Khamis, 14 Mac 2024

AGAMA SAMAWI : ISLAM, YAHUDI DAN NASRANI ?

 

Sesungguhnya hidup beragama merupakan fitrah semula jadi umat manusia sejak berzaman lagi. Catatan sejarah telah memperlihatkan kepada kita kewujudan pelbagai kepercayaan dan jalan hidup beragama. Antara yang terawal disebutkan adalah kepercayaaan berbentuk animisme iaitu merujuk kepada perbuatan memuja dan menyembah roh dan semangat alam. Daripada pemujaan roh dan semangat orang yang telah meninggal dunia kemudian dijadikan pula alam ini sebagai tempat pemujaan roh yang berkuasa, sehinggalah manusia mencipta patung-patung berhala untuk disembah dengan kepelbagaian kepercayaan yang berkait.

Dalam suatu sudut yang lain, tatkala kita berbicara tentang kewujudan pelbagai kepercayaan dan cara hidup untuk beragama, harus kita ketahui bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama paling tua di dunia ini. Ini sekaligus menafikan dakwaan yang menyatakan agama Hindu dan Buddha agama yang tertua. Agama Islam merupakan agama paling tua dengan banyaknya para rasul dan nabi diutuskan sejak zaman berzaman lagi. Malah, agama Islam bukan sahaja agama tertua di dunia sebaliknya Islam lah satu-satunya agama yang paling benar. Selain itu, agama Islam merupakan satu-satunya agama Samawi yang di iktiraf dan diperakui oleh Allah SWT.




Ungkapan istilah agama "Samawi" adalah merujuk kepada maksud agama yang diturunkan dari langit oleh Allah SWT. Maka, satu-satunya agama yang dimaksudkan dengan makna Samawi ialah agama Islam. Adapun sebelum ini, kita seringkali diberi kefahaman bahawa agama Samawi merujuk kepada tiga ajaran iaitu Islam, Yahudi dan Nasrani. Kefahaman sebegini adalah batil dan tidak benar. Tanggapan ini tentunya bertentangan dengan firman Allah SWT dalam al-Quran melalui surah Ali-Imran ayat 85 yang bermaksud :

"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi".

Menurut Syeikh Abdurrahman as-Sa'di, dalam kitab tafsirnya, beliau menyebutkan bahawa telah diterangkan dalam surah al-Baqarah bahawa asas-asas ini yang merupakan pokok-pokok iman yang diperintahkan oleh Allah kepada umat ini telah disepakati oleh kitab-kitab dan para Rasul. Itulah matlamat asas yang ditujukan kepada semua orang, dan itulah agama yang benar dan Islam. Dan orang yang mencari selain Dia dan beramal dengannya, tertolaklah amalannya sehingga tidak ada ajaran yang kembali kepadanya. Sesiapa yang tidak memerlukan dan membencinya, ke mana dia akan pergi? Ke penyembahan pokok, batu atau api? Atau kepada penyembahan sami, paderi atau salib? Atau kepada kebinasaan Tuhan sekalian alam? Atau kepada agama-agama palsu yang merupakan wahyu daripada syaitan? Kesemua mereka di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.

Demikian pula bagaimana Allah SWT dengan penuh ketegasan menyatakan bahwa hanyasanya agama Islam ialah agama yang diredhai oleh Nya. Lihatlah bagaimana Allah SWT menyebutnya di dalam al-Quran, surah Ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya agama (yang diredhai) disisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya."




Berdasarkan ayat ini, Dr. Syeikh Wahbah al-Zuhaily dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Wajiz, menyatakan bahawa sesungguhnya agama yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam yang meliputi keimanan. Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak berselisih kecuali setelah datang ilmu dalam Taurat dan Injil yang mewajibkan untuk mengesakan Allah, menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Perselisihan diantara mereka sudah melewati batas wajar, menerjang kebenaran dan keadilan kerana kedengkian yang ada di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah yang menunjukkan keesaan-Nya, maka sesungguhnya Allah sangat cepat pembalasan-Nya atas perbuatan mereka.

Maka, sekiranya kita beranggapan agama selain Islam iaitu agama Yahudi dan Nasrani sebagai agama Samawi, iaitu agama yang diturunkan oleh Allah dari langit, bagaimana mungkin Allah menurunkan agama Nya ini sedangkan Allah sendiri tidak meredhai kecuali agama Islam sahaja. Untuk apa Allah menurunkan agama Yahudi dan Nasrani sedangkan tidak di iktiraf akan kebenarannya. Oleh yang demikian, dapat kita fahami bahawa yang dimaksudkan dengan agama Samawi hanyalah merujuk kepada agama Islam semata-mata. Islam bukanlah agama yang baru diturunkan kepada baginda Nabi Muhammad SAW bahkan agama Islam juga merupakan agama bagi semua para nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah SWT.

Antara bukti yang menunjukkan bahwa Islam adalah agama untuk para rasul dan para nabi terdahulu, kita boleh lihat bagaimana penegasan oleh Allah SWT menjelaskan kedudukan sebenar Nabi Ibrahim AS, di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 67, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia adalah seorang yang lurus, Muslim dan dia tidaklah termasuk orang-orang musyrik"

Melalui ayat ini jelas bahawa Allah SWT telah memberikan suatu kedudukan sebenar yang menjadi pegangan dan pendirian Nabi Ibrahim yang berada di jalan agama yang hanif (lurus). Lafaz "hanif" (lurus) pada ayat tersebut menjelaskan kepada kita bahawa Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan perbuatan syirik menuju kepada ajaran tauhid dengan hanya tunduk patuh dan menyembah Allah Azza Wa Jalla. Meskipun ketika itu, Nabi Ibrahim dikelilingi oleh masyarakat yang menyembah berhala dan ini termasuklah bapanya sendiri yang bernama Azar. Pun begitu, Nabi Ibrahim tetap teguh membawa risalah tauhid dibawah agama Islam yang diredhai oleh Allah. Daripada ayat tersebut, jelaslah kepada kita bahawa Islam adalah merupakan agama bagi semua para rasul dan para nabi yang diutuskan oleh Nya.




Begitu juga penjelasan yang telah dibuat oleh Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

"Para nabi merupakan saudara sebapa (ibu berlainan), agama mereka satu dan ibu-ibu mereka pelbagai"

Maksud dari hadith ini menyatakan kepada kita bahawa agama ke semua nabi ialah agama Islam. Namun begitu, yang membezakan antara mereka adalah syariat yang berbeza dari satu umat dengan umat yang lain. Ini bermakna, semua para nabi membawa risalah dakwah agama Islam tetapi dengan membawa syariat atau peraturan yang berbeza mengikut umat-umat terdahulu. Kerana itu, kita pastinya pernah mendengar hadith Nabi SAW menceritakan kepada kita puasa umat Nabi Daud tidak sama seperti puasa umat Nabi Muhammad. Pun begitu, risalah dakwah mereka tetap sama, menyeru manusia mentauhidkan Allah dibawah panji agama Islam.

Dalam pada itu, selain Nabi Ibrahim AS di iktiraf sebagai seorang muslim beragama Islam, Allah SWT juga telah mencatatkan bahawa Nabi Isa AS dan para pengikutnya juga beragama Islam. Hal ini sepertimana yang disebutkan di dalam al-Quran, melalui surah Ali-Imran ayat 52, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Maka ketika Nabi Isa merasa (serta mengetahui dengan yakin) akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah ia:" Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan ugamaNya)?". Orang-orang "Hawariyyuun" (Penyokong Nabi Isa) berkata: "Kamilah penolong-penolong (utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah (wahai Nabi Allah) sesungguhnya kami ialah orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)".

Hakikatnya, terdapat banyak lagi ayat-ayat yang menjelaskan agama Islam adalah agama para nabi dan rasul sejak dahulu lagi. Maka, setiap para nabi dan rasul yang diutuskan itu tidak bermaksud untuk membawa agama baharu melainkan hanya menyeru umat manusia menyembah Allah dengan syariat berbeza, tetapi tetap dibawah agama yang sama iaitulah agama Islam. Adapun sebahagian yang beranggapan Yahudi dan Nasrani juga adalah agama Samawi adalah tidak benar dan batil sama sekali. Tidaklah Tuhan menurunkan agama Yahudi dan Nasrani untuk menentang seruan diri Nya sendiri. Walau pun begitu, kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka iaitu Taurat dan Injil, sama sekali tidak menyeru kepada kesyirikan melainkan setelah mereka sendiri yang melakukan penyelewengan kitab ajaran tersebut. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan