Selasa, 5 Mac 2024

MENJELANG RAMADAN : MENYINGKAP SIFAT PARA SALAFUS SOLEH

 

Umpama hadiah yang bermakna, Ramadan merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi orang Islam. Bulan Ramadan, padanya disyariatkan berpuasa sebulan dengan tujuan mudah-mudahan memperolehi ketaqwaan. Padanya pelbagai ganjaran dan keistimewaan yang dihidangkan oleh Allah kepada hamba Nya yang ikhlas. Pada bulan Ramadan juga, terakam beberapa peristiwa dan detik yang bersejarah. Di dalam bulan Ramadan, al-Quran yang merupakan panduan lengkap kehidupan manusia telah diturunkan. Selain itu, sejarah pertembungan epik dalam perang Badar, antara tentera Islam yang diketuai oleh baginda Nabi SAW dan tentera kafir Quraisy yang dipimpin oleh Abu Sufyan telah berlaku pada bulan Ramadan, yang menyaksikan kemenangan bermakna buat umat Islam.

Oleh itu, bulan Ramadan yang padanya terkandung keberkatan dan keampunan Allah SWT, sentiasa dinanti-nantikan oleh umat Islam sejak dahulu lagi. Ini termasuklah para Salafus Soleh yang menjadi generasi contoh dan teladan terbaik dalam Islam. Menurut Ibnu Manzur dalam kitab Lisanul 'Arab, ungkapan Salaf pada sudut bahasa membawa makna terdahulu (nenek moyang), yang lebih tua dan lebih utama. Manakala Syeikh Muhammad bin Abdurrahman al-Marghrawi dalam kitabnya, al-Mufassiruun bainat Ta'will wal Itsbat fii Aayatis Sifat, menyatakan bahawa Salaf bermaksud pendahulu. Ungkapan Salaf pada sudut istilah pula merujuk kepada maksud generasi pertama dan terbaik dari umat Islam ini, yang terdiri dari para sahabat, para Tabi'in, para pengikut Tabi'in dan para imam pembawa petunjuk pada tiga kurun pertama yang dimuliakan oleh Allah SWT.




Ini berdasarkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (yaitu masa para Sahabat), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’in), kemudian yang sesudahnya (masa Tabi’ut Tabi’in).”

Menurut pandangan al-Qalsyani dalam kitab al-Mufassiruun bainat Ta'wil wal Itsbaat fi Aayatis Sifat, beliau menyatakan Salafus Soleh adalah generasi pertama dari umat ini yang pemahaman ilmunya sangat dalam, yang mengikuti petunjuk Nabi SAW dan menjaga sunnahnya. Allah memilih mereka untuk menemani Nabi-Nya SAW dan menegakkan agama-Nya. Selain itu, Syeikh Mahmud Ahmad Khafaji berkata di dalam kitabnya, al-‘Aqidatul Islamiyyah Bainas Salafiyyah wal Mu’tazilah, beliau menyebutkan bahawa penetapan istilah Salaf tidak cukup dengan hanya dibatasi waktu saja, bahkan harus sesuai dengan Al-Quran dan Al-Sunnah menurut pemahaman Salafus Soleh. Maka tentunya generasi Salafus Soleh ini adalah rujukan generasi terbaik untuk kita mencontohinya.

Menjelang bulan Ramadan, terdapat banyak amalan dan persediaan yang dilakukan oleh para Salafus Soleh yang boleh kita jadikan contoh ikutan. Antaranya ialah para Salafus Soleh sentiasa berdoa selama enam bulan sebelum Ramadan supaya mereka berpeluang bertemu dengan bulan Ramadan. Sementelah itu, enam bulan selepas Ramadan pula, mereka sentiasa berdoa agar Allah SWT menerima segala amal baik yang telah mereka lakukan di bulan Ramadan. Ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam Ibn Rejab al-Hanbali, dalam kitabnya, Lataif al-Ma'arif, beliau menukilakan daripada Ma'la bin al-Fadhl dengan menyebutkan bahawa adalah mereka (golongan salaf) berdoa kepada Allah SWT selama enam bulan supaya disampaikan kepada mereka bulan Ramadan dan enam bulan lagi supaya Allah SWT menerima daripada mereka amalan mereka.

Selain itu, menjelang bulan Ramadan yang mulia ini, para Salafus Soleh juga telah melakukan persediaan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran. Ini kerana, pada bulan Ramadan, diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia dan juga yang menjadi pemisah antara yang benar dan yang batil. Ini sepertimana dalam surah al-Baqarah ayat 185, firman Allah SWT yang bermaksud :

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah".

Dalam kitab Siyar A'lam al-Nubala', Ibrahim al-Nakha'i Rahimahullah meriwayatkan bahawa al-Aswad mengkhatamkan bacaan al-Quran dalam bulan Ramadan setiap dua malam sekali. Selain itu, Qatadah Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran pada setiap tujuh hari sekali. Ketika tibanya Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran pada setiap tiga hari sekali. Manakala memasuki 10 hari terkahir pada bulan Ramadan, beliau mengkhatamkan al-Quran sekali pada setiap hari. Begitu juga telah berkata al-Rabe' bin Sulaiman, Imam al-Syafie Rahimahullah mengkhatamkan al-Quran sebanyak enam puluh kali pada bulan Ramadan. Selain itu, Imam Malik, tokoh pendiri mazhab Maliki, apabila tibanya bulan Ramadan, beliau meninggalkan majlis pembacaan hadith dan beralih kepada al-Quran. Kata Imam al-Zuhri Rahimahullah apabila tibanya bulan Ramadan, bulan ini adalah bulan tilawah al-Quran dan memberi orang makan. Demikianlah kesungguhan para Salafus Soleh memperbanyakkan membaca al-Quran.




Selain itu, menjelang Ramadan yang diberkati ini, para Salafus Soleh yang juga merupakan generasi terbaik dalam Islam sentiasa melakukan solat malam yang disebutkan sebagai Qiyam. Perbuatan Qiyam adalah merujuk kepada maksud menghidupkan malam hari dengan beribadah kepada Allah SWT. Dalam ibadah Qiyam pada bulan Ramadan, disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali sebagai solat teraweh sama ada dilakukan secara berjemaah ataupun bersendirian. Dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Barang siapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam".

Menurut Dr. Sayyid al-Affani, beliau menyatakan bahawa kita mendapati golongan salaf yang terdahulu menyambut Ramadan dengan taubat nasuha kepada Allah SWT dan kembali kepada-Nya dengan mengerjakan ketaatan, memperbaiki diri sama ada dalaman dan luaran, bersedia dengan bersungguh-sungguh untuk melakukan ibadah puasa, solat, membaca al-Quran, berzikir dan semua jenis ibadat. Selain itu, para Salafus Soleh juga sentiasa memperbanyakkan amalan sunat nawafil seperti puasa sunat dan sebagainya. Imam al-Syatibi dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menyebutkan bahawa ibadah nawafil dan perkara sunat yang lain dikira sebagai landasan untuk masuk kepada ibadah fardu, ia juga sebagai penyempurnaan untuk mendapatkan redha Allah SWT.

Demikianlah beberapa sifat para Salafus Soleh yang boleh kita jadikan sebagai inspirasi, contoh dan ikutan yang terbaik menjelang menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak. Sesungguhnya setiap perbuatan baik disisi syarak tiada yang menjadi sia-sia melainkan menjadi saham akhirat. Maka dengan itu, menghitung detik menjelang bulan Ramadan, kita seharusnya mempersiapkan kekuatan diri, baik dari sudut jasmani dan rohani, dengan melakukan amalan yang telah ditunjukkan oleh generasi hebat umat terdahulu. Persepsi orang ramai tentang bulan Ramadan adalah bulan pesta makanan perlu diperindahkan lagi dengan melihat ianya bukan sekadar soal makan dan minum tetapi pesta untuk kita beribadah dengan ruang lingkup kemampuan diri masing-masing. Ini bermakna, ibadah di bulan Ramadan tidak sekadar solat teraweh di masjid semata-mata malah sesiapa sahaja walau berada di mana pun, kita semua ada ruang untuk beribadah dengan pelbagai pintu-pintu kebaikan dibuka. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan