah.

Menerusi firman Allah SWT dalam surah al Nur ayat 37 yang bermaksud :

"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah, mendirikan solat serta memberi zakat ; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan"

Imam Ibn Kathir ketika membahaskan ayat ini berkata : Allah SWT telah berfirman bahawa mereka tidak disbukkan dengan dunia, gemerlapannya, perhiasannya, kelazatan jual beli dan keuntungannya daripada mengingati Allah yang telah menciptakan mereka dan memberi rezeki.



Demikian Islam yang mengajar umatnya untuk keluar mencari rezeki, berusaha mengejar impian kejayaan, asalkan hal tersebut tidaklah sehingga melalaikan kita daripada menunaikan hak kita kepada Allah SWT. Sejarah Islam juga tercatat nama para jutawan Islam yang terdiri daripada kalangan sahabat Nabi SAW. Oleh itu, adalah tidak tepat untuk kita beranggapan Islam agama yang memisahkan dunia dan akhirat.

Hakikatnya, apa yang kita lihat hari ini, bukan lah agama yang menjadikan umat Islam mundur, tetapi kerana umatnya yang semakin luntur kefahamannya terhadap Islam. Semakin jauh dan menyimpang daripada ajaran sunnah Nabi Muhammad SAW. Hal tokok tambah dalam agama dianggap lebih baik sebaliknya perkara sunnah dianggap janggal dan luar biasa. Kita harus akui bahwa umat Islam sangat ramai bilangannya tetapi tidak ramai yang benar-benar beramal dengan agama.

Dalam hadis riwayat Abu Daud, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka." Maka salah seorang sahabat bertanya ; Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu ?, Nabi SAW menjawab : "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan. Seorang sahabat bertanya : Apakah itu wahan wahai Rasulullah ?, Nabi menjawab : Cintakan dunia dan takutkan mati".

Berdasarkan hadis ini, jelas bagi kita bahawa kemunduran Islam adalah berpunca dari kelemahan umatnya luntur dari agama. Malah baginda Nabi telah menceritakan bahawa umat akan dilanda penyakit "wahan", cintakan dunia hingga lalai dan leka dari mengingati Allah, dan takutkan mati yang akhirnya menjadi tamak haloba dan rakus menggali dunia untuk kesenangan yang hanya sementara.



Penyakit cintakan dunia, menjadikan diri lebih gemar berkata dari bertindak, bijak berkata dari bergerak. lebih berangan dari berusaha, hingga sanggup mengambil rasuah, kerja sambil lewa, curi tulang sewkatu bekerja, pecah amanah dan sebagainya. Terlalu sayangkan dunia, duit bertukar menjadi berhala. Kemewahan berubah menjadi zikir harian. Hingga terlupa pada sang Tuhan, Dia yang Maha Pemberi rezeki.

Penyakit takutkan mati pula, menjadikan diri lebih tamak haloba, rakus mencari dunia, halal dan haram sekadar di bibir, sebaliknya hati tidak pernah cukup dengan apa yang ada. Kerana takutkan mati, diri menjadi bakhil, takut habis wang di hari tua kelak. Walhal, usia tua pun belum jamin kita boleh hidup lagi. Demikian lah apabila umat ini semakin pudar dan luntur dari ajaran Islam, al Quran sekadar hiasan, sunnah dijadikan bahan gurauan, akhirnya umat kian jauh daripada Tuhan. Yang pasti, bukan agama yang mundur, tetapi umat ini yang luntur. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Sabtu, 27 Mac 2021

TERORISME : PEMAHAMAN ISTILAH "NEGARA ISLAM" YANG DISALAH FAHAMI.

 

Terorisme atau disebut sebagai pengganas, gerakan militan adalah suatu ancaman global baharu seluruh dunia. Ancaman ini bukan sahaja mendatangkan kekacauan seluruh dunia bahkan turut mengheret nama Islam sebagai agama yang menganjurkan keganasan. Keadaan bertambah buruk lagi apabila beberapa kumpulan militan yang menggunakan jenama Islam dan telah salah memahami makna jihad, sekaligus menguatkan lagi sangkaan bahawa mungkin benar Islam adalah agama terorisme.

Walhal, apabila kita bercakap tentang "terorisme", adalah tidak adil hanya melihat pada Islam sedangkan banyak lagi gerakan militan pengganas yang lain yang tidak ada kaitan dengan Islam seperti kumpulan militan pelampau hindu LTTE, gerakan ektremis Buddha, Bodu Bala Sena (BBS), golongan ektremis Kristian, The Covenant dan The Sword dan banyak lagi. Kewujudan pelbagai nama gerakan pelampau ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan bangsa, membuktikan bahawa terorisme tidak mengenal agama dan bangsa.



Dalam kalangan umat Islam, kemunculan golongan terorisme ini adalah bermula daripada episod salah faham dalam usaha memaknai maksud "Negara Islam". Sejarah mencatatkan ekoran daripada penyalah gunaan istilah negara Islam ini telah mengheret dunia Islam ke lembah fitnah dengan menggunakan nama "DAISH" singkatan dari perkataan Daulah Islamiyyah Iraq-Syam. Bertambah malang, erti dan maksud "Jihad" terus dimanipulasikan demi menghalalkan aktiviti keganasan mereka yang menunggang nama Islam.

Pada golongan pelampau Islam ini, mereka mendefinisikan makna negara Islam ini sebagai sebuah negara yang melaksanakan undang-undang yang utama iaitu Hudud, Qisas dan Ta'zir. Bagi mereka, mana-mana negara yang di pimpin oleh orang Islam tetapi tidak mengamalkan undang-undang utama Islam, maka negara tersebut adalah negara kufar, bukan negara Islam. Malah disisi mereka, adalah haram dan berdosa besar beramal seperti apa yang dibawa oleh undang-undang Barat.

Oleh itu, tidak hairan lah kita, mereka tidak mengiktiraf Turki sebagai negara Islam hanya kerana tidak melaksanakan hukum Allah. Walau pun Presiden Turki, Erdogan seorang Islam bahkan pengamalan Islam nya yang sangat baik, tetap mereka tidak mengiktiraf Turki sebagai negara Islam. Hanya semata-mata Erdogan berkiblatkan undang-undang selain hukum Allah. Tradisi kumpulan pelampau Islam, Khawarij, sejak dahulu lagi sangat gemar melaungkan hukum Allah sebagai ketetapan yang wajib dibuat dan bagi sesiapa yang tidak laksanakan maka ia termasuk dalam pemerintahan kuffar.



Golongan pelampau ini muncul menjadi radikal bermula daripada pemahaman agama yang keras dan salah. Mereka sangat beriltizam dalam beribadah. Mereka sangat menjaga dan memelihara amal ibadah mereka. Namun, melampaunya mereka dalam beribadah hingga membina rasa taksub akan pendiriannya dan selain daripada mereka dituduh sebagai kafir dan darah halal dibunuh. Sebaliknya, apa yang mereka fahami adalah sangat bertentangan dengan syariat. Tindakan ganas mereka adalah berpandukan nafsu, bertuhankan ketaksuban dan kejahilan.

Dalam Kitab Fathul Bari, Imam Ibn Hajar al Asqalani berkata :

"Golongan pelampau dahulu (Khawarij) digelar sebagai al Qurra' kerana kerajinan mereka membaca Al quran dan beribadah. Kecuali mereka mentakwilkan Al quran dengan apa yang tidak dimaksudkan dengannya. Taksub dengan pemikiran mereka dan berlebih-lebih dalam zuhud, khusyuk dan selainnya."

Kesempitan dalam memberi makna negara Islam, akhirnya menjerat diri menjadi pengganas. Definisi negara Islam perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Memakai undang-undang Barat sekalipun, jika ianya tidak menyalahi tuntutan syariat, maka agama mengharuskan. Ini sama seperti bagaimana baginda Nabi SAW memakai cincin untuk dijadikan sebagai cop mohor, ia sebenarnya berasal dari pengamalan pemerintah Rom ketika itu, yang tidak beragama Islam. Oleh itu, betapa penting dan mustahaknya kita beramal dan berdiri teguh dengan berpandukan Al Quran dan Sunnah, menolak bid'ah dan berhati-hati dengan tipu daya Iblis. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Selasa, 23 Mac 2021

LARANGAN PEMBESAR SUARA : ANTARA SERUAN AZAN & BACAAN SELAIN AZAN

 

Masjid merupakan tempat suci orang Islam juga tempat untuk membangunkan ummat. Bukan sekadar dijadikan sebagai tempat menunaikan solat semata-mata bahkan peranan institusi masjid sebenarnya lebih luas dan besar fungsinya yang sepatutnya diterapkan oleh orang Islam.

Maka, dalam Islam, institusi masjid dilihat sebagai tempat suci dan menjadi tempat perhimpunan besar orang Islam. Apa yang seringkali kita dengar dari pembesar suara masjid setiap 5 kali sehari itu adalah disebutkan sebagai seruan azan. Ianya adalah syariat menandakan masuknya waktu solat fardhu 5 waktu pada masa tertentu. Seruan azan merupakan satu-satunya syariat yang diperintahkan untuk diangkat suara. Ada pun selain seruan azan, Islam tidak pernah mensyariatkan sekalipun bacaan Al quran dan zikir mengingati Allah.



Barangkali sebahagian orang bukan Islam akan terkeliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dikumandangkan melalui corong-corong pembesar suara masjid. Lalu, apa yang membimbangkan kita ialah akan berlaku salah faham sehingga menganggap Islam agama yang tidak tahu menghormati hak orang lain dalam beribadah. Sebaliknya, Islam sama sekali tidak menyuruh umatnya membaca Al quran atau berzikir dengan suara yang tinggi hingga menganggu orang lain.

Hal ini telah ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, kata Abu Sa'id al Khudri :

"Ketika Nabi SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (Al quran) sedangkan ketika itu Nabi SAW berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda : "Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat"

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahwa Nabi dengan tegasnya melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain sedang beribadah. Sekiranya mereka yang lain berada di dalam masjid pun baginda larang untuk mengangkat suara hingga menganggu yang lain, apatah lagi menganggu mereka yang di luar masjid, yang mungkin sakit, barangkali mereka ada anak kecil yang masih tidur, lebih-lebih lagi lah tidak boleh kita ganggu.

Syeikh Muhammad Salih al Uthaimin ketika mengulas hadis ini, beliau berkata :

"Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat, mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa."

Bahkan dalam Kitab Talbis Iblis, al Imam Ibn Jauzi pernah berkata :

"Antara tipu daya Iblis ialah mereka mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat di menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca Al quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara mungkar".



Larangan ini adalah pada zaman Imam Ibn Jauzi yang ketika itu belum ada lagi pembesar suara seperti zaman kini. Namun, Imam Ibn Jauzi tetap melarangnya. Jika di zaman beliau yang tidak ada lagi pembesar suara, beliau melarang keras mengganggu orang lain, lebih-lebih lagi wajar di larang pada zaman yang serba canggih dan moden ini.

Larangan ini bukanlah menafikan hak setiap orang Islam untuk berzikir, membaca Al quran dan selainnya. Larangan ini adalah sebahagian daripada adab-adab ketika beribadah agar benda yang baik tidak bertukar menjadi dosa kerana mengganggu hak orang lain, sama ada mereka berada di dalam mahupun di luar masjid. Bacalah Al quran tanpa mengggunakan pembesar suara. Berzikir lah dengan suara yang rendah, nada yang penuh santun, dan peliharalah hak sesama manusia. Semoga Allah merahmati kita semua.

Selasa, 16 Mac 2021

SIKAP PENGAMPU YANG KOTOR LAGI JIJIK

Antara musibah yang kerapkali melanda umat Islam adalah penyakit suka mengampu seseorang yang berpengaruh, sama ada orang itu ahli politik, tokoh agama, para negarawan dan lain-lain. Sikap mengampu ini adalah antara barah yang sudah menjadi kelaziman sebahagian orang demi meraih keuntungan atau untuk kepentingan tertentu.

Mengampu dalam erti kata lain, suka mendekati individu berpengaruh dan sentiasa mengadakan hubungan istimewa terhadap individu tersebut dengan matlamat dan tujuan yang tertentu. Selain mengampu, perkataan membodek juga sinonim dengan makna mengampu. Sikap sebegini adalah tidak sihat jika kita ingin membangunkan umat. Hal ini kerana pengampu juga boleh di ibaratkan sebagai duri dalam daging. Ada ketikanya, pengampu itu sendiri akan membusukkan nama tokoh yang diampunya.



Kata Syaiban ar Ra'i kepada Harun ar Rasyid : "Wahai amirul mukminin, andainya engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau tidak berasa takut sehingga engkau berasa aman, lebih baik daripada engkau bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan." Tanya Harun ar Rasyid : "Jelaskan maksudnya untukku". Jawab Syaiban : " Engkau bertanggungjawab terhadap rakyat mu, takutlah Allah" lebih baik daripada orang yang berkata : "Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu, kamulah kerabat Nabi !".

Apa yang boleh kita fahami daripada kata-kata nasihat Syaiban ar Ra'i ini ialah betapa bahayanya lidah si pengampu yang gemar mendekati dan mengekori kemana sahaja malah bercakap manis sentiasa. Cakap-cakap manis ini boleh jadi racun satu hari kelak. Firman Allah SWT dalam surah al Munafiqun ayat 4 yang bermaksud :

"Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelakuannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki)"

 

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa rupa paras yang elok, tutur kata yang manis, belum tentu benar dan betul. Sebaliknya, boleh jadi sekadar mahu mengampu dan membodek semata-mata. Ayat ini juga telah mencerminkan sifat yang dimiliki oleh golongan munafik. Kata Imam Qurtubi menukilkan tafsiran Ibn Abbas mengatakan Abdullah bin Ubai itu adalah seorang yang kacak dan memiliki tubuh yang tegap. Kata-katanya juga sangat hebat.

Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari & Muslim, daripada Abu Musa al Asy'ari beliau berkata :

"Nabi SAW mendengar seorang lelaki memuji atas seseorang dan dia berlebihan dalam memujinya, maka (Nabi) bersabda :"Kamu telah membinasakan atau mematahkan belakang lelaki itu".



Pengampu atau pembodek, begitu gemar dan suka mendekati orang-orang tertentu, memuji kiri kanan, menjaja cerita sana sini, bergambar bersama, untuk cita-cita dan habuan yang di idamkan. Hasilnya, apa sahaja yang dilakukan oleh orang yang diampunya, semuanya betul, tepat dan sentiasa "yess boss" malah mempertahankan apa jua kesalahan atau kekhilafan tokoh yang diampunya. Pengampu atau pembodek tidak lebih dari seekor anjing yang hanya gemar menyalak walhal nyalakannya itu dibenci oleh orang.

Sikap ini haruslah kita jauhi bersama. Selain ianya boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian terhadap dirinya, bahkan turut mengundang wujudkan kumpulan berpuak-puak dan fitnah sana sini hasil daripada kata ampunya itu. Hidup lah diatas realiti dan usahlah menngampu lagi. Juga kita perlu ingatkan diri kita untuk sentiasa tidak termasuk dalam kalangan orang yang suka mengampu sahaja. Kepada Allah jualah tempat kita mohon perlindungan. Semoga Allah merahmati kita semua.


Sabtu, 13 Mac 2021

BERHENTILAH MENUNGGANG SLOGAN AGAMA

 

Agama Islam merupakan suatu panduan hidup untuk dijadikan sebagai matlamat kehidupan dan bukannya untuk dijadikan sebagai alat kepentingan diri. Malangnya, realiti yang ada pada hari ini menunjukkan kebanyakan orang telah menyalah gunakan agama dengan menggunakan pelbagai istilah dan slogan berbunyi islamik, walhal matlamatnya hanyalah untuk mencari pengaruh, meraih kuasa dan pelbagai lagi habuan dunia.

Slogan yang dilihat begitu mendasari Islam hanya akan tinggal menjadi sebuah kata-kata sekiranya kita gagal memahami intipati Al quran dan As Sunnah. Lebih mendukacitakan lagi, slogan-slogan islamik ini telah membuatkan diri dan kumpulannya sentiasa betul belaka. Inilah akibat apabila agama mula dijadikan sebagai alat untuk kepentingan peribadi tertentu. Islam di tampal dalam aktiviti kehidupan sesetengah pihak bukan bertujuan kerana kecintaan mereka terhadap Islam tetapi sebaliknya kerana untuk mempengaruhi orang ramai.

Firman Allah SWT dalam surah al-Imran ayat 103 yang bermaksud :

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai".

Berpegang teguh kepada Islam bermakna beriman atau yakin sepenuhnya tanpa syak keraguan dengan segala intipati kandungan ajaran agama Islam. Pegangan teguh ini hendaklah berteraskan kepada Allah dan Rasul Nya, beramal dengan suruhan Nya juga beramal dengan sabdaan nabi Nya. Tidak sekadar bermegah-megah dengan slogan islamiknya. Dalam kitab Tafsir al Jami' Li Ahkam Al Quran, Imam al Qurtubi menyebut : "Janganlah berpecah belah di dalam agama kamu seperti  berpecahnya golongan Yahudi dan Nasrani dalam agama mereka". Hal ini kerana banyaknya kepentingan individu sehingga telah berpecah dengan cara menunggang nama agama.

 

 


 

Penggunaan slogan Islamik ini bukanlah sesuatu perkara yang baharu. Malah sebelum pada itu, sejarah tercatat dengan slogan agama yang dibawa oleh golongan Khawirij dengan slogannya "Tiada Hukum Melainkan Hukum Allah". Slogan sebegini amat bahaya dan telah menumpahkan banyak darah sesama muslim. Al Khatib al Baghdadi dalam kitabnya Tarikh Baghdad, beliau telah menukilkan jawapan Saidina Ali terhadap slogan Khawarij ini dengan jawapannya, "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang salah".

Coretan sejarah telah membuktikan sejak dahulu lagi wujud pihak-pihak tertentu yang mencipta slogan Islamik kononnya membangun bersama Islam, namun sebaliknya  bertujuan tidak betul dengan membangun membina tembok perpecahan, dinding permusuhan dan mencetus kebencian hanya kerana tidak sealiran. Slogan-slogan bermesej Islam sepatutnya menyatukan umat, mengharmonikan masyarakat dan mendamaikan. Bukan sebaliknya.

Nabi SAW dengan tegas menggambarkan kepada kita perumpamaan bagaimana sikap sesama muslim yang penuh dengan kasih sayang. Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam"

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mencari jalan berusaha menyatukan umat atas nama agama bukannya kepentingan pihak tertentu. Ciptalah slogan yang menyatukan dan bukannya memecah belahkan. Hidup berslogan tidaklah salah tetapi jangan sampai kita menunggang slogan agama demi mencari pengaruh, meraih kuasa dan sebagainya. Renung lah firman Allah SWT dalam surah al Anbiya' ayat 92 yang bermaksud :

"Sesungguhnya ini adalah umat kamu umat yang satu dan Aku adalah Tuhan kamu maka beribadahlah (kepada Ku)".

Dalam kitab Tafsir Al quran al Azhim (Ibnu Katsir) , Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini beliau berkata : "Agama kamu agama yang satu". Kata Imam Hasan al Basri pula ayat ini bermaksud :"Sunnah kamu sunnah yang satu".

Ini menjelaskan pada kita semua bahawa biarpun beribu slogan agama dicipta, matlamat dan tujuan kita hanyalah satu iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah dan menjunjung tinggi sunah para rasul Nya.

Oleh itu, marilah kita bermuhasabah dengan tingkah laku kita agar diri kita tidak menjadi agen penunggang agama dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang melampaui batas. Sedarlah kita betapa bahanya slogan yang berbaur Islamik tetapi tidak bertujuan dengan ajaran Islam sebenar. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Khamis, 11 Mac 2021

ISRAK DAN MIKRAJ : SEJARAH YANG TERCIPTA & HIKMAH DISEBALIKNYA

 

Israk dan Mikraj merujuk kepada suatu peristiwa terpenting dan bersejarah bagi umat Islam. Ianya merupakan kisah penuh bersejarah yang telah mengheret umat manusia menguji kekuatan keimanan dengan mempercaya peristiwa agung ini. Peristiwa Israk dan Mikraj ini secara tidak langsung telah menjadi medan krisis keimanan dengan mempercayai perjalanan baginda Nabi dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid al Aqsa di bumi Palestin dengan hanya satu malam yang singkat kemudian Nabi diangkat menuju ke langit untuk bertemu Allah.

Israk membawa makna perjalanan Nabi SAW di bumi dalam masa yang sangat singkat iaitu hanya memakan masa sebahagian dari satu malam, perjalanan Nabi bermula dari Masjidil Haram di Mekah menuju ke Masjid al Aqsa di bumi Palestin. Manakala Mikraj pula membawa maksud perjalanan baginda Nabi SAW dari alam dunia ke langit yang juga disebutkan sebagai "Sidaratul Muntaha", kemudian kembali semula ke Masjidil Haram.



Peristiwa agung ini telah dirakamkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam Al quran, menerusi surah al Israk ayat 1 yang bermaksud :

"Maha suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Dari sudut penetapan tarikh peristiwa ini, para sarjana berbeza pandangan dalam menentukan tarikh bila yang terjadinya peristiwa ini. Menurut Imam an Nawawi dan juga Imam Qurtubi, peristiwa ini telah berlaku setelah 5 tahun baginda Nabi diangkat menjadi Rasul. Ada juga yang menyebut peristiwa ini berlaku pada tahun dimana Allah mengangkat baginda sebagai Nabi. Pendapat ini dipilih oleh Imam al Tabari. Juga terdapat pandangan yang masyhur dikalangan kita di Malaysia, ada yang menyebut peristiwa ini berlaku pada 27 Rejab pada tahun ke-10 dari kenabian. Walau apa pun, penentuan tarikh bukanlah perkara yang besar. Lebih dari itu ialah hikmah sebalik peristiwa agung ini.

Peristiwa Israk dan Mikraj ini telah terjadi kepada baginda Nabi Muhammad SAW secaea sedar dan bukan berlaku melalui mimpi. Perkara ini turut ditegaskan oleh Imam Ibnu al Qayyim dalam kitab sirahnya Zad al Ma'ad, kata beliau :

"Ketika Rasulullah SAW kembali kepada kaumnnya pada pagi hari, baginda memberitahu kepada mereka tanda-tanda kebesaran Allah yang Allah perlihatkan kepadanya. Ternyata segala pendustaan, penganiayaan dan kebengisan mereka terhadap baginda semakin keras. Mereka meminta baginda untuk menerangkan ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka. Maka Allah menampakkan Baitul Maqdis dengan sangat jelas pada benak Rasulullah seolah-olah baginda melihatnya dengan mata kepalanya sendiri. Rasulullah SAW memberitahu ciri-ciri Baitul Maqdis kepada mereka sehingga mereka tidak dapat membantahnya sedikit pun.  Memang faktanya sama dengan apa yang baginda katakan."



Peristiwa agung ini telah menceritakan kepada kita bagaimana perjalanan Nabi ditemani oleh Jibril AS bertemu Allah SWT menerima wahyu dengan mewajibkan solat yang pada asalnya Allah memerintahkan sebanyak 50 waktu sehari semalam dan akhirnya Nabi naik turun bertemu Allah untuk diminta pengurangan sehingga lah menjadi 5 waktu sahaja. Kisah perjalanan ini ada direkodkan di dalam beberapa hadis yang panjang lebar riwayat Imam Bukhari & Muslim.

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, terdapat beberapa dakwaan amalan dan cerita palsu atau tidak benar yang seringkali berkumandang apabila tibanya tarikh Israk dan Mikraj. Antaranya dakwaan yang mengatakan digalakkan berpuasa sunat pada 27 Rejab kerana pada tarikh tersebut berlakunya. Walhal, kita semua tahu bahawa para sarjana berbeza pendapat dalam menentukan tarikh peristiwa ini. Malah tidak ada sebarang petunjuk dari Al quran mahupun hadis berkaitan galakkan berpuasa sunat sempena Israk dan Mikraj. Juga terdapat beberapa kisah palsu seperti Nabi melihat dunia seperti dalam keadaan wanita yang telah tua, kisah sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka, dan banyak lagi kisah palsu dan tidak benar disabitkan daripada peristiwa Israk dan Mikraj.

Hikmah terbesar yang boleh kita pelajari dalam peristiwa agung ini antaranya ialah setiap kesedihan dunia, Allah jualah tempat kita mengadu. Hal ini kerana sebelum terjadinya Israk dan Mikraj ini, baginda Nabi mengalami kesedihan yang mendalam dengan beberapa peristiwa sedih seperti kehilangan isteri tercinta Nabi, Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Bahkan Nabi juga pada tahun yang sama, telah dicemuh dengan hebatnya dalam usaha dakwah baginda di Thaif. Ini memberi pengajaran kepada kita bahwa biarpun ramai orang yang ingin menghalang dakwah kita, merintih dan mengadu lah pada Allah yang tida pernah pekak dari mendengar dan tidak pernah buta dari melihat.



Selain itu, hikmah terbesar yang boleh kita pelajari ialah kepentingan ibadah solat fardhu. Kewajipan solat melebihi kewajipan ibadah yang lain. Hal ini kerana perintah solat diterima oleh Nabi SAW secara langsung daripada Allah sewaktu Nabi bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan. Ini membuktikan keistimewaan ibadah solat amatlah istimewa dan bermakna untuk kita sebaga hamba Nya mentaati. Peristiwa agung ini juga telah mengajar kita tentang kepentingan memberi salam dan sentiasa berdoa kebaikan. Hal ini kita boleh lihat di dalam hadis yang menceritakan tentang perjalanan Nabi menuju ke langit, baginda Nabi tidak pernah terlepas memberi salam kepada para Rasul dan Nabi yang telah baginda temui.

Sebagai muslim, Israk dan Mikraj adalah sebuah peristiwa ajaib tetapi sahih yang akan menguji keimanan kita, sama ada kita mahu yakin dan percaya dengan peristiwa ini ataupun sebaliknya kita mahu menolak dan tidak mempercayainya. Juga sebagai muslim, kita wajib memastikan kesahihan sesuatu penceritaan agar tidak menyebarkan cerita dan amalan palsu yang tidak ada asas dalam agama. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Rabu, 10 Mac 2021

SEMUA ORANG BUKAN ISLAM MASUK NERAKA ?

 

Persoalan ini sebenarnya boleh mengundang salah faham dan prasangka buruk terhadap Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Jika jawapannya ya, semua orang bukan muslim akan masuk ke neraka, maka akan timbul persepsi pada orang bukan Islam bahawa Tuhan tidak pernah adil kerana ada juga orang bukan muslim yang lebih baik akhlak dan peribadinya berbanding orang Islam.

Sebaliknya, jika jawapannya tidak, bukan semua orang bukan Islam akan masuk ke neraka, maka akan timbul pula persepsi pada orang muslim bahawa apa guna menjadi seorang muslim jika bukan Islam pun boleh memasuki syurga. Tidak ada makna jika orang bukan Islam pun boleh memasuki syurga walhal mereka itu telah melakukan sebesar-besar dosa iaitu mensyirikan Allah SWT.



Hakikatnya, kita akan mendapati kehidupan peribadi orang bukan Islam kadangkala lebih islam berbanding orang Islam sendiri. Misalnya, di kebanyakan negara barat, ramai dari kalangan orang barat yang menepati janji, jujur dalam pekerjaan, telus dalam jual beli malah mereka juga ada ketikanya mendahului orang Islam dalam usaha kempen kemanusiaan yang juga menjadi tuntutan dalam agama Islam. Sebaliknya, kebanyakan orang Islam lebih gemar berebut kuasa politik, menjadi perasuah, hidup dalam persekitaran yang kotor, menipu dalam perniagaan dan lain-lain lagi.

Melihat realiti ini, barangkali kita juga terfikir apakah orang bukan Islam yang baik akhlaknya, yang jujur dan amanah, juga akan dihumban ke dalam neraka ? Logik akal akan menyatakan bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka ini sedangkan kehidupan mereka lebih islamik berbanding orang Islam sendiri. Firman Allah SWT dalam surah al Fussilat ayat 46 yang bermaksud :

"Tidaklah Tuhanmu itu zalim terhadap hamba Nya"

Ayat ini menafikan Allah SWT sama sekali tidak pernah menzalimi para hamba Nya, baik muslim ataupun bukan muslim. Keadilan Allah merentasi segala ilmu dan pengetahuan kita. Dia lah yang menentukan takdir hidup para hamba Nya. Maka, kita perlu jelas bahawa Allah tidak pernah bersikap zalim pada sesiapa pun hamba Nya. Bahkan sifat rahmat kasih sayang Allah Azza Wa Jalla terhadap hamba Nya lebih luas berbanding kemurkaan Nya. Ini sepertimana firman Allah dalam surah al An'aam ayat 147 yang bermaksud :

"Maka jika mereka mendustakan kamu, katakanlah : Tuhanmu mempunyai rahmat yang luas; dan seksa-Nya tidak dapat ditolak dari kaum yang berdosa"

Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang disebutkan di dalam Al quran bahawasanya Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan kepada mereka Rasul. Ini bermakna, sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang Rasul, tidak ditegakkan hujah kukuh sehingga tiada alasan untuk meragui ajaran Allah, maka dirinya tidak akan diazabkan dan dihukum oleh Allah. Firman Allah dalam surah al Israk ayat 15 yang bermaksud :

"Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutus seorang Rasul".

Inilah dalil yang boleh menyelamatkan orang bukan Islam yang tidak sampai hujah hidayah kebenaran Islam kepada mereka. Begitu juga bagi orang Islam yang jahil dalam beramal, sekiranya tidak sampai kepada mereka hujah kebenaran amalan dan kepercayaan yang benar dalam sesuatu perkara, maka mereka juga tidak akan dihukum oleh Allah.



Syeikh al Sa'di dalam kitab tafsirnya menyebut :

"Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan Rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab."

Kata Imam Ibn Qayyim dalam kitabnya Tariq al Hijratain, beliau menyebut :

"Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling  (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala (degil). Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah Rasul".

Dapatlah difahami bahwa Allah dengan penuh rahmat kasih sayang, tidak akan menzalimi hamba Nya, tidak akan menghukum hamba Nya tanpa ditegakkan hujah kebenaran Islam pada Nya. Sebaliknya, setelah ditegakkan hujah kebenaran Islam padanya, tetapi tetap enggan berimam pada Allah juga, maka selayaknya lah mereka dihukum oleh Allah kerana hujah kebenaran telah sampai kepada mereka.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap orang Islam agar menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam agar hujah dapat ditegakkan kepada mereka, selebihnya urusan mereka dengan Allah, sama ada untuk menerima Islam ataupun sebaliknya menolak Islam. Orang Islam harus memikirkan pula apakah pendekatan yang realistik untuk menyampaikan ajaran Islam yang sebenar. Sedarlah, dakwah bukan hak eksklusif para agamwan bahkan menjadi hak setiap yang bergelar muslim bagi menyampaikan Islam kepada mereka yang bukan Islam. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Khamis, 4 Mac 2021

SIKAP & PENDIRIAN ISLAM BERDEPAN DENGAN BARAT

 

Kewujudan kuasa Barat dilihat telah menguasai dunia yang mundur bertukar menjadi dunia yang bertamadun. Barat yang sebelum ini ketinggalan jauh jika hendak dibandingkan dengan pencapaian umat Islam terdahulu sehingga berjaya menguasai tamadun kebendaan dan mengungguli dunia. Namun akibat daripada kecuaian umat Islam sendiri, maka barat telah mendominasikan dunia dengan hasil peninggalan khazanah ilmu Islam yang hebat.

Ketika kita berbicara tentang soal kuasa barat, kita akan mendapati terdapat 4 kelompok sikap umat Islam apabila menyentuh isu barat ini. Pertama, adalah kelompok mereka yang menerima apa sahaja yang datangnya dari barat dan menolak agama kerana menganggap agama sebagai suatu penghalang kemajuan sesuatu tamadun. Misalnya, kita boleh lihat bagaimana seorang tokoh sasterawan Mesir, Taha Hussain. Beliau seringkali menyeru umat Islam mencontohi barat dan meninggalkan keislaman yang dianggap sebagai jumud. Beliau juga menyeru umat Islam untuk berfikiran seperti acuan pemikiran barat. Apa sahaja yang betul dan elok di sisi barat, kita harus akui dan sanjung tinggi pandangan barat. Kita mesti menilai sama seperti golongan barat menilai. Agama hanyalah alat yang memandulkan akal.



Kelompok yang kedua pula ialah mereka yang tidak menyatakan mereka menolak agama tetapi pada masa sama mereka cuba mentafsirkan dalil agama agar sesuai dengan kehidupan moden acuan barat. Apa sahaja dalil agama yang bercanggah dengan ajaran dunia barat, maka mereka akan mentakwilkan dalil tersebut sesuai dengan ajaran barat. Ini sepertimana yang pernah ditulis oleh Dr. Yusuf al Qaradhawi dalam kitab beliau al Marji'iyyat al 'Ulya fi al Islam : lil al Quran wa as Sunnah, mereka meminta agar Islam berubah tetapi mereka tidak meminta perubahan di islamkan. Mereka juga dikenali sebagai liberal.

Kelompok ketiga, adalah mereka yang menolak apa sahaja yang datangnya dari barat malah menyifatkan apa sahaja yang datangnya dari barat adalah kufur dan sesat. Kelompok ini seakan tidak tahu membezakan antara sikap, kebudayaan dan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan Islam. Lebih melampau lagi, ada yang mempertikaikan pemakaian tali leher, makan menggunakan sudu garpu dan selainnya. Tidak kurang pula ada yang menolak ilmu matematik, sains dan geografi kerana menganggap ianya berasal dari ilmu berkiblatkan barat. Alasan mereka kerana semuanya dari barat.  Sikap melampau memusuhi barat ini telah membuatkan mereka lupa bahwa sebahagian besar ilmu yang ditolak itu asasnya banyak diletakkan oleh para ilmuan Islam suatu ketika dulu. Kelompok ini juga mungkin lupa bahawa Islam itu luas menerima apa saja kebaikan asalkan tidak bercanggah dengan syarak. Kelompok ini boleh kita sebutkan sepeti Hizbut Tahrir yang menolak keras demokrasi.



Kelompok keempat, adalah mereka yang menapis apa sahaja yang datang dari barat dengan tapisan dan pertimbangan Islam. Islam tidak pernah menegaskan ia memusuhi barat atau mana-mana blok di dunia ini. Bukan semua yang datang dari barat perlu ditolak dan bukan semua yang datang dari barat perlu diterima. Ia memerlukan kepada tapisan wahyu al Quran dan as Sunnah. Dalam ketika kita memusuhi barat, kita harus akui bahawa kadang kala apa yang menjadi sikap barat adalah juga sebahagian daripada tuntutan Islam. Misalnya, amanah dalam pekerjaan, menepati masa, kebersihan dan lain-lain. Berbanding negara Islam yang dilihat dicemari dengan gejala rasuah, pecah amanah dan sebagainya.

Dalam keadaan terbuka dan penuh kesedaran, marilah kita melihat dunia dengan tapisan secara adil tanpa menolak agama. Apa sahaja kebaikan walau datangnya dari mana arah sekalipun, dari barat atau timur, dari utara mahupun selatan, kita harus menilai diatas neraca agama sesuai dengan firman Tuhan dan sabdaan kekasih Nya Nabi Muhammad SAW. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk mengambil manfaat sekalipun datangnya daripada musuh. Sikap prasangka dan kejumudan kita terhadap dunia lain akan membawa kita terus lenyap dalam fantasi dan mundur penuh penghinaan. Semoga Allah meredhai kita semua.