Khamis, 7 Mac 2024

SIAPAKAH AHLI KITAB ?

 

Sejarah dan kehidupan manusia bagaikan ikatan yang tidak boleh sama sekali dileraikan. Ini bermakna, episod sejarah yang berlaku dalam siri kehidupan umat manusia tidak dapat dipadamkan atau dinafikannya. Meskipun sebahagian perkara yang berlalu itu telah menjadi bahan sejarah dahulu, namun apa yang dilakarkan tersebut telah banyak meninggalkan kesan kepada kehidupan manuisa biarpun dunia sudah berevolusi bergerak maju ke masa hadapan. Kerana itu, sebahagian nukilan sejarah kehidupan manusia yang lampau, kini menjadi rujukan umat masa kini sebagai pedoman dan pengetahuan untuk masa sekarang. Jika tidak ada mereka yang dahulu, tentunya tidak ada kita yang sekarang ini.

Ungkapan Ahli Kitab merupakan perkataan yang merujuk kepada gelaran umat terdahulu. Secara umumnya, Ahli Kitab adalah mereka yang beragama Yahudi dan Kristian yang berpegang kepada ajaran kitab Taurat dan Injil. Namun begitu, dalam usaha memberikan definisi sebenar tentang siapakah Ahli Kitab, para ulama berbeza pandangan tentangnya. Menurut Imam al-Syafie dalam kitabnya, al-Umm, beliau mengkhususkan Ahli Kitab kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian. Ini bermakna, mereka yang beragama Yahudi dan Kristian, yang bukan dari keturunan Bani Israel, tidak tergolong mereka ini dalam Ahli Kitab. Ini kerana, Nabi Musa yang diberikan kitab Taurat dan Nabi Isa yang diberikan kitab Injil hanya diutuskan kepada Bani Israel dan bukan kaum lain.




Selain itu, menurut Imam Abu Hanifah dalam kitab Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa Ahli Kitab juga adalah mereka yang daripada wilayah Kaskar (daerah utara Kufah) dan Bata’ih (kawasan berpaya di utara Basrah) termasuk dalam penganut Kristian. Walaupun mereka banyak perbezaan daripada agama-agama lain; kerana Kristian itu terdapat banyak aliran. Begitu juga Imam Al-Shahrastani di dalam kitabnya, al-Milal wa al-Nihal, beliau menjelaskan bahawa Ahli Kitab tidak hanya dikhususkan kepada keturunan Bani Israel yang beragama Yahudi dan Kristian tetapi juga sesiapa sahaja yang menerima Taurat dan Injil, samada mereka mengamalkannya atau tidak. Sementara itu, Buya Hamka pula dalam kitab Tafsir al-Azhar pula menyatakan bahawa ahli kitab terdiri dari Yahudi dan Nasrani, tetapi ia tidak memberi kriteria tertentu sehingga setiap dari Yahudi dan Nasrani disebut ahli kitab.

Demikian beberapa definisi yang dikemukakan oleh para ulama untuk memahami makna kepada ungkapan Ahli Kitab. Secara konsepnya, Ahli Kitab adalah merujuk kepada orang Yahudi dan Kristian yang mempunyai keturunan salasilah keturunan Nabi Yaakub AS. Selain itu, terdapat satu golongan lagi yang dimaksudkan sebagai Ahli Kitab iaitu yang disebut sebagai golongan as-Sobi'ah. Pun begitu, para ulama berbeza pendapat dalam menentukan sama ada mereka ini termasuk dalam golongan Ahli Kitab ataupun tidak. Golongan as-Sobi'ah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 62 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Mengenai golongan as-Sobi'ah ini, para ulama berbeza pendapat. Antara perbezaan tersebut, menurut Imam Abu Hanifah mengkategorikan mereka sebagai Ahli Kitab yang merupakan aliran menyeleweng daripada agama Kristian yang membaca kitab Zabur, tidak kitab Injil. Mereka menyembah bintang dan berhala-berhala. Imam Abu Yusuf dan Imam Muhammad ibn Hassan al-Syaibani tidak menerima mereka sebagai Ahli Kitab. Selain itu, Imam Malik menganggap mereka sebagai kafir dan tidak termasuk dalam Ahli Kitab. Mereka tidak mempunyai kitab suci mahupun peraturan-peraturan berkaitan agama. Di sisi ulama’ Malikiyyah, mereka dikira sebagai penyembah berhala. Manakala Imam al-Syafie pula bertawaqquf dalam hal ini kerana identiti mereka yang tidak jelas. Walaubagaimanapun, para ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa mereka adalah hampir kepada ajaran Kristian dan dianggap sebahagian daripada penganut Kristian. Imam Ahmad bin Hanbal dan para ulama’ Hanabila kebanyakannya menerima pendapat-pendapat Imam Abu Hanifah dan para ulama’ Syafi’iyyah.




Menurut Ibn al-Qayyim dalam kitab Ahkam Ahl al-Zimmah, beliau menjelaskan, al-Sobi’ah adalah umat yang besar. Ada yang baik dan ada yang celaka. Ia termasuk dalam salah satu umat yang terbahagi menjadi Mukmin dan kafir. al-Sobi’ah itu ada pelbagai kategori, ada al-Sobi’ah Hanif (pengikut ajaran Nabi Ibrahim) dan ada al-Sobi’ah Musyrik. Mereka memiliki kitab, tulisan-tulisan, dan ilmu-ilmu. Penganutnya banyak di Baghdad. Antaranya adalah Ibrahim bin Hilal, penulis bagi beberapa risalah. Dia menganut agama tersebut, berpuasa Ramadhan seperti umat Islam. Majoriti mereka adalah ahli falsafah. Walau apapun, pastinya Ahli Kitab itu merujuk kepada mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Ini juga berdasarkan beberapa ayat di dalam a-Quran yang menyebutkan Ahli Kitab itu sebagai mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 135-136 yang bermaksud :

“Dan mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) berkata: "Jadilah kamu pemeluk agama Yahudi atau pemeluk ugama Nasrani, nescaya kamu akan mendapat petunjuk". Katakanlah (wahai Muhammad: "Kami orang-orang Islam tidak akan menurut apa yang kamu katakan itu) bahkan kami mengikut ugama Nabi Ibrahim yang tetap di atas dasar Tauhid, dan bukanlah ia dari orang-orang musyrik". (135) Katakanlah (wahai orang-orang yang beriman): "Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Quran), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishak dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka (sebagaimana yang kamu - Yahudi dan Nasrani - membeza-bezakannya); dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk taat) kepada Allah semata-mata".

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, Tafsir al-Munir, beliau menyebutkan bahawa ayat di atas menceritakan berkenaan seruan kepada ahli kitab dan bangsa Arab agar patuh kepada Allah SWT dan mengikuti agama yang benar yang dibawa oleh semua para nabi. Allah SWT juga mencela sifat ahli kitab yang suka berselisih dalam perbezaan yang kecil di mana orang Yahudi dan Nasrani berhujah bahawa agama mereka yang sampai kepada kebenaran mengikut pendapat masing-masing. Tetapi Allah SWT membantah hujah mereka dengan memberi contoh Nabi Ibrahim AS (Yahudi dan Nasrani mengatakan mereka mengikuti agama Ibrahim AS) yang mana beliau bukanlah seorang yang menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu pun, baik berhala mahupun patung. Dalam ayat ini juga terdapat sindiran ke atas kesyirikan mereka yang mengatakan Uzair itu adalah anak Allah dan Isa itu adalah anak Allah.

Berdasarkan kefahaman ayat ini, kita dapat fahami bahwa Ahli Kitab yang terdiri daripada orang Yahudi dan Kristian memiliki kepercayaan yang tersendiri dan berbeza dengan ajaran agama Islam sebenar. Maka dengan itu, Allah SWT telah menghantar Nabi Muhammad SAW untuk berdakwah menyeru dan mengajak mereka untuk kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan tidak menyekutukan Allah Azza Wa Jalla. Kesinambungan daripada ayat tersebut, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 137 yang bermaksud :

“Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”




Imam Fakhruddin al-Razi menyatakan dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Kabir, bahawa Allah SWT menyeru kepada ahli kitab untuk beriman kepada petunjuk (kitab taurat dan injil) yang tidak diolah dan diubah isinya. Sebagai contoh jika mereka beriman kepada kitab taurat yang asli di mana tiada sebarang tokok tambah, maka mereka akan diberi hidayah serta petunjuk yang membawa kepada kenabian Nabi Muhammad SAW. Demikian pula menurut Syeikh Mutawali Sya’rawi, beliau menyatakan ayat ini merupakan frasa yang berkaitan dengan penyaksian kalimah syahadah bahawa tiada tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Setiap Muslim perlu mengucapkan kalimah syahadah untuk membuktikan keimaman, maka ayat ini adalah perumpamaan kepada keimanan ahli kitab agar penyaksian dan kata-kata mereka harus sama seperti Muslim. Jika tidak, mereka akan sentiasa berada di dalam perselisihan dan pergaduhan sesama mereka.

Demikianlah tentang siapakah Ahli Kitab. Secara mudahnya, golongan Ahli Kitab adalah mereka yang beragama Yahudi dan Kristian. Ciri-ciri yang ada pada mereka ini mestilah yang mengikuti syariat Nabi Muhammad SAW kerana diutuskan baginda Nabi juga bertujuan mengajak kepada mereka untuk kembali ke jalan yang benar. Dikalangan mereka, ada yang beriman dan sebaliknya ada juga yang tidak beriman dengan apa yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Ini juga bermakna sekiranya masih wujud Ahli Kitab yang masih berpegang kepada ajaran suci rasul dan nabi mereka, masih berpegang kepada kitab suci mereka tanpa menyeleweng, namun enggan mengikuti ajaran atau tidak mahu beriman kepada baginda Nabi Muhammad, mereka ini tetap dianggap sebagai kufur kepada Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan