Sememangnya dunia yang dijadikan oleh Allah SWT ini adalah
merupakan medan bagi menguji diri manusia. Tidaklah kehidupan dan kematian itu
dicipta melainkan untuk menguji para umat manusia antara iman dan juga kufur.
Oleh kerana itu, kaya mahupun miskin, senang ataupun susah, masing-masing
mempunyai posisi ujiannya yang tersendiri. Ujian bukan bermakna hal-hal yang
sukar dan susah semata-mata, malah hidup kaya-raya juga suatu ujian bagi
melihat nilai kerendahan hati dengan memiliki kemewahan harta benda.
Bagi menguji manusia, selain Allah SWT menjadikan pada diri manusia
itu punyai hawa nafsu, Allah juga telah menjadikan tiap-tiap diri manusia itu
mempunyai Qarin. Perkara ini sepertimana yang terdapat dalam sebuah hadith
riwayat Muslim, daripada Abdullah bin Mas'ud RA, baginda Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
“Tidaklah setiap orang daripada kamu itu (yang lahir ke dunia)
melainkan dia telah diutuskan bersamanya qarinnya (teman) daripada kalangan
jin. Mereka (Sahabat) bertanya: Adakah kamu juga wahai Rasulullah SAW? Baginda
SAW menjawab: Dan aku juga melainkan Allah telah membantuku daripada
gangguannya maka aku terselamat dan tidaklah ia (qarin) mendorongku kecuali
pada perkara kebaikan.”
Perkataan "Qarin" adalah merujuk kepada makna jin
yang senantiasa berdamping pada tiap-tiap diri manusia termasuklah diri baginda
Nabi Muhammad SAW. Dikalangan para sarjana Islam, berlaku perbezaan pendapat
mengenai status Qarin yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW. Ada yang menyatakan
bahawa baginda Nabi terselamat daripada gangguan Qarin. Sebahagian lain pula
berpandangan bahawa Qarin yang berdamping dengan Nabi telah memasuki Islam. Hal
ini berlaku perbezaan disebabkan kedudukan baris bagi huruf lam pada perkataan
"فأسلم" di dalam hadith tersebut.
Sesungguhnya Qarin itu adalah dikalangan bangsa jin. Umum
mengetahui, jin terdiri daripada jin baik yang soleh dan jin jahat yang kufur.
Ini sepertimana yang telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran mengenai
perihal jin. Dalam surah al-Jin ayat 11, Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita
golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita
masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.”
Berdasarkan ayat ini, Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir
al-Quran al-'Azim, beliau menyatakan bahawa jin mengkhabarkan tentang diri
mereka bahawa mereka terbahagi kepada dua kelompok, iaitu yang soleh dan tidak
soleh. Mereka berada di atas jalan yang beragam-ragam dan pendapat yang
pelbagai. Ibn ‘Abbas, Mujahid dan selainnya menyebut bahawa bermaksud, di
antara kami, ada yang Mukmin dan ada yang kafir. Demikian apa yang telah
dinyatakan. Setiap diri manusia yang lahir ke dunia ini, pastinya akan ada
bersamanya Qarin. Tugas Qarin ini adalah bagi mendorong manusia untuk melakukan
sesuatu perkara yang ditegah dan dilarang oleh agama. Namun, keadaan ini
berbeza dengan Qarin baginda Nabi SAW yang telah memasuki Islam, menjadikan
Qarin pendamping Nabi adalah dikalangan jin yang baik, jin Islam yang mendorong
Nabi melakukan kebaikan.
Qarin merupakan pendamping diri manusia sejak manusia dilahirkan ke
dunia. Pun begitu, yang boleh memisahkan Qarin dengan manusia itu adalah
kematian. Apabila seseorang itu meninggal dunia, maka terpisahlah jasad dan
roh, begitu juga terpisahlah Qarin dengan manusia tersebut. Sebagai pendamping
diri manusia, Qarin yang berasal dari jin ini akan sentiasa memastikan diri
manusia melakukan perbuatan-perbuatan mungkar yang dimurkai oleh Allah SWT.
Dalam al-Quran, ungkapan Qarin juga dinyatakan pada hari akhirat kelak, Qarin
akan memberikan buku catatan amalan kepada manusia yang didampinginya. Ini
sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Qaf ayat 23 yang bermaksud :
"Dan berkatalah qarinnya yang sentiasa ada bersama-samanya:
Inilah (Kitab catatan amal manusia) yang terletak di dalam jagaanku serta yang
siap sedia (untuk dibicarakan).”
Ayat ini jelas memberikan kita kefahaman bahawa setiap diri manusia
akan menerima buku catatan amalannya yang akan diberikan oleh Qarinnya. Cuma,
pada ayat ini para sarjana Islam berbeza pendapat dalam menafsirkan siapakah
Qarin yang dimaksudkan. Ini kerana, selain Qarin pendamping manusia dikalangan
jin, turut berdamping dengan manusia 4 lagi pendamping iaitulah 4 daripadanya
adalah malaikat, 2 malaikat kiri dan kanan, 2 lagi malaikat penjaga depan dan
belakang manusia. Hanya 1 sahaja pendamping manusia daripada jin. Maka dengan
sebab itu, para sarjana Islam berbeza pendapat mengenai Qarin yang mana satu
yang dimaksudkan dari ayat tersebut.
Seperti kata Imam al-Tabari dalam kitab Jami' al-Bayan 'an
Ta'wil Ay al-Quran, maksud ayat tersebut adalah, orang yang bersama manusia
yang datang kepada Tuhannya pada hari kiamat, yang bersamanya seorang
penggiring dan seorang penyaksi. Selain itu, al-Qatadah pula berkata maksud
Qarin tersebut adalah malaikat. Begitu juga pendapat Imam al-Qurtubi, di dalam
kitab tafsirnya, ketika beliau mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa yang
dimaksudkan dengan Qarin di dalam ayat ini adalah malaikat yang diutuskan
untuknya. Inilah sepertimana pendapat al-Hasan, Qatadah dan al-Dahhak.
Berdasarkan perbezaan pandangan ini, maka Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam
kitab tafsirnya, Tafsir al-Munir, telah merajihkan (menguatkan) pendapat
yang mengatakan Qarin yang dimaksudkan tersebut adalah malaikat dan bukannya
jin.
Selain itu, ada juga ungkapan Qarin di dalam al-Quran yang merujuk
kepada makna jin yang berdamping dengan diri manusia. Ini sepertimana firman
Allah SWT dalam surah Qaf ayat 27 yang bermaksud :
“Telah berkata qarinnya: Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya
tetapi sememangnya dia sendiri berada di dalam kesesatan yang jauh terpesong.”
Berdasarkan ayat ini, telah berkata Imam al-Qurtubi di dalam kitab
tafsirnya dengan menyatakan bahawa Qarin di dalam ini adalah syaitan yang
didatangkan oleh Allah SWT kepada hamba yang berdosa ini, di mana syaitan ini
berlepas diri daripada perbuatannya (iaitu menyesatkan hamba ini) serta
mendustakannya. Demikian pula telah berkata Syeikh Dr. Wahbah a;-Zuhaili dalam
kitab tafsinya,Tafsir al-Munir dengan menjelaskan bahawa :
"Kemudian, Allah SWT menyebut percakapan antara orang kafir
dan syaitan yang menjadi qarin-Nya. Syaitan yang menjadi qarin manusia berkata
berkait dengan manusia yang kafir, dengan maksud untuk berlepas diri
daripadanya: “Wahai Tuhan kami, aku tidak menyesatkannya atau menjatuhkannya ke
dalam kesesatan. Namun, dia sendiri orang yang sesat, lebih memilih kebatilan,
angkuh terhadap kebenaran dan jauh daripada kebenaran. Ketika aku mengajaknya,
dan dia menerima ajakanku. Seandainya dia termasuk hamba-Mu yang ikhlas, tentu
aku tidak akan mampu untuk memujuknya. Di sini, tampaknya orang kafir ingin
membela diri dengan berkata: “Wahai Tuhanku, syaitan yang menjadi qarinku lah
yang menyesatkanku.” Lalu syaitan menjawab: “Ya Tuhan kami, aku tidak
menyesatkannya, tetapi dialah yang berada dalam kesesatan yang jauh.”
Demikianlah perbincangan mengenai Qarin yang sememangnya merupakan
pendamping peribadi setiap manusia yang dilahirkan diatas muka bumi Allah ini.
Tentunya Qarin yang datangnya dari bangsa jin ini, selain hawa nafsu, akan
menggoda diri manusia untuk melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah
SWT. Oleh kerana itu, kadang manusia yang pada awalnya kelihatan bagus
kehidupannya, baik amalannya, tetapi pada akhir hujung kehidupannya,
tergelincir dirinya ke jalan kesesatan. Inilah yang dikatakan manusia akan
diuji sama ada menjadi orang yang beriman atau sebaliknya orang kufur dan
ingkar kepada Allah. Oleh kerana itu juga kita disarankan untuk sentiasa
memohon doa kepada Allah ditunjukkan kepada kita jalan yang lurus yakni jalan
yang diredhai Allah. Semoga Allah melindungi kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan