Isnin, 11 Mac 2024

RAMADAN DAN PELUANG ERATKAN PERSAUDARAAN

 

Antara kenikmatan yang tidak ternilai dalam kehidupan ini ialah apabila kita dapat saling mengenali antara satu sama lain. Manusia dengan pelbagai latar belakang cerita akan mewujudkan suatu kehidupan yang sempurna apabila saling melengkapi antara satu sama lain. Umpamanya, seorang pengusaha kedai makan tidak akan mampu membuka perniagaannya tanpa ada para petani dan nelayan yang membekalkan sumber makanan mentah untuk dimasak. Begitu juga orang yang kaya tidak akan dapat makan ayam jika tidak ada para penternak yang membela. Peranan setiap manusia di pelbagai lapangan akan melengkapi hidup satu sama lain.

Dalam Islam, persaudaraan adalah sesuatu yang ditekankan oleh Allah SWT dan rasul-Nya. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran, menerusi surah al-Hujurat 10 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu sertabertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”




Dalam kitab tafsir al-Sa'di, Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di menyatakan bahawa persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. Demikian apa yang telah disebutkan. Ini bermakna orang-orang beriman itu diikat dengan ikatan persaudaraan sesama Islam. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

Hadith ini menunjukkan kepada kita bahwa antara tanda-tanda atau ciri-ciri orang yang beriman ialah mengasihi saudaranya seperti menyayangi dirinya sendiri. Sekali lagi, indikator keimanan kepada Allah adalah terletak juga kepada bab persaudaraan. Agama Islam bukan sekadar mendidik umatnya untuk solat dan puasa semata-mata bahkan menjadi bukti keimanan juga apabila kita memelihara dan menjaga persaudaraan sesama Islam. Oleh itu, apabila dapat bertamu di bulan Ramadan, bukan sekadar kita menahan diri daripda makan dan minum, sebaliknya madrasah Ramadan yang dilalui ini akan menjadi medan untuk kita perkasakan persaudaraan sesama Islam.

Seringkali memasuki bulan Ramadan, dikalangan masyarakat Islam sudah mula berbicara tentang kemeriahan ibadah puasa. Ada yang ternanti-nantikan menu yang hanya dijual pada bulan Ramadan. Tidak kurang juga ada yang gemar berkongsikan tentang kerancakkan aktiviti membaca dan bertadarus al-Quran. Selain ada pula yang suka berkongsikan menu harian untuk berbuka puasa dan sahur di laman media sosial. Namun begitu, adakah kita sedar bahwa bulan Ramadan yang padanya disebutkan sebagai madrasah ini juga merupakan ruang dan peluang terpenting untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam.




Ramadan, suatu bulan mulia yang diwajibkan umat Islam untuk berpuasa. Selain menahan diri daripada makan dan minum, kita juga dituntut untuk meninggalkan perkara yang sia-sia yang boleh mengurangkan pahala puasa. Antara perkara yang sia-sia tersebut ialah bermusuhan sesama umat Islam. Bermusuhan sesama Islam adalah sesuatu yang merugikan apatah lagi ketika kita berada pada bulan Ramadan yang mulia ini. Untuk itu, bulan Ramadan adalah peluang yang terbaik untuk kita jadikan sebagai titik permulaan meninggalkan segala permusuhan dan mengambil peluang ini untuk mengeratkan persaudaraan. Ini selari dengan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 103, yang bermaksud :

"Ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara."

Amalan berpuasa di bulan Ramadan tentunya akan lebih dimaknai dengan meninggalkan segala perdebatan, perbalahan dan permusuhan yang merugikan umat manusia khususnya orang Islam. Pertengkaran yang membawa kepada percakaran sesama umat Islam tentunya menunjukkan suhu persaudaraan yang tidak sihat. Walhal, mengelakkan suasana kuat pertengkaran adalah suatu bentuk yang mulia. Ini kerana, pada sisi Allah SWT, sangat membenci para lelaki yang sangat kuat bertengkar. Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Lelaki-lelaki yang sangat dibenci oleh Allah adalah yang sangat kuat dalam bertengkar."




Selain itu, peluang pada bulan Ramadan yang juga merupakan bulan untuk kita eratkan persaudaraan Islam, boleh diterjemahkan dengan aktiviti berkongsikan masakan kepada jiran tetangga. Ini bukanlah suatu budaya baharu malah sejak zaman dahulu, telah menjadi tradisi masyarakat Islam khususnya di Malaysia suka berkongsi masakan kepada jiran-jiran sambil dibalas dengan bertukar-tukar juadah hidangan. Budaya seperti ini seharusnya dipelihara agar sentiasa dapat memupuk semangat persaudaraan yang baik dikalangan komuniti setempat. Budaya sihat ini bukan sahaja dapat menyemai roh persaudaraan bahkan mendapat ganjaran hebat di sisi Allah. Ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun juga."

Betapa besarnya ganjaran pahala bagi sesiapa yang menyediakan makanan untuk jiran tetangga turut merasainya. Hal ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan ingatan persaudaraan bahkan diberikan juga ganjaran pahala diatas sebab memberikan makan kepada orang yang berpuasa. Beruntunglah jika budaya saling berkongsi makanan ini dapat disuburkan kembali dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Selain itu, ibadah puasa pada bulan Ramadan juga secara tidak langsung dapat memupuk persaudaraan dengan mengingatkan orang kaya terhadap golongan manusia yang fakir dan miskin. Menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauzi, dengan tegas beliau menyatakan bahawa ibadah puasa dapat mengingatkan orang kaya akan penderitaan dan kelaparan yang melanda orang miskin.

Malahan menurut Syeikh Muhammad Abduh dalam kitab Tafsir al-Manar, ketika beliau mentafsirkan ayat mengenai kewajipan berpuasa, beliau menyatakan bahawa dari sudut kemasyarakatan, puasa itu melahirkan persamaan antara orang kaya dan orang miskin, antara raja, penguasa, ketua negara dengan rakyat jelata. Ini kerana mereka sama-sama berada dalam kedudukan yang serupa iaitu melaksanakan kewajipan berpuasa, sama dalam merasakan lapar dan dahaga. Sementara itu, kata Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, beliau menyatakan bahawa puasa dapat menumbuhkan naluri kasih sayang, ukhuwwah, dan perasaan keterikatan dalam tolong-menolong yang dapat menjalin rasa persaudaraan sesama umat Islam. Demikianlah Ramadan dan peluang yang boleh kita manfaatkan untuk tujuan mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan