Selasa, 26 Mac 2024

HUKUM ORANG MENINGGALKAN SOLAT

 

Tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah. Dalam kata lain, penciptaan manusia di muka bumi Allah ini tiada tujuan lain melainkan untuk beribadah kepada Allah SWT. Perkataan ibadah memahamkan kepada kita bahawa suatu pekerjaan yang memerlukan gerak usaha bagi mentaati akan segala suruhan Nya dan juga berusaha meninggalkan segala larangan Nya. Ini kerana Allah lah yang menjadikan kehidupan ini keseluruhannya. Maka tentulah selayaknya puji dan puja hanya diabadikan untuk Allah SWT. Ungkapan ibadah merupakan tunjang dan teras perhubungan kita dengan sang Pencipta. Ibadah terpenting yang akan dihitung oleh Allah SWT ialah ibadah solat fardhu yang menjadi kewajiban bagi tiap-tiap hamba Nya yang beriman.

Perkataan "Solat" berasal dari bahasa Arab. Dari sudut pemahaman bahasa, solat membawa maksud doa memohon kebajikan dan pujian. Maka apabila kita menemui ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa solat Allah kepada nabi Nya, ianya merujuk kepada maksud Allah memuji kepada Nabi Nya. Solat pada sudut pemahaman syarak pula, seperti yang dinukilkan oleh Sayyid Sabiq dalam kitabnya, Fiqh Sunnah, ianya membawa maksud suatu ibadah yang terdiri dari perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbir bagi Allah dan disudahi dengan memberi salam dengan syarat-syarat tertentu. Pemahaman ini secara jelas memberikan maksud bahwa solat itu sendiri merupakan ibadah yang merangkumi rukun qauli (perkataan), rukun qalbi (niat) dan rukun fi'li (perbuatan) dan pada masa sama terikat kepada syarat-syarat tertentu bagi menentukan kesahihan ibadah tersebut.




Ibadah solat fardhu yang merangkumi 5 waktu sehari sekali, bermula dari waktu subuh hingga waktu isyak, adalah merupakan kewajiban bagi setiap para hamba Nya yang beriman. Baik lelaki mahupun perempuan, di utara walaupun di selatan, warna kulitnya berwarna putih ataupun hitam, selagi mana dirinya bergelar muslim (orang Islam), maka selagi itulah kewajiban bagi dirinya sebagai seorang Islam untuk ditunaikannya. Ibadah solat fardhu juga merupakan ibadah pertama sekali yang akan dihitung dan diambil kira oleh Allah SWT. Malah demikian juga kewajiban solat bagi mereka yang sakit. Disana terdapat keringanan bagi mereka untuk solat secara duduk, berbaring atau sebaliknya menggunakan isyarat mata bergantung kepada kesulitan atau kepayahan yang dialaminya.

Perbuatan meninggalkan solat merupakan antara perbuatan yang diklasifikasikan sebagai dosa besar. Malah, terdapat banyak nas dalil daripada al-Quran dan hadith yang menunjukkan balasan azab dan kedudukkan hina bagi mereka yang sengaja meninggalkan solat. Ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Muddathir ayat 42-43, firman Nya yang bermaksud :

"(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?" Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat;"

Juga dalam sebuah hadith riwayat Muslim, dari Abu Sufyan dia berkata, aku mendengar Jabir berkata yang bermaksud :

“Aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sungguh, yang memisahkan antara seorang lelaki dengan kesyirikan dan kekufuran adalah meninggalkan solat’.”

Demikianlah beberapa nas dalil yang menunjukkan kedudukan bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja. Namun begitu terdapat beberapa perbezaan pendapat dikalangan para sarjana Islam dalam soal membincangkan berkenaan hukum orang meninggalkan solat. Secara umumnya, perbuatan meninggalkan solat dibahagikan kepada dua kategori. Pertama, bagi mereka yang meninggalkan solat kerana malas atau meringankan solat tanpa membantah akan kewajiban menunaikan solat. Ini bermaksud, mereka yang meninggalkan solat ini dengan sengaja diatas sebab malas atau sambil lewa meringankan ibadah solat tanpa bermaksud menentang pensyariatan ibadah solat. Kategori kedua, bagi mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkari akan kewajiban ibadah solat.




Bagi kategori pertama, mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja tetapi tidak mengingkari perintah solat, berlaku perbezaan pendapat dikalangan para sarjana Islam. Pendapat pertama, seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nailul Authar, hukumnya adalah fasiq dan berdosa besar. Inilah pendapat jumhur (majoriti) para ulama antaranya Imam Malik dan Imam al-Syafie. Mereka berpendapat bahawa orang tersebut tidak menjadi kafir tetapi menjadi fasiq. Mereka ini boleh dihukum bunuh seperti penzina yang telah berkahwin sekiranya mereka enggan bertaubat dan kembali menunaikan solat. Manakala pendapat kedua dalam permasalahan ini, hukumnya adalah kafir dan murtad. Ini juga adalah pendapat sebahagian ulama Salaf seperti Abdullah ibn Mubarak, Ishaq ibn Rahawiyah dan ini juga pendapat mashyur (terkenal) oleh Imam Ahmad ibn Hanbal.

Selain itu, bagi kategori kedua, iaitu merujuk kepada mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja serta mengingkari akan kewajiban ibadah solat. Dalam permasalahan ini, telah berlaku ijmak (sepakat) para sarjana Islam hukumnya adalah kafir dan murtad. Hal ini kerana sikap mengingkari akan kewajiban ibadah solat atau dalam bahasa mudahnya tidak mengaku akan wajibnya solat, sikap tersebut menunjukkan bahawa orang tersebut telah mendustakan Allah dan Rasul Nya, dan bagi dia adalah sama kedudukkan dengan orang-orang kafir yang turut disifatkan oleh Allah sebagai kaum yang tidak berakal. Ini sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, melalui surah al-Maidah ayat 58, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan solat, mereka menjadikan solat itu sebagai ejek-ejekan dan permainan, yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal."




Telah berkata al-Syirazi dalam kitabnya al-Muhazzab, beliau menyatakan bahawa mana-mana orang yang wajib ke atasnya mengerjakan solat dan dia enggan mengerjakannya serta mengingkari (tidak mengakui) bahawa solat itu wajib sedangkan dia tahu bahawa solat itu wajib, maka jadilah dia kafir murtad, kerana dia mendustakan Allah SWT, dan jika dia tidak mengerjakan solat sedangkan dia tahu dan beriktikad bahawa solat itu wajib, maka wajib dia dibunuh. Demikian pula kata Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Riyad al-Solihin, beliau menjelaskan bahawa :

“Jika mana-mana orang meninggalkan solat dalam keadaan mengingkari akan wajibnya solat itu atau mengingkari hukum wajib solat itu, maka dihukumkan ke atasnya kafir murtad dengan ijmak ulama dan wajib dijalankan ke atasnya hukuman bagi orang murtad iaitu dihukum bunuh dengan perintah raja, kecuali jika dia Islam semula. Jika dia tidak tahu akan wajibnya solat itu dengan sebab baharu masuk Islam atau tinggal di suatu tempat yang jauh daripada orang Islam yang boleh menyebabkan tidak sampainya hukum wajib solat itu, maka tidaklah dia menjadi kafir kerana keingkarannya itu, bahkan kita perlu mengajarnya. Jika setelah diajarkan hukum tersebut dan dia tetap mengingkarinya, maka dia menjadi murtad.”

Demikian betapa hebat dan besarnya ancaman bagi mereka yang meninggalkan solat. Sehinggakan juga Imam al-Zahabi, pengarang kitab al-Kaba'ir (Dosa-Dosa Besar) meletakkan hukum meninggalkan solat berdosa besar pada kedudukkan 10 teratas. Sekaligus memberi isyarat bahawa ibadah solat fardhu yang menjadi kewajiban bagi tiap-tiap yang bergelar muslim merupakan misi dan matlamat utama sebagai orang Islam. Ini kerana, pada ibadah solat tersebut terkandung seribu satu macam hikmah yang boleh disingkapi bagi mereka yang mahu berfikir. Ketahuilah bahawa solat merupakan medium terbaik untuk manusia berhubung dengan pencipta Nya. Segalanya dalam kehidupan ini, hasrat dan hajat, rintihan mahupun keluhan, semuanya dapat dipohon dengan menunaikan solat. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan